Wednesday 25 November 2009

Eidul Adha-Sedikit Pencerahan

* Sila baca beberapa perkara yang saya ingin perbetulkan. Mengenai hukum solat Eidul Adha (wajib atau sunat muakkad) dan hukum solat Jumaat pada hari raya (wajib atau tidak). Jazakumullah hu khair pada sahabat yang memberi pencerahan.

1) Sumber: Artikel dari blog http://abidfana.com/

Adakah Ijma’ Ulamak Solat Eid Itu Wajib?

Hari ini saya diajukan beberapa soalan mengenai hukum solat Eidul Fitri dan Eidul Adha. Ianya timbul kerana ramai yang memahami setelah mendengar satu pengisian bahawa hukumnya adalah wajib sampai ke peringkat fardhu ain. Maka timbul tanggapan yang ijma’ ulamak menyatakannya wajib, dan perlu memperbetulkan persepsi rakyat Malaysia yang menyatakan solat itu ialah sunat sahaja. Mereka memahami yang adalah kesalahan besar bagi Muslim yang menyatakan hukum solat Eid itu ialah sunat sahaja. Ada antara mereka merujuk kepada satu website berbahasa Melayu yang saya dapati melakukan kesilapan dalam menterjemahkan hadith berkaitan, serta dakwaan yang diragui terhadap Imam Shafi’e dalam hal ini.

Perlu diperjelaskan bahawa perkara ini termasuk di dalam khilaf. Secara ringkasnya, khilaf mengenai hukum solat sunat raya ini ialah seperti di bawah:

1. Mazhab Hanafi menyatakan yang hukumnya ialah wajib aini. Ini berdasarkan sepotong hadith sahih riwayat al-Bukhari:

عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُخْرِجَهُنَّ فِي الْفِطْرِ وَالأَضْحَى الْعَوَاتِقَ وَالْحُيَّضَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ ، فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَعْتَزِلْنَ الصَّلاةَ وَيَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ الْمُسْلِمِينَ . قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِحْدَانَا لا يَكُونُ لَهَا جِلْبَابٌ . قَالَ : لِتُلْبِسْهَا أُخْتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا

Ummi Atiyyah berkata: Rasulullah memerintahkan kami membawa keluar wanita merdeka (ada pendapat menyatakan gadis yang telah atau menghampiri baligh), yang haid dan gadis-gadis pingitan pada Eidul Fitri dan Adha. Adapun wanita haid, mereka tidak perlu solat tetapi sekadar menyaksikan kebaikan dan dakwah muslimin. Aku berkata: Wahai Rasulullah, salah seorang dari kami tidak mempunyai jilbab? Baginda berkata: (suruh) agar saudaranya meminjamkan jilbabnya!

Selain itu, mereka juga berhujjah dengan ayat al-Quran daripada surah al-Kauthar ayat 2:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maka tunaikanlah solat dan juga ibadah qurban.

Menurut metodologi Mazhab Hanafi, ayat ini mewajibkan solat Eid dan juga berkorban. Akan tetapi sebahagian ulamak mazhab ini hanya memadai dengan hadith dan sunnah Rasulullah yang tidak pernah meninggalkan solat Eid sebagai hujjah kewajibannya. Adapun solat di dalam ayat di atas, ianya bersifat solat yang umum meliputi wajib dan juga yang sunat, seperti dalam ayat 162 daripada surah al-An’am. Al-Tobari dan Ibn Kathir turut menyatakan yang solat dalam ayat di atas ialah solat umum meliputi yang wajib dan sunat.

Hujjah lain ialah nabi tidak pernah menunaikan solat selain fardhu secara berjemaah melainkan tarawih, kusuf, khusuf dan Eid, akan tetapi syariat memberikan penjelasan bahawa tarawih, khusuf dan kusuf hanyalah sunat sahaja. Justeru, mereka berhujjah dengan ini untuk menyatakan kewajiban solat Eid.

Antara ulamak lain yang berpegang kepada pendapat ini ialah Sheikh al-Albani, Ibn Taimiyah, Syeikh Uthaimin dan Syeikh Ben Baz.

