Thursday, 27 May 2010

Aimata Ibu

Niat hati buka blog, untuk post perkara lain. Tapi dok leka blogwalking, jumpa link yang terBABOW di Facebook.

IBU TINGGAL – Coretan untuk hari ibu

Tuesday, 27 April 2010 at 04:23

Hari ni saya keluar lagi dari topik fotografi, motivasi ataupun sesuatu yang biasa saya pernah lakukan. Tahun ini akan masuk tahun yang ke-3 saya meraikan hari ibu tanpa ibu kandung sendiri yang telah pergi bertemu Ilahi pada tahun 2007.

Cerita ini berlaku di Hulu Langat Selangor. Semasa dalam salah satu siri PhotoCamp yang saya adakan, memang menjadi rutin seorang Prinsipal Kem itu untuk melawat tapak latihan fotografi untuk setiap kumpulan kecil yang telah dipecah-pecahkan sebelumnya.

Setelah melawat beberapa kumpulan, tibalah kumpulan yang ke-4 dari 5 yang saya perlu lawati. Mereka memilih sebuah rumah tinggal sebagai lokasi penggambaran mereka mengikut tema yang telah diberikan ketika itu. Bersebelahan rumah itu ada sebuah pondok kecil yang saya fikirkan tidak ada penghuninya. Lalu saya berteduh bawah atap pondok itu. Tiba-tiba seorang perempuan tua berumur sekitar 80-an (dalam tekaan saya) menguak tingkap dengan senyuman. Teratur gigi putih yang saya pasti semuanya adalah gigi palsu memandangkan arwah emak juga pakai gigi palsu.

Selepas bertegur sapa, nenek yang minta saya panggilnya Wan ini pun duduk di atas sebuah pangkin papan. Wan minta saya panggilnya Wan (nenek) kerana umur saya lebih kurang macam umur cucu-cucu dia. Lalu kami mulakan perbualan singkat selama 5 minit itu;

SN : Wan dah lama ke kat sini?

WAN : Dah 60 tahun, sejak kahwin dulu. Tapi dulu Wan duduk rumah nuunnn (memuncungkan mulut mengarah ke rumah tempat peserta PhotoCamp saya membuat latihan)

SN : Ohhh tu rumah Wan ke? Saya minta maaf sangat pasal budak-budak tu ingat rumah tu tak ada orang.

WAN : Tak apa lah. Bukan ada apa pun dalam tu. Wan pun tak larat dah nak mengemas rumah tu.

SN : Suami Wan kat mana?

WAN : Suami Wan meninggal semasa Wan mengandungkan anak Wan yg terakhir (ke-6).

SN : Minta maaf Wan…

WAN : Tak apa lah….semua orang akan mati. Wan pun kadang-kadang berdoa supaya umur Wan tak panjang sangat. Dah 80 tahun hidup dah terasa penat dengan kehidupan.

SN : Anak-anak wan tak bawak Wan duduk dgn mereka ke?

Wan : (senyap….dan melemparkan pandangan jauh ke luar)

SN : …………

Wan : (Tiba-tiba Wan tersenyum bangga dan tanpa disuruh mula bercerita) Anak Wan yang no. 1 tu doktor pakar kat KL. Selalu masuk surat khabar. Yang no.2 pulak dah jadi pilot katanya dulu. No.3 dan 4 perempuan yang sorang tu kahwin Mat Saleh dan yang 1 lagi tu selalu juga masuk suratkhabar. Dia dah jadi ahli perniagaan yang hebat. No.5 dah meninggal masa kecil lagi. Mati lemas kat sungai. Yang last tu tak tahu jadi apa. Tak ada berita lama sangat…surat khabar pun tak masuk. (Wan menceritakan panjang lebar tentang kejayaan anak-anaknya dengan perasaan bangga seorang ibu)

SN : Bagus lah Wan, boleh jadi tokoh ibu mithali patutnya.

Wan : (Senyap)

Dari kedut mata Wan tu saya lihat menyimpan terlalu banyak kenangan dan memendam terlampau banyak perasaan…mungkin rindu atau terkilan. Saya lihat beliau sebagai seorang legenda. Tak ramai bapa yang boleh membesarkan anak sendirian, tetapi ramai ibu-ibu yang mampu bersendirian membesarkan anak-anak. Hati saya jadi sayu mengenangkan ibu saya yang telah pergi…

SN : Anak-anak wan berjaya betul kan? Cuma yang no.6 tu sahaja ke yang tak ada khabar berita sampai sekarang?

Wan : (senyap….) ….semuanya pun sama.

SN: (Tersentak) Sama macammana?

