Saturday, 7 August 2010

WOW: Flashback

“Pak cik, tahu di mana Nur Bukit Unggul?” risau jika tiada siapa tahu di mana tempat itu.

”Pak cik tahu..” ujar pak cik teksi meyakinkan kami. Caranya seperti sudah tahu kami hendak ke mana..

”Semalam pak cik hantar 3 orang ke sana. Kata mereka, mereka AJK, nak tengok tempat,” tanda tanya yang bermain dalam fikiran kami terungkai.

Sempat juga berbual dengan pak cik berkenaan pelajar luar negara yang tidak balik menyumbang di tanah air. Setibanya kami di kem itu, sudah ada 2 orang fasi menunggu.

”Kami ni yang terawal ke, awak?” tanya saya pada Budiman, AJK Pengangkutan. Para fasi diminta untuk datang sehari lebih awal daripada para peserta supaya pihak modul dapat memastikan kami telah larut dengan latihan dalam kumpulan (LDK) yang bakal dijalankan. Saya akui, kak Nadiah sangat menekankan peranan besar fasi untuk memastikan objektif WOW tercapai.

30 Julai 2010

Lebih kurang 100 orang peserta tiba dengan dua buah bas yang disewa khas pada pukul 12.30 petang. Faktor had kapasiti peserta yang dapat ditempatkan di kem ini menyebabkan ada peserta yang dimasukkan ke dalam ’senarai menunggu’. Kagum pendaftaran telah penuh lebih awal, lantaran semangat peserta yang teruja dengan promosi besar-besaran WOW.

”Silau mata saya tengok gambar profil biru kuning yang ada di mana-mana dalam facebook ni..” lucu status Cik Ratina, yang dulunya tempat kami, pelajar KPM mendapatkan duit biasiswa.

Pukul 4 petang, taklimat dan pembahagian kumpulan dijalankan. Semangat WOW dimulakan dengan sesi taaruf dengan cara bermain bingo.

Kuliah Maghrib: hadis niat (hadis 1) - Ustaz Abdul Rahim

Tazkirah dimulakan dengan mengupas kisah 3 orang sahabat yang sedang duduk di hadapan mimbar tempat Rasulullah berkhutbah. Orang pertama mengatakan dia memberi minum kepada jemaah haji. Orang kedua pula sentiasa mengimarahkan Masjid Nabawi manakala yang ketiga mengatakan dia hendak pergi berjihad.

Mereka kemudiannya saling bertengkar dalam menentukan siapa yang lebih baik. Datanglah Saidina Umar memarahi mereka, ”Janganlah kamu meninggikan suara lebih tinggi dari Rasulullah saw.”

Apakah orang-orang yang memberi minuman kepada orang-rang yang mengerjakan ibadah haji dan mengurus Masjidil Haram, kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum Muslim yang zalim. (surah At-Taubah: 19-21 )

Kita mahu dapatkan darjat tertinggi di sisi Allah. Oleh itu, apa yang perlu ditanamkan dalam minda dan diniatkan adalah, ”aku perlu menjadi pakar dalam bidang aku agar dapat mengisi kemenangan Islam”. Kejayaan sebenar adalah kita berjaya ’hidup’ dalam Islam, bukan semata-mata mendapat segulung ijazah dan pekerjaan yang baik.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin (gelaran kepada Saidina Umar) 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Niat membezakan adat dan ibadat. Contoh membaca basmalah untuk aktiviti harian.

Untuk menjadi muslim yang baik, apa kayu ukurnya? Muwafasat tarbiyah yang telah digariskan oleh Imam Hassan al-Banna membantu kita memuhasabah diri. Imam Hassan al-Banna dikategorikan sebagai mujadid (tokoh pembaharuan) kerana beliau telah rebranding teknik dalam Islam. Ketika saat akhir Imam Hassan al-Banna, telah ada ribuan orang menyertai gerakan tajdid ini.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengutus pada umat ini di setiap awal 100 tahun seorang (mujaddid) yang akan memperbaharui urusan agama mereka.” (Riwayat Abu Daud).

10 muwafasat tarbiyah itu adalah:

1) Aqidah yang sejahtera (salimul aqidah)- semakin belajar, semakin dekat dengan Allah.

