Thursday 2 July 2009

Fanatik Duniaku

Artikel ini bagi mengotakan janji saya pada kakak-kakak yang tidak dapat mengikuti sepenuhnya ceramah Perbandingan Mazhab oleh Ustaz Kadir al-Joofry dari Mesir.

Bagaimana boleh lahirnya Mazhab?

Abu Musa al-Ansaari dan Muaz bin Jabal dihantar ke Yaman sebagai utusan. Untuk menyesuaikan hukum dengan situasi hidup di Yaman, Muaz bin Jabal akan meneliti al-Quran dan al-Hadith sebelum mengeluarkan hukum.

Harus diingatkan, bukan semua sahabat Rasulullah yang boleh keluarkan hukum. Ada yang menjadi peniaga dan jarang bersama Rasulullah. Antara mujtahid (orang yang mengeluarkan hukum) di zaman baginda ialah: pemimpin Khulafa’ ar-Rasyidin, Saidatina Aisyah ra, Salman al-Farisi, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Thabit dan Abdullah bin Mas’ud.

Ingat lagi kisah seorang pemuda yang membaca al-Quran di hadapan orang kafir Quraisy lalu dipukul dengan teruknya? Itulah Abdullah bin Mas’ud. Selepas kewafatan Rasulullah, beliau ke Kufah(Iraq) dan berijtihad( mengeluarkan hukum). Namun, tiadalah mazhab Abdullah bin Mas’ud, ya!

Mazhab itu sendiri berasal dari perkataan zahaba yang bermaksud, tempat berpergian atau sekolah pemikiran. Seperti yang berlaku di Mesir, masyarakat di sana mengikut terus apa yang dibawakan oleh sahabat baginda, Abdullah bin Amru.

Kembali pada cerita Abdullah bin Mas’ud. Beliau mempunyai anak murid yang merupakan golongan tabi’in. Golongan tabi’in ialah golongan yang belajar terus dari para sahabat. Antara yang terkenal ialah Imam Malik (Madinah-92 H) dan Imam Abu Hanifah (Iraq).

The Prophet salallahu 'alaihi wa sallam said: "No individual threads a path in which he seeks knowledge, except that Allah facilitates for him a path to Paradise, due to it."
(Related by Imaam An-Nasaa'ee in his Kitaabul 'Ilm )

Imam Hanafi memberikan pendapat berdasarkan situasi. Imam Malik sendiri banyak menghuraikan hadis dan berijtihad. Beliau mengeluarkan fatwa di Madinah berdasarkan latar belakang penduduk di sana yang mewarisi keberadaan Rasulullah saw. [1] Beliau sendiri punya anak murid. Antaranya Imam Syafei.

Imam Syafei (150 H) dilahirkan di Palestin. Namun, kemudian berhijrah ke Mekah, kemudian ke Madinah lalu berguru dengan Imam Malik. Setelah itu, beliau ke Yaman dan Iraq. Di sana, beliau berbincang dengan anak murid Imam Abu Hanifah. Setelah itu, beliau berulang alik ke Mesir dan Iraq. Akhirnya, menghembuskan nafas terakhir di Mesir.

Oleh kerana itu, kita selalu mendengar, hukum yang dikeluarkan Imam Syafeilah yang paling ‘ketat’. Lantaran beliau telah mengkaji dan membandingkan dengan mazhab lain.

Imam Syafei sendiri punya anak murid di Iraq dan Mesir. Anak-anak murid beliau sangat mengenali Imam Syafei sehinggakan mereka mengetahui akan hukum yang bakal dikeluarkan beliau dalam situasi tertentu. Justeru itu, walaupun ada hukum itu bukan dikeluarkan oleh Imam Syafei, namun hukum itu tetap dikira berada dalam Mazhab Syafei.

Antara anak murid Imam Syafei ialah Imam Ahmad bin Hanbal (juga punya anak murid.)

Di Malaysia, kita berpegang pada Mazhab Syafei. Di Pakistan, Mazhab Hanafi. Afrika pula, Mazhab Maliki mendominasi manakala di Syria, Mazhab Syafei dan Hanafi. Di Iran? Percaya atau tidak, mereka adalah pengikut Syiah. Namun, harus diingatkan bukan tugas kita untuk menjatuhkan seseorang itu kafir. Itu semua urusan Allah. Kita bukan sesiapa mahu menilai amal seseorang.

