Wednesday 3 November 2010

Kenapa Mesti Aku

"Long, hantar kuih ni. Kat kedai makcik depan tu," seorang ibu menjerit kepada anak perempuannya yang berusia sekitar 7 tahun. Pagi itu masih awal, sekitar jam 7 pagi. Si anak menarik muka masam, bangun kemalasan. Sedikit tidak puas hati kerana persiapannya ke sekolah terpaksa dilakukan secara tergesa-gesa.

Hati tidak ikhlas itu nak tak nak terpaksa dibiarkan. Beberapa bekas penuh berisi kuih diletakkan di atas tempat pembonceng. Biasanya 2 bekas ditindan sekali. Satu lagi bekas diletakkan di dalam raga. Tali dililit agar bekas itu tidak jatuh sewaktu basikal dikayuh. Jalan sepi dilewati.

Tiba di gerai itu. Muka masih lagi masam mencuka. Rasa tidak puas hati masih ada. Tali dirungkaikan. Tidak semena-mena, satu bekas terjatuh ke atas tanah. Kuih berhamburan ke tanah. Terus terasa kecut perut mengenangkan Abah yang pasti akan marah. Si anak itu terasa sangat ingin menangis. Hatinya terus-terusan menyalahkan ibunya kerana meminta dia yang membawakan kuih itu. "Kenapa mesti aku?"

***
"Adik memang rabun jauh. Power kalau nak buat kaca mata da agak tinggi ni," ujar seorang penjual kaca mata kepada seorang kanak-kanak berusia 10 tahun. Namun, kanak-kanak itu pulang tanpa membeli kaca mata satu pun.

Tahun depannya, dia masih lagi belum punya kaca mata. Adiknya mengalami masalah alergik pada mata. Doktor meminta agar segera dibelikan kaca mata agar dapat mengurangkan masalah penglihatan adiknya. Kaca mata untuk si adik dibelikan.

Dua tahun berikutnya, dia masih lagi belum punya kaca mata. Bapanya pula mengalami masalah penglihatan yang sangat serius. Sebelah matanya mengalami power mencecah 1000. Bapanya memerlukan kaca mata agar dia boleh bekerja mencari nafkah untuk keluarganya. Kaca mata untuk si bapa dibelikan.

Kanak-kanak yang masih tidak punya kaca mata itu memberontak akhirnya. Pemberontakan diluahkan kepada ibu bapanya dalam keadaan marah. Marah kerana dia yang perlu beralah. Marah kerana tidak faham kenapa dia yang perlu berkorban. Di dalam hatinya, dia bertanya, "kenapa mesti aku?"

***
Rasa bagaikan mahu berlari anak ke program tersebut. Takut menyusahkan orang yang menunggu. Dia sudah berjanji mahu membantu menguruskan program itu. Sedangkan sebenarnya dia baru selesai menyiapkan satu tugasan yang lain. Tiada rehat pada hari ini, begitu juga pada hari sebelumnya.

Pulang ke asrama, ditinjau teman sebilik dan searas. Ada yang berborak, ada yang menonton filem, ada yang mendengar lagu. Badan dihempaskan di atas katil, kepenatan. Mahu tidur tapi tidak boleh. Ada mesyuarat pula malam ini. "Allah, penatnya."

Sesekali hati berbisik, cemburu melihatkan teman punya masa lapang yang sangat banyak. Sesekali hati berbisik, meminta teman memahami keadaannya dan cuba membantu. Sesekali wujud rasa tidak puas hati apabila kepenatan bekerja sedangkan ada yang merungut dengan hasil kerja itu. Sesekali hatinya mempersoalkan, apa yang dia peroleh sedangkan dia sukarela bekerja untuk orang lain, tapi adakalanya orang tidak menghargai.

Kenapa dia seorang yang kepenatan? Kenapa dia yang disalahkan sedangkan orang lain tidak bekerja sedikit pun? "Kenapa mesti aku?"

***
Kadang-kala hati mereka tidak memahami kenapa perlu pengorbanan. Kenapa mesti mereka yang mengalami semua ini. Kenapa mesti mereka yang perlu bersusah payah sedangkan orang lain tidak merasa sedikit pun kepayahan itu.

***
Pastinya, bila kanak-kanak itu makin meningkat dewasa, dia akan memahami, apalah sangat pengorbanannya dibandingkan dengan ibu bapanya. Pastinya dia akan menyesali, apalah haknya untuk mempersoalkan setiap bantuan yang diminta. Pastinya dia akan menyedari, kesabarannya hanyalah sekecil zarah. Pastinya dia akan meyedari, bukan redha manusia yang dia perlu cari.

Pastinya dia tidak lagi mempersoalkan "kenapa mesti aku?" Sebaliknya bertanya pada diri, "kenapa hati perlu memberontak?"

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...