Monday 28 May 2012

Harta Dunia, Saham Akhirat

إِنَّ الإِنسَـنَ خُلِقَ هَلُوعاً - إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعاً - وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعاً 
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; (Surah al-Maarij 19-21)

Allahurabbi.. Setahun kebelakangan ini, memang diuji hebat dengan ujian harta. Ada sahabat-sahabat yang tahu ujian yang menimpa diri ini tahun lepas. Ujian yang menjadi sebab utama untuk pulang awal ke Malaysia, meninggalkan UK untuk penghabisan (pada masa itu). Semua sahabat terperanjat. Tidak kurang ada yang menitiskan airmata, simpati mengenangkan nasib saya dan sedih terpaksa berpisah secara mengejut. Saya hanya mampu tersenyum. Tidak mampu lagi menangis kerana sudah kering airmata, tika mengucapkan selamat tinggal kepada mereka, baik dalam majlis perpisahan yang diadakan, mahupun di stesen bas, tika segerombolan teman-teman menghantar saya buat kali terakhir..

Pulang ke Malaysia, berbekalkan duit yang dipinjam dari teman-teman dan sedikit duit simpanan, rumah untuk kami sekeluarga untuk tumpang berteduh dicari. Perancangan awal untuk mendapatkan rumah lelong berharga RM127 ribu tidak dapat diteruskan kerana kekangan keluarga dan masalah teknikal untuk menukarkan matawang pound ke ringgit.

Kecewa, memang kecewa. Kita pulang awal, sehari selepas peperiksaan semata-mata untuk mengejar tarikh lelong yang berlangsung pada 31 Mei 2011. Namun, kerana masalah teknikal, perancangan ini terbatal. Seminggu sujud berendam dengan airmata. Saya hanya manusia biasa. Macam mana pun, kita pasti sedih, memikirkan pengorbanan tidak dapat bergraduasi pada 15 Julai 2011 selepas tiga tahun bertungkus lumus menamatkan pengajian.

Namun, Allah Maha Kaya. Syukur, dalam airmata, Dia kurniakan kita kekuatan luar biasa. Saya berpakat dengan adik, mencari sendiri rumah-rumah untuk dijual dan dilelong. Apa pun, perlu mencari juga kerana notis berpindah keluar sudah dikeluarkan untuk rumah yang kami duduki tika itu. Dengan motor dan adik yang baru Tingkatan 4, kami membonceng sekeliling bandar Port Dickson, meninjau rumah-rumah yang diiklankan di internet. Senarai dibuat dan penilaian dijalankan. Satu per satu rumah ditolak dari senarai kerana faktor harga, jauh dari jalan utama dan kesesuaian rumah.

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً - إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Surah al-Insyirah 5-6)

Harta Dunia
SubhanaAllah, pencarian rumah kami berakhir pada rumah yang terakhir dikunjungi. Allah sangat permudahkan. Tidak disangka-sangka rezeki yang datang. Rumah lelong, permulaan harga RM67 ribu. Jiran sebelah adalah ibu kepada kawan adik pertama.

Rumah bersaiz 20x70 (rasanya). Rumah teres berdesign lama. Namun baru diduduki dua orang penghuni.

Setelah berbincang dengan adik yang seminggu menjadi peneman saya, kami membawa ibu bapa melawat rumah itu. Saya tahu, mereka terlalu memikirkan banyak perkara. Almaklumlah, rumah lelong perlukan banyak penambahbaikan. Namun, saya terpaksa bertegas. "Nak, orang usahakan. Tak nak, cakap tak nak." Perlu, kali ini biar saya yang memandu keputusan. Akhirnya Ma dan Abah bersetuju selepas sejam berbincang. Saya menelefon nombor yang dipamerkan di pagar rumah. Sehari selepas itu, saya membuat bank draft sebanyak 10% untuk rumah tersebut dan keesokannya membawa bank draft ke Mahkamah Tinggi di Seremban 2. Boleh baca pengalaman membeli rumah lelong saya di sini.

Allah Maha Kuasa. Ejen saya telah menolak tawaran orang-orang lain yang berminat mahu membeli rumah itu kerana dia melihat saya bersungguh inginkan rumah itu. Pinjaman bank juga diluluskan walaupun saya masih seorang pelajar (bukti pendapatan menggunakan Financial Guarantee dari penaja).

Terlalu banyak anugerah dikurniakanNya. Rumah itu tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang besar. Sekadar RM12 ribu sahaja dan memandangkan Abah meminta tolong kawan-kawannya, maka kos itu dapat dibayar secara ansurans. Kos peguam pula sebanyak lebih kurang RM5 ribu, kini telah langsai dibayar, alhamdulillah.

SubhanaAllah, rumah ini sememangnya satu 'mukjizat'. Rumah yang sudah melalui banyak penambahan, namun dibeli dengan harga yang tidak mampu dimimpikan pada masa kini yang nilai hartanah sangat melambung tinggi. Syukur, alhamdulillah. Mungkin ini satu rezeki tak disangka-sangka yang dijanjikan untuk orang yang bekerja untuk agamaNya.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:":Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa!" 
(Riwayat Ibnu Hibban)

Kini keluarga saya telah berpindah ke rumah baru Oktober lepas, selepas keberangkatan saya ke UK semula (sememangnya hidup saya penuh drama,bukan?). Rumah lama yang kami duduki sejak 11 tahun lepas telah pun dirobohkan bersama rumah-rumah di lot yang sama.

