Monday, 15 November 2010

Selamat Hari Raya Aidiladha

"Allahu akbar! Allahu akbar!" azan Maghrib berkumandang. Para penghuni ruang solat wanita membaca doa berbuka lalu memakan kurma. Hari ini 9 Zulhijjah, tetapi sebaik sahaja masuknya waktu Maghrib, hari ini telah menganjak ke 10 Zulhijjah. Hari raya Aidiladha.


Usai solat berjemaah, imam melaungkan takbir raya. Tiba-tiba tersentuh hati, rindu pada takbir raya di Malaysia, yang nyata lebih berirama dan lebih bersemangat. Lebih sayu hingga mudah air mata bercucuran mensyukuri nikmat Allah, kerana masih hidup pada hari ini.

Esok kami, pelajar University of Nottingham akan solat sunat aidiladha di Sport Centre. Dewan tempat orang bermain bola keranjang akan dihamparkan tikar esok. Dan seluruh muslim yang mengikut waqi' universiti ini akan berkumpul. Ada sesetengah tempat yang kedengaran akan menyambut aidiladha pada hari Rabu. Perbezaan hari ini adalah biasa, terpulanglah pada kawasan masing-masing. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.


Seperti biasa, esok masih ada kelas. Setakat ini, tak pernah lagi rasanya saya bercuti pada hari raya. Namun, alhamdulillah, esok cuma ada kelas Arabic. Ustaz beritahu nak sambut sedikit, walaupun beliau ada berikan kerja rumah kepada kami. Pembelajaran masih diteruskan seperti biasa, namun janji beliau, akan ada juadah kecil untuk anak muridnya. Pada Khamis lepas, isteri beliau membekalkan kurma dari Madinah, dan air yogurt Ayran untuk kami berbuka.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Rindu pada keluarga, rindu pada Malaysia.

Takbir raya oleh Allahyarham Ustaz Asri. Terfikir, alangkah berterusan pahala yang beliau perolehi walaupun sudah tiada. Harapnya blog ini boleh membekalkan pahala berterusan pada saya jika saya pergi.

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

Followers