Saturday 25 April 2009

Non-Muslim yang Berakhlak Muslim

Cuaca makin panas (walaupun sebenarnya baru 13°C). Orang British pun da mula tersadai di padang rumput yang terbentang. Mahu menggelapkan kulit mereka. Kata mereka, kulit putih tak seksi.. Pucat je.. Hai.. Orang kita seboleh-boleh mahu kulit yang lebih putih dari putih. Sedangkan banyak produk kecantikan punya bahan yang toksik. 

Kanak-kanak riang yang bergumbira di depan George Green Library sewaktu lunch break.

Inilah manusia. Tidak pernah rasa cukup dengan apa yang kita ada. Sama seperti apabila kita punya harta.

لو كان لابن آدَمَ وَادِيَانِ من مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا ولا يَمْلَأُ جَوْفَ بن آدَمَ إلا التُّرَابُ                                                      

Ertinya: Sekiranya anak Adam itu punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan di perutnya tanah (mati).         ( hadis Riwayat al-Bukhari , 5/2364 )

Di sebalik sifat negatif orang British yang saya ceritakan dalam post sebelum ini, banyak sebenarnya nilai murni mereka yang wajar kita contohi. Kadang kala, ada perbuatan mereka yang lebih mulia dari kita.

Mereka (ahli kitab) tidak akan membahayakan kamu, kecuali gangguan-gangguan kecil sahaja, dan jika mereka memerangi kamu, nescaya mereka mundur berbalik ke belakang (kalah). Selanjutnya mereka tidak mendapat pertolongan.   (Surah al-Imran:111)

Sifat menolong orang lain sangat menakjubkan. Terutama dalam kalangan pemandu bas di sini. Jika ada penumpang yang kurang upaya atau sudah terlalu tua, pemandu bas akan turun dari bas untuk menuntun atau menolak kerusi roda itu ke dalam bas. Di sini, jika anda orang kurang upaya, anda dilayan seperti insan normal yang lain. Kemudahan sangat lengkap sehinggakan mereka mampu keluar berbelanja sakan di pusat bandar. Ujian yang Allah turunkan pada mereka yang cacat anggota tidak mereka jadikan alasan untuk berputus asa dengan hidup ini.

Cuba kita analisa situasi di Malaysia. Sukar untuk kita jumpa orang kurang upaya di tempat- tempat terbuka. Hidup mereka terkurung, seperti burung yang berada dalam sangkar (yang tentunya bukan sangkar emas). Faktor? Kemudahan awam yang disediakan khas untuk mereka masih lagi kurang memuaskan.

Sebut pasal pemandu bas, teringat saya pada Pak Cik Bas St Peter Court(SPC) yang sering menghantar kami sehingga ke Raleigh Park. Sepatutnya tiada bas akan berhenti di Raleigh Park, teratak kami. Kami perlu berjalan selama paling cepat 10 minit untuk sampai ke Jubilee Campus. Dari situ, kami akan menaiki Hopper Bus ke University Park. 

Jubilee Campus. Punya infrastruktur bangunan yang pelik. Macam kapal angkasa makhluk asing pun ada.

Suatu hari, kami terlewat keluar rumah. Kami cuma punya kurang 8 minit untuk ke Jubilee Campus untuk mengejar bas yang akan bertolak tepat jam 4.30 petang. Untuk pengetahuan semua, di sini, ketepatan masa pemandu bas memang tidak patut diragui langsung. Jadi, kalau ikutkan, kami hanya akan sempat sampai ke sana jika kami bertukar menjadi Watson Nyambek untuk 8 minit tersebut. Namun, sudah tentulah agak mustahil.

Raleigh Park mendapat nama sempena basikal Raleigh?

Tak sangka, bas SPC berhenti di simpang jalan rumah kami. Pak Cik Bas SPC mengajak kami naik. Sungguh tidak disangka. Terharu sangat. Nampak sangat dia sudah cam kami. Da tahu kami tinggal di Raleigh Park. Mungkin lepas ini, kami patut mengundangnya ke rumah terbuka kami, InsyaAllah. Baru-baru ini, ketika saya di Dunkirk, bas SPC melewati kami. Tiba-tiba Pak Cik Bas SPC yang sedang memandu sempat lagi melambai kami. Sayang, saya tidak bertanya namanya. InsyaAllah, akan saya usahakan. Moga sinar hidayah Allah akan muncul dalam dirinya. Aminn..