Bila mana saya menelefon rumah, Abah akan menceritakan betapa semua orang gembira tinggal di rumah baru. Ma masak makin sedap, Abah dan adik-adik makin kuat makan, anak kucing yang comel bernama Abu lahir dan menyerikan lagi keluarga kami, jiran tetangga memuji rumah kami yang telah melalui penambahbaikan kali ketiga (selepas tuan-tuan rumah sebelumnya), sanak saudara makin kerap berkunjung ke rumah. Banyak nikmat yang Allah kurniakan.

Abah beri RM100 untuk Ma beli lampu cantik. Tapi bila ke kedai lampu..
"Dulu Ma dok bersihkan lampu cantik rumah orang je..Selalu teringin nak ada lampu macam ni kat rumah sendiri.." Ma memandang dengan penuh pengharapan. 
"Ok2, orang beli!" @_@ Ma senyum puas hati walaupun Abah bising beli lampu sebegitu.

New kitten, named Abu. Haven't meet him but already heard lots of stories about his naughtiness. The apple of my sister's eye. Cerita Ma- Abu masuk dalam baldi, adik pun masuk baldi juga (err?)..

Namun semua ini mahal harganya. Alhamdulillah, saya selesai membayar hutang yang dipinjam dari teman-teman berjumlah GBP1700 sewaktu menerima biasiswa September lalu. Hutang peguam pula dilangsaikan menggunakan duit biasiswa yang diterima Februari lalu.

Saham Akhirat
Sejujurnya, saya sudah amat jarang mengeluarkan infak sunat untuk kutipan derma yang berlaku setahun ini. Hanya Allah tahu, betapa bersalahnya, setiap kali tabung dihulur atau nombor akaun diterima, saya tidak mampu mengeluarkan wang untuk meringankan beban mereka. Lebih-lebih lagi, bila mana kita mengetahui, yang akan menjadi harta kita di akhirat bukanlah apa yang kita miliki di dunia, tapi apa yang kita beri. Cukuplah Allah mengetahui, keutamaan wang saya pada masa ini untuk apa dan siapa.

Saya tidak tahu, sampai bila bebanan kewangan ini akan berakhir. Tambah-tambah lagi, Kementerian ada meminta kami bersedia dengan sebarang kemungkinan yang kami mungkin akan menganggur selama setahun seperti mana senior kami sebelum ini. Ya Allah, jauhilah perkara itu..

Saya bercerita di sini bukan mahu meminta simpati. Jauh sekali meminta bantuan kewangan dari sahabat-sahabat. Saya sangat melarang, sahabat-sahabat cuba menghulurkan bantuan kewangan kerana saya masih mampu. Namun, dalam larangan, dulu, sewaktu saya pulang, ada sampul berisi GBP200 dihulurkan dalam diam. Itupun saya tidak tahu. Rupanya teman-teman telah mengutip sumbangan secara rahsia. Allahu rabbi..

Ada sahabat memarahi, kenapa tidak bercerita masalah sebegini dengan mereka. Tambah-tambah, sewaktu dalam pertemuan usrah, saya sekadar berkongsi pengalaman, kisah ujian harta, sewaktu senang dan susah. Ketika minggu pertama saya tiba di UK September lepas, saya hanya ada GBP30 dalam akaun bank dan GBP20 tunai (itu pun pinjam dari kawan). Perlu ke Leicester membantu sahabat di sana menguruskan freshers yang akan sampai dari lapangan terbang. Kesempitan wang tidak boleh jadi satu alasan untuk tidak menghulurkan tenaga.

Sewaktu melintasi jalan, saya terlihat 3 keping duit syiling GBP1 terdampar di atas jalan. Duit yang tiada siapa punya. Saya lalu mengutipnya, kerana merasakan itu rezeki. Melangkah beberapa tapak, hati berbisik. "Memang itu bukan duit sesiapa, tapi itu juga bukan duit engkau. Allah nampak semua." Saya meletakkan duit itu semula di tempatnya. Astaghfirullahal azim. Cubaan di saat wang sangat diperlukan.

Cukup sekadar cerita ini menjadi renungan untuk semua, yang akan menanggung dan menguruskan kewangan sendiri kelak. Jika kini kita masih belum ditanggungkan dengan tanggungjawab kewangan, manfaatkanlah sebaiknya peluang ini untuk memberi infak dan sebagainya. Kelak, mungkin kita tidak berpeluang secerah sebelumnya. Namun setidaknya, di waktu kita senang, kita pernah menghulurkan.

Cabaran yang saya hadapi kini, insyaAllah akan terus ditempuhi. Moga ini menjadi sumber pahala saya, saham untuk akhirat. InsyaAllah, saya masih punya Sajian Nusantara buat masa kini dan sekolah lama saya bekerja bila pulang nanti sebagai sumber rezeki. Cukuplah doa sahabat agar dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki saya. :)

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ - وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ 
Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). (Surah al-Insyirah 7-8)

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

4 comments:

Brand Name - Foresso Chocolatier said...

Baca cerita & pengalaman awak membuatkan saya tersedar & menghitung diri sendiri yang begitu sedikit untuk bersedekah

su_zul said...

Assalam.

Terima kasih kerana sudi melawat dan berkongsi rasa:) Sama-sama kita menjadi lebih baik k:)

Anonymous said...

Ya Allah, ya Tuhan ku...Kau ampunkanlah segala dosa2ku dan sahabatku ini, permudahkan segala urusan dunia dan akhirat kami,rahmatilah rezeki yang Kau kurniakan kepada kami dan masukkan kami ke dalam SyurgaMu....

su_zul said...

Allahu rabbi.. Syukran kathir atas doanya.. Amiin amiin.. Ya rabbal alamin..

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...