Wednesday 25 April 2012

Bersih- Revisited

Andai dulu,
setiap saat laungan rakyat bergema,
gempita takbir memuji yang Esa,
langkah diatur bergerak bersama,
melangkah gagah mencipta sejarah,
sejarah sebuah negara yang merdeka,
merdeka pada nama, bukan apa-apa.

Meski kami tidak kenal sesiapa,
meski kami hanya insan kerdil cuba menabur jasa,
setiap susuk tubuh itu mengobarkan semangat di jiwa,
setiap batang tubuh itu saling menguatkan, saling berganding tenaga.

Asap pedih bukan pemisah,
air penghakis bukan pelemah,
jeritan provokasi bukan hujah,
bantaian berbisa bukan helah.

Tapi kini,
aku di sini,
tidak bersama di ibu pertiwi,
mendendang sorak yang penuh berani,
menangkis panah yang bisa menyakiti,
menghadapi gelora menegakkan kalimah suci.

Meski aku jauh beribu batu dari kalian,
tidak berhenti ku bersama bergandingan,
untuk sama berjuang menuntut keadilan,
demi sebuah ketelusan dan kemenangan,
di dataran yang menjadi saksi kemerdekaan,
kali ini bukan pada nama, ia akan penuh ketulenan.

Mungkin kali ini, wajah ini tidak dibasahi airmata kepedihan,
mungkin kali ini jasad ini tidak didera kesakitan,
mungkin kali ini rongga ini tidak ditusuk kesesakan,
mungkin kali ini mata ini tidak menyaksikan kezaliman,
mungkin jihadku tidak seagung teman-teman.

Semangat yang sama masih membakar,
doa yang sama masih terus memagar,
agar saudara-saudaraku terus mekar,
bersatu menghadapi ancaman kasar,
andai mereka disakiti, akan ku tuntut di padang Mahsyar.

****
Untuk semua yang bakal turun ke Dataran Merdeka, semarakkanlah semangat anda! Kami di sini sentiasa mendoakan kesejahteraan perwira-perwira penegak keadilan! Rebutlah peluang. Kita tidak tahu, mungkinkah ini kali terakhir untuk kita sama-sama mencipta sejarah.

Andai FRU datang mengganggu, hadapilah setiap tentangan itu dengan hikmah. Inilah masanya untuk merasa sekelumit luka di medan jihad yang meski berparut, bukan penghalang untuk terus menginfakkan jiwa dan raga untuk sebuah keadilan.

Yang merindui jagaan sahabat-sahabat, mesej prihatin yang diterima, garam dan ubat gigi yang diberi tanpa mengenal nama, kata-kata semangat yang diucapkan, tangan yang menghulur bantuan dan ribat yang melindungi serikandi pejuang.


'Kakanda' di medan Merdeka..

'Adinda' di kota London..

Sama-sama berjuang.. sama- sama berbakti..
Semoga tabah hati..

****
Diari 9 Julai 2011
Maaf andai cerita sebanyak 8 mukasurat ini terlalu panjang dan menjemukan. Sengaja diceritakan secara terperinci agar antum dapat merasai apa yang kami rasa pada Sabtu lepas. Ini adalah program tarbiyah terbaik kami pernah sertai. Sakit terkena gas pemedih mata, kepenatan, dahaga, loya, ketakutan telah memberi kami secebis kemanisan andai kami syahid di jalan Allah. Memang pedih, memang sakit, memang takut, tapi kemanisan itu terlalu indah. Ini baru berdemo, belum lagi berperang. Belum lagi menitis darah kami. Belum lagi tercabut nyawa ini di jalan jihad. Patutlah orang yang berdemo, tak pernah serik. Sebagaimana para sahabat dan Rasulullah saw sendiri yang terus menerus bersabung nyawa dalam perang walaupun cedera parah dalam setiap pertempuran.

10.00 pagi
Tiada seorang pun penumpang yang memenuhi komuter memakai baju kuning. Dua sahabat yang sudah tiba di pusat bandar seawal 6.30 pagi melaporkan, mereka tidak dibenarkan masuk ke Masjid Negara. Malahan, orang-orang yang sememangnya datang mahu menunaikan solat sunat akan dikawal agar segera keluar selepas menunaikan solat tersebut.

10.30 pagi
Turun dari komuter. Agak terperanjat dengan lambakan manusia yang memenuhi stesen Kuala Lumpur. Ada yang berkopiah dan berserban. Yang muslimat, berpakaian formal dan tidak kelihatan seperti hendak berdemo. Kamera DSLR dan perakam video di mana-mana.

Sesekali kedengaran laungan takbir, mungkin kerana ada pimpinan yang baru tiba dari komuter. Hampir setiap muslimat di situ berniqab, sama ada dengan tuala, tudung mahupun niqab sebenar. Tujuannya lebih kepada, menjaga mereka dari media yang berada di merata-rata tempat dan juga sebagai persediaan berdepan gas pemedih mata, kelak.

Sewaktu menunggu di dalam stesen, segerombolan polis tiba. Kami diarahkan masuk ke terminal. Yang masih tinggal di luar terminal, diperiksa tiket mereka untuk membuktikan mereka berada di situ bukan kerana untuk menyertai demo. Sekumpulan orang awam telah ditangkap secara sebarangan, kebanyakannya kerana mereka yang begitu lantang melaungkan takbir.

Makin lama, makin rancak kami bertakbir dan melaungkan syahadah. Sewaktu keadaan makin genting dengan lebih ramai orang diarahkan masuk ke dalam trak, kedengaran muslimat membacakan doa dan sama-sama mengaminkan. Kami diarahkan dengan jeritan keluar dari stesen.

Dalam perjalanan keluar, beberapa polis telah menarik seorang muslimin yang enggan masuk ke dalam trak. Kezaliman kelihatan di depan mata bagaimana mangsa ditarik sedemikian rupa. Rasa sedih lebih menghantui dari rasa takut andai ditangkap.Seorang lagi muslimin telah melarikan diri. Polis yang cuba mengejar berdepan kepayahan kerana kami yang lain bersama-sama cuba menyesakkan laluan mereka.

Waktu berjalan keluar dari stesen, kami melintasi puak polis yang berkawal. Jeritan dihalakan ke arah kami termasuk para muslimat. ”Ni semua pelajar ni! UIA ke?!” Boleh pekak telinga sebab betul-betul dijerit ke telinga kita. Tak gentleman langsung!

11.00 pagi
Stesen Kuala Lumpur telah dikosongkan. Kami yang dihalau berada di tempat letak kereta. Sewaktu trak polis yang membawa mereka yang ditahan melintasi kami, mangsa-mangsa begitu bersemangat melaungkan takbir dari dalam trak. Kami menyahut dan bersorak bangga. Makin bersemangat melihatkan mereka yang telah diuji jihad mereka dalam sekelip mata.

Selepas beberapa lama, kami semua bergerak menghala ke Stadium Merdeka. Rombongan ini melaungkan takbir dan syahadah sepanjang perjalanan. Adakalanya kami menjerit ”Turun! Turun!” buat orang awam yang menonton dari atas jejantas dan stesen.

Sewaktu melintasi lori pos, pemandu di dalamnya menunjukkan ’thumb’s up’ kepada kami. Pekerja Pejabat Pos besar itu mengucapkan kata-kata semangat walaupun masih tetap di tempat pemandunya. Malu tapi mahu. Ini sebenarnya yang dipamerkan oleh kebanyakan orang awam yang kami lintasi. Mereka turut melaungkan takbir dan bersorak, namun tidak ikut bergerak.. Moga Allah merahmati mereka atas suara yang diteriakkan.

Beberapa warga asing turun kelihatan di tempat kejadian. Seorang warga Eropah begitu semangat melaungkan ’Bersah! Bersah!” sambil mengangkat tangannya tanda menyokong kami. Seorang Uncle India yang kudung sebelah kakinya begitu gagah melangkah dengan tongkatnya. ”Malu kita.. Kalau kita tak sekuat pakcik ni..”
Setibanya kami di perkarangan Stadium Merdeka, FRU telah menanti dengan trak merahnya di hadapan. Tidak sempat pun kami berdemo, kami telah diarahkan duduk. Kami ikut. Namun, entah kenapa, FRU tetap menembak peluru berisi gas pemedih mata. Beberapa peluru mendarat di belakang kami. Dalam sekelip mata, suasana bertukar kacau bilau dengan demonstrans yang berlarian, bunyi batuk dan loya yang menyeksakan. Waktu itu dirasakan bagai jam telah terhenti.

Setiap nafas yang ditarik adalah satu ancaman. Hendak ditahan nafas, tidak mampu, kerana kami sedang berlari. Mata yang dibuka untuk melihat laluan, terdedah pada gas itu lalu mengalirkan air mata tanpa henti. Air juga keluar dari hidung kerana tidak mampu ditampung oleh mata.

Pedihnya gas itu berganda pedihnya dari pedih terkena air bawang. Jika gas itu dihidu, baunya sangat tengik. Seolah-olah menghidu asap tebal hasil pembakaran botol plastik. Peningnya hingga ke otak rasanya. Udara tercemar yang mengenai kulit yang terdedah menyakitkan seolah-olah luka ditabur serbuk cili. Serius, pedih di tangan dan muka. Apa pilihan yang kami ada? Hendak tutup mata sepenuhnya, bagaimana kami hendak melarikan diri dari asap tebal yang mengepung kami? Hendak berhenti nafas, mustahil walaupun kesakitan memuncak itu hanya dirasakan dalam 5 minit pertama. Ada warga asing yang sekadar memakai singlet dan seluar pendek terkena gas itu juga. Hingga merah badannya dibuat gas itu.

Waktu itu, kedengaran jeritan ramai demonstrans yang masih memikirkan orang lain. ”Tutup muka dengan kain basah cepat!! Makan garam! Basuh muka yang pedih tu! Siapa nak air? Siapa nak garam?” Jika tiada yang mengingatkan, sudah tentu kami lupa apa yang sepatutnya dibuat waktu suasana hiruk-pikuk itu.

Keadaan mula tenang sedikit selepas kami berjaya lepas dari kepulan asap itu dan kepedihan mata makin berkurang. Kelihatan uncle India itu masih melangkah gagah namun kali ini lebih agresif mengutuk kezaliman. Ramai yang membantu demonstrans lain dengan menghulurkan air minuman dan garam mereka kepada orang yang tidak pun mereka kenali. Jelas kelihatan di situ, demo ini membuktikan rakyat lebih memahami konsep 1Malaysia dari pemerintah dan FRU sendiri.

12.00 tengahari
Selepas keadaan makin stabil, kami mula bergerak melalui jalan lain. Ada kalanya FRU melepaskan tembakan gas pemedih mata dari seberang jejantas, namun kesannya tidak sedahsyat sebelumnya. Ada kekhuatiran disuarakan memandangkan masih belum kelihatan pemimpin demonstrasi mahupun Unit Amal yang biasanya akan mengetuai pergerakan itu. Bimbang andai ada ’tali barut’ yang cuba memecahkan kumpulan ini dari kumpulan besar yang lain dan membawa kami ke jalan yang salah.

Namun, lantaran tiada pimpinan yang jelas, kami sekadar mengikut individu di hadapan yang sesekali kelihatan berhubung dengan telefon. Rupanya, pada hari itu, Unit Amal tidak memakai seragam merah mereka, sebaliknya berbaju putih dengan lengan diikat tali merah. Kelihatan mereka begitu cekap mengawal lalu lintas dan mengawal gerombolan kami agar tidak terlalu bising (berhenti berlaung jika ada pesanan ingin disampaikan).

Jauh juga kami berjalan. Hinggalah kelihatan ribuan manusia telah menanti kami di hadapan Bangunan Daya Bumi. Sorakan kegembiraan dan lambaian diberikan seolah-olah menyambut saudara yang terpisah lama. Waktu itu, muslimat (dan sisters lain) mula dikumpulkan di satu tempat dan dikawal rapi oleh muslimin dan Unit Amal yang membuat ribat (berpegangan tangan). Lagu Negaraku dinyanyikan beramai-ramai.

Kami mara ke hadapan. Waktu itu, FRU sudah mula memancutkan air kimia ke arah kami. Namun, pelik, air itu hanya dapat membuat putaran 30° sebelum berhenti. Jadi, hanya di sebelah kanan hadapan sahaja yang terkena air itu. Melihatkan perkara itu, rakyat makin mara ke hadapan. FRU berundur sedikit. Ada suara nakal kedengaran ”Tangki da habis air ke?!” Sekali lagi FRU cuba memancutkan air ke arah mereka, namun perkara sama berulang.

Habis daya, lambakan peluru gas pemedih mata ditembak ke arah kami. Namun dek kerana terlalu ramai yang berhimpun di situ (sebesar-besar jalan dan setinggi-tinggi cerun bukit di situ padat dengan manusia), gas itu tidak cukup memedihkan mata semua yang ada. Tidak dapat dipastikan, adakah bilangan yang berkumpul di situ adalah bilangan sebenar demonstrans kerana sebelum dan selepas itu, kami berpecah dan telah berkumpul di beberapa tempat pada masa yang sama.

Ada yang berlari ke belakang bangunan. Kami menyertai kumpulan ini, dan seterusnya turun menyertai kumpulan yang berkumpul di hadapan Puduraya. Waktu itu, kedengaran suara menyatakan, andai hujan turun, gas pemedih mata dan air kimia itu tidak akan dapat memberikan kesan seburuk pagi tadi (cuaca pagi itu panas). Tambah-tambah lagi, langit mulai mendung. Kami berdoa..

1.30 petang
Sewaktu formasi ribat dibentuk, ada yang menghulurkan ubat gigi. Kain dibasahkan dan dengannya, disapukan ubat gigi ke seluruh muka untuk meneutralkan keasidan asap pemedih mata itu nanti.

Seorang uncle India memberi kata semangat kepada kami, ”ala dik, apa nak takut. Kalau masuk hospital pun, hospital dekat saja. Kalau kerajaan tak bertukar, setiap tahun kita kena buat Bersih dan kena macam ni..” Kami mengangguk tanda setuju. Dirasakan bagai kami sahaja yang masih baru dalam seni berdemo ini. Namun, tidak sedikit pun lokek mereka yang tak dikenali mencurahkan ilmu kepada kami.

Seorang auntie India ditolak kerusi rodanya melalui gerombolan kami. Lantas, sorakan dilaungkan menyahut lambaian dan laungan ’Bersih' beliau. Seorang pakcik Muslim ini, cacat tangannya, namun begitu bersemangat membacakan ayat Al-Quran ketika sedang berdemo. Allah.. mereka tidak sempurna, tapi semangat juang mereka menentang kezaliman lebih teguh dari jasad kami sendiri.

Ribat dibentuk. Barisan muslimin berdiri di hadapan kelompok muslimat. Sekali kali lagu Negaraku dinyanyikan secara sendiri. Selepas itu, sekumpulan anak muda meneruskan dengan nyanyian Inilah Barisan Kita. Kami melangkah mara ke depan.

Waktu itu, hujan mula menitis. Kedengaran suara-suara mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Waktu itu, tiada lafaz yang boleh menggambarkan betapa merasai perjuangan orang-orang yang dizalimi ini telah dibantu oleh Allah dengan hujan yang diturunkan. Alangkah baiknya, jika non-Muslims turut merasai kesyukuran dan erti perjuangan ini. Bukan semata-mata kerana keadilan, tapi kerana demi menegakkan kalimah Allah. Titisan hujan semakin kerap. Takbir dilaungkan. Beberapa Uncle India turut ikut bertakbir. SubhanaAllah, besar medan dakwah waktu berdemo ini. Dalam kesesakan itu, bangga jika dikatakan, ikhtilat masih dijaga. Tidak dapat dinafikan, adakala, muslimat berebut jalan dengan kaum Adam. Namun, tidak dilihat mereka berlaga. Pantas muslimin memberi laluan kepada muslimat dan wanita lain.

Di depan dan belakang kami sudah dikepung dengan FRU. FRU menyuruh kami duduk. Kami mengikut arahan. Namun, tak lama selepas itu beberapa gas pemedih mata dilepaskan. Namun, dek kerana cuaca mulai redup, gas itu lambat memenuhi ruang udara dan tidak tersebar jauh. Himpunan manusia itu tidak berjaya disuraikan.

Beberapa kali percubaan, kami hanya berundur beberapa langkah, sebelum mara semula ke depan sambil melaungkan ”Bersih! Bersih!”, ”Hidup Rakyat!”, ”Hancur Kezaliman” dan sebagainya. Sesekali kedengaran beberapa laungan yang agak kasar, seperti ”Mampus BN” namun biasanya ia tidak bersambut. Kami diingatkan acap kali, jangan terikut dengan provokasi.

Akhirnya, FRU telah melepaskan tembakan bertalu-talu. Kali ini, peluru gas mendarat di merata tempat. Beberapa peluru jatuh betul-betul di tepi kami. Waktu itu, kami tidak dapat lari ke mana-mana kerana telah dikepung. Hanya jalan-jalan kecil di tepi kedai dapat kami lalui dalam kesesakan itu. Kami tidak dapat bergerak sedikit pun. Sedangkan asap tebal telah memenuhi udara di situ. Tuala basah tadi ditekup di muka. Udara dihidu melalui tuala itu. Mata tidak dibuka sedikit pun. Kalau bergerak pun, hanya mengikut asakan orang-orang yang berhimpit dengan kita. Tak tahu kita di mana. Cuma dikhuatiri takut jatuh longkang sahaja. Istighfar diucapkan tidak berhenti.

Hujan lebat mula turun membasahi bumi. Kami berasak-asak selama 5 minit lebih kurang sebelum berjaya mendaki anak tangga yang pertama. Berlari mendapatkan tempat berteduh. Pedih muka mula terasa. Hujan lebat itu tidak diendahkan. Muka ditadahkan ke langit untuk membasuh debu asid yang hinggap di muka.

”Buat apa la adik-adik datang sini.. Da la basah habis, kena gas pemedih mata lagi..” seorang pakcik Melayu yang dalam lingkungan 40-an bertanya pada kami. ”Ala pakcik, orang lain pun kena juga. Apa la sangat yang kami rasa ni untuk dibandingkan dengan orang lain..” ”Oh, takde.. Pakcik tanya je. Semua yang datang ni pun, sokong apa yang dibuat.”

Dilihat beberapa kenderaan terutama teksi mundar-mandir di kawasan belakang bangunan kedai tempat kami berteduh. Kenderaan ini kadang-kadang berhenti dan beberapa demonstrans masuk ke dalam kereta. Disyaki kenderaan ini adalah dari puak-puak demonstrans juga.

3.00 petang
Sedang elok menanti hujan yang mulai reda berhenti turun, kami dikejutkan dengan larian para demonstrans menjauhi tangga. ”Polis kejar!” Kami tanpa berpaling ke belakang, terus melarikan diri ke hujung jalan. Malangnya, kami telah tersalah pilih jalan. Ini jalan mati. Hanya semak berbukit yang boleh menjadi lorong penyelesaian. Nak tak nak perlu juga diredah kerana FRU sudah tiba di tempat itu dan mula menembak gas pemedih mata.

”Takkan kena buat macam ni (jungle trekking) juga waktu demo kot?!” Terkejut kerana tidak menyangka kami perlu mendaki bukit semak setinggi 2m yang curam dalam keadaan basah. ”Pegang pokok-pokok kat tepi tu..” ”Tolong muslimat-muslimat naik dulu!” Beberapa orang sukarelawan, termasuk seorang anak muda Cina menghulurkan tangan membantu demonstrans lain mendaki bukit.

Selesai mendaki, kami tiba di tanah lapang. Namun, sekali lagi ini jalan mati. Sekiranya polis tiba dari tempat kami masuk tadi, pasti kami kali ini tidak dapat terlepas sedikit pun. Waktu itu, kumpulan ini hanya dalam seratus orang. Kumpulan besar di Pudu telah dipisahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Bila berada dalam kumpulan kecil, itu sesuatu yang tidak elok kerana anda mudah diserang.

Dilihat, beberapa pemuda berusaha membuka jalan belukar di hadapan kami menembusi tempat letak kereta Bangunan DBSKL. Bersyukur, mereka begitu proaktif berusaha menyelamatkan kami tanpa perlu disuruh. Kami menuruni bukit curam yang licin. Kami diberi laluan untuk lolos terlebih dahulu sambil mereka memegang pagar kerawat yang telah dibuka.