Perlu diperjelaskan mazhab Hanafi mempunyai methodologi usul fiqh yang berbeza berbanding mazhab lain. Ada perbezaan antara wajib dan fardhu di dalam mazhab ini.

2. Mazhab Maliki dan Shafie menyatakan hukum solat Eid ialah sunat muakkad. Mereka berhujjah dengan sepotong hadith sohih seperti berikut:

قول الرسول صلى الله عليه وسلم في الحديث الصحيح للأعرابي – وكان قد ذكر له الرسول صلى الله عليه وسلم الصلوات الخمس – فقال له: هل عليَّ غيرهنَّ؟ قال: لا، إلا أن تطوع. متفق عليه

Kata-kata Rasulullah SAW kepada seorang Arab Kampung yang mana telah diperjelaskan kepadanya mengenai kewajiban solat fardhu yang lima. Arab kampung itu bertanya kepada Rasul, “Adakah ada (solat lain) yang wajib bagiku?” Rasulullah menjawab, “Tidak, melainkan yang sunat sahaja.” – Muttafaqun alaih.

Di dalam metodologi mazhab Shafi’e, memang perkataan suruhan di dalam nass (seperti hujjah mazhab Hanafi) membawa hukum wajib melainkan ada petunjuk yang menyatakan ianya sunat atau harus. Hadith di atas ini membawa pengecualian terhadap kewajiban solat Eid seperti yang tertulis secara tekstual di dalam nass. Maka hukum solat Eid adalah sunat muakkad sahaja.

Dalam satu website, dikatakan yang Imam al-Shafi’e menyatakan hukumnya adalah wajib. Saya cuba mencari, akan tetapi oleh kerana capaian saya kepada kitab mazhab Shafi’e agak terhad, saya masih belum menemuinya. Perlu diperjelaskan yang kita perlu membezakan antara pandangan Imam al-Shafie dan juga pandangan Mazhab al-Shafi’e. Ada pandangan Imam al-Shafie sebagai individu beliau, berbeza dengan pandangan institusi Mazhab al-Shafi’iyyah seperti dalam bab menghadiahkan pahala kepada si mati, di mana Imam al-Shafi’e menyatakannya tidak sampai, sedangkan beberapa ulamak dalam institusi Mazhab al-Shafi’e menyatakan yang ianya sampai atas keharusan bertawassul dengan amal soleh. Dalam konteks hukum solat Eid ini, yang saya jumpa dalam kitab mazhab Shafi’e ialah sekadar kenyataan bahawa mereka khilaf hukumnya sama ada fardhu kifayah atau sunnat muakkad, seperti yang tertulis di dalam kitab al-Majmu’ Imam al-Nawawi:

واختلفوا في العيد هل هو فرض كفاية أم سنة

Dan mereka (ulamak mazhab Shafi’e) berbeza pandangan adakah solat Eid itu fardhu kifayah atau sunnah.

3. Mazhab Hanbali pula menyatakan yang hukumnya adalah fardhu kifayah. Hujjah mereka ialah sama seperti hujjah ulamak Hanafi, akan tetapi metodologi pendalilan mereka menjadikan hukum solat Eid itu sekadar fardhu kifayah sahaja.

KESIMPULAN

1. Hukum solat sunat Eid adakah khilaf antara ulamak. Ianya bukan perkara ijma’. Justeru, adab perbahasan dan sikap kita terhadap hukum solat sunat Eid ini perlulah menjurus kepada perkara khilaf.

2. Bagi yang memilih pandangan mazhab Hanafi dan lain-lain yang menyatakan hukumnya wajib aini, maka anda juga perlu beradab dengan berpegang kepada hukum amalan lain yang ada kaitan dengan solat Eid. Ini termasuklah hukum berkorban, di mana mazhab Hanafi menyatakan kewajibannya bagi yang mampu. Maksud mampu itu ialah anda mempunyai simpanan untuk menyara hidup sehingga ke hari tasyriq. Janganlah bersemangat menyatakan kewajiban solat Eid, akan tetapi meninggalkan pula kewajiban ibadah korban.

