Friday 10 June 2011

Mementingkan Diri atau Mengutamakan Diri

Telah ‘diberi amaran’ sebelum ini tentang pahit maung dalam mencari rumah. Hatta rumah baru, rumah terpakai, mahupun rumah lelong. Semuanya ada risiko. Risiko pinjaman bank yang berdepan dengan kadar faedah berganda dari jumlah pinjaman itu, satu hal. Risiko rumah itu mudah atau susah untuk menjadi milik kita pula, satu hal lain yang cukup besar.

Sejujurnya, isu mencari rumah ini, bukanlah suatu yang membangkitkan semangat. Penat sebab puas mencari rumah-rumah, di internet dan bertanya pada orang. Susah sebab ini kali pertama dan kita sendiri masih kurang pengalaman. Baru setahun jagung nak kenal dunia, sudah nak masuk ke kancah yang berisiko.

Motivasi tinggi perlu. Hinggakan perlu bawa diri, ke majlis yang menguatkan jiwa dan rohani.. Biar semangat juang mencari rumah itu membara kembali.

”Ko gi juga ke program ni, walaupun tak kenal sesiapa kat sana, sebab memang ko nak sangat gi, dan ko memang nak bawa diri kan?”
”Da la Su. Balik ni, jangan merajuk-rajuk da,” pesan teman baikku tempat aku meluahkan beban yang menyempitkan benak fikiran.

***
Alhamdulillah, berjumpa satu rumah lelong yang dipersetujui oleh Ma dan Abah. Jauh lebih murah dari rumah lelong yang ditarget sebelumnya yang mendorongku pulang ke Malaysia lebih awal. Murah memang murah. Tapi lucunya, rumah itu cuma ada dinding, pagar (cantiklah tapi), bilik, lantai dan tingkap. Tiada lampu, kipas mahupun peralatan yang boleh diganti. Allah. Memang murah.

Kali pertama juga menjejakkan kaki ke Mahkamah Tinggi Seremban untuk acara pelelongan. Dikhabarkan, hanya dua orang penawar untuk rumah tersebut. Kemungkinan besar kerana ejen yang ku hubungi telah mempengaruhi orang lain supaya tidak turut membida. Penawar yang seorang lagi tidak melalui ejen, kerana beliau diberitahu oleh syarikat guaman tempatnya bekerja tentang rumah lelong tersebut. Aku pula, terlibat dengan ejen tanpa ada niat, kerana ejen itulah yang mempamerkan nombornya di hadapan rumah lelong itu. Rupanya kita yang kena bayar padanya komisyen, jika kita menang. Memandangkan Maybank tidak membayar komisyen kepada ejen hartanah, tidak seperti kebanyakan bank. Untuk makluman, seorang ejen hanya boleh membawa seorang penawar.

Sempat ku perhatikan politik penawar-penawar dan ejen ketika perkarangan tempat lelongan itu. Ada yang memujuk agar menjadi penawar yang pasif, ie, tidak menawarkan harga untuk membeli rumah tersebut. Pujukan bukan sebarang pujuk. Seribu dua ringgit itu biasa sebagai ’duit kopi’. Jujurnya, jika kita betul-betul nak rumah itu, duit kopi sebegini lebih menguntungkan dari kenaikan harga bida mencecah puluhan ribu, bukan?

9 pagi kami tiba di tempat lelong. Hingga pukul 11 pagi, nombor kes rumah lelong yang kami sasarkan masih belum dipanggil. Waktu ini, kami diperkenalkan oleh pelelong rumah tersebut kepada ’lawan’ kami. Seorang auntie yang ku kira sudah dalam akhir 40an. Mulanya beliau menawarkan RM1K melalui ejenku agar kami menarik diri. Ejenku menyampaikannya kepadaku. Aku menolak. Ini bukan soal duit, tapi soal tempat tinggal untuk keluargaku. Kalau kami tidak dapat rumah ini sebelum berjuang, perjuangan kami entah bila akan selesai sedangkan masa perjuangan makin singkat.

