Tuesday, 6 July 2010

DIA : A Flashback

3 hari 2 malam berkampung di Sungai Congkak, Hulu Langat cukup menginsafkan diri, betapa mewahnya program yang pernah saya ikuti sebelum ini. Risau pada mulanya memikirkan komen para peserta dalam borang muhasabah berkenaan tempat penginapan. Namun, hasil perbualan dengan para sahabat yang baru dikenali, mereka sudah biasa berprogram di tempat sebegini. MasyaAllah.. Nyata, ini menguatkan lagi kekaguman saya pada para daei dan aktivis tanah air yang berdepan cabaran ketidakselesaan dan masalah kewangan.

“Pernah akak ke program di negeri yang lain dengan hanya bekal saku berjumlah RM3.00. Risau juga kerana tangki minyak motor tu perlu diisi sebab berjalan jauh. Namun, akak tawakal. SubhanaAllah, pergi dan balik, sikit pun RM3.00 tak digunakan. Malah, tangki minyak sikit pun tak luak.. " cerita seorang aktivis GAMIS yang saya temui beberapa kali tahun lepas.

Rise of The Fallen

Apa yang saya boleh konklusikan tentang DIA (Dakwah Is Amazing) adalah DIA membawa misi mahu membina kembali semangat pemuda untuk bangkit mempertahankan Islam. Benar, itu penyakit umat Islam sekarang. Bijaknya musuh Islam, mereka menyerang ‘jantung’ umat Islam ini agar hanyut dengan hedonisme (hiburan) dan gejala sosial yang melampau. Hingga golongan pemuda ini lupa dengan peranan mereka menegakkan kembali Islam, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Sultan Muhamad Al-Fateh, Tariq bin Ziyad, Salahuddin al-Ayubi dan ramai lagi pemuda pejuang agama Allah yang tidak gentar menjulang panji Islam.

Kini pemuda kita lesu. Air mata mengalir bukan kerana sedih tidak bisa berbuat apa-apa bila tubuh kecil bayi di Palestin ditebuk dengan peluru. Namun, air mata pemuda kini menitis kerana ditinggalkan kekasih, kerana peserta realiti TV kegemaran disingkirkan, kerana keinginan memiliki harta dunia tidak dipenuhi. Jiwa membara pemuda kita kini dipenuhi perkara yang membakar jasadnya. Yang memenuhi populasi umat Islam kini, bukanlah pemuda harapan bangsa, tonggak tiang agama, namun hanya debu. Yang mencemarkan alam di tempat ia singgah.

25 Jun 2010
Taaruf dan Anjakan Paradigma


DIA dimulakan dengan LDK (latihan dalam kumpulan) taaruf dan permainan Mafia. Kumpulan saya, the No. 1 rata-ratanya terdiri daripada pelajar UIA dari Gombak dan Kuantan, kecuali Fatin dari Galway. Hebat promosi Kelab Ma’ruf ni. Mujur diterangkan awal-awal, umur saya 21 tahun, lantaran mereka ingatkan mahu panggil saya ‘Kak’.. ‘Muka matang,’ kata mereka.

Permainan mafia bertujuan mahu mendedahkan kepada para peserta, tiga pilihan yang mereka ada di atas dunia. Menjadi polis, penjenayah atau orang awam. Polis jika kita mahu menjalankan amar makruf nahi mungkar dan menyelamatkan orang awam dari dibunuh penjenayah. Penjenayah jika kita mahu berbuat perkara yang dilarang Allah atau menjadi orang awam yang menyelamatkan diri masing-masing, namun lama-kelamaan bakal terbunuh juga andai penjenayah tidak dapat ditangkap.

Sedikit pun Allah tidak memberitahu apa yang berlaku ke atas golongan yang hanya memeluk tubuh, menjaga iman sendiri tanpa menyeru pada kebaikan dan mencegah orang lain dari kemungkaran.

Dan ingatlah ketika suatu umat di antara mereka berkata, “Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?” Mereka menjawab, “Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada TuhanMu dan agar mereka bertaqwa.”

Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang orang berbuat jahat dan Kami timpakan pada orang-orang yang zalim seksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik. (Surah Al-A’raf: 164-165)

Rise!

Slot ceramah dirasmikan oleh Imran Koyube dengan pengisian bercorak motivasi. Bekerja rapat dengan ESQ Training, nyata Im bijak menyentuh hati para pendengar dengan pelbagai nas Al-Quran, kata-kata cendekiawan, mahupun video menarik.

Cerita Im sewaktu beliau bertanya pada Ustaz Hasrizal, “Mengapa kebanyakan kita semangat buat kerja dakwah sewaktu di universiti, namun selepas tamat belajar,senyap?” UHAJ menjawab, “kerana mereka tidak passion (kesungguhan).”

Jika mahukan sesuatu, kita perlu bersungguh-sungguh melaksanakannya. Bermujahadah untuk mencapai misi menyampaikan keindahan Islam, dalam erti kata lain, berdakwah.
Kita diciptakan ke dunia atas dua tujuan, menjadi hamba padaNya dan menjadi khalifah di atas muka bumi. Setiap dari kita adalah pemimpin tanpa nama, tanpa jawatan. Paling tidak, memimpin diri sendiri. “Leadership develops daily, not in a day.”

Seorang pemimpin itu bukan bererti dia yang perlu melaksanakan semua kerja, sebaliknya perlu memberi kepercayaan pada orang lain untuk membantu pemimpin itu melaksanakan tugasnya. “Only secure leaders give power to others.”

Jadikan setiap kejayaan yang kita kecapi sebagai momentum untuk kita terus ke depan, mencipta kejayaan yang lebih besar. Seperti Pixar yang menghasilkan filem animasi Toys (apa ntah,lupa nama :P). ‘Ciptaan’ pertama itu memandu mereka menghasilkan pelbagai filem lain yang hebat-hebat.

Dalam memandu ke arah kejayaan, si pemandu perlukan ‘co-driver’ untuk memberi sokongan. Tiada manusia boleh berdepan cabaran sendirian tanpa rasa putus asa menariknya agar terus ke belakang. Percayalah pada impian yang kita mahu capai. Percayalah pada janji Rasulullah yang akan tertegak kembali sistem khilafah di atas manhaj kenabian.

Daripada an-Nu'man bin Basyir, beliau berkata, suatu hari kami duduk-duduk di masjid Rasulullah S.A.W. Basyir (bin Saad) adalah seorang yang tidak banyak bercakap. Lalu datang Abu Tsa'labah dan beliau berkata, wahai Basyir bin Saad, apakah kamu menghafal Hadith Rasulullah S.A.W tentang kepimpinan (al-Umara')? Lalu Hudzaifah berkata, aku menghafal khutbah Baginda S.A.W. Lantas Abu Tsa'labah al-Khashniyy duduk dan Huzaifah berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

"Kenabian akan berada bersamamu selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian akan tiba pula zaman Khalifah di atas Manhaj Kenabian selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian datang pula zaman raja yang menggigit (Malikun 'Aadhon) selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Selepas itu muncul pula zaman raja yang diktator (Malikun Jabriyyah) selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian akan hadir pula zaman Khilafah di atas manhaj Kenabian.." (HR.Ahmad dari Nu’man bin Basyir, Musnad Ahmad:IV/273, Al-Baihaqi, Misykatul Mashobih hal 461. Lafadz Ahmad).


26 Jun 2010
Tahajud Cinta


Pagi saya dikejutkan dengan keriuhan adik-adik bersekolah rendah yang turut menjalani program motivasi di kem yang sama. Pukul berapalah agaknya mereka ini bangun. Sebab pukul 5 pagi, suara sudah hilang seraknya dan zikir sentiasa dialunkan sepanjang waktu. Sedangkan waktu kami lelapkan mata pukul 1 pagi, mereka masih lagi ada pengisian. MasyaAllah, kecil-kecil sudah mengenal tahajud.

