Saturday, 25 June 2011

Hidup Hidup, Hidup Rakyat!

Saban hari, makin hangat, berita di kaca tv melaporkan bantahan demi bantahan yang dibuat agar Perhimpunan Bersih dibatalkan. Seolah-olah sudah tiada lagi isu rakyat, kes jenayah dan soal masa depan negara yang dapat dibincangkan selain dari alasan-alasan kenapa perhimpunan ini wajar dimansuhkan. Sepatutnya masa satu jam berita itu dimanfaatkan untuk menyalurkan maklumat penting, bukan ucapan berjela yang tiada isi. Saya pasti, rakyat marhaen yang faham akan mampu untuk menangkis alasan-alasan itu dengan seribu satu hujah kenapa perhimpunan ini perlu diteruskan.  Untuk pengetahuan, bancian yang dibuat di The Star jelas menunjukkan lebih sejuta rakyat Malaysia mahu Perhimpunan BERSIH diteruskan.


Kenapa 2.0?
Ini adalah Perhimpunan Bersih kedua dibuat, selepas Perhimpunan Bersih pertama pada 2007. Perlu dibuat yang kedua kerana selepas 4 tahun, tuntutan-tuntutan yang berjaya dihantar ke Istana Negara tidak dilaksanakan, walaupun janji telah ditabur.

Kenapa nak berdemo? Gunalah cara lain yang lebih aman.
Percayalah, semua perkara rakyat sudah buat untuk sedarkan pihak berkenaan. Namun, semua dipandang sepi. Rakyat pun ada akal juga, mereka cuba sehabis baik untuk berunding. Rakyat sayangkan Malaysia, itu sebabnya kita tak mahu sikap tidak menghiraukan tuntutan keadilan dari rakyat ini berterusan. Kita tak mahu ombak tsunami domino effect di Timur Tengah tiba di Malaysia. Kita tak mahu rakyat sampai muak dan benci pada pemerintah.

Demo ini cuma agenda politik.
(Momokan orang yang tak baca perkembangan semasa) Untuk makluman, perhimpunan ini dianjurkan oleh Pemandu Bersih. Bukan parti politik. Memang parti pembangkang menyokong besar-besaran, mewajibkan semua ahli mereka turun ke Perhimpunan Bersih, namun bukan mereka yang anjurkan.  Tak de kena mengena nak rampas Putrajaya ke apa. Cuba fikir jauh ke depan, apa yang dituntut dalam Perhimpunan Bersih adalah untuk manfaat semua parti politik. Kalau tiba-tiba parti pemerintah bertukar tangan,  tapi sistem pilihanraya masih belum diperbetulkan- tv asyik siarkan cerita baik pasal PR dan cerita buruk pasal BN, pasti  BN pun akan minta tuntutan yang sama.

Demo ni menimbulkan rusuhan, ramai orang awam akan tercedera.
Siapa yang buat rusuhan? Cuba tanya orang yang pernah ke demonstrasi, siapa yang sembur larutan kimia  dan gas pemedih mata yang melampau? Kalau bukan kerana water canon tersebut, pasti gerai-gerai di tepi jalan tak rosak. Negara lain ada juga buat demonstrasi ni, tapi kenapa takde pun rosak-rosak.. Sebab mereka ada polis yang hanya memantau agar perhimpunan itu berjalan secara aman, bukan mereka yang buat provokasi.  Janganlah pula risau berkenaan gas pemedih mata dan air itu pula.. Alah, anggap sahaja ia ubat resdung dan jerawat.

Demo bukan sunnah.
Tv, radio, kereta pun bukan sunnah juga. Sebab takde pada zaman nabi. Adei.. Cuba menilai dari sudut yang matang.  Demonstrasi membawa erti perhimpunan untuk menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara secara beramai-ramai. Dalam erti kata lain, tunjuk perasaan secara aman.  Nak tunjuk perasaan, perlulah beramai-ramai. Cuba bayangkan, buat seorang diri, bertempik di hadapan Istana Negara, tak ke digelar kurang siuman di situ? Sebenarnya perkara pokoknya, kita nak tak nak sahaja buat perkara yang membela keadilan. Tak perlulah cipta seribu satu alasan, tak pasal-pasal dapat dosa percuma pula nanti. Kalau tak nak, usahlah berdalih. Tentera Allah tak berkurang pun kalau kamu tak sertai mereka yang menegakkan amar makruf nahi mungkar.