Saya kira, memang sudah menjadi adat resam orang British di sini untuk sentiasa bertanya khabar orang-orang yang mereka kenali. Bahkan, yang tidak mereka kenal pun, akan mereka berikan ucapan selamat seperti ‘hi!’. Senyum itu umpama satu kemestian. Terutama golongan tua dan dewasa. Yang remaja, kurang sedikit. Al-maklumlah, kebejatan moral mereka semakin serius. Jadi kuranglah sedikit nilai murni dalam diri.  Bukan di UK sahaja. Malaysia pun ada juga kan.. Mungkin ini adalah masalah yang satu dunia hadapi.

Sewaktu bulan pertama kami di UK, kami berperang dengan cuaca sejuk musim luruh. Suatu hari (once upon a time), kawan saya menunggu di luar kedai, menantikan teksi untuk membawa kami pulang ke rumah. Sambil menggigil, tentunya. Tiba- tiba, seorang nenek yang berjalan di situ, menegur kawan saya sambil menyentuh lembut tangan kawan saya, “Are you alright, darling?” Sedangkan nenek itu pun menggigil juga. Sungguh dia prihatin pada orang lain.

 Daun berguguran tetapi pokok masih lagi hidup. Proses fotosintesisnya berlaku di mana? SubhanaAllah. Tingginya ilmuMu.

Kata-kata orang British di sini juga sangat memberi motivasi. Mereka akan memberikan komen yang sangat memberangsangkan pelajar, walaupun tugasan yang dilakukan pelajar tersebut tidaklah sesempurna mana. Good, brilliant, fantastic adalah kata-kata biasa. Biasa tetapi cukup memotivasikan. Ingat tak waktu kita di bangku sekolah rendah dulu? Bila cikgu memberikan bintang (walaupun satu), heboh kat mak ayah berminggu lamanya.

Macam adik bongsu saya. Setiap kali bercakap dengannya di talian telefon, ayat yang sama keluar dari mulutnya, “Cikgu bagi bintang kat Dek Ya. Long tak de bintang..” Bangga sungguh dia dengan penilaian yang diberikan gurunya. Sedikit tapi impaknya besar.

Semestar ini, kami, pelajar Biologi perlu mengambil modul Plant Science. Sewaktu menjalankan eksperimen, ada anak pokok ryegrass yang tidak diambil oleh sesiapa. Pensyarah kami  (yang kami namakan sebagai Cikgu Bunga- kerana dia mengajar tentang bunga sewaktu kuliah) melewati saya sewaktu kami sedang sibuk mengeluarkan anak pokok dari bekas dengan lemah lembutnya. Tak semena, saya terdengar cikgu itu berkata sambil membawa anak pokok yang tidak bertuan itu, “Let we find home for you.” Oh tidak! Betapa dengan pokok pun mereka boleh berkomunikasi dengan penuh kasih sayang.

Pokok bunga yang diperoleh secara percuma selepas eksperimen.

Gembira hati tidak terkira setelah kami menandatangi kontrak rumah sewa 13, Beeston Road. Sebelum ini, rumah sewa kami untuk sesi depan ialah rumah 42, City Road. Rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang proses mendapatkan rumah 13 agak menarik. Alhamdulillah, kami berjaya beramal dengan ilmu yang kami ada. Salah seorang penghuni rumah 13 sedang menunggu keputusan permohonannya dari pihak universiti. Jadi, mereka belum tentu lagi akan tinggal di rumah itu sesi depan sedangkan tuan rumah mahu kata putus secepat mungkin.

"Mereka - orang-orang yang beriman - itu sama mengutamakan orang lain lebih dari dirinya sendiri, meskipun mereka itu sebenarnya adalah dalam kemiskinan."  (al-Hasyr: 9)

Jadi, dengan berlapang dada, (kerana memikirkan jika kami berada dalam situasi yang kawan serumah pelajar itu hadapi), kami merelakan mereka tinggal lagi di rumah itu walaupun hanya bertiga (rumah itu sepatutnya untuk 4 orang). Walaupun kami sangat-sangat berkenan dengan rumah itu. Mana taknya, rumah itu adalah rumah Simon yang terbaik. Bilik yang sama besar, ruang makan dan ruang tamu yang selesa.

Alhamdulillah, Allah beri rezeki pada kami kemudian hari. Setiap doa hambaNya akan diperkenankan, cuma sama ada cepat atau lambat. Duri semalam adalah bunga hari ini. Sabar itukan separuh dari iman.

"Dan sesungguhnya Kami hendak menguji kepadamu semua, sehingga Kami dapat mengetahui siapa di antara engkau semua itu yang benar-benar berjihad dan siapa pula orang-orang yang bersabar." (Muhammad: 31)

p/s: Sedang menanamkan rasa cinta pada Biologi supaya hati cukup ikhlas dan bersemangat untuk menuntut ilmu. Bukan semata-mata kerana peperiksaan 26 Mei ini. Usaha!