2) Ibadah yang sahih (sahihul ibadah)

3) Akhlak yang mantap (matinul khuluk)- ”Orang beriman yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya”- hadis.

4) Mampu berdikari (qadirun )

5) Mampu melawan hawa nafsu (mujahidan nafs)

6) Memberi manfaat pada orang lain (nafi’an lighairihi)

7) Sihat tubuh badan (qawiyul jism)- ”Orang beriman yang sihat lebih disukai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah.”- hadis.

8) berpengetahuan luas (muthaqafah fikr)- ”Adakah sama orang yang tahu dengan orang yang tidak tahu? ” –firman Allah.

9) menjaga waktu- ”Dua nikmat yang sentiasa dilupakan oleh manusia adalah masa dan kesihatan.”- hadis.

10) bersistem dan tersusun (muaddhaman fi shururihin)

Ustaz menutup kuliah Maghrib dengan mengungkapkan firman Allah, ”janganlah kamu berputus asa dari rahmat dan redha Allah taala.”

Allah akan uji kita dengan kesenangan dan kesusahan. Kebiasaannya, kesusahan akan membawa kita lebih dekat pada Allah.

Ceramah: The Power of Intention - akh Wan Yusof Wan Jefferey

Setiap peserta diminta membalut sebatang pen dengan kertas A4 putih. Masing-masing begitu teliti membalut hadiah tersebut dengan cara yang terbaik. Setelah siap, peserta ditanya, apakah di dalam balutan itu dan siapakah di dalam balutan itu. Peserta tidak mengambil masa yang lama untuk meneka, itulah kita, bakal jenazah.

Pentingnya kita letakkan niat kita sejajar dengan keadaan kita yang bakal menjadi jenazah. Sebagaimana kita begitu teliti dan kemas dalam membalut hadiah, begitulah juga tubuh kaku kita akan dibungkus dengan helaian kain kapan. Jagalah amalan kita seteliti itu. Dan amalan itu mestilah disertai dengan niat yang menuju redha Allah.

31 Julai 2010

Kuliah Subuh: hadis hati (hadis 6)- Ustaz Ridhauddin Salleh

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyir r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya.

Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya.

Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati. (Hadis riwayat lmam Bukhari dan Muslim)

(Maaf tiada nota, sebab saya tak catat apa yang ustaz sampaikan dalam kuliah Subuh ni.. Tapi saya tak tidur tau! :P Tak silap, ianya lebih kepada nasihat dan muhasabah diri.)

Ceramah: Shift Your Paradigm- akh Yusof

Sekali lagi para peserta diminta membuat tugasan. Tugasan ringkas dengan menyenaraikan 5 makanan segera yang terlintas di fikiran, contohnya McD, KFC dan Burger King. Hasilnya, hanya 3 peserta yang tidak menyenaraikan sedikit pun 3 contoh makanan segera yang dipampangkan pada slide. Tugasan ini bagi menunjukkan suasana persekitaran merupakan salah satu faktor yang membentuk paradigma kita.

LDK: Kapsul Ajaib

Para peserta diminta membuat 3 permintaan iaitu dengan menukarkan gula-gula Coclairs yang diberikan menjadi hadiah terbaik untuk insan yang dirindui, sesuatu yang dapat membantu peserta mengubah dunia dan sesuatu yang diperlukan peserta untuk ubah dirinya. Sebelum permintaan itu boleh ditunaikan, para peserta perlu mengingati kebaikan yang telah dilakukan pada hari tersebut atau keburukan orang lain yang telah dimaafkan.

LDK ini bertujuan untuk menekankan kepada para peserta petua hidup bahagia. Iaitu 4 perkara, ingat kebaikan orang pada kita, ingat kesalahan kita pada orang lain, lupakan kesalahan orang pada kita dan lupakan kebaikan kita pada orang.

LDK:Pecha Kucha

Para peserta diminta mentafsirkan setiap slide yang ditayangkan. Siri tayangan yang pertama menunjukkan situasi yang sama dalam pemandangan yang lebih besar.

Siri tayangan kedua membandingkan tentang pengetahuan tentang perkara dunia dan akhirat, mana yang peserta lebih ambil tahu. Muhasabah semula pengetahuan kita tentang Islam.

