Sunday 5 July 2009

Sepohon Kayu Daunnya Rimbun

Pabila mendapat tahu, Ustaz Hasrizal (www.saifulislam.com) akan memberikan ceramah pada Hari Orientasi Kolej Mara Seremban (KMS), saya tahu saya tak patut sedikit pun melepaskan peluang turun padang membantu proses pendaftaran adik-adik.

Tak sangka juga ada lebih kurang 4 orang adik Sekolah Seri Puteri yang mendapat peluang untuk menuntut di luar negara. Semoga berjaya merealisasikan impian mereka. Namun, seperti biasa, KMS lebih gemar menghantar pelajar mereka ke Australia, New Zealand atau Republik Czech. Berita baiknya, yang cemerlang mungkin akan mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.

Tak kering gusi saya mendengar ceramah Ustaz Hasrizal. Sekarang, saya jelas, kenapa saya sangat mengkagumi beliau. Kerana pengalaman hidup yang ditempuhnya. Itulah yang memberinya ilmu untuk dikongsi. Itu yang menarik tentang Ustaz Hasrizal. Sebagaimana beliau telah menceritakan kisah hidupnya sendiri dalam buku Aku Terima Nikahnya dan dalam drama Cinta Sempurna di Astro Oasis.

Siapa kata orang bermotivasi tidak punya kefahaman agama yang kuat? Bagi saya, tidak sepatutnya kita pisahkan Islam dengan motivasi atau ilmu haraki yakni ilmu yang kita pelajari di institusi pengajian. Kedua-duanya adalah sebahagian dari Islam. Secara peribadi, saya lebih melihat Ustaz Hasrizal sebagai pakar motivasi yang mantap berbanding sebagai seorang lepasan bidang Syariah di University Mu’tah, Jordan.

Tertarik dengan cerita Ustaz Hasrizal tentang ubat mengantuk adalah tidur, terutama semasa mengikuti ceramah. Kisah benar yang berlaku di Amerika Syarikat. Seorang lelaki Eropah yang mengalami masalah insomnia (kesukaran tidur) melewati sebuah masjid. Beliau pelik bin ajaib melihatkan sekumpulan orang di bahagian luar masjid yang tertidur dalam keadaan bersila (sangat lena walaupun tidak selesa). Kerana perasaan ingin tahu, beliau mendekati orang –orang tersebut. Tak lama setelah itu, beliau pun turut lena dek kerana ceramah yang sangat ‘membuai mimpi’. Lama kelamaan, masalah insomnianya pulih. Beliau menjumpai ‘keindahan Islam’ itu yang mendorong beliau memeluk Islam. Itu kisah benar..

Nasihat beliau, di mana pun kita berada, biarlah kita menjadi people of positive integrity dan punya high quadrant Par Excellence. Maksudnya, kita berakhlak mulia dan bekerja dengan cemerlang. Jika seseorang itu cemerlang gerak kerjanya, tetapi buruk akhlaknya, orang itu akan menipu. Manakala jika seseorang itu baik tetapi tidak proaktif, dia akan cenderung menjadi mangsa penipu.

Untuk bekerja dengan cemerlang, kita perlu ada matlamat. Sebagaimana kisah 3 orang pekerja yang sedang memplaster simen. Pekerja pertama tidak gembira sewaktu bekerja kerana dia tidak suka akan kerjanya yakni terseksa dan terpaksa. Pekerja kedua pula gembira kerana dia membayangkan yang dia sedang menandatangani cek gaji yang akan didapatinya. Dia bekerja kerana ada matlamat.

Pekerja ketiga pula menampal plaster dengan riang hati walaupun di bawah panas terik. Pabila ditanya kenapa dia sangat gembira, jawabnya, dia membayangkan bagaimana sebuah keluarga akan meluangkan masa berkualiti di ruang itu. Dia dapat merasakan seakan dia turut berkongsi ‘saham’ kebahagiaan itu.Dia lebih baik daripada dua pekerja sebelumnya kerana dia bekerja dengan matlamat dan punya keinginan yang kuat untuk memberi.

Bukankah tangan yang memberi lebih baik daripada menerima? Jika seorang bapa berjaya membelikan anak patung yang diminta oleh sang anak, siapakah yang lebih merasa bahagia? Si bapa yang melihat wajah riang anaknya bermain dengan anak patung atau si anak yang sibuk bermain itu? Tentu si bapa kerana dia memberi dengan penuh kasih saying. Itulah sepatutnya ditekankan apabila kita memasuki alam pekerjaan kelak. Jika semata-mata bekerja mahu mengumpulkan kekayaan, anda akan rasa bosan tak lama setelah itu. Namun, bekerjalah dengan niat memberi.