Allahua’lam.

Hukum Solat Jumaat Sekiranya Raya Jatuh Pada Hari Jumaat

Terdapat beberapa hadith marfu’ dan juga athar mauquf mengenai isu ini. Antaranya seperti berikut:

حديث زيد بن أرقم رضي الله عنه أن معاوية بن أبي سفيان رضي الله عنه سأله: هل شهدت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم عيدين اجتمعا في يوم واحد؟ قال: نعم، قال: كيف صنع؟ قال: صلى العيد ثم رخص في الجمعة، فقال: (من شاء أن يصلي فليصل). رواه أحمد وأبو داود والنسائي وابن ماجه والدارمي والحاكم في “المستدرك” وقال: هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه، وله شاهد على شرط مسلم. ووافقه الذهبي، وقال النووي في “المجموع”: إسناده جيد

Hadith Zaid bin Arqam RA sesungguhnya Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA bertanya kepadanya: “Adakah anda pernah menyaksikan bersama Rasulullah dua Eid dalam satu hari (Jumaat dan Eidul Fitri/Adha)?”. Jawabnya, “Ya.” Soal beliau lagi, “Apa yang Rasulullah lakukan?” “Baginda solat Eid dan mengambil rukhsah tidak menunaikan solat Jumaat, lalu berkata barang siapa yang ingin solat, maka solatlah.” – Hadith riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Nasai’e. Dikategorikan sahih mengikut syarat Imam Muslim, sementara di dalam al-Majmu’, Imam al-Nawawi menyatakan hadith ini mempunyai sanad jayyid.

وفي صحيح البخاري رحمه الله تعالى وموطأ الإمام مالك رحمه الله تعالى عن أبي عبيد مولى ابن أزهر قال أبو عبيد: شهدت العيدين مع عثمان بن عفان، وكان ذلك يوم الجمعة، فصلى قبل الخطبة ثم خطب، فقال: يا أيها الناس إن هذا يوم قد اجتمع لكم فيه عيدان، فمن أحب أن ينتظر الجمعة من أهل العوالي فلينتظر، ومن أحب أن يرجع فقد أذنت له

Dalam sahih al-Bukhari dan Muwatta’ Imam Malik, daripada Abi Ubaid Maula bin Azhar, berkata Abu Ubaid, “Aku menyaksikan dua eid bersama Uthman bin Affan pada hari Jumaat, beliau solat (Eid) sebelum berkhutbah kemudian berkhutbah, katanya, “Wahai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah terhimpun dua eid, barang siapa yang ingin menunggu untuk solat Jumaat khususnya orang tempatan (ada yang menyatakan penduduk Timur Madinah) maka tunggulah sebentar, barang siapa yang ingin pulang maka aku benarkan.”

Terdapat khilaf ulamak di dalam isu ini, seperti berikut:

1. Mazhab Hanafi berpandangan yang umat Islam disunatkan solat Eid dan difardhukan solat Jumaat seperti biasa sekiranya raya jatuh pada hari Jumaat. Ini termaktub di dalam kitab al-Jami’ al-Saghir karangan Imam Muhammad, dengan hujjah antara lain ialah solat sunat tidak menggugurkan solat fardhu.

2. Mazhab Shafie berpandangan bagi penduduk kampung yang tidak cukup bilangan makmum solat Jumaat, maka solat sunat Eid adalah memadai bagi mereka, dan tidak perlulah keluar ke masjid di tempat lain untuk menunaikan solat Jumaat. Tunaikan solat zohor sahaja. Ini berdasarkan hadtih Uthman bin Affan seperti di atas. Pendapat ini termaktub di dalam kitab al-Majmum Imam al-Nawawi.

3. Mazhab Hanbali pula berpandangan solat Eid menyebabkan berlakunya rukhsah untuk tidak solat Jumaat, sebaliknya perlu solat Zohor sahaja. Ini termaktub di dalam kitab al-Mughni karangan Ibn Qudamah. Akan tetapi, Imam masjid perlu mendirikan solat Jumaat di masjid bagi membolehkan muslim yang memilih untuk solat Jumaat, melakukan ibadah tersebut.

KESIMPULAN

Berdasarkan hadith dan juga pandangan ulamak seperti di atas, saya lebih cenderung untuk menyatakan, Allahua’lam:

1. Adalah lebih selamat untuk menunaikan solat Jumaat, kerana keluar dari khilaf adalah lebih utama.

2. Akan tetapi sekiranya ada halangan, seperti lokasi masjid tempat himpunan Jumaat jauh, atau waktu siang yang pendek, maka memadailah solat Eid sahaja, dan dituruti dengan solat Zohor. Ini rukhsah yang dibenarkan.

3. Bagi yang tidak menunaikan solat sunat Eid, maka tiada baginya rukhsah untuk tidak menunaikan solat Jumaat.

4. Imam wajib mendirikan solat Jumaat bagi meraikan pandangan dan pilihan makmum lain.

5. Walaupun ramai ulamak moden seperti Syeikh Atiyyah Saqar dan Sayyid Sabiq mentarjihkan pandangan mazhab Hanbali dengan menyatakan tidak perlu untuk solat Jumaat, akan tetapi adalah kurang tepat jika dikatakan solat Eid itu menggugurkan hukum wajib solat Jumaat. Ianya hanyalah rukhsah yang dibenarkan atas sebab tertentu.

Allahua’lam.


2) Sumber: Artikel dari blog http://solat.wordpress.com/

Hukum Solat Hari Raya

Berkata Ibn Taimiyah rahimahullah: Solat Hari Raya hukumnya fardu ‘ain bagi setiap individu sebagaimana ucapan Abu Hanifah (Lihat: Hasyiyah Ibnu Abidin. 2/166) dan selain beliau. Ia juga pendapat Imam Syafie dan salah satu dari pendapat mazhab Ahmad. (Lihat: Majmu Fatawa. 23/161) Pendapat yang menyatakan fardu kifayah tidak berasas. (Lihat: Majmu Fatawa. 23/161)

Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak pernah meninggalkannya walaupun sekali. Baginda memerintahkan semua manusia mengerjakannya, sehingga para wanita yang merdeka, para gadis pingitan dan wanita haid dianjurkan ke musalla.
(Lihat: Al-Mau’idah al-Hasanah 42-43. Siddiq Hasan Khan Sailul Jarar. 1/315. Syaukani)

“Ummi Atiyah berkata: Rasulullah memerintahkan kami mengeluarkan para wanita merdeka, yang haid dan gadis-gadis pingitan pada Hari Raya Aidil Fitri dan Adha. (dilafaz lain) Keluar ke mussala (tanah lapang). Mereka menyaksikan kebaikan dan dakwah kaum muslimin. Aku berkata: Wahai Rasulullah, salah seorang dari kami tidak mempunyai jilbab? Baginda berkata: (suruh) agar saudaranya meminjamkan jilbabnya!
(H/R Bukhari 324, 351, 971, 974, 980, 981 dan 1652.
Muslim. 980. Ahmad. 5/84-85. An-Nasaii. 3/180. Ibnu Majah. 1307 dan at-Tarmizi 539)

Perintah dalam hadis ini menunjukkan perintah yang wajib, kerana diwajibkan ke musalla bermaksud diwajibkan bersolat Hari Raya. Maka dengan demikian solat Hari Raya hukumnya wajib ‘ain, atau yang lebih rajih hukumnya adalah wajib dan bukan sekadar sunnah.
(Lihat: Tamamul Minnah. Hlm. 344. Nasruddin al-Albani)

Solat Hari Raya Menggantikan Solat Jumaat

Dalil yang menunjukkan wajibnya ialah solat Hari Raya dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat apabila Hari Raya jatuh pada Jumaat.


Nabi sallallahu ‘alihi wa-sallam bersabda:

“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari Raya. Sesiapa telah (Bersolat Hari Raya), dia telah menyempurnakan dari solat Jumaat dan sesungguhnya kita telah dikumpulkan”.
(H/R Abu Daud 1073. Ibnu Majah 1311. Al-Hakim 1/228. Al-Baihaqi 3/318. Ibnul Abdil Barr (dalam At-Tauhid) 10/272. Al-Khatib (dalam Tarikh Bahgdad) 3/129. Ibnul Qaiyyim (dalam al-Wahiyat). 1/473. Al-Faryabi (dalam Ahkamul Iedain) 150. Ibnul Jarud (dalam Al-Muntaqa) 302.
Hadis sahih banyak syahidnya (lihat: Sawathi’ al-Qamarain fi Takhrij Ahadis Ahkamail Iedain), Musaid bin Sulaiman bin Rasyid. Hlm. 211)

Sesuatu yang tidak wajib tidak menggugurkan sesuatu yang wajib. Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berterusan mengerjakan solat Hari Raya secara berjamaah sejak disyariatkan sehinggalah wafat.
(Lihat: Nailul Autar 3/382-383)

Baginda menggandingkan perintahnya kepada manusia dengan terus menerus ini agar mereka keluar ke tanah lapang (musalla) untuk solat Hari Raya.
(Lihat: (1). Nailul Autar. 3/282-283. (2). Majmu fatawa. 24/212. dan 23/161. (3). Ar-Raudah an-Nadiyah 1/142. (4). Tamamul Minnah, hlm. 344)

Seterusnya, pandangan akan wajibnya solat Aidil Fitri ini diperkuatkan lagi dengan hakikat bahawa solat Aidil Fitri ini dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat jika keduanya terjadi pada hari yang sama (Hari raya jatuh pada hari Jumaat). Hanya sesuatu yang wajib dapat mengugurkan kewajipan yang lain.
– Inilah pendapat Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah di dalam Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, (edisi terjemahan oleh Afifuddin Said, Maktabah Salafy Press, Gajah Mada 2002) jilid 2, ms. 103.

Dalil yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat gugur sekiranya ianya serentak dengan hari Aidil Fitri adalah:

Dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: “Aku pernah menyaksikan Mu’awiyah bin Abi Sufyan yang sedang bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya: “Apakah engkau menyaksikan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menghadiri dua Hari Raya (hari `Ied dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari?” Dia menjawab: “Ya.” Mu’awiyah bertanya: “Lalu apa yang baginda kerjakan?” Dia menjawab: “Baginda mengerjakan solat Aidil Fitri, kemudian baginda memberikan keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda: “Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia solat.”
(Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Daud, Kitab al-Sholah, hadis no: 904)

Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu’ Fatawa (jilid 23, ms. 161) berkata:… oleh kerana itu, kami mentarjih (menguatkan) bahawa solat Aidil Fitri itu wajib bagi setiap individu muslim, sebagaimana pendapat Abu Hanifah dan lain-lainnya. Dan ini merupakan salah satu pendapat al-Syafi’i, dan ia merupakan salah satu dari dua pendapat di dalam mazhab Ahmad.

3) Konklusi:

Ikhtilaf (kepelbagaian) pendapat dalam kalangan ulama' ini perlu kita raikan. Bak kata bijak pandai, kalau kita masih tidak meraikan perbezaan fiqh ini, maknanya kita masih belum mampu untuk mencium bau fiqh itu sendiri. Berpeganglah pada apa yang anda rasa serasi, tetapi selidik dan kajilah dahulu. Jangan ikut sesiapa sebab kita akan dihitung berdasarkan amal kita sendiri. Wa Allah hu Alam.

Sesungguhnya ibadahku, solatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah.

1 comment:

Unknown said...

salam...zaman sekarang banyak masjid dibina bukan atas dasar taqwa..berbeza dgn zaman nabi saw,masjid dibina atas dasar taqwa,walaupun berbumbung pelepah tamar dan berlantaikan tanah,namun masjid di zaman nabi hidup 24 jam,,sehinggakan orang kafir/yahudi/munafik pun terkesan dengan amalan masjid di zaman nabi....sekarang banyak berbeza dek kerana pukulan akhir zaman...

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...