Bekalan oksigen dalam bilik seorang Biologist semakin bertambah dengan adanya 2 pokok. Jadi, alasan mengantuk masa belajar tak sepatutnya timbul la ye, wahai Suhaila! 


Thursday 23 April 2009

[IMAM_UKEIRE] Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis


Daripada: "kampungnotts@yahoogroups.co.uk"
Dihantar: Jumaat, 17 April , 2009 10:54:06
Subject: [IMAM_UKEIRE] Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis  

Assalamualaikum w.b.t.  Berita baik untuk semua rakyat  Malaysia! Aman Palestin Berhad dengan kerjasama Persatuan Belia Islam  Nasional (PEMBINA) akan menganjurkan sebuah konvensyen bertajuk:  

Berakhirnya Agenda Zionis  
Masa: May 9, ‘09 08:00am- 5:00pm 
Lokasi: Dewan Merdeka, PWTC  
Untuk tentatif, klik di sini.  
Untuk profile ahli panel klik di sini.  

Tajuk?  
Berakhirnya Agenda Zionis  
Tajuk diatas tentunya mengundang pelbagai persoalan. Antara persoalannya adalah: Benarkah agenda zionis telah berakhir ? Apakah agenda zionis itu ? Bagaimana ia berakhir ? Siapa yng bertanggugjawab menamatkan riwayat zionis itu? Klik di sini untuk terus membaca.  

Sasaran?  
Konvensyen “Berakhirnya Agenda Zionis” ini mensasarkan golongan “belia” muslim untuk menghadirinya. Ini kerana mereka adalah sebuah kumpulan dalam masyarakat yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang. Oleh itu, amat bermaknalah kehadiran mereka ke dalam seminar seperti ini, agar mereka lebih dahulu mengetahui titik-titik kelemahan Zionis sehinggakan agenda utama mereka itu terhenti dan berakhir. 

Dalam masa yang sama pihak penganjur amat mengalu-alukan kehadiran “masyarakat pelbagai lapisan” untuk sama-sama menyemarakkan lagi seminar yang julung kali diadakan ini. Pihak penganjur akan berusaha sedaya upaya untuk mengumpul dan menghimpunkan seramai 3,000 peserta bagi menghadiri seminar ini.  

Pendaftaran?  
Penyertaan masih terbuka kepada semua. Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai konvensyen ini  bolehlah mendaftarkan diri kepada nama-nama dibawah, tempat adalah terhad:  
[Muaz: 013 3044180] - [ Zaizul: 019 6641406] - [ Dr. Kamil: 016 9490623] - [Dr. Kamsani: 013 6130189]  [Pn. Suriani: 019 6654746] - [Pn. Kamisah: 019 2796792] 
Website: http://kbaz. net/  

Untuk keterangan lanjut, hubungi: Aman Palestin Berhad [Tel(Office) : 03 89267019] [Fax: 03 89259963] [Tel(Mobile) : 017 2672122]  

Pendaftaran SMS?  
Jika tuan/puan/saudara/ saudari berminat, sila sahkan kehadiran melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan cara berikut:  Taipkan (NAMA),(NO MYKAD) dan SMS kepada 019-6077372 . Yuran boleh dibayar di kaunter pendaftaran pada hari konvensyen.  

Berminat menaja?  
Kepada sesiapa yang ada kelapangan wang ringgit atau mempunyai sahabat handai yang dermawan serta hartawan bolehlah menghulurkan derma bagi menjayakan program yang besar lagi bermakna kepada kita semua. Derma bolehlah disalurkan kepada:  
Aman Palestin Berhad  Bank Islam Malaysia Berhad: 12029010047880  
Maybank Malaysia Berhad: 562263010787  
Bank Muamalat Malaysia Berhad: 12070005133717  

Tidak dapat hadir?  
Mungkin kerana ada perkara yang lebih penting untuk diselesaikan atau anda tidak dapat berada di Kuala Lumpur pada waktu tersebut. Jangan bimbang, hantarlah anak-anak remaja anda ke konvensyen tersebut. Jika anda pelajar luar negara, promosikan konvensyen ini kepada rakan-rakan atau adik-adik anda di blog-blog dan email dan lain- lain. Hantarkan kepada sesiapa sahaja yang anda rasakan memenuhi kriteria seorang 'belia'. Isu Palestin adalah isu semua umat Islam, bukan sekadar isu bangsa atau ideologi.  

Hanya Allah yang dapat membalas usaha kalian membantu rakyat Malaysia memahami isu di Palestin.  Sekian, terima kasih.  

