Monday 17 August 2009

Dari Puncak Ingin Ke Angkasa

Pulang sahaja dari ziarah keluarga di Kota Bharu, Kelantan pada 29 Julai, rehat satu hari di rumah, 31 Julai saya berangkat pula ke Wonderful Overseas Weekend (WOW) anjuran IluvIslam.com. Program bermanfaat ini boleh kata seperti kem persediaan mental dan spiritual para pelajar yang akan menyambung pelajaran di luar negara.

Program diadakan di Nur Sungai Merab. Tempat yang sederhana dan ala-ala scout camp, iaitu tempat yang menjadi tumpuan untuk program kami di UK. Biar para peserta dapat pendedahan awal kehidupan sebagai seorang Muslim di bumi asing.

Ada peserta yang datang dari Mesir, Australia, dan yang lebih hangat dari biasa, pelajar dari United Kingdom dan Ireland. Maaf jika ada negara yang saya tak tersebut di sini. Saya hadir sebagai salah seorang dari 20 orang fasilitator. Tapi tak sangka pula yang saya juga kena jadi orang bertanggungjawab untuk salah satu modul. Senget juga la kepala baca apa yang perlu saya buat untuk modul itu.

Alhamdulillah, program berjalan lancar. Saya juga dapat melaksanakan sendiri tugas yang diberikan walaupun pada mulanya, tak berapa sihat untuk teruskan. Alhamdulillah kesakitan berkurang. Sakit ni, jangan difikirkan sangat. Alamatnya kerja tak jalan.

Seronok berjumpa dengan adik- adik yang datang. Walaupun pada hakikatnya, kami sebaya. Huhu.. Tapi saya lebih selesa bahasakan diri saya sebagai kak Su, supaya diri ini sedar sikit dia sepatutnya lebih matang dalam bertindak dan berfikir.

Paling mantap dan membara, adik-adik yang akan melanjutkan pelajaran ke University of Nottingham sendiri. Delegasi yang terbesar tu.. Da la kebanyakan tenaga penggerak WOW dari UoN. Jadi, memang nama UoN harum semerbak sepanjang program berlangsung.

Dengan tema ‘Be All You Can Be!’, saya harap adik-adik nampak apa yang kami cuba sampaikan di sini. InsyaAllah, together we explore the universality of Islam and discover our true potential.

Pelbagai aktiviti yang bakal diadakan di United Kingdom dan Ireland ditayangkan kepada mereka. Bersemangat mereka melihat video-video promosi Fuiyo, Fresher’s Camp dan Nottingham Games yang saya sendiri salah seorang penggeraknya.

“Hui, tak sangka Su aktif ek kat sana? Kamain lagi.” Ujar Hanun, bekas penghuni Jacaranda 4 di Sekolah Seri Puteri suatu ketika dulu. Bilik pengawas yang pernah tiga kali diceroboh. Dan salah seorang empunya locker yang terpilih, saya.

Saya hanya mampu tersenyum. Bagi saya, apa yang saya buat, itu semuanya memberi pengalaman. Pengalaman itu yang mungkin akan membezakan saya dengan pelajar di Malaysia. Sebab kalau nak bandingkan dengan pembelajaran di kelas, saya kira sama saja. Kadangkala, pendidikan di Malaysia lebih terperinci. Saya tak belajar pun bilangan antenna (sesungut) setiap serangga itu, tapi kawan saya di UKM yang ambil Biology, belajar.

Orang selalu kata, mesti seronok kan belajar di luar negara. Sudah pasti, semua orang mahu ke angkasa, walaupun sudah berada di puncak. Jawab saya, sama sahaja di mana pun.. Benih yang baik, dicampak ke laut, tetap jadi pulau. Kalau anda ke luar negara, tapi apabila pulang ke Malaysia, pemikiran anda masih sama, maknanya ada sesuatu yang anda tercicir di sana. Semuanya bergantung pada individu itu sendiri.

Saya lebih kagum pada orang yang belajar di Malaysia dan menjadi insan yang sangat menyerlah. Tambah-tambah lagi menjadi daei. Betapa, dia mampu berhadapan dengan pelbagai masalah yang lebih mencabar. InsyaAllah, saya faham kenapa saya dihantar ke UK dan mendapat tarbiyah. Segalanya untuk saya aplikasikan bila saya berada di Malaysia. Untuk semua umat dan anak bangsa saya sendiri. Dan saya tak mahu tanggungjawab ini terhenti setakat masih bujang.

Saya pasti, jika berfikir dengan hikmah, anda akan tahu kenapa anda berada di sini. Yang pasti, ingatlah Dia lebih tahu. Apa yang Dia telah tetapkan adalah yang terbaik untuk kita.

Sungguh Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (surah al-Hujurat:18)

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...