Wednesday 25 April 2012

Bersih- Revisited

Andai dulu,
setiap saat laungan rakyat bergema,
gempita takbir memuji yang Esa,
langkah diatur bergerak bersama,
melangkah gagah mencipta sejarah,
sejarah sebuah negara yang merdeka,
merdeka pada nama, bukan apa-apa.

Meski kami tidak kenal sesiapa,
meski kami hanya insan kerdil cuba menabur jasa,
setiap susuk tubuh itu mengobarkan semangat di jiwa,
setiap batang tubuh itu saling menguatkan, saling berganding tenaga.

Asap pedih bukan pemisah,
air penghakis bukan pelemah,
jeritan provokasi bukan hujah,
bantaian berbisa bukan helah.

Tapi kini,
aku di sini,
tidak bersama di ibu pertiwi,
mendendang sorak yang penuh berani,
menangkis panah yang bisa menyakiti,
menghadapi gelora menegakkan kalimah suci.

Meski aku jauh beribu batu dari kalian,
tidak berhenti ku bersama bergandingan,
untuk sama berjuang menuntut keadilan,
demi sebuah ketelusan dan kemenangan,
di dataran yang menjadi saksi kemerdekaan,
kali ini bukan pada nama, ia akan penuh ketulenan.

Mungkin kali ini, wajah ini tidak dibasahi airmata kepedihan,
mungkin kali ini jasad ini tidak didera kesakitan,
mungkin kali ini rongga ini tidak ditusuk kesesakan,
mungkin kali ini mata ini tidak menyaksikan kezaliman,
mungkin jihadku tidak seagung teman-teman.

Semangat yang sama masih membakar,
doa yang sama masih terus memagar,
agar saudara-saudaraku terus mekar,
bersatu menghadapi ancaman kasar,
andai mereka disakiti, akan ku tuntut di padang Mahsyar.

****
Untuk semua yang bakal turun ke Dataran Merdeka, semarakkanlah semangat anda! Kami di sini sentiasa mendoakan kesejahteraan perwira-perwira penegak keadilan! Rebutlah peluang. Kita tidak tahu, mungkinkah ini kali terakhir untuk kita sama-sama mencipta sejarah.

Andai FRU datang mengganggu, hadapilah setiap tentangan itu dengan hikmah. Inilah masanya untuk merasa sekelumit luka di medan jihad yang meski berparut, bukan penghalang untuk terus menginfakkan jiwa dan raga untuk sebuah keadilan.

Yang merindui jagaan sahabat-sahabat, mesej prihatin yang diterima, garam dan ubat gigi yang diberi tanpa mengenal nama, kata-kata semangat yang diucapkan, tangan yang menghulur bantuan dan ribat yang melindungi serikandi pejuang.


'Kakanda' di medan Merdeka..

'Adinda' di kota London..

Sama-sama berjuang.. sama- sama berbakti..
Semoga tabah hati..

****
Diari 9 Julai 2011
Maaf andai cerita sebanyak 8 mukasurat ini terlalu panjang dan menjemukan. Sengaja diceritakan secara terperinci agar antum dapat merasai apa yang kami rasa pada Sabtu lepas. Ini adalah program tarbiyah terbaik kami pernah sertai. Sakit terkena gas pemedih mata, kepenatan, dahaga, loya, ketakutan telah memberi kami secebis kemanisan andai kami syahid di jalan Allah. Memang pedih, memang sakit, memang takut, tapi kemanisan itu terlalu indah. Ini baru berdemo, belum lagi berperang. Belum lagi menitis darah kami. Belum lagi tercabut nyawa ini di jalan jihad. Patutlah orang yang berdemo, tak pernah serik. Sebagaimana para sahabat dan Rasulullah saw sendiri yang terus menerus bersabung nyawa dalam perang walaupun cedera parah dalam setiap pertempuran.

10.00 pagi
Tiada seorang pun penumpang yang memenuhi komuter memakai baju kuning. Dua sahabat yang sudah tiba di pusat bandar seawal 6.30 pagi melaporkan, mereka tidak dibenarkan masuk ke Masjid Negara. Malahan, orang-orang yang sememangnya datang mahu menunaikan solat sunat akan dikawal agar segera keluar selepas menunaikan solat tersebut.