Ketenangan dan kelegaan hanya sementara. Beberapa polis telah mengikuti kami dan mengejar untuk memecahkan lagi kumpulan yang sudah sedia kecil. Selepas itu, ada yang bergabung dengan kumpulan lain yang kemudiannya menghala semula ke Hentian Puduraya tadi. Kami berdua berhenti sejenak mencari tempat solat kerana jam sudah menunjukkan pukul 3.30 petang.

Terfikir, bagaimanalah solat Zuhur mereka yang lain. Diharapkan dalam kesibukan demo, mereka tidak meninggalkan perintah yang wajib itu. Kecewa, kerana kalau ikutkan, demo ini hanya akan bermula selepas pukul 2. Telah dirancang hendak solat berjemaah dahulu di masjid. Tapi dek kerana serbuan polis, kami bermula seawal 11 pagi. Makan tengahari memang sah-sahla belum. Ada dalam kalangan demonstrans sendiri tidak sempat bersarapan. Namun, masyaAllah, Allah mengurniakan kami tenaga yang luar biasa.

Dalam mencari surau, seorang pakcik (waktu itu kami tak tahu beliau adalah Unit Amal) memberitahu, beliau sendiri tidak tahu, apa pelan pergerakan kita. Banyak nombor yang dihubunginya tidak berangkat. Katanya, mungkin kerana mereka telah ditangkap polis.

Kami mencari-cari air untuk mengambil wuduk. Hendak masuk ke dalam bangunan DBSKL, kami khuatir akan dihalau kerana kami akan ’mengotorkan’ bangunan itu. Syukur, kami hanya mahu air, tapi Allah temukan kami dengan surau. SubhanaAllah, kami telah terjumpa surau di tepi bangunan DBSKL itu. Sedangkan, sudah beberapa orang kami tanya, mereka semua tidak tahu di mana surau atau masjid terdekat.

Waktu melangkah masuk ke dalam surau, terdengar cerita pengunjung surau ini. Katanya, ada kanak-kanak yang menangis kesakitan kerana terkena gas pemedih mata itu. Allah.. Kita yang dewasa pun, tidak mampu bertahan dalam kepulan asap itu, inikan pula kanak-kanak.

Usai solat, kami tersedar yang tiada lagi gerombolan manusia yang berhimpun di situ. Kami, di samping beberapa yang lain, hilang arah, di mana kumpulan demonstrans berkumpul. Kaki melangkah menuju ke Hentian Puduraya semula. Syukur, seorang pegawai Penerangan Keadilan telah memberi amaran, kami tidak boleh ke hentian itu kerana jalan telah disekat polis. Mereka menipu demonstrans dengan memberi kebenaran palsu untuk menggunakan jalan itu ke Stadium Merdeka, sebaliknya demonstrans yang ada telah ditangkap.

Kami dinasihatkan terus ke Stadium Merdeka mengikut jalan lebih selamat. Tapi kebanyakan jalan pintas sudah disekat. Kami mengikut kumpulan orang di situ. Makin lama, lebih ramai orang yang mengikuti dari belakang, cuma berpecah menjadi dua haluan. Kami bergerak ke arah Stadium Merdeka, kebanyakan yang lain ke arah Istana Negara.



4.15 petang
Tidak tahu di mana kami, jalan raya sudah lengang. Rupanya kami sudah tiba di Hentian Lrt Masjid Jamek. Tak lama selepas itu, dilihat gerombolan manusia keluar dari satu penjuru jalan. Kami diberitahu, perhimpunan sudah berakhir pada pukul 4 petang. Pimpinan Bersih sudah berucap di Stadium Merdeka.

Patutlah puluhan polis begitu lepak berkawal di situ. Jalan itu makin lama, dipenuhi pejuang yang mahu pulang dari medan perang. Tak lama selepas itu, beberapa trak polis dipenuhi tahanan melintasi kami. Takbir dilaungkan buat mereka dengan nada bangga. Beberapa trak FRU pula melintasi. Nada mencemuh pula berkemundang ke udara. Polis yang beristirehat tadi mula menunjukkan belang. Kami disuruh beredar, sedangkan memang kami hendak bersurai pun. Tambah-tambah lagi, stesen LRT Masjid Jamek akan mula beroperasi semula pada pukul 6 petang. Mereka mengusir kami hingga ke Jalan Masjid India. Ada pakcik yang hendak berhenti makan di restoran telah disuruh berusir. ”Kalau nak makan, gi la masuk restoran sekarang!” Kalau ikut adab, polis itu memang gagal seratus peratus.

Kedai makan ada yang dibuka. Berbeza di jalan besar sekitar Kuala Lumpur, amat sukar berjumpa kedai yang dibuka. Jalan sunyi sepi tanpa manusia. Tingkap rumah kedai juga tertutup rapat. Jalan raya sememangnya disekat. Amat sukar melihat sebarang kenderaan ketika berhimpun itu. Memang rasa seolah-olah darurat.

Puas mencari kedai makan. Semua penuh dengan manusia yang kelaparan. Makanan habis. Mujur, beberapa gerai dibuka. Memang untung peniaga hari itu. Seorang peniaga kedai runcit yang kami kunjungi berkata, ”Semua barang jualan sudah banyak yang habis hari ini. Untung, untung.”

Di gerai makan itu, kami berkongsi meja dengan seorang pakcik. Beliau menunjukkan kelongsong peluru gas pemedih mata itu. Disuruhnya kami menghidu gas tumpat yang masih berbaki. Enggan bila memikirkan hingga kini, bau asap itu tidak boleh dilupakan. Kami ditanya beberapa kali, pelajar ke? Pakcik itu kata, tak perlu takut.. Jujur sahaja. Dan jujur juga kami menegaskan, kami bukan lagi pelajar.

Masjid India dipenuhi orang yang hadir menunaikan solat Asar. Waktu itu, kami bertukar cerita dengan sahabat yang turut menyertai Bersih. Kami diberitahu, kumpulan yang berkumpul awal pagi di Masjid Jamek telah diperiksa beg mereka. Jika berisi baju Bersih atau kuning, garam atau ubat gigi, barang itu akan dirampas, dan pemiliknya boleh terus ditangkap. Saat bercerita, sesekali FRU lalu di luar perkarangan masjid. Rasa marah masih bersisa terhadap kezaliman mereka. Namun bila difikirkan semula, mereka hanya bertindak mengikut arahan. Mengikut membabi buta.

Usai solat, kami melangkah mencari stesen komuter Kuala Lumpur semula. Jalan tempat kami berdemo pada awal saat perhimpunan itu disusuri. Dilihat, tiada kerosakan selain sampah yang biasa dilihat saban hari di bandar itu. Kiranya, seolah-olah tiada perhimpunan raksasa pun telah diadakan di situ. Mungkin kerana ada demonstrans yang sukarela memastikan keadaan bandaraya bersih seperti pada hari biasa.

Di stesen, demonstrans menanti komuter tiba. Sesekali, kedengaran laungan takbir dikumandangkan. Kelihatan sebuah keluarga dengan beberapa orang anak yang turut dibawa berdemo. SubhanaAllah, kami sendiri tidak sanggup membuat pengorbanan sebegitu.

Beberapa serangan gas pemedih mata dengan dua yang betul-betul tragik cukup membuatkan mata ini terasa bersinar-sinar. Kulit juga terasa licin. Saluran pernafasan pula terasa lapang. Memang ubat resdung dan jerawat. Cuma kepala sedikit pening. Moga tidak demam (dan alhamdulillah, tidak) meskipun telah lencun bermandi air hujan. Saat menanti komuter, baru terasa filamen kaki ini bagai nak tercabut. Mana taknya, satu bandaraya kami dah berjalan. Fuh, mantap! Terkilan kerana tidak dapat merasa air kimia itu. Memang kena ke demo lagi selepas ini.:)

Pulang ke rumah, cerita bohong seperti biasa, dihidangkan kepada rakyat yang naif. Kalau ikut TV3, asyik muka Patriot sahaja yang keluar. Tapi kami yang di sana, tak nampak sikit pun batang hidung mereka. Fikir semula, senang-senang je kita yang berjuang untuk keadilan mendapat pahala percuma. Patutlah rezeki murah je sentiasa. Ada masalah pun, tenang je. Rupanya sebab dapat pahala percuma bila kita dihujani fitnah dan kezaliman.




"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...