Wednesday 24 November 2010

Hijrah ke Habsyah-Teknik Berdakwah

(dari buku Fiqh Sirah 1- Syeikh Ramadan al-Buti)

Kisah penghijrahan sahabat ke bumi Habsyah. Di sana, terdapat panduan yang mengajar antara jalan dakwah yang boleh kita ambil. Di Mekah, sahabat menerima tekanan dari segi ugutan pembunuhan serta sekatan ekonomi sehingga menyebabkan sahabat terpaksa memakan akar kayu.

Hijrah ke Habsyah umpama berundur sebentar, bukan meyerah kalah, tapi untuk mengatur strategi baru. Kadang-kala kita juga tidak mampu untuk meneruskan dakwah di tempat sendiri sehinggakan perlu ke tempat lain yang lebih baik. Ini akan memberi peluang kepada orang yang belajar di luar, dan kemudian pulang ke tempat sendiri untuk memberi khidmat kepada orang di kampung halaman.

Hijrah ke Habsyah, adalah hijrah pertama sebelum Thaif dan Madinah. Hijrah untuk menyelamatkan aqidah, dan keimanan sahabat yang tergugat oleh cabaran manusia.
Berkata Syeikh Muhamad Saie': penghijrahan sabahat baginda berlaku kerana baginda sendiri tidak mampu untuk memelihara mereka dari menerima ujian dari Allah, maka berkatalah baginda, "Jika kamu keluar ke bumi Habsyah, di situ ada seorang raja dan tiada seorang pun rakyat di bumi itu yang dizalimi oleh raja itu."

Antara sebab pemergian sahabat ke Habsyah, bukan ke tempat lain kerana:
1) kerana raja itu tidak menzalimi rakyatnya- adil itu amat penting di sisi Islam walaupun raja itu bukan Islam. Jika ada  2 pemerintah yang bukan Islam, satu adil, satu lagi tidak,kita digalakkan berada di bawah pemerintahan yang adil.  Jika pemerintah seorang adalah muslim, yang satu lagi tidak, menjadi perbahasan ulama', kita perlu berada di bawah mana (mengikut situasi semasa).

2) untuk menyelamatkan iman
Ramai sahabat Aus yang ke Habsyah (contoh: Rugayyah, Zubair b Awwam, Abdurrahman b Auf, Uthman dan isteri, Abu Huzaifah, Mus'ab) dan 80 lebih pemuda bersama mereka.
Apabila Quraisy tahu sahabat berhijrah ke Habsyah, Quraisy menghantar utusan Amru b Asr (pembuka Mesir- yang ketika itu belum Islam) untuk menghasut Raja Habsyah agar tidak menerima kedatangan orang Muslim Mekah.

Raja itu mengatakan,” aku mahu mendengar dulu dari pihak muslimin.”
>kita perlu dengar dahulu dari kedua-dua belah pihak. Keadilan kita dalam menghukum atau menilai sesuatu. Tidak meletakkan emosi, dan keassabiyahan sebagai pengukur.

Kadang-kadang,ahli yang sefikrah dengan kita sendiri buat silap, tapi kita memihak padanya,  akhirnya kita juga dapat 'ganjaran' dosa. Ada juga orang yang buat silap, kesalahannya dilabelkan berpunca dari organisasi yang disertainya. Sedangkan kita perlu faham, tak semua ahli dalam satu organisasi punya cukup tarbiyah. Sekali lagi, bukan kerana organisasi itu tidak memberi tarbiyah.

Kaedah fiqh: hukum sesuatu itu adalah furu' adalah cabang dari tasawur. Tahu apa berlaku  dan sebagainya, baru boleh menghukum.

Suatu hari, al-Qasim bin Muhammad pernah ditanya lalu ia menjawab, “Allahu a’lam.” Kemudian ia berkata, “Demi Allah, lebih bagus seseorang itu hidup jahil, setelah mengetahui hak-hak Allah atas dirinya, daripada mengatakan apa yang tidak ia ketahui,” (Shahih, HR ad-Darimi (1/48), Abu Khaitsamah dalam kitab al’llmu (90), al-Khathib al-Baghdadi dalam al-Faqiih wal Mutafaqaih (11/173), dan al-Fasawi dalam kitab al-Ma’rifab Taariikb (1/546-547)).

Bagaimana Rasulullah saw mendapat tahu berkenaan semua ini? Sedangkan pada waktu itu tiada surat khabar, atau media massa? Menujukkan apa yang baginda tahu, datangnya dari wahyu Allah.

Raja Najasyi bertanya kepada orang Muslimin Mekah,"apakah agama barumu sehingga menyebabkan kamu meninggalkan mereka dan mereka memisahkan kamu, sehingga kamu tidak masuk ke dalam agamaku?"

Jaafar b Abi Talib memberi penerangan,"wahai Raja Najasyi, kami dulu adalah kaum jahiliyah, meyembah berhala, memakan bangkai, melakukan zina, memutuskan silaturrahim di antara kami, kami menyakiti jiran-jiran yang ada dan orang-orang yang kuat dalam kalian kami, menindas (menzalimi) orang-orang lemah dalam kalangan kami. Kami melakukan semua ini, sehinggalah Allah mengutuskan rasul di kalangan kami sendiri (kami kenal dia dari kecil)- seorang yang amanah (menjaga barang kami), kesuciannya(jauh dari perkara mungkar). Kami kenal baginda tentang kemuliaannya sebagai seorang manusia biasa.

> Bila berdakwah, kita seeloknya berada di kampung kita sendiri. Orang kenal ibu bapa kita, orang tahu siapa kita, bagaimana kita membesar. Jika kita bukan berasal di situ, kita pastikan kita bertapak lebih lama di tempat itu.

Jaafar b Abi Talib berkata lagi, "baginda mengajak kami kepada bercakap benar, menyampaikan amanah, menyambungkan silaturrahim, melarang kami melakukan perkara keji. Lalu kami beriman kepadanya.”

>Teknik dakwah yang bagus: gunakan penerangan untuk menerangkan tentang Islam pada orang. Beritahu mereka perubahan sebelum kita larut dalam Islam, dan selepas kita memahami apa ertinya kita memeluk Islam kepada orang yang tak tahu apa2 kepada Islam.

Jaafar b Abi Talib menyambung, "lalu kami ikut apa yang diseru oleh nabi, untuk beriman kepada Allah. Maka kaum kami telah pun mengazab kami, memfitnah kami untuk mengembalikan kami semula agar menyembah berhala." (Jaafar menyebut berulang kali "kami mahu lari dari penyembahan berhala".)

>Teknik berdakwah: menggunakan cara promosi yang betul meskipun apa yang kita bawa sememangnya benar.  Raja Najasyi, seorang Nasrani (yang belum terpesong) yang anti menyembah berhala.

Jaafar berkata, "oleh itu, kami terpaksa keluar ke negara kamu yang berbahagia ini. Kami memilih kamu dan kami berharap agar tidak dizalimi di sisi kamu."

Raja Najasyi kemudian bertanya kepada Jaafar,"boleh kamu beritahu apa yang dibawa oleh baginda?" Maka perbacalah jaafar dari ayat permulaan Surah Maryam- kisah Maryam dan Nabi Isa. Raja itu menangis sehingga basah janggutnya. Lantaran, kisah itu sama seperti yang ada dalam kitab Injil dan diimani olehnya. Ini memudahkan Raja Najasyi menerima orang muslimin Mekah.

Raja Najasyi berkata," sesungguhnya agama ini dan agama yang dibawa dari Nabi Isa, keluar dari lampu suluhan (pelita) yang satu. Tiada beza antara aku dan kamu."

Raja Najasyi berkata kepada orang musyrikin,"kamu berdua baliklah.  Sesungguhnya aku tidak akan meyerahkan mereka kepada kamu, dan aku tidak akan menindas mereka."

Raja Najasyi mengambil tongkatnya lalu membuat garisan. Beliau berkata, "tidak banyak beza apa yang dibawa Islam dan Nabi Isa.”

Lalu Raja Najasyi pun memeluk Islam dan menjadi salah seorang dari golongan Habrah (orang-orang yang tidak sempat bertemu baginda saw tetapi telah memeluk islam). Sewaktu Raja Najasyi itu meninggal dunia, Rasulullah meminta sahabat melaksanakan solat jenazah ghaib untuk beliau.

Q&A

Soalan 1: Ketika berhijrah ke Habsyah, Rasulullah saw meminta perlindungan dari orang Nasrani (Kristian), agak bertentangan dengan ayat 120 surah al-Baqarah.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (Surah al-Baqarah :120)

Jawapan
Boleh untuk orang muslim untuk berada di bawah pemerintahan orang bukan muslim jika keadaan mendesak, dan negara itu dipegang seorang yang adil yang masih berpegang pada agama samawi yang sebenar. Jika mereka betul-betul berpegang kitab Injil, mereka tidak akan berlaku khianat.

Penghijrahan ke Habsyah berlaku kerana orang Muslim Mekah perlu memilih himayah (penjagaan) sama ada dalam jagaan orang Habsyah atau orang musyrik. Keyakinan bahawa Habsyah boleh memberi penjagaan kepada orang Islam memberi ruang kepada orang Islam untuk berada di bawah orang bukan muslim. Malah, Raja Najasyi selepas itu pun memeluk Islam.

Rasulullah saw memberi panduan untuk berhijrah ke Habsyah dengan beberapa syarat: raja itu tidak zalim (perlu ada maklumat tentang pihak itu dan yakin). Jika ada syak, kita tidak boleh mengambil mereka sebagai tempat perlindungan. Perlu ada pembacaan semasa.

Ayat 120 Surah al-Baqarah adalah berbentuk umum. Ulama’ berpegang, petanda bagi umum mesti ada pengecualian atau pengkhususan. Contohnya ayat yang mengatakan membunuh semua orang musyrikin.

"… bunuhlah orang-orang musyrikin itu di mana saja kamu jumpai mereka, ..." [Al-Qur'an 9:5]

Ayat ini bersifat umum dan mempunyai penerangan (pengkhususan) dalam ayat lain.

" Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian antarkanlah ia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui. " [Al-Qur'an 9:6]

Apabila membaca Al-Quran, ayat umum akan ada pengecualian. Rujuklah pada hadis untuk penerangan.

Soalan 2
Apakah kawasan Habsyah sekarang: adakah Ethopia sahaja atau Ethopia dan Eritrea?

Jawapan
Tempat di mana, tidak menjadi perbahasan ulama'. Ulama' mengetahui Habsyah di mana melalui kedudukan yang diterangkan dalam sirah. Boleh dapatkan lebih banyak maklumat dari Dr Syauqi Abu Khalil, seorang ulama’ Damascus yang banyak menulis buku sejarah Islam.

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam. 


Nur Suhaila Zulkifli 
Nottingham.

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...