10.30 pagi
Turun dari komuter. Agak terperanjat dengan lambakan manusia yang memenuhi stesen Kuala Lumpur. Ada yang berkopiah dan berserban. Yang muslimat, berpakaian formal dan tidak kelihatan seperti hendak berdemo. Kamera DSLR dan perakam video di mana-mana.

Sesekali kedengaran laungan takbir, mungkin kerana ada pimpinan yang baru tiba dari komuter. Hampir setiap muslimat di situ berniqab, sama ada dengan tuala, tudung mahupun niqab sebenar. Tujuannya lebih kepada, menjaga mereka dari media yang berada di merata-rata tempat dan juga sebagai persediaan berdepan gas pemedih mata, kelak.

Sewaktu menunggu di dalam stesen, segerombolan polis tiba. Kami diarahkan masuk ke terminal. Yang masih tinggal di luar terminal, diperiksa tiket mereka untuk membuktikan mereka berada di situ bukan kerana untuk menyertai demo. Sekumpulan orang awam telah ditangkap secara sebarangan, kebanyakannya kerana mereka yang begitu lantang melaungkan takbir.

Makin lama, makin rancak kami bertakbir dan melaungkan syahadah. Sewaktu keadaan makin genting dengan lebih ramai orang diarahkan masuk ke dalam trak, kedengaran muslimat membacakan doa dan sama-sama mengaminkan. Kami diarahkan dengan jeritan keluar dari stesen.

Dalam perjalanan keluar, beberapa polis telah menarik seorang muslimin yang enggan masuk ke dalam trak. Kezaliman kelihatan di depan mata bagaimana mangsa ditarik sedemikian rupa. Rasa sedih lebih menghantui dari rasa takut andai ditangkap.Seorang lagi muslimin telah melarikan diri. Polis yang cuba mengejar berdepan kepayahan kerana kami yang lain bersama-sama cuba menyesakkan laluan mereka.

Waktu berjalan keluar dari stesen, kami melintasi puak polis yang berkawal. Jeritan dihalakan ke arah kami termasuk para muslimat. ”Ni semua pelajar ni! UIA ke?!” Boleh pekak telinga sebab betul-betul dijerit ke telinga kita. Tak gentleman langsung!

11.00 pagi
Stesen Kuala Lumpur telah dikosongkan. Kami yang dihalau berada di tempat letak kereta. Sewaktu trak polis yang membawa mereka yang ditahan melintasi kami, mangsa-mangsa begitu bersemangat melaungkan takbir dari dalam trak. Kami menyahut dan bersorak bangga. Makin bersemangat melihatkan mereka yang telah diuji jihad mereka dalam sekelip mata.

Selepas beberapa lama, kami semua bergerak menghala ke Stadium Merdeka. Rombongan ini melaungkan takbir dan syahadah sepanjang perjalanan. Adakalanya kami menjerit ”Turun! Turun!” buat orang awam yang menonton dari atas jejantas dan stesen.

Sewaktu melintasi lori pos, pemandu di dalamnya menunjukkan ’thumb’s up’ kepada kami. Pekerja Pejabat Pos besar itu mengucapkan kata-kata semangat walaupun masih tetap di tempat pemandunya. Malu tapi mahu. Ini sebenarnya yang dipamerkan oleh kebanyakan orang awam yang kami lintasi. Mereka turut melaungkan takbir dan bersorak, namun tidak ikut bergerak.. Moga Allah merahmati mereka atas suara yang diteriakkan.

Beberapa warga asing turun kelihatan di tempat kejadian. Seorang warga Eropah begitu semangat melaungkan ’Bersah! Bersah!” sambil mengangkat tangannya tanda menyokong kami. Seorang Uncle India yang kudung sebelah kakinya begitu gagah melangkah dengan tongkatnya. ”Malu kita.. Kalau kita tak sekuat pakcik ni..”
Setibanya kami di perkarangan Stadium Merdeka, FRU telah menanti dengan trak merahnya di hadapan. Tidak sempat pun kami berdemo, kami telah diarahkan duduk. Kami ikut. Namun, entah kenapa, FRU tetap menembak peluru berisi gas pemedih mata. Beberapa peluru mendarat di belakang kami. Dalam sekelip mata, suasana bertukar kacau bilau dengan demonstrans yang berlarian, bunyi batuk dan loya yang menyeksakan. Waktu itu dirasakan bagai jam telah terhenti.