Meskipun tidak seawal adik-adik kecil bangun, kami menikmati munajat cinta kami secara berjemaah. Tahajud, solat yang amat sukar digambarkan dengan kata-kata nikmatnya bila dilaksanakan. Rasa rindu pasti timbul andai tahajud ditinggalkan. Tahajud, lambang keutuhan pejuang agama Allah.

The Fallen

Telah saya ingatkan kepada ahli kumpulan saya, bakal pemberi ceramah selepas ini bukan calang-calang orang. Mas Afzal mengetengahkan sirah dan sejarah Islam. Sejarah yang pernah sahaja kita dengar suatu ketika dahulu. Namun, semua orang tahu, waktu itu kita belajar hanya untuk peperiksaan. Habis sahaja kertas Pendidikan Islam dipungut penjaga dewan, ilmu yang seharusnya menimbulkan rasa izzah (mulia) kita sebagai muslim berterbangan keluar dari minda.

Kata Imam Abu Al-Qasim Al-Junaid:“Sejarah merupakan salah satu tentera Allah yang akan menguatkan hati…”

Kisah Nabi Nuh, rasul pertama dan kegigihan baginda menyeru umatnya kembali kepada Islam yang benar selama 950 tahun, hinggalah kebangkitan gerakan Islam yang muncul selepas kejatuhan Turki Uthmaniyah. Segalanya diceritakan secara terperinci oleh Mas Afzal. Pengisian agak berat, namun lebih berat kewajiban yang tergalas di atas bahu kita sekarang, untuk mereka yang mengerti.

Eksplorasi Dakwah

“Ha? Biar betul, kena berdakwah pada orang yang datang berkelah?!” air muka peserta terus berubah bila mendengar mereka perlu mendekati pengunjung Sungai Congkak. Mulanya, mereka merasai sendiri apa itu baiah (perjanjian taat setia) dan betapa pentingnya baiah dipatuhi.

“ Anggaplah kita berkongsi pengetahuan kita tentang Islam. Kalau mindset kita masih kata itu sukar, kita jadikan ia slot memberi motivasi. Motivasi itu pun cabang Islam kan..” kata saya cuba menyakinkan mereka.

Baru 5 minit dilepaskan, kami para fasilitator terpana. Hampir setiap keluarga yang datang berkelah ada peserta DIA yang duduk bersama mereka. Rancak berbual. Siap ada yang dapat rasa jamuan percuma.

“Alhamdulillah, kita ingatkan susah mereka nak dekati orang yang datang berkelah, rupanya mereka dapat laksanakan tugas dengan mudah,” bisik kami sesama sendiri.

Selepas sejam berdakwah (atau didakwahkan oleh pengunjung yang lebih ‘arif’ :P), peserta kemudian melalui pengembaraan meredah hutan belantara dengan cabaran-cabaran menanti. Selepas melalui cabaran terakhir, para peserta kemudian mengambil wudhuk dengan sebotol air 500ml untuk setiap kumpulan. Kemudian, laungan azan dilaungkan di tengah hutan menandakan mereka akan solat Zohor di situ. MasyaAllah, tiada sedikit pun omelan saya dengar dari para peserta.

Sambil berjalan kembali ke kem, kayu kering dipungut untuk unggun api malam ini. Pulang ke kem, masing-masing keletihan. 1 jam setengah rehat. Namun, saya dengar, ada peserta tidak melepaskan peluang mandi sungai. Ish.. Ish.. Ish..

LDK The Fallen

Permainan lagi! Bukan sekadar bermain, namun ada pengajaran dan input yang besar harapan dapat diserap ke dalam minda peserta. Paling tidak, kita dapat tahu apa sikap yang tidak seharusnya ada dalam diri kita. Sikap yang hari-hari kita jumpa, namun sejauh mana kita perangi sikap seperti berprasangka buruk, marah dan ego.

LDK Transformers

Kalau satu pancaindera ‘dihilangkan’, itu biasa. Namun, bagaimana jika anda hanya boleh memilih salah satu sahaja, mahu terus mendengar, atau bercakap, atau melihat atau mempunyai tangan ? Pilih satu dan pancaindera yang lain akan ‘dihilangkan’ sementara waktu. Kalau yang boleh bercakap, dia sebenarnya bisu, kudung dan pekak. Bukan kena duduk diam, sebaliknya mewakili kumpulan sebagai duta untuk bertukar maklumat rahsia.