Di negara Eropah, kemasukan orang Islam dari pelbagai negara menyebabkan negara Eropah itu punya banyak mazhab. Kesan baiknya, masyarakat Islam itu lebih berlapang dada. Mereka bersedia untuk solat bersama Muslim dari Mazhab lain meskipun orang tersebut tidak membaca doa qunut dalam solat. Lantaran terdedah dengan pelbagai pandangan, mereka sedar, yang mereka tidak seharusnya fanatik dengan pegangan mereka.

Imam Ahmad, ketika beliau diminta memberikan komentar dalam hal terdapat pendapat yang membolehkan solat sunat selepas Asar. Lalu ia memberikan responnya :-

لا نفعله ولا نعيب من فعله

Ertinya : Kami tidak melakukannya dan kami tidak menyalahkan mereka yang ingin melakukannya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 ; Naqal dari As-Sahwah Al-Islamiyyah, Al-Qaradawi, hlm 347 ) [2]

Soal hukum hakam ini, kita perlu berguru. Memahami hadis, tidak bermakna kita boleh mengeluarkan hukum sendiri. Bagi golongan yang berijtihad, jika betul, mereka beroleh dua pahala, jika salah, beroleh satu pahala. Itu bagi orang yang mengeluarkan hukum-para imam dan ulama’.

Kata ulama, “Hadis itu boleh menyesatkan kecuali bagi orang yang faqih.”

Oleh kerana itu, sewajarnya kita bertaklik, yakni mengikut mazhab-mazhab yang telah wujud. Para imam tersebut telah mengkaji sedalam-dalamnya dan berdebat sesama mereka sebelum mengeluarkan hukum. Jika kita bertaklik pada ulama yang bermujtahid, itu sudah sah. Hal ini penting, agar kita lebih fokus pada perkara lain yang kita lebih ‘faqih’, yakni perkara yang kita lebih mahir, seperti teknologi, ilmu sains, kedoktoran dan sebagainya demi kemajuan Islam.

Hukum itu berbeza dengan perbezaan masa dan zaman perubahan. Bukan semua fatwa sesuai untuk semua orang. [1] Jika digabungkan semua amalan dalam keempat-empat mazhab, tidak akan ada seorang pun ulama’ yang akan kata amalan itu boleh dilakukan.

Para ulama silam pernah menyebut :

من لم يطلع على اختلاف العلماء لم يشم رائحة الفقه

Ertinya : Sesiapa yang tidak mengetahui perbezaan fatwa para ulama, maka mereka ini belum lagi mencium bauan ilmu Fiqh (apatah lagi Fiqh itu sendiri).

Bagi pengikut mazhab Imam Syafei, kaum wanita diwajibkan memakai niqab (purdah). Tetapi, kenapa di Malaysia tidak? Sewaktu kedatangan Islam ke Tanah Melayu, pendakwah Islam dari Yaman adalah dari golongan yang mengikuti Mazhab Syafei. Terdapat dua pendapat tentang niqab dalam mazhab Syafei. Pendapat yang kuat menyatakan wajib berniqab. Pendapat yang lemah pula menyatakan niqab itu sunat.

Memandangkan para pendakwah itu tidak mahu penduduk Tanah Melayu itu punya gambaran pertama yang Islam itu susah hanya kerana diwajibkan niqab, maka mereka membawakan pendapat kedua. Tambahan pula, tika itu, orang Melayu kita masih lagi terdedah auratnya sana-sini. Secara logiknya, pasti ulama’ hari ini akan melakukan hal yang sama. Masakan orang yang berkemban pada asalnya, diminta memakai niqab serta-merta. Imam Syafei sendiri pun seorang yang dinamik apabila beliau mengubah fatwa dan hukum asal dari Baghdad.

Maknanya di sini, jika anda rasa anda ini benar-benar berada dalam Mazhab Syafei, fikir-fikirkan semula.

Sumber:

[1] Ustaz Mohd Erfino Johari, Education Attache, Malaysian Student Department (MSD)

[2] Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

Sumber lain: Ustaz Kadir al-Joofry, moderator Agama, I Luv Islam.

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...