Setiap nafas yang ditarik adalah satu ancaman. Hendak ditahan nafas, tidak mampu, kerana kami sedang berlari. Mata yang dibuka untuk melihat laluan, terdedah pada gas itu lalu mengalirkan air mata tanpa henti. Air juga keluar dari hidung kerana tidak mampu ditampung oleh mata.

Pedihnya gas itu berganda pedihnya dari pedih terkena air bawang. Jika gas itu dihidu, baunya sangat tengik. Seolah-olah menghidu asap tebal hasil pembakaran botol plastik. Peningnya hingga ke otak rasanya. Udara tercemar yang mengenai kulit yang terdedah menyakitkan seolah-olah luka ditabur serbuk cili. Serius, pedih di tangan dan muka. Apa pilihan yang kami ada? Hendak tutup mata sepenuhnya, bagaimana kami hendak melarikan diri dari asap tebal yang mengepung kami? Hendak berhenti nafas, mustahil walaupun kesakitan memuncak itu hanya dirasakan dalam 5 minit pertama. Ada warga asing yang sekadar memakai singlet dan seluar pendek terkena gas itu juga. Hingga merah badannya dibuat gas itu.

Waktu itu, kedengaran jeritan ramai demonstrans yang masih memikirkan orang lain. ”Tutup muka dengan kain basah cepat!! Makan garam! Basuh muka yang pedih tu! Siapa nak air? Siapa nak garam?” Jika tiada yang mengingatkan, sudah tentu kami lupa apa yang sepatutnya dibuat waktu suasana hiruk-pikuk itu.

Keadaan mula tenang sedikit selepas kami berjaya lepas dari kepulan asap itu dan kepedihan mata makin berkurang. Kelihatan uncle India itu masih melangkah gagah namun kali ini lebih agresif mengutuk kezaliman. Ramai yang membantu demonstrans lain dengan menghulurkan air minuman dan garam mereka kepada orang yang tidak pun mereka kenali. Jelas kelihatan di situ, demo ini membuktikan rakyat lebih memahami konsep 1Malaysia dari pemerintah dan FRU sendiri.

12.00 tengahari
Selepas keadaan makin stabil, kami mula bergerak melalui jalan lain. Ada kalanya FRU melepaskan tembakan gas pemedih mata dari seberang jejantas, namun kesannya tidak sedahsyat sebelumnya. Ada kekhuatiran disuarakan memandangkan masih belum kelihatan pemimpin demonstrasi mahupun Unit Amal yang biasanya akan mengetuai pergerakan itu. Bimbang andai ada ’tali barut’ yang cuba memecahkan kumpulan ini dari kumpulan besar yang lain dan membawa kami ke jalan yang salah.

Namun, lantaran tiada pimpinan yang jelas, kami sekadar mengikut individu di hadapan yang sesekali kelihatan berhubung dengan telefon. Rupanya, pada hari itu, Unit Amal tidak memakai seragam merah mereka, sebaliknya berbaju putih dengan lengan diikat tali merah. Kelihatan mereka begitu cekap mengawal lalu lintas dan mengawal gerombolan kami agar tidak terlalu bising (berhenti berlaung jika ada pesanan ingin disampaikan).

Jauh juga kami berjalan. Hinggalah kelihatan ribuan manusia telah menanti kami di hadapan Bangunan Daya Bumi. Sorakan kegembiraan dan lambaian diberikan seolah-olah menyambut saudara yang terpisah lama. Waktu itu, muslimat (dan sisters lain) mula dikumpulkan di satu tempat dan dikawal rapi oleh muslimin dan Unit Amal yang membuat ribat (berpegangan tangan). Lagu Negaraku dinyanyikan beramai-ramai.

Kami mara ke hadapan. Waktu itu, FRU sudah mula memancutkan air kimia ke arah kami. Namun, pelik, air itu hanya dapat membuat putaran 30° sebelum berhenti. Jadi, hanya di sebelah kanan hadapan sahaja yang terkena air itu. Melihatkan perkara itu, rakyat makin mara ke hadapan. FRU berundur sedikit. Ada suara nakal kedengaran ”Tangki da habis air ke?!” Sekali lagi FRU cuba memancutkan air ke arah mereka, namun perkara sama berulang.