Saya muhasabah diri semula. Betul, betul, betul! Kalau saya mengajar selama 8 tahun kerana mahu memenuhi kontrak biasiswa saya, sudah pasti saya tidak akan mampu bertahan. Mengira hari bilakah 8 tahun itu akan berakhir.. Namun, jika saya bekerja kerana mahu mendidik anak bangsa, profesion sebagai seorang guru tentu akan menjadi sebahagian dari diri saya. Meskipun saya tidak lagi bekerja. Moga tugas memberi saya tidak terhenti di situ.

Harus diingat, kita bekerja di dunia adalah untuk kehidupan di akhirat. Mana mungkin, akhirat kelak kita akan bahagia jika di dunia kita tidak tenteram. Baiti jannati- rumahku syurgaku.

Firman Allah: Dunia itu ladang akhirat.

Soalan bonus: Perlukah kita pada akhirat? Apa hukuman yang anda rasa setimpal pada pembunuh bersiri yang telah meragut nyawa 100 orang? Salah satu cadangan hukuman dari adik-adik KMS ialah dengan menghempap kepala penjenayah dengan tong gas. Namun, adakah dengan cara itu cukup adil? Sepatutnya penjenayah itu merasa betapa seksanya mati sebanyak 100 kali juga. Namun, sayang, tiada kematian berulang di dunia.

Di akhirat, ada balasan itu di neraka. Oleh itu, kesimpulannya, dunia tidak dapat memberi keadilan seperti yang kita harapkan. Balasan yang adil untuk setiap perbuatan kita di dunia akan diterima di akhirat. Peri pentingnya beriman kepada hari kiamat.

Bagaimana manusia boleh cemerlang? Kerana adanya ilmu, kemahiran dan maklumat. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga faktor ini tidak akan bermanfaat jika tiada faktor keempat, yakni sikap yang baik. Jika kita telah berusaha tatapi kejayaan bukan di tangan kita, kita tidak gagal. Mungkin kita akan berjaya dalam bidang lain atau perkara lain. Orang yang gagal adalah orang yang tidak berusaha.

Tiba sesi soalan cepu emas pula.. What’s your purpose of life? Tujuan hidup.. Analogi yang diberikan Ustaz Hasrizal: Jika sebatang pen yang sepatutnya digunakan untuk ‘menandatangani cek’, disalah gunakan untuk diketuk ke dinding sebagai paku, apa akan jadi pada pen itu? Sudah tentu patah kan.. Maksudnya di sini, tujuan pen itu diciptakan atas satu matlamat. Untuk menulis.

Bagaimana kita mahu tahu apakah tujuan sesuatu alat elektronik itu diciptakan? Tentulah tanya pada penciptanya.. Bagaimana pencipta itu mahu memberitahu semua orang tujuan barangan elektronik itu diciptakan? Melalui user manual la..

Jadi bagaimana kita mahu tahu apa tujuan kita diciptakan? Tanya Allah. Macam mana Allah berbicara pada kita? Al-Quran..

Jika tujuan kita hidup untuk mengejar populariti, nyata kita seperti merak. Harganya hanya pada kecantikan ekor yang bisa rosak dan pudar pada bila-bila masa. Jika kerana mahu kuasa, kita seperti Firaun. Menipu diri sendiri. Jika kerana rukun hidup seperti makan, minum dan keperluan hidup yang lain, kita hanya mengejar kenikmatan dunia sahaja.

Firman Allah: Mereka seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat dari itu.

Jadi, tujuan hidup kita?

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu. (surah Az-Zariyat:56)

Semua orang mahu mati dalam keadaan yang baik. Mengimpikan jika kita mati dalam keadaan sujud kepadaNya, atau ketika bulan Ramadhan atau ketika menunaikan haji. Sebenarnya, cara mati itu bukan perkara utama. Cara kita hidup, itu yang perlu dititik beratkan. Ada hambaNya yang menderita sewaktu sakaratulmaut supaya dikurangkan beban seksaan di kubur.

Pesan Ustaz Hasrizal, agama diamalkan tanpa ilmu akan menjadi adat, yang mana akan disalahtafsirkan sebagai sebahagian dari agama itu, walaupun sebenarnya tiada kaitan pun. Orang Melayu di Malaysia bertuah kerana lahir dengan menganuti agama fikrahnya. Orang Melayu adalah orang Islam. Islam warisan. Namun, kita tidak akan mampu bertahan dengan Islam warisan, sebaliknya dengan Islam pilihan. Mencari dan terus mencari cinta Ilahi. Pernah terfikir, jika anda bukan Islam sejak lahir, adakah anda akan mencari Islam?

Sumber: nota

P/s: Ada sesiapa ingat ayat-ayat Allah di atas dari surah mana?

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...