Explorace: The Maze of Anticipation

Sebelum itu, video ditayangkan untuk membangkitkan semangat para peserta berkenaan misi Viva Palestin yang mahu dicapai dalam explorace ini.

Kuliah Maghrib: hadis iman dhaif (hadis 34)- Ustaz Ridhauddin Salleh

Dari Abu Sa’id al-Khudri ra berkata,”aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa di antara kalian melihat suatu kemungkaran, hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lisannya, jika ia masih tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.” (HR Muslim)

Muhasabah, untuk memilih suami atau isteri, kita mahukan yang terbaik kerana kita percaya kita akan bersama dengannya hingga ke akhir hayat. Kenapa untuk iman, kita memilih iman yang paling lemah, bukan yang terbaik? Untuk menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, kita memilih untuk hanya mencegah dengan hati..

Adakah kerana kita tidak percaya pada jaminan syurga? Tidak percaya pada kata-kata Rasulullah saw? Sedangkan kita mahu hidup dengan Islam hingga infiniti?

Orang-orang Arab Badwi berkata, ”kami telah beriman.” Katakanlah kepada mereka,” kamu belum beriman, tetapi katakanlah ” Kami telah tunduk (Islam)”, kerana iman belum masuk ke dalam hatimu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan rasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun pahala amalmu. Sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (surah al-Hujurat:14)

Definisi iman mengikut apa yang kita pelajari, percaya dalam hati, beramal dengan perbuatan dan dituturkan melalui lisan. Tapi sejauh mana definisi itu meresap masuk ke dalam hati?

Iman itu adalah apabila kita cinta pada sesuatu, kita akan suka melakukan apa sahaja yang berkaitan dengan cinta itu. Pasangan kekasih yang sedang asyik bercinta pasti akan membenarkan segala perbuatan kekasihnya.

Seseorang itu di hari akhirat akan bersama dengan orang yang paling dicintainya- hadis. Soalnya di sini, sejauh mana cinta kita pada Rasulullah saw? Sejauh mana kita percaya pada apa yang dibawa dan diperkatakannya?

Ceramah: Cabaran dan Realiti Mahasiswa Luar Negara- Akh Fawwaz

Sememangnya tepat ceramah ini dibawakan oleh tokoh pelajar pintar yang mendapat 1st class dalam pembelajarannya di University of Manchester, dalam masa yang sama, terlibat aktif dalam persatuan.

Akh Fawwaz mengatakan pelajar yang belajar di luar negara akan termasuk ke dalam salah satu golongan: menjadi lebih baik, lebih teruk atau menjadi status-quo.

Tips belajar:

1)Perlu buat jadual waktu jika tak tahu nak belajar apa pada waktu tertentu.

2) Hadiri kuliah. Pelajar di luar negara berada di dewan kuliah, pada puratanya 3 jam sehari. Masa yang lain dihabiskan ke mana? Sukan tidak menjadi tabiat dan banyak masa dihabiskan dengan tidur.

3) Process-based learning mengajar kita berdikari, supaya tidak bergantung pada ilmu yang disuap.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh The Star, faktor lahirnya graduan kurang berkualiti adalah kerana kurang latihan industri, lemah Bahasa Inggeris, lemah kemahiran menyelesaikan masalah, suka bertukar kerja (job-hopping) dan kurang keyakinan diri.

1 Ogos 2010

Kuliah Subuh: Hadis Ghuraba’(hadis 40)- Ustaz Ridhauddin Salleh

Islam datang dengan keadaan dagang dan akan kembali dalam keadaan dagang.

Rasulullah ketika menyeru kepada Islam, ”percayakah kamu jika aku katakan di belakang bukit ini ada musuh yang bakal menyerangmu?”

”Bala (kami sangat percaya)” jawab kaum Quraisy yang datang. Bukti mereka sangat percayakan pada Rasulullah atas keperibadiannya.

”Sembahlah Allah, dan jangan sembah berhala kamu.” seru Rasulullah.

”Tabban (celaka kamu)!”, mereka menolak apa yang dibawa oleh Rasulullah. Islam dipandang sepi dan pelik (ghariban).

Wa sa ya ’u du- > akan datang dalam masa terdekat.Tidak lama lagi, Islam akan dipandang pelik –selepas kejatuhan khalifah.

Adat tamadun: lahir, berkembang, mundur dan jatuh.

Jika dulu, orang yang bawa Islam tidak bermasalah, yang bermasalah untuk diterima adalah Islam. Tapi kini, yang bermasalah adalah muslim sedangkan orang boleh terima Islam.

Bila perkara yang pelik, menjadi biasa, adakah kita akan larut dengan perkara pelik itu? Contohnya, di luar negara, gambar bogel adalah perkara pelik yang biasa. Selama mana kita bertahan menundukkan pandangan.

Hari ini Islam dipandang sepi, hinggakan untuk menggelar pendakwah atau menjalankan dakwah, satu perkara taboo. Kita percaya Islam itu terbaik. Kenapa tidak kita bersungguh promosikan produk kita itu? Kalau kita ’geli’ dengan perkataan daei, apa kata kita tukar label kita itu sebagai agen promosi Islam. Allah sudah tawarkan jual beli terbaik, yang menghindarkan kita dari api neraka. Dengan syarat, kita menjadi promoter Islam, dan pahala akan kita perolehi walaupun setelah kita meninggal dunia. Apabila Islam disebarkan melalui mata rantai dakwah.

Sukakah kita bila berjaya tapi di tahap yang paling bawah. Katakan markah lulus adalah 40 ke atas, kita beroleh 40. Sedangkan tentunya kita mahukan markah yang lebih tinggi. Kenapa untuk masuk ke syurga, kita sekadar berpuas hati andai dapat tinggal di syurga Allah yang paling rendah? Kenapa tidak mahu bersama dengan Rasulullah yang berada di syurga Firdausi.

LDK: Saw 7: Make Your Choice

Para peserta diminta membuat pilihan berdasarkan situasi yang diberikan. Keputusan yang mempertahankan aqidah akan menerima hukuman yang lebih berat berbanding pilihan kemungkaran. Situasi adalah berkenaan riba dan judi, meninggalkan solat fardhu, ke majlis yang dihidangkan arak dan menyambut Hari Valentine.

Ceramah: When You Change What You Believe, You Change What You Do! – Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. (Surah ar-Ra’d :11)

Kunci perubahan terletak di tangan kita. Kita tidak boleh terlalu bergantung pada keadaan atau orang lain. Jangan jadi seperti kisah si bangau. Masing-masing saling menyalahkan. Mujurlah si ular mengaku yang katak itu makanannya.

Yang paling senang diubah adalah diri kita sendiri. Tidak yakin boleh berubah? Itu bukan satu pilihan kerana kita tidak boleh ubah diri kita menjadi orang lain. Salah satu faktor yang menimbulkan kata-kata negatif dalam diri kita yang kita ini tidak boleh adalah dari faktor persekitaran.

Hanzalah bin Ar Rabi' adalah seorang juru tulis Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam, ia berkisah : "Aku bertemu dengan Abu Bakar", Hanzalah berkata : "Wahai Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam, Hanzalah telah menjadi seorang munafik! Rasulullah bersabda : "Kenapa?", Hanzalah berkata : "Wahai Rasulullah, "Ketika berada disisimu, engkau mengingatkan tentang surga dan neraka seolah-olah kami melihatnya, lalu ketika kami keluar dari hadapanmu, kami disibukkan oleh istri, anak-anak dan mencari nafkah, sehingga kami menjadi lupa peringatanmu.

Rasulullah bersabda : "Demi yang jiwaku di tangan-Nya andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya, akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)". (HR Muslim)

LDK: Destination Guidance

Para peserta dibahagikan mengikut universiti dan bertemu dengan para fasilitator termasuk fasi jemputan. Hari tersebut merupakan WOW Open Day di mana para pelajar luar negara di UK-Eire boleh datang memeriahkan WOW dengan menjadi fasi jemputan.

Ceramah: Fiqh of Travellers- UHAJ

Hidup yang bermakna adalah hidup yang berperaturan. ”Alah, tak ikut peraturan jalan raya, bukannya dosa besar..” Ingat, lebih ramai yang mati kerana denggi (analogi dosa kecil-nyamuk) berbanding dibaham harimau (analogi dosa besar).

Dalam penentuan hukum, kita biasanya akan mengambil hukum yang telah digariskan. Penghasilan hukum (output) berdasarkan daripada input (yakni Al-Quran dan as-sunnah) dan proses (status hadis, am dan khas, tarjih dan nasakh mansukh).

”Apabila anjing menjilat bekas makananmu, maka samaklah.”

Itu adalah input. Proses mengatakan hadis ini adalah sahih dan para ulama membahaskan. Imam Syafiie memberi hujah, lidah anjing adalah anggotanya yang paling bersih kerana air liur anjing akan selalu dirembeskan lalu membuang segala kuman di lidahnya. Jika bekas yang terkena lidah itu pun perlu disamak, maka inikan pula jika terkena anggota badannya yang lain. Maka, mengikut Mazhab Syafiie, terkena anggota badan anjing, perlu disamak. Namun, jika mahu sesuaikan dengan suasana, teruklah jika di Eropah yang memang 1 dari 10 orang membela anjing. Mahu ambil hukum yang senang atau yang tepat?

Konsep Islam terhadap najasah (najis) dan thaharah (bersuci) adalah bersifat mencegah sebelum menyelesaikan, tidak menyiasat berlebih-lebihan dan menutup pintu was-was.

LDK: Practice Makes Perfect

Segala input berkenaan wudhuk dan solat yang diperolehi sebentar tadi terus dipraktikkan oleh para peserta. Para peserta dilatih mengambil wudhuk dengan secawan air dan solat Asar berjemaah di tempat letak kenderaan yang bersejadahkan rumput dan berbumbungkan langit.

LDK: Majlis Tahkim

Para peserta diminta merangka dasar perlembagaan sebuah negara yang baru sahaja merdeka. Mereka bertindak sebagai ahli dewan Parlimen yang berlainan fikrah politiknya. Di sini, kebijaksanaan para peserta berhujah dan berdebat diuji.

2 Ogos 2010

Tazkirah Subuh

Tazkirah berantai selama 2 minit seorang memberi latihan kepada peserta untuk bercakap tentang Islam. Alhamdulillah, hebat-hebat segala peringatan yang diberikan walaupun pada mulanya kedengaran ”ala, tak boleh la kak.. Tak reti..”

"Sesungguhnya syaitan itu bagaikan serigala bagi manusia seperti serigala bagi kambing, yang menjadikan kambing yang di dalam keadaan sendirian dan lalai sebagai mangsa, maka waspadalah kalian daripada bersendirian dan wajib bagi kalian untuk berjemaah dan pergi ke masjid." (Hadis riwayat Ahmad)

Peri pentingnya kita berada dalam kelompok orang yang mahu dan mampu untuk bawa Islam, agar kita tidak dibaham serigala kemungkaran yang sentiasa mengejar mencari mangsa.

Forum: Mahasiswa Muslim Super

Panelis forum dianggotai oleh kak Mahfuzah (Cardiff), kak Aidah (Manchester) dan Imran Koyube (Leicester). Setiap tokoh ini membentangkan tips-tips dan pengalaman menarik sepanjang penglibatan aktif mereka dalam bidang yang diceburi. Kak Mahfuzah merupakan pemenang Shine Award, suatu anugerah yang diberikan oleh UK untuk pelajar antarabangsa. Kak Aidah pula baru sahaja bergelar doktor manakala Im, semua da tahu da kot..

Penutup WOW

Tak sangka sudah 4 hari berkampung di sini. Segala penat, demam, sakit perut, kehilangan suara sang AJK dan fasi diganjari Allah dengan kefahaman jitu para peserta apa yang mereka perolehi dari WOW. Mereka sedar akan kepentingan menjadi promoter Islam. Mereka telah mengubah paradigma mereka dan paling penting, mereka telah mengorak langkah untuk merubah. Bagi kami, anda sememangnya peserta yang WOW!

Kami WOW! Kami boleh! Malaysia boleh! Takbir, Allahu akbar!

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli
Port Dickson.

5 comments:

en_me said...

salam ramadhan cik nur suhaila ittewww..

Anonymous said...

Amiable brief and this mail helped me alot in my college assignement. Thanks you seeking your information.

su_zul said...

En_me: Salam ramadhan juga:)

Anonymous: Assignment? Siapa ye ni?
It's alright. It's my pleasure. :)

Anonymous said...

apa yang saya cari, terima kasih

su_zul said...

Salam. jazakallahu khair!:)

Followers