Habis daya, lambakan peluru gas pemedih mata ditembak ke arah kami. Namun dek kerana terlalu ramai yang berhimpun di situ (sebesar-besar jalan dan setinggi-tinggi cerun bukit di situ padat dengan manusia), gas itu tidak cukup memedihkan mata semua yang ada. Tidak dapat dipastikan, adakah bilangan yang berkumpul di situ adalah bilangan sebenar demonstrans kerana sebelum dan selepas itu, kami berpecah dan telah berkumpul di beberapa tempat pada masa yang sama.

Ada yang berlari ke belakang bangunan. Kami menyertai kumpulan ini, dan seterusnya turun menyertai kumpulan yang berkumpul di hadapan Puduraya. Waktu itu, kedengaran suara menyatakan, andai hujan turun, gas pemedih mata dan air kimia itu tidak akan dapat memberikan kesan seburuk pagi tadi (cuaca pagi itu panas). Tambah-tambah lagi, langit mulai mendung. Kami berdoa..

1.30 petang
Sewaktu formasi ribat dibentuk, ada yang menghulurkan ubat gigi. Kain dibasahkan dan dengannya, disapukan ubat gigi ke seluruh muka untuk meneutralkan keasidan asap pemedih mata itu nanti.

Seorang uncle India memberi kata semangat kepada kami, ”ala dik, apa nak takut. Kalau masuk hospital pun, hospital dekat saja. Kalau kerajaan tak bertukar, setiap tahun kita kena buat Bersih dan kena macam ni..” Kami mengangguk tanda setuju. Dirasakan bagai kami sahaja yang masih baru dalam seni berdemo ini. Namun, tidak sedikit pun lokek mereka yang tak dikenali mencurahkan ilmu kepada kami.

Seorang auntie India ditolak kerusi rodanya melalui gerombolan kami. Lantas, sorakan dilaungkan menyahut lambaian dan laungan ’Bersih' beliau. Seorang pakcik Muslim ini, cacat tangannya, namun begitu bersemangat membacakan ayat Al-Quran ketika sedang berdemo. Allah.. mereka tidak sempurna, tapi semangat juang mereka menentang kezaliman lebih teguh dari jasad kami sendiri.

Ribat dibentuk. Barisan muslimin berdiri di hadapan kelompok muslimat. Sekali kali lagu Negaraku dinyanyikan secara sendiri. Selepas itu, sekumpulan anak muda meneruskan dengan nyanyian Inilah Barisan Kita. Kami melangkah mara ke depan.

Waktu itu, hujan mula menitis. Kedengaran suara-suara mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Waktu itu, tiada lafaz yang boleh menggambarkan betapa merasai perjuangan orang-orang yang dizalimi ini telah dibantu oleh Allah dengan hujan yang diturunkan. Alangkah baiknya, jika non-Muslims turut merasai kesyukuran dan erti perjuangan ini. Bukan semata-mata kerana keadilan, tapi kerana demi menegakkan kalimah Allah. Titisan hujan semakin kerap. Takbir dilaungkan. Beberapa Uncle India turut ikut bertakbir. SubhanaAllah, besar medan dakwah waktu berdemo ini. Dalam kesesakan itu, bangga jika dikatakan, ikhtilat masih dijaga. Tidak dapat dinafikan, adakala, muslimat berebut jalan dengan kaum Adam. Namun, tidak dilihat mereka berlaga. Pantas muslimin memberi laluan kepada muslimat dan wanita lain.

Di depan dan belakang kami sudah dikepung dengan FRU. FRU menyuruh kami duduk. Kami mengikut arahan. Namun, tak lama selepas itu beberapa gas pemedih mata dilepaskan. Namun, dek kerana cuaca mulai redup, gas itu lambat memenuhi ruang udara dan tidak tersebar jauh. Himpunan manusia itu tidak berjaya disuraikan.

Beberapa kali percubaan, kami hanya berundur beberapa langkah, sebelum mara semula ke depan sambil melaungkan ”Bersih! Bersih!”, ”Hidup Rakyat!”, ”Hancur Kezaliman” dan sebagainya. Sesekali kedengaran beberapa laungan yang agak kasar, seperti ”Mampus BN” namun biasanya ia tidak bersambut. Kami diingatkan acap kali, jangan terikut dengan provokasi.