Mohd Ferdaus Mohd Tahar 

p/s: Kalau ada sesiapa yang punya kelapangan masa, tolonglah hadir konvesyen ini ya.. Nanti, kongsikan dengan saya apa yang kalian dapat dari program ini tau. Sedih, tak dapat ikut serta. Penceramah memang mantap. Dr Azzam Tamimi pernah datang ke UoN sebelum ini. Moga semangat mempertahankan Palestin terus bersemarak dalam jiwa kita. Berjuang!!

Tuesday 14 April 2009

Untuk Para Pejuang di Medan Peperiksaan

Musim peperiksaan buat para sahabat di Malaysia kini menjelang. Buat semua, berusahalah sehingga saat terakhir! Tetapi, harus diingat, bukan maksudnya ‘study last second’. Buat yang terbaik. Setelah berusaha, bertawakallah. InsyaAllah, Allah akan membantu hambaNya yang berusaha.


Teringat kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah, yang tidak mengikat untanya. Baginda s.a.w. bertanya: "Mengapa tidak kamu ikatkan?" Ia menjawab: "Saya sudah bertawakal kepada Allah." Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Ikatlah dulu lalu bertawakallah."[1]

Bukan dalam medan ‘peperangan’ ini sahaja yang perlu bertawakal. Setiap aspek kehidupan kita perlu pada sabar dan tawakal. Indahnya tawakal itu sendiri hanya dapat dialami oleh orang-orang yang benar menyelami erti tawakal itu, apabila mereka mengakui Allah sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa atas tiap sesuatu. 

Bahawasanya orang-orang yang beriman itu, ialah mereka yang apabila disebutkan nama Allah, maka hati mereka itu menjadi ketakutan, juga apabila ayat-ayatNya dibacakan kepada mereka, maka bertambah-tambahlah keimanan mereka dan mereka itu sama bertawakal kepada Tuhannya. (surah al-Anfal: 2)

Dari Umar r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Andaikata engkau sekalian itu suka bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Dia akan memberikan rezeki padamu sekalian sebagaimana Dia memberikan rezeki kepada burung. Pagi-pagi burung berperut kosong dan bila petang, ia kembali dengan perut penuh berisi.”          (Hadis riwayat Imam Termidzi-hadis hasan) [1] 

Jadi, konklusinya, chaiyok! Berusahalah, para sahabat. Perbanyakkan pembacaan ilmu Allah dan perbanyakkan juga doa dan ibadah kepadaNya. Moga kejayaan sentiasa mengiringi kalian. Ukhuwah fillah (ukhuwah kerana Allah)!


sumber: [1] Riyadhus Shalihin (Taman Orang-orang Soleh) - Imam Nawawi

P/s: Dalam persimpangan dilema, mahu ke Manchester atau tidak untuk Manchester Solat Camp. Penceramah memang mantap: Ustaz Zaharudin Abdul Rahman( UZAR) tapi kan..tiket mahal.. Waaaa!!! Sedihnya. Moga Allah permudahkan urusan kami. Aminn...

Tuesday 7 April 2009

Sucinya Sebuah Pernikahan

Saban hari yang saya lalui di sini, mengajar saya banyak perkara tentang pentingnya membentuk sebuah keluarga(baitul) Muslim.  Jika kita mahu Ustazyatul Alam menjadi kenyataan, di mana semua umat Islam di atas muka bumi bersatu di bawah pimpinan seorang khalifah, baitul muslim perlu diterap dalam masyarakat.

Sewaktu melawat salah seorang postgrad di Queen’s Medical Centre(QMC), banyak yang saya perhatikan di hospital itu. Orang tua datang berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan tanpa dipimpin oleh seorang pun anak muda yang bergelar anak. Ini adalah situasi yang biasa di sini. Bila anak meningkat dewasa, mereka bebas tinggal berasingan dan membuat keputusan sendiri. Nak mendakwa ibu bapa yang membesarkan mereka sendiri pun boleh. Ini sudah termaktub dalam sistem perundangan di sini. Tidak hairanlah jika, ramai di kalangan orang British yang lebih gemar membela anjing dan kucing dari punya anak sendiri.

Sempat juga berbual dengan seorang pak cik British ini. Usianya telah lewat 60-an namun masih lagi bekerja. Bila ditanya, tinggal dengan siapa, jawabnya, dengan isteri dan seekor anjing. Biarpun dia tidak menyatakan sebarang rasa kesunyian, tapi jelas ceria wajahnya bila bercerita tentang cucunya dan zaman mudanya. Betapa pak cik tua itu mahu orang untuk mendengar ceritanya.

Di mana rasa cinta pada institusi kekeluargaan yang harmoni? Pelik tapi benar, di Malaysia, 12 kes suami menjadi mangsa keganasan rumahtangga berlaku pada 2007[1]. Nak tergelak pun ada, tapi ini hakikat. Belum lagi sebut kes yang berlaku ke atas isteri. Sedangkan seorang isteri wajib taat pada suaminya dan seorang suami perlu menyayangi isterinya lebih dari kasih sayang isteri terhadapnya.

Rasulullah saw bersabda, "Perempuan yang taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan : semuanya beristighfar baginya (isteri) selagi mana ia masih taat kepada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat dan puasanya).

Allah telah meletakkan garis panduan dalam menjalani kehidupan. Islam itu syumul, melengkapi setiap aspek hidup tapi manusia itu yang kadang kala alpa. Kehidupan Rasulullah itu sendiri sudah cukup untuk diteladani. Bagaimana mahu menjadi seorang bapa, pemimpin, dan suami yang baik dan beriman. Jangan sempitkan pada poligami semata-mata.

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertakwa..        (surah al-Furqan:74)

Ketahuilah wahai kaum Adam, wanita lebih rela bersabung nyawa sewaktu melahirkan zuriat dari berkongsi kasih. Sedangkan para isteri Rasulullah mahu kepastian siapa yang paling dikasihi baginda. Tak semudah kata “Saya rela bermadu” untuk menerima orang lain ada dalam hati suaminya. Untuk hidup bahagia bersama madunya seperti Aisyah dan Maria dalam novel Ayat-ayat Cinta. Kita tidak tahu, di sebalik katanya, hatinya merintih. Kita tak tahu.. Hati perempuan.. Terlalu kompleks. Memang saya tabik spring kepada yang berjaya melakukannya. Moga kalian beroleh payung emas di akhirat kelak.

Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah. Ujian bukannya untuk kita larikan diri, tetapi ujian adalah tarbiyah dari Allah, untuk kita lalui, kerana di sebalik ujian itu tersimpan sejuta hikmahnya. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.     (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Teringat pada kata-kata seorang ulama’ ini: Seorang lelaki yang bertanggungjawab dan matang akan berfikir lebih dalam untuk melakukan poligami. Jika mahu mendirikan rumahtangga pun,fikir 10 kali. Untuk poligami, tentunya ratusan kali.

Semua orang impikan pasangan yang beriman. Namun, sejauh mana kita berusaha menjadi orang beriman. Jangan harapkan apa yang orang boleh beri pada kita tapi usahakan bagaimana kita boleh sumbangkan pada orang lain. Usaha untuk menjadi seorang anak yang soleh, suami yang bertanggungjawab, isteri yang taat, dan ibu bapa yang sama-sama memikul beban dakwah Allah.

Saya belum lagi melalui segala yang saya coretkan di sini. Tapi saya sedar, setiap langkah kaki saya perlu menuju ke arah itu. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Mana tahu, Allah uji saya atas apa yang telah saya coretkan. Entah nyawa panjang atau tidak. Entah jodoh dengan siapa. Cuma, selagi hayat masih dikandung badan, sedang berusaha membentuk diri menjadi individu Muslim. Moga, bila dijemput Ilahi kelak, saya akan berbangga dengan apa yang telah saya kerjakan sebagai seorang hambaNya. Jika tidak sempat beroleh suami di dunia, akan ada teman hidup di akhirat yang kekal abadi..

Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.  (Surah al-Insyirah, ayat 5-6)  

Sumber: [1] Kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

p/s: Ish..ish..ish.. Orang tengah sibuk berpiliharaya dan menerima PM baru, masih sempat saya bercerita pasal ini.^_^

Thursday 2 April 2009

Indah Khabar Dari Rupa

Syukur ke hadrat Ilahi kerana akhirnya kami selamat pergi dan balik. Almaklumla, ini trip kami yang pertama tanpa kakak-kakak di sisi. Pergi mana pula ni? Paris.. Hehe..

Sebenarnya hajat hati ingin ke Mesir, namun terpaksa ditunda lantaran faktor keselamatan. Hendak ke Sepanyol, tiket kapal terbang mahal la pula. Jadi, pujuk la hati ke Paris. Tapi, betul la kata kak Zaffan.. Bila kita pergi ke tempat yang kurang khazanah Islamnya, jiwa rasa kosong, walaupun banyak tempat yang dilawati.

Katakanlah : Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya, kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam kejadian yang baru. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (surah al-ankabut:20)


Penumpang kapal terbang yang degil. Sempat lagi mengambil gambar walaupun tidak dibenarkan. Hehe..

Tempat pertama yang kami lawati, Le Musee du Parfum. Banyak juga ilmu yang kami dapat dari Geraldine, jurucakap muzium itu, tentang penghasilan dan pemilihan minyak wangi yang berkualiti. Rupanya, banyak perbezaan antara Parfum, Eau de Toilette dan Cologne. Parfum mengandungi paling sedikit kuantiti alkoholnya (lebih banyak pati wangian, jadi senang cerita, lebih mahal). Minyak wangi yang disimpan dalam bekas aluminium boleh bertahan wangiannya sehingga 10 tahun. Geraldine juga asyik menegaskan pemakaian minyak wangi untuk suami. Mungkin dia tahu larangan penggunaan minyak wangi untuk seorang muslimat apabila berada di luar rumah [1] . Atau mungkin dia sendiri seorang Muslim.

أيما امرأ ة استعطرت ثم خرجت فمرت على قوم ليجد و ا ريحها فهي زانية

“Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi, kemudian ia keluar, lalu ia melewati satu kaum (orang banyak) supaya mereka mendapati (mencium) baunya, maka dia itu adalah perempuan zina / tuna susila.” [Hasan riwayat Ahmad, Nasa’i, Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Khuzaimah dan Thahawi dari jalan Abu Musa]

Sayang seribu kali sayang, kami tidak berkesempatan memasuki Le Palais Garnier- latar tempat utama dalam novel literature Phantom of the Opera. Tak dapat pun meninjau keindahan Grand Staircase. Apatah lagi, mahu merayau sekitar tasik di bawah Opera itu. Berdasarkan apa yang diberitahu kak Ilina, kawasan rahsia Phantom itu memang tidak dibuka untuk orang ramai. Saya hanya dapat mengambil gambar persekitaran Opera itu sahaja.

Pemandangan hadapan Opera Garnier. Besar sepertimana yang diceritakan dalam buku.

Galeries Lafayette- tempat membeli belah untuk golongan atasan. Kalau melihat pada harga sehelai baju ada yang mencecah ribuan euro, memang kami tak mampu langsung membelinya. Nak membelek pun, tak berani. Namun, tertarik dengan satu kedai di situ yang mengetengahkan elemen batik. Cantik bila unsur tradisional dikontemporarikan.


Galeries Lafayette- kanan bahagian wanita, kiri bahagian lelaki. Eh, lelaki pun suka shopping gak ye??


Kedai batik yang diusahakan oleh orang Barat

Tatkala kaki melangkah ke Le Jardin des Plantes, umpama berada di Amsterdam. Sudah tentu taman ini lebih indah bila pertengahan musim bunga. Pelbagai jenis bunga kami jumpa. Ada zoo kecil juga. Seronok melihat anak kecil wallabee menyorok di dalam kantung ibunya(contoh binatang marsupial, adik beradik kanggaru) dan aksi petit panda yang sedang makan daun pohon buluh. Comel. Lagi comel dari patung teddy bear!

Salah satu panorama di Les Jardin des Plantes. Macam dalam Winter Sonata!

Saya kira inilah kemuncak jaulah kami- La Grand Mosque de Paris. Tambahan pula, kami pergi pada hari Jumaat. Tak silap saya, ini satu-satunya masjid yang betul- betul masjid, yang lain biasanya bilik dalam bangunan yang dijadikan surau. Hari itu, masjid dipenuhi dengan muslimin dan muslimat yang ingin menunaikan solat Jumaat. Ruang masjid penuh sehinggakan ada yang solat di tengah taman. Saya tidak dapat mengenal pasti, bahasa apa yang digunakan oleh khatib untuk menyampaikan khutbah. Rasanya, bahasa Arab yang diselangi dengan Bahasa Perancis.

Taman pemisah antara tempat muslimin dan muslimat

Damai rasanya bila setiap dari mereka mengucapkan salam kepada kami yang memang terang-terang ‘orang baru’ di situ. Nak berbual lebih panjang, kami tidak tahu bahasa Perancis mahupun bahasa Arab. Ish, kena belajar Bahasa Arab ni!

Mujur, seorang muslimat, dari Tunisia, Torkia namanya, mendatangi kami. Sempat berbual dengannya. Katanya, ada lebih kurang 12 ribu Muslim di sini. Kebanyakannya dari negara Afrika dan Timur Tengah. Patutla. Memang cantik orang-orang di sini. Apatah lagi perhiasan diri mereka ditutup. SubhanaAllah..

Tiba di Notre Dame. Ingat pada cerita The Hunchback of Notre Dame? Rupanya tempat yang besar ini adalah gereja. Saya tidak berpeluang meninjau organ, alat musik yang terkenal di situ lantaran barisan manusia yang beratur masuk.


Notre Dame- gereja yang pelik, besar dan menakutkan

Tidak disangka, begitu ramai pengemis di sini. Yang peliknya, mereka akan menunjukkan kertas yang punya isi yang sama yang berbunyi(ala-ala):I’m from Bosnia. I’m not working and I have two child (penggunaan grammar yang salah). Please help me..

Bukan setakat masalah hidup yang ‘dikongsi bersama’ (baik di Notre Dame mahupun di Eiffel Tower), imej yang mereka bawa juga sama. Memakai skarf namun rambut dibiar terjurai, tidak bertutup. Sedikit pun tiada niat saya untuk menghina mereka. Namun, tindakan mereka memburukkan nama Islam. Saya tidak faham. Mengapa mereka mahu menyebut nama Allah dan mengucapkan salam jika di leher mereka tergantung rantai salib. Jika mereka susah, mengapa tidak usaha bekerja sedangkan punya tubuh badan yang sihat. 

Kami tahu, mereka tidak jujur namun apa kata pelancong lain bila melihat kami tidak menghulurkan satu cent pun pada para ‘peminta sedekah’ itu. Sudah tentu, mereka menyangka kami ini (Muslim secara umumnya) tidak berhati perut (padahal, mereka langsung tidak mengendahkan golongan itu). Mengapa Islam punya paling ramai musuh yang cuba menganiayainya dalam dunia ini?

Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah menolaknya, malah berkehendak menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir itu tidak menyukai. (surah at-taubah:32)

Kami bercadang mahu ke restoran KFC memandangkan orang Malaysia yang pernah datang ke Paris dan yang belajar di Paris menyatakan KFC di sini halal. Mujur, alhamdulillah. Allah tidak membenarkan kami meneruskan niat melepaskan kerinduan pada KFC yang sebenarnya tidak halal! Memang terperanjat kami mendengarnya. Rasa tidak percaya pun ada. Tapi bila saudara Farid,seorang Muslim dari Algeria menyatakan Majlis Agama Islam Paris telah membuat penyelidikan dan mengesahkan cara ayam itu diproses tidak sah di sisi Islam, kami redha.

Untuk mengubati kekecewaan kami, dia membawa kami ke restoran Muslim yang menyediakan EFC( Europian Fried Chicken). Sedap, sehingga menjilat jari!^_^. Rupanya tidaklah susah mencari makanan halal di sini. Sempat juga dia mengingatkan kami, agar tidak berada di kawasan hitam di Paris iaitu Rue St Denis.

Benarlah seperti yang diduga. Museum Louvre memang sangat-sangat besar. Massive! Sehinggakan saya hanya larat meneroka ke bahagian artifak tamadun Mesir, Napoleon dan Monalisa. Punyalah saya ingatkan potret Monalisa itu besar. Rupanya,sebesar kertas lukisan je. Memang tiada rasa kekaguman pun bila melihat potret itu di depan mata. Indah khabar dari rupa. Boleh saya katakan, potret itu antara karya seni yang tersopan boleh didapati di Museum Louvre. Mengapalah mereka ini punya pegangan, tubuh manusia itu seni. Astaghfirullah hal azim. Boleh berterbangan segala ilmu bila berada di Paris ni.

1/5 bahagian Museum Louvre dan pintu masuk-piramid

كل عين باكيه يوم القيامه الا عينان عين غضت عن محارم الله

Ertinya : Setiap mata akan menangis di hari kiamat kecuali mata yang dilindungi (berpaling) dari perkara yang diharamkan Allah s.w.t" ( at-taysir bi Syarhi al-Jami' as-Soghir, 2/216 : Hadis Hasan)

Sempat juga merasa berada di pasar tani Paris. Murah-murah. Waktu inilah, kami memanfaatkan masa yang ada untuk mengenali pelbagai spesies makanan laut. Hihi.. Baru tahu rupa sebenar tiram, kerang dan siput sedut orang Perancis. Ish..ish..ish.. Masih banyak yang perlu dipelajari ni!

Geram juga hati tatkala tiba di Eiffel Tower. Ada proses pembaikian la pulak. Jaring hijau bergautan di sana sini. Saya akui, indah lagi gambar dalam foto atau poskad, berbanding bila ia berada di depan mata. Lantaran ingin mengurangkan kos perbelanjaan, kami sanggup mengerah tenaga mendaki 668 anak tangga. Oh tidak! Memang tangga usaha kejayaan. Berjaya juga sampai ke tingkat 2. Cukup sampai di sini. Untuk sampai ke tingkat atas, kami perlu mengambil lif (sudah tentu,kena ada uwangnya,pak :p). Dari Eiffel Tower, kami menikmati pemandangan seluruh kota Paris. Bangunannya sekata ketinggiannya. Geografi yang menarik.

Eiffel Tower dalam proses pembikinan


Pemandangan dari tingkat ke-2 Eiffel Tower

Palais de Chaillot (Musee de la Marine)

Sadis juga kami mencari tempat untuk solat. Memang tiada surau di situ untuk kami singgah. Tambahan pula, hari mula hujan. Lantaran kewajipan seorang hamba yang perlu dipenuhi tidak kira apa pun situasi yang kami hadapi, kami solat di bawah hujan itu. Tapi, ada la orang yang memayungkan^_^.

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Surah al-Baqarah ayat 45)

Menyelusuri Sungai Seine sama sahaja rasanya seperti menyelusuri Sungai Thames di London. Kebanyakan tempat atau bangunan menarik memang terletak di sungai. Kami sedikit pun tidak memahami apa yang disampaikan oleh tourist guide di dalam cruise itu yang berbahasa Perancis.Secara tidak langsung, saya pula yang menjadi tourist guide dengan memberitahu para sahabat (sudah tentu, berpandukan buku) ini bangunan apa,itu bangunan apa.

Alhamdulillah, hujan berhenti seketika ketika menyelusuri River Seine

Lantaran hujan, kami tidak meneruskan rancangan mahu menyelusuri jalan Avenue de Champs- Elysees yang sejauh 2.1 km. Sebaliknya perancangan diubah, membeli cenderamata di Montmatre. Tak sangka pula, di sini ada ‘port’ menarik untuk melihat panorama seluruh kota Paris. Di sini juga terletaknya Sacre Ceur, gereja besar yang bentuk binaannya seperti Taj Mahal. Kebetulan pula, kami tiba tika hari mulai senja. Dapat juga melihat Eiffel Tower yang bercahaya pada waktu malam walaupun dari jauh.

Sacre ceur- himpunan manusia yang menyaksikan pemandangan Paris ketika senja

Memang satu hari tidak cukup untuk diluangkan di Disneyland. Apatah lagi, tiket yang dibeli membolehkan kami mengakses kedua-dua taman di Disneyland: Disneyland Park dan Walt Disney Studio Park. Yang menjadi tumpuan kami ialah roller coaster. Bermula dari roller coaster di Indiana Jones, Big Thunder Mountain sehinggalah ke Crush's Coaster. Tidak sempat merasa Twillight Zone: Tower of Terror lantaran barisan pengunjung yang terlalu ramai beratur di situ (macam berani je saya ni nak berada dalam lif yang terhempas ke bawah. Hehe..) Sempat juga menonton perarakan ‘Mickey Mouse and the gang’. Tentu adik saya jealous bila dia tahu yang saya berjumpa dengan Snow White. Haha.. (ish, cam mak tiri Snow White la pula)

Pergi pagi, balik senja

Pemandangan di hadapan istana Sleeping Beauty

5 hari kami berada di sana (secara totalnya, 4 hari setengah berjaulah di bumi Paris), mengajar kami banyak pengalaman. Puas juga kami berjalan. Sehinggakan rasa tidak sabar untuk pulang ke Nott semula.

Seseorang pernah bercerita pada saya, tentang pengalamannya berhadapan dengan penyeluk saku ketika percutiannya di Paris. Katanya, segalanya berlaku begitu pantas. Saat itu dia sedang menaiki Metro(keretapi bawah tanah). Bayangkan masa yang diambil kurang 2 minit sebelum pintu Metro tertutup untuk membuka beg kawan saya itu. Mujur tiada harta benda yang hilang. Penjenayahnya? Sekumpulan remaja yang bermasalah yang terus berlari keluar dari tempat kejadian.

Masalah bahasa memang tidak dinafikan. Alhamdulillah perancangan kami agak teliti dan berjaya meminimumkan masalah komunikasi sepanjang berada di sini. Namun, timbul beberapa kesulitan pada beberapa orang sahabat.

Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. (Surah al-Insyirah:5-6)

Pelik juga saya mengapa orang-orang di sini sangat menyukai orang Malaysia. Tidak seperti di UK. Ke mana sahaja kami pergi, pasti ada yang memandang dan bertanya sesama sendiri, ‘Malazi (Malaysia)?’ Kelakar juga bila mendengar cerita dari saudara Farid, tentang rakannya yang mahu mencari isteri dari Malaysia. Macam-macam.. Dia sendiri sangat mengkagumi bacaan Al-Quran orang Malaysia. Saya sendiri tidak pernah tahu pasal ini. Mungkin para imam kita. Em, ada sesiapa tahu?

Pokoknya, biarpun Paris ketandusan Islamic Heritage, namun bergantung pada kita untuk mencari keindahan Islam itu sendiri. Islam itu indah. Keindahannya tersebar di mana-mana.
Sesuai dengan kata-kata pujangga Muslim [2] :

Maksudnya: "Kebijaksanaan (hikmah) itu, adalah barang kehilangan kaum muslim. Justeru di mana sahaja kamu, berusahalah mengambilnya kembali".


[2] Sumber: JAIS



Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...