Pernah dengar hadis ini?
عَنْ أَبِي سَعِيْد الْخُدْرِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
[رواه مسلم]
Dari Abu Sa’id Al Khudri radiallahuanhu berkata : Saya mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.
(Riwayat Muslim)

Salah faham orang Islam tentang hadis ini adalah
1) apa yang disebutkan adalah ubah, bukan tegur, bukan ajak. Maksudnya, usaha sehabis baik hingga kemungkaran itu tidak lagi berleluasa.

2) Urutan yang wajibnya adalah tangan (kuasa), kemudian lidah (lisan) dan kalau tak boleh kedua-duanya baru gunakan hati (perasaan).  Faillam yastati’ bermaksud, jika tidak mampu. Dari sudut nahu Arab, ini menunjukkan ada syarat yang dikenakan untuk melaksanakan perkara yang akan disebutkan. Jadi, kalau sudah ada kuasa, kena ubah dengan kuasa dulu. Yang orang kita selalu buat, ”ala, takpela, aku tolak dengan hati jelah..”

3) Bila sudah tiada kuasa dan lisan, baru boleh ubah dengan perasaan. Tapi yang menjadi salah faham terbesar adalah, kita anggap, itu adalah dengan berdiam diri, cukup kita menolak kemungkaran itu sendiri-sendiri. Kalau duduk diam, bagaimana nak ubah? Jadi, perlulah tunjuk perasaan tidak setuju dengan kemungkaran itu, barulah kemungkaran itu dapat dibasmi dan orang yang salah itu sedar.

Ini perhimpunan haram.
(Sila baca berita lebih sedikit ye.. Jangan baca Utusan sahaja.) Permohonan permit untuk berhimpun sudah dibuat tapi sedikit pun pihak berkuasa tidak mahu mengeluarkannya. Kenapa nak takut? Rakyat sudah janji nak berhimpun secara aman. Kalau permit Perhimpunan Bersih 2.0 tidak mahu dikeluarkan, sewajibnya jugalah, perhimpunan anti-Bersih yang kononnya aman juga tak patut dapat permit. Patutnya pihak berkuasa tidak bersikap berat sebelah seperti ini. Kenapa perhimpunan parti pemerintah buat, semuanya aman, yang lainnya, haram.. This is unfair! Satu lagi perkara, di negara luar, demonstrasi ini perkara biasa. Malulah kalau Malaysia nak berdemo untuk Palestin pun, FRU buat hal.

Sistem pilihanraya kita sudah bagus.
(Hahaha (gelak sekejap). Ok, kembali serius. ) Belum lagi, bro. Cubalah tanya orang-orang yang bekerja kerajaan ni. Tambah-tambah yang dipaksa bekerja sebagai jentera pilihanraya parti pemerintah. Patutnya undi rahsia, tapi kenapa undi pos boleh dibuka oleh orang tak bertanggungjawab. Ramai sudah tahu, berapa banyak kes, undian yang telah dibuat rakyat diubah. Politik kita sudah bersih? Kenapa nak mengugut bangsa Malaysia agar tidak keluar 9 Julai ini dengan ugutan berunsur sentimen perkauman? (Tak de pula, mereka kena ISA). Media sudah bebas? Ala, semua tahu, tv-tv dan akhbar milik siapa. PAS cuma dibenarkan jual Harakah dua kali seminggu. Itu pun kena sorok-sorok macam jual dadah. Apa-apa pun, cubalah tanya sendiri pada mereka-mereka yang tahu pasal ni. Banyak sangat kalau nak cerita di sini.

Dikongsikan di bawah, ringkasan segala persediaan dan maklumat berkaitan Perhimpunan Bersih 2.0.

Taklimat Perhimpunan Bersih 2.0

Fakta :
Perhimpunan Bersih 2.0 Pada 9 Julai 2011 (Sabtu), Jam 2 Petang Di Kuala Lumpur
(Lokasi : Masjid Kg. Baru, Sogo & Bangunan DBKL). 
Aman Dan Tanpa Senjata.

Tuntutan Bersih 2.0 :
1.      BERSIH kan Senarai Undi (Daftar Pemilih)
2.      Reformasikan Undi Pos
3.      Gunakan Dakwat Kekal
4.      Akses Media Yang Bebas & Adil
5.      Tempoh Berkempen Minima 21 Hari
6.      Kukuhkan Institusi Awam
7.      Hentikan Rasuah
8.      Hentikan Politik Kotor

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 :
Dipengerusikan Oleh Dato Ambiga Sreenavasaan (Mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia). Anggotanya Adalah Daripada Kalangan Pimpinan Dan Aktivis NGO’s.

Kedudukan Parti-Parti Politik:
Adalah sebagai entiti yang bergabung di dalam Bersih 2.0 dengan aspirasi bersama iaitu menuntut satu sistem dan perjalanan pilihan raya yang bersih & adil untuk Malaysia.

Jangkaan/ Unjuran :
Kita menjangkakan pelbagai kaum akan muncul, pelbagai ideologi dan kepercayaan akan berhimpun untuk menyatakan pandangan mereka khususnya dalam mendesakSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia untuk mereformasikan pilihan raya.

Oleh itu bagi melancarkan perhimpunan ini, kita mengeluarkan satu garis panduan yang diharapkan dapat membantu semua pihak dalam memastikan perhimpunan ini dapat berjalan dengan lancar, aman dan tanpa sebarang provokasi .

Perkara Yang Perlu Anda Bawa/Sediakan :
 1. Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja.
2. Duit-maksimum RM100 sahaja.
3. Memakai pakaian yang sopan-T-shirt /baju berwarna kuning. Sebaiknya ada logo Bersih 2.0. Pakai pakaian yang meliputi seluruh tubuh badan dan jika boleh hingga ke paras pergelangan tangan.
 4. Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.
5. Sediakan baju hujan berwarna kuning.
6. Aksesori kempen-Button, kopiah arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihan raya boleh digunakan.
7. Bendera Malaysia atau negeri masing-masing.
8. Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula.
9. Sedikit garam batu ; Ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika FRU sembur air dari Water Canon atau gas pemedih mata.
10. Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata.
11. Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis “N100 Respirator, N95 Respirator” dan “Surgical facemask” untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau.
12. Jika anda memiliki topeng gas, tidak salah untuk membawanya bersama. Selain itu topeng respirator lain boleh turut digunakan terutama yang digunakan untuk menapis bauan cat dan ‘thinner’.
13. Demonstran dinasihatkan juga untuk membawa ‘goggle’ renang bagi melindungi mata di saat gas AAR (gas pemedih mata) memenuhi ruang perhimpunan. 
14. Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri.
15. Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.
16. Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.
17. Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video.
18. Bekalkan diri anda juga dengan air (dibawa dalam botol) dan tepung penaik, ini bagi digunakan untuk meneutralkan bahan kimia yang telah terkena pada kulit.

Perkara Yang Tidak Dibenarkan :
1.      Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.
2.      Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kreadit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.
3.      Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal yang menghalang pergerakkan.
4.      Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.
5.      Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihan raya.
6.      Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi.
7.      Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 tidak dibenarkan.
8.      Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.
9.      Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov cocktail dan mercun.
10.    Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.
11.    Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.
12.    Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.
13.    Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah.
Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Sebelum Perhimpunan :
1.      Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.
2.      Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.
3.      Pastikan anda telah menunaikan ‘hajat’ sebelum memasuki perhimpunan.
4.      Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.
5.      Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.
6.      Maklumkan mereka tujuan anda keluar.
7.      Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.
8.      Jangan lupa “charge” bateri handphone dan kamera.
9.      Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan — Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru
10.    Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.
11.    Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.
12.    Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).
13.    Jangan memakai baju Bersih 2.0 sebelum perhimpunan bermula bagi mengelakkan sebarang provokasi pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
14.    Jika tiada penutup muka, rendamkan ‘bandanna’ atau kain ke dalam cuka atau jus lemon, dan tutup mulut dan hidung dengan kedap.
15.    Bagi mereka yang memakai kanta sentuh, anda dinasihatkan untuk tidak memakainya pada hari perhimpunan .
16.    Elakkan memakai krim berasaskan minyak ataupun ‘sun-block’ kerana bahan – bahan ini bakal menyebabkan resapan kimia dari gas AAR meningkat.

Semasa Perhimpunan Dan Perarakan :
1.      Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru dan tunggu arahan dari “Field Commander” yang dilantik.
2.      Ikutilah arahan dari Unit Amal atau “Field Commander” sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepada “Field Commander”
3.      Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan “Field Commander”.
4.      Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.
5.      Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.
6.      Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.
7.      Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.
8.      Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati dijalanraya.
9.      Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.
10.    Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.
11.    Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap.
12.    Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi “sound system” akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.
13.    Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.
14.    Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.
15.    Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukkan dalam beg plastik yang anda bawa.
16.    Jauhi kawasan gas. Kaedah terbaik adalah untuk mengelak dari tempat yang telah diliputi gas AAR. Pergi ke tempat tinggi kerana gas AAR tumpat dan jarang naik ke udara. Jika anda berada di luar bangunan, masuk ke dalam bangunan terutama yang mana aliran udara luar tidak dapat masuk.
17.    Basuh mata anda. Jika mata anda telah terdedah kepada gas AAR, jangan gosok mata anda. Jika anda memakai kanta sentuh, tanggalkan. Basuh dengan air selama 10 minit. Kanta sentuh yang telah terdedah jangan dipakai semula.

Selepas Perhimpunan :
1.      Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.
2.      Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan.
3.      Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik.
4.      Jangan tinggalkan apa-apa sampah di tempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang di rumah.
5.      Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.
6.      Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir.

Apa Anda Perlu Buat Jika Kumpulan Anti-Tuntutan Bersih 2.0 Buat Provokasi :
1.      Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan “Field Commander” Unit Amal.
2.      Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.
3.      Jangan hampiri mereka.
4.      Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.
5.      Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.
6.      Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.

Apa Anda Perlu Buat Jika Polis Buat Provokasi Dan Serbuan
1.      Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.
2.      Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon.
3.      Duduk jika pimpinan arahkan.
4.      Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air “water canon” berwarna kuning.
5.      Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.
6.      Ambil gambar mereka jika sempat.
7.      Buat laporan Polis jika anda dikasari.

Apa Yang Anda Perlu Buat Jika Ditahan :
1.      Jangan banyak cakap dengan polis. Diamkan dan tenangkan diri.
2.      Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan.
3.      Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja).
4.      Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawap yang ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap.
5.      Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu diluar balai jika anda ditahan.
6.      Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab “saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja”. Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah. Anda berhak untuk tidak memberikan sebarang keterangan kepada Polis melainkan di Mahkamah.
7.      Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi polis atau jangan mudah cair bila mereka berlembut.
8.      Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda.
9.      Jangan terlalu risau kerana, di luar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda.

Apa Yang Anda Buat Selepas Dibebaskan :
1.      Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.
2.      Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.
3.      Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan.
4.      Ceritakan  dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.
5.      Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.
6.      Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.
7.      Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.
8.      Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.
9.      Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan. 

Harapan Kita Semua :
Secara keseluruhannya, kita berharap Perhimpunan ini dapat berjalan tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan.

Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak SPR dan kerajaan persekutuan mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan perundangan dan implementasi kita.

Ingat, Himpunan Bersih Berjaya pada  10 November 2007 kerana kesungguhan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk mereformasikan pilihan raya, mengkukuhkan berbadanan institusi dan hentikan korupsi.

Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada “Field Commander”  atau Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini. Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah ini.

Ayuh, demi cinta kita pada Malaysia!

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 


Nur Suhaila Zulkifli
Negeri Sembilan.

No comments:

Followers