Akhirnya, FRU telah melepaskan tembakan bertalu-talu. Kali ini, peluru gas mendarat di merata tempat. Beberapa peluru jatuh betul-betul di tepi kami. Waktu itu, kami tidak dapat lari ke mana-mana kerana telah dikepung. Hanya jalan-jalan kecil di tepi kedai dapat kami lalui dalam kesesakan itu. Kami tidak dapat bergerak sedikit pun. Sedangkan asap tebal telah memenuhi udara di situ. Tuala basah tadi ditekup di muka. Udara dihidu melalui tuala itu. Mata tidak dibuka sedikit pun. Kalau bergerak pun, hanya mengikut asakan orang-orang yang berhimpit dengan kita. Tak tahu kita di mana. Cuma dikhuatiri takut jatuh longkang sahaja. Istighfar diucapkan tidak berhenti.

Hujan lebat mula turun membasahi bumi. Kami berasak-asak selama 5 minit lebih kurang sebelum berjaya mendaki anak tangga yang pertama. Berlari mendapatkan tempat berteduh. Pedih muka mula terasa. Hujan lebat itu tidak diendahkan. Muka ditadahkan ke langit untuk membasuh debu asid yang hinggap di muka.

”Buat apa la adik-adik datang sini.. Da la basah habis, kena gas pemedih mata lagi..” seorang pakcik Melayu yang dalam lingkungan 40-an bertanya pada kami. ”Ala pakcik, orang lain pun kena juga. Apa la sangat yang kami rasa ni untuk dibandingkan dengan orang lain..” ”Oh, takde.. Pakcik tanya je. Semua yang datang ni pun, sokong apa yang dibuat.”

Dilihat beberapa kenderaan terutama teksi mundar-mandir di kawasan belakang bangunan kedai tempat kami berteduh. Kenderaan ini kadang-kadang berhenti dan beberapa demonstrans masuk ke dalam kereta. Disyaki kenderaan ini adalah dari puak-puak demonstrans juga.

3.00 petang
Sedang elok menanti hujan yang mulai reda berhenti turun, kami dikejutkan dengan larian para demonstrans menjauhi tangga. ”Polis kejar!” Kami tanpa berpaling ke belakang, terus melarikan diri ke hujung jalan. Malangnya, kami telah tersalah pilih jalan. Ini jalan mati. Hanya semak berbukit yang boleh menjadi lorong penyelesaian. Nak tak nak perlu juga diredah kerana FRU sudah tiba di tempat itu dan mula menembak gas pemedih mata.

”Takkan kena buat macam ni (jungle trekking) juga waktu demo kot?!” Terkejut kerana tidak menyangka kami perlu mendaki bukit semak setinggi 2m yang curam dalam keadaan basah. ”Pegang pokok-pokok kat tepi tu..” ”Tolong muslimat-muslimat naik dulu!” Beberapa orang sukarelawan, termasuk seorang anak muda Cina menghulurkan tangan membantu demonstrans lain mendaki bukit.

Selesai mendaki, kami tiba di tanah lapang. Namun, sekali lagi ini jalan mati. Sekiranya polis tiba dari tempat kami masuk tadi, pasti kami kali ini tidak dapat terlepas sedikit pun. Waktu itu, kumpulan ini hanya dalam seratus orang. Kumpulan besar di Pudu telah dipisahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Bila berada dalam kumpulan kecil, itu sesuatu yang tidak elok kerana anda mudah diserang.

Dilihat, beberapa pemuda berusaha membuka jalan belukar di hadapan kami menembusi tempat letak kereta Bangunan DBSKL. Bersyukur, mereka begitu proaktif berusaha menyelamatkan kami tanpa perlu disuruh. Kami menuruni bukit curam yang licin. Kami diberi laluan untuk lolos terlebih dahulu sambil mereka memegang pagar kerawat yang telah dibuka.

Ketenangan dan kelegaan hanya sementara. Beberapa polis telah mengikuti kami dan mengejar untuk memecahkan lagi kumpulan yang sudah sedia kecil. Selepas itu, ada yang bergabung dengan kumpulan lain yang kemudiannya menghala semula ke Hentian Puduraya tadi. Kami berdua berhenti sejenak mencari tempat solat kerana jam sudah menunjukkan pukul 3.30 petang.