Wan : …….semuanya tak datang balik lepas dah keluar. Malu kot ada emak yang kolot dan kotor macam ni (mata Wan mula bergenang).

SN : Maaf Wan….jadi, siapa yang sara Wan sekarang?

WAN : Anak yang no.2 tu ada lah kadang-kadang balik adalah sikit duit. Yang lebihnya orang-orang kampung yang bagi. Wan pun tak larat nak kait kelapa, ada orang datang kait kelapa belakang rumah ni dapatlah sikit-sikit duit makan.

SN : Yang lain?

WAN : Tak tahu….

SN : Habis tu mana Wan tahu pasal anak-anak Wan yang wan cerita tadi?

WAN : Dalam surat khabar ada

SN : Wan pandai baca?

WAN : Tak…

SN : Macammana wan tahu baca suratkhabar?

WAN : Orang kampung kalau ada berita anak Wan diorang datang hantar suratkhabar kat Wan. Wan suruh dia bacakan sekali.

SN : (sebak)…

Saya lihat jam pada masa itu dan nampaknya terpaksalah saya berlalu untuk memantau latihan peserta photocamp anjuran saya. Itulah perbualan 5 minit yang paling sebak dalam hidup saya. Sukar untuk saya percaya kerana masih ada DRAMA hidup yang sekejam itu.

Selepas memberikan beberapa helai nota bank, saya berlalu dan pergi ke rumah Wan yang kini kosong dan dijadikan tempat latihan untuk peserta saya. Sempat saya menoleh sekejap dan saya lihat Wan sedang tadah tangan berdoa.

Di dalam rumah lama Wan, saya memantau latihan peserta PhotoCamp. Tiba-tiba saya jadi bertambah sebak apabila terjumpa sebuah bilik kecil yang penuh dengan tampalan keratan akhbar dari tahun 70-an hingga yang terkini pun sekitar tahun 90-an yang sudah kuning dimakan masa. Ada sebahagian yang sempat dibingkaikan. Hati saya tersentuh dan tiba-tiba terasa, mengapalah kejam sangat anak-anak memperlakukan seorang ibu seperti itu sekali yang dibiarkan kesunyian di penghujung hidupnya. Besar sangatkah dosa dan salah ibunya itu sehingga anak-anak sanggup menyisihkan si ibu begitu rupa.

Beberapa bulan selepas itu pada Ramadhan 2008, saya mengisahkan semula cerita ibu tua ini yang telah digarap semula secara tidak professional oleh saya sebagai seorang yang bukan professional dalam bidang pengarahan produksi video telah membuatkan sebuah filem pendek bertajuk “Surat Seorang Ibu” sebagai cenderahati kepada Rumah Pengasih Warga Prihatin. Kerana ada sebahagian yang menonton filem pendek itu yang tidak menitiskan air mata bukan kerana tidak bersedih….tetapi kerana…mereka tidak pernah merasai kehadiran seorang ibu. Tidak seperti 6 orang anak nenek tua itu.

video

Saya tidak pasti di manakah Wan sekarang ini. Pada awal 2009 semasa membuat scouting untuk lokasi fotografi saya sempat singgah. Tetapi pada masa itu….rumah berkunci dari luar, semak semakin tinggi dan salam saya tidak bersambut.

Kepada yang masih ada ibu. Sejahat mana pun mereka, mereka telah langsaikan kerja mereka setelah melahirkan anda. Tiada dosa ibu yang paling besar sehingga Allah boleh halalkan anak-anak untuk menyisihkan seorang ibu.

Berilah salam pada mereka…selagi salam anda masih bisa bersambut.

SAIFUL NANG

MPA (UK), WPPI (USA), WPJA, B.SC Media (MMU)

CEO / Principal Photographer

Colours of Asia Sdn Bhd

CandidSyndrome International


Tak Lama Lagi Dah..

" 'Orang' balik 17 haribulan depan, Abah.." saya mengingatkan Abah semula yang akan mengajukan soalan yang sama setiap kali saya menelefon ke rumah. Faham je, banyak perkara yang difikirkan.. Siapalah saya sebagai seorang anak untuk terasa hati berlebih-lebihan andai Ma dan Abah tidak ucapkan selamat hari lahir malah terlupa hari-hari penting saya. Saya semakin berlapang dada untuk itu..

"Tak lama lagi dah.. Tak sabar nak tunggu Long balik.." sayup suara Abah kedengaran di hujung talian.

Saya membiarkan Abah terus bercerita tentang hal kerjanya, tentang masalahnya. Cuba memastikan, sedaya upaya, saya mendengar tanpa membuatkan dia sedar intonasi suara saya yang menjadi semakin sebak.

Oh, homesicknya!!!

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli

Nottingham

No comments:

Followers