Tak lama selepas itu, Abah minta aku bertanya jika Auntie itu sudah masuk melihat keadaan di dalam rumah lelong tersebut.  Satu aniaya buatnya jika tidak mengetahui rumah yang hendak dibeli itu rumah ’tidak siap’. Katanya, sudah kerana dia tinggal di kawasan itu. Walaupun banyak yang perlu diperbaiki, namun setidaknya itu rumah sendiri.

Sedikit demi sedikit, beliau membuka cerita. Beliau ibu tunggal, dan sangat memerlukan rumah itu, kerana dekat dengan tempat kerjanya. Anaknya masih kecil dan beliau tidak mampu mencari rumah lebih mahal (harga normal jualan rumah di kawasan sekitar bandar Port Dickson adalah dalam RM100k). Beliau sendiri sudah tua, dan tidak lulus untuk mendapat pinjaman bank.

Aku memalingkan mukamu ke tempat lain sambil mendengar setiap butir bicaranya. Cuba menyembunyikan rasa simpati yang mula berputik dalam hati. Apa yang aku harus buat, ya Allah? Adakah patut kami memberi laluan kepada Auntie ini? Atau terus bertahan, kerana ini peluang kami bertemu rumah untuk kami berteduh? Atau perlukah kami beralah?

Abah sudah rasa bersalah. Aku melarikan diri ke tempat lain. Cuba menenangkan diri. Terngiang-ngiang kata ustaz, ”kalau takut syaitan bisikkan kejahatan, beristighfarlah.” Aku khuatir, andai keputusan beralah atau bertahan itu hasil kerana aku mengikut bisikan syaitan. Ya Allah, tunjukkanlah yang terbaik untuk kami..

“Macam mana Long? Abah tak tahu camne nak tolong Auntie tu da. Sayu dengar dia cakap macam tu,˝

“ Tapi kita pun susah gak, Abah. Setidaknya dia ada rumah sewa. Kita, rumah sewa pun takde da ni.” Sebak ditahan. Allah,moga betullah keputusan ini. Memang aku tegar meneruskan pembidaan ini, namun aku sangat rasa bersalah pada Auntie tu.

”Kalau macam tu, kita go ahead jela. Ada rezeki, adalah tu..”

“38-226-08!” Nombor kes rumah lelong kami dipanggil. Aku, auntie, pelelong dan peguam masuk ke bilik lelongan. Timbalan Pendaftar menetapkan setiap tawaran adalah dinaikkan sebanyak RM2K. Maknanya, harga bida rumah itu akan bertambah RM2K jika kami sanggup membida harga yang lebih tinggi dari harga sebelumnya.  Alhamdulillah. Rumah sebelum ini, yang harga rizabnya RM50K, mengalami kenaikan setiap RM4K. Mungkin kerana rumah itu ramai pembida. Tambah-tambah lagi, ada juga pembida yang datang hanya untuk menaikkan harga rumah itu. Satu perkara yang jelas haram dalam Islam. (Harga rizab adalah harga permulaan lelong, ie harga minimum rumah tersebut.)

Memang Auntie itu tidak mampu untuk menawarkan harga yang lebih tinggi dari harga rizab lelong. Alhamdulillah, aku memenangi lelongan itu. Namun, astaghfirullahal azim, aku menumpang rasa kesedihan pada Auntie itu. Sebelum aku dibawa menandatangi kontrak jual beli, aku cuba menawarkan bantuan kepada Auntie itu untuk mencarikan rumah untuknya, namun beliau menolak. Aku kecewa.

Mujur, tak lama sejurus itu, beliau kembali menemuiku. Kami bertukar nombor telefon, dan beliau meminta tolongku jika ada mengetahui rumah untuk dijual atau dilelong di sekitar kawasan perumahan rumah lelong itu.

***
Masih ada rasa khuatir, adakah ini keputusan yang terbaik. Namun, jawapannya hanya Allah yang tahu. Moga keputusan yang ku ambil bukan kerana kami mementingkan diri, namun kerana kami perlu utamakan keluarga kami dahulu.

Soal rumah yang ’tak siap’ yang telah dimenangi itu, akan ku serahkan kepada adik-adikku yang lelaki. Pandai-pandailah mereka menjadi kontraktor berjaya. Nama pun hero-hero. ^_^


"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."


Nur Suhaila Zulkifli
Negeri Sembilan.

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...