Terfikir, bagaimanalah solat Zuhur mereka yang lain. Diharapkan dalam kesibukan demo, mereka tidak meninggalkan perintah yang wajib itu. Kecewa, kerana kalau ikutkan, demo ini hanya akan bermula selepas pukul 2. Telah dirancang hendak solat berjemaah dahulu di masjid. Tapi dek kerana serbuan polis, kami bermula seawal 11 pagi. Makan tengahari memang sah-sahla belum. Ada dalam kalangan demonstrans sendiri tidak sempat bersarapan. Namun, masyaAllah, Allah mengurniakan kami tenaga yang luar biasa.

Dalam mencari surau, seorang pakcik (waktu itu kami tak tahu beliau adalah Unit Amal) memberitahu, beliau sendiri tidak tahu, apa pelan pergerakan kita. Banyak nombor yang dihubunginya tidak berangkat. Katanya, mungkin kerana mereka telah ditangkap polis.

Kami mencari-cari air untuk mengambil wuduk. Hendak masuk ke dalam bangunan DBSKL, kami khuatir akan dihalau kerana kami akan ’mengotorkan’ bangunan itu. Syukur, kami hanya mahu air, tapi Allah temukan kami dengan surau. SubhanaAllah, kami telah terjumpa surau di tepi bangunan DBSKL itu. Sedangkan, sudah beberapa orang kami tanya, mereka semua tidak tahu di mana surau atau masjid terdekat.

Waktu melangkah masuk ke dalam surau, terdengar cerita pengunjung surau ini. Katanya, ada kanak-kanak yang menangis kesakitan kerana terkena gas pemedih mata itu. Allah.. Kita yang dewasa pun, tidak mampu bertahan dalam kepulan asap itu, inikan pula kanak-kanak.

Usai solat, kami tersedar yang tiada lagi gerombolan manusia yang berhimpun di situ. Kami, di samping beberapa yang lain, hilang arah, di mana kumpulan demonstrans berkumpul. Kaki melangkah menuju ke Hentian Puduraya semula. Syukur, seorang pegawai Penerangan Keadilan telah memberi amaran, kami tidak boleh ke hentian itu kerana jalan telah disekat polis. Mereka menipu demonstrans dengan memberi kebenaran palsu untuk menggunakan jalan itu ke Stadium Merdeka, sebaliknya demonstrans yang ada telah ditangkap.

Kami dinasihatkan terus ke Stadium Merdeka mengikut jalan lebih selamat. Tapi kebanyakan jalan pintas sudah disekat. Kami mengikut kumpulan orang di situ. Makin lama, lebih ramai orang yang mengikuti dari belakang, cuma berpecah menjadi dua haluan. Kami bergerak ke arah Stadium Merdeka, kebanyakan yang lain ke arah Istana Negara.



4.15 petang
Tidak tahu di mana kami, jalan raya sudah lengang. Rupanya kami sudah tiba di Hentian Lrt Masjid Jamek. Tak lama selepas itu, dilihat gerombolan manusia keluar dari satu penjuru jalan. Kami diberitahu, perhimpunan sudah berakhir pada pukul 4 petang. Pimpinan Bersih sudah berucap di Stadium Merdeka.

Patutlah puluhan polis begitu lepak berkawal di situ. Jalan itu makin lama, dipenuhi pejuang yang mahu pulang dari medan perang. Tak lama selepas itu, beberapa trak polis dipenuhi tahanan melintasi kami. Takbir dilaungkan buat mereka dengan nada bangga. Beberapa trak FRU pula melintasi. Nada mencemuh pula berkemundang ke udara. Polis yang beristirehat tadi mula menunjukkan belang. Kami disuruh beredar, sedangkan memang kami hendak bersurai pun. Tambah-tambah lagi, stesen LRT Masjid Jamek akan mula beroperasi semula pada pukul 6 petang. Mereka mengusir kami hingga ke Jalan Masjid India. Ada pakcik yang hendak berhenti makan di restoran telah disuruh berusir. ”Kalau nak makan, gi la masuk restoran sekarang!” Kalau ikut adab, polis itu memang gagal seratus peratus.

Kedai makan ada yang dibuka. Berbeza di jalan besar sekitar Kuala Lumpur, amat sukar berjumpa kedai yang dibuka. Jalan sