Friday 11 May 2012

Iman Yang Lesu

Selepas menghantar 2 esei Jumaat lepas, dapat dirasakan semangat jatuh mendadak. Bangun pagi, tak tahu apa yang perlu dibuat. Seolah-oleh tiada tujuan. Mungkin kerana kawan-kawan lain sibuk belajar untuk peperiksaan, jadi tiada 'kerja' yang ditaklifkan. Tambah-tambah lagi, saya sudah memasuki bulan kedua akhir di sini. Banyak jawatan sudah mula dilepaskan sikit demi sedikit. Komitmen dalam persatuan makin berkurang. Atau itu hanya sangkaan jiwa yang lesu ini semata-mata?
Benarlah. Jika kita tidak disibukkan dengan perkara kebaikan, kita akan disibukkan dengan benda yang lagha. Allahu rabbi..

***
Hari ini, melangkah ke surau untuk menunaikan solat Jumaat. Jiwa ini perlu dibangkitkan semula dengan tazkirah, hatta dari khutbah Jumaat itu sendiri. Saya tahu solat Jumaat tidak wajib untuk wanita, namun saya merasakan, ia adalah salah satu cara saya beroleh kekuatan saban minggu.


الجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَربَعَة : عَبدٌ مَملُوكٌ ، أَو امرَأَةٌ ،
 أَو صَبِيٌّ ، أَو مَرِيضٌ


"Solat jumaat adalah hak yg wajib ke atas setiap muslim secara berjemaah kecuali 4 golongan: hamba,wanita,kanak2 dan org yg sakit" (Hadis riwayat Abu Daud)


Sebelum ke surau, singgah sebentar mentadabbur alam di Lake Side. Damai. Sudah lama tidak bersendirian di sini, menyucikan jiwa. Menikmati tasbih alam semesta dan hidupan yang tidak saya fahami tapi cukup mendamaikan hati.

"Allah, takdir apa yang Kau telah tuliskan untukku? Kuatkanlah hamba ini agar tidak kembali ke zaman jahiliyahnya semula. Tuntunlah hati ini agar tidak mengikut bisikan syaitan yang sangat halus."

Khuatir, andai setiap niat baik itu diganggu dengan bisikan syaitan. "Ah, cara begini pun boleh. Kau kan niat baik."

Cukuplah 19 tahun diri berkelana meraba-raba dalam gelap. Mencari-cari erti cinta yang sebenar. Cukuplah segala dosa yang dibuat yang mampu mencampakkan roh ini ke neraka. Biarlah 3 tahun ini menjadi saksi diri ini telah berhijrah. Jangan diulang lagi kesilapan lama, ikrar diri. Namun, seringkali jiwa ini tewas.

Allah itu Maha Mengasihani. Apa yang kita minta, Dia akan penuhi. Lambat atau cepat, bukan isunya. Cara lembut atau kasar, bukan kuasa kita. Tapi Dia akan tetap beri. Jika itu yang terbaik untuk kita.

Saya minta untuk dihijabkan segala dosa lalu. Allah perkenankan. Tapi saya menzalimi diri sendiri. Aib diri sendiri dibuka hijabnya sedangkan perkara itu tidak memberi manfaat. Kenapa menzalimi diri sendiri?

****
Semangat yang luntur dan pudar. Punca dari mindset atau hati? Adakah hati kita sakit? Jika hati sakit, apa sebenarnya yang menurun? Iman. Iman yang kuat, walau diguncah dengan mata pedang, tidak akan mengalihkan syahadah yang bertakhta dalam jiwa. Takkan lena diulit mimpi keasyikan dunia. Namun, andai iman itu lemah, sebaris kata-kata cukup mengubah diri menjadi bukan yang sebenar. Cukup membuatkan masa berlalu tanpa digunakan semanfaatnya.

Terkedu dengan status Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Meskipun ia berkenaan isu perkahwinan, namun saya melihat dasar utamanya, iaitu iman.

"Berkahwin bukanlah ubat kuat untuk mengelak maksiat kemaluan seperti zina, ia hanyalah satu bentuk penyempurnaan tuntutan fitrah. NAMUN apabila fitrah sudah dicemari oleh NAFSU, kahwin TIDAK mampu mencegah maksiat, hatta berkahwin empat sekalipun. Yang mampu mencegah zina adalah IMAN DI HATI dan FIKIRAN. Jika itu dicapai, tanpa berkahwin, seseorang itu MAMPU jauhi maksiat. Puasa mampu mencegah maksiat bukan kerana tidak makan minum, NAMUN kerana keimanan seseorang itu bertambah, lalu kuatlah taqwa & fikiran akhiratnya."


Iman itu ada pasang surutnya. Namun, sewajarnyalah ia tidak surut seperti mana ketika di zaman jahiliyah. Andai perkara itu berlaku sebegitu rupa, apalah maknanya taubat yang dilafazkan. Apalah ertinya airmata yang mengalir dalam sujud?

Bimbinglah kami, ya Allah.. Kuatkanlah iman kami, ya Rahman. Peliharalah kami dalam rahmatMu, ya Rahim.


"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...