Susah dan lucu. Macam-macam kerenah. Ada yang melakar kod dengan kaki, ada yang ‘mengukir’ badan kawan dengan kod. Kekurangan itu bukan penghalang untuk semua kumpulan beroleh jawapan. Bila kita memikirkan tentang kekurangan dan kecacatan yang kita ada, kita takkan ke mana. Apa yang perlu diambil manfaat adalah kelebihan yang kita ada. Apa pun, perancangan yang berstrategi itu perlu sebelum kita mengorak langkah.

Transformers

Mahu terus menjadi golongan yang jatuh atau bangkit menuntut pembelaan? Mahu bangkit tapi tidak tahu cara? Mahu bersama membina kembali khilafah Islamiyah? Bagaimana? Dengan memahami maratib amal dengan pembentukan individu muslim, namun dalam masa yang sama, berusaha ke arah pembentukan keluarga muslim, masyarakat muslim, negara Islam, kerajaan Islam, empayar Islam seterusnya ustazyatul alam.

Mas Afzal memanjangkan saranan Imam Hassan al-Banna untuk membentuk individu Muslim, iaitu melalui 10 muwafasat tarbiyah; aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, akhlak yang mapan,teratur dalam segala urusan, menjaga waktu, mampu berdikari, berpengetahuan luas, sihat tubuh badan, memberi manfaat pada orang lain dan mampu melawan hawa nafsu. Dalam masa yang sama, kukuhkan aqidah dan iman dengan mutaba’ah amal dengan menambahkan kualiti ibadah sunat dalam bentuk jadual yang teratur.

Camp Fire

Sesi berkongsi pengalaman sepanjang berdakwah pada pengunjung Sungai Congkak dan sedikit penceritaan cebisan pengalaman oleh orang ‘lama’.. Relaks dan memang sempoi. Tambah-tambah lagi ada orang yang rajin menyiram api yang membakar dengan minyak tanah. Aish..

27 Jun 2010
The Challenge


Cabaran adalah sunnatullah. Datangnya ujian adalah hikmah untuk membezakan orang yang benar dan orang yang berdusta. Juga sebagai satu bentuk pembersihan diri untuk seorang daie. Cabaran juga menjadi penapis agar hanya yang orang yang kukuh imannya terlibat dalam gerakan Islam.

‘Dan sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang berdusta.’ (Surah al-Ankabut: 3)

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Surah Al-Baqarah:155)

Cabaran ketakutan, kesempitan kewangan, masalah akademik, cabaran yang dihadapi dari keluarga mahupun pasangan hidup, persekitaran yang tidak sesuai, fitnah, ‘kelemasan’ dengan kerja dakwah, semua ini adalah cabaran biasa seorang daie. Dan ketahuilah bukan kita orang yang pertama melaluinya malah, ramai telah mengharunginya dengan jaya.

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya. (surah Al-Anfal, ayat 30)

Seperti yang disebut oleh Allahyarham Fathi Yakan, cabaran dalam dakwah datang dalam bentuk orang mukmin yang dengki padanya dan orang munafik yang menaburkan fitnah.

Bara yang Panas Membara

Pengisian DIA ditutup dengan kata motivasi dipetik dari ayat Al-Quran.

‘Sekiranya yang kamu serukan kepada mereka ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah, “ Jikalau kami sanggup, nescaya kami berangkat bersamamu.” Mereka membinasakan diri sendiri dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.’ (Surah at-taubah:42)

Mahukah kita terus menjadi ‘mereka’ seperti yang dimaksudkan dalam ayat di atas? Sentiasa mengira bila datangnya kejayaan sedangkan jalan ini amat jauh.. Mahukah bara dalam jiwa belia kita terus menyala, tanpa membakar segala jahiliyah? Mahukah panasnya bara itu hanya hangat seketika? Bangkitlah pemudaku!

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

1 comment:

alkausar said...

thumbs up!!!
lets wake up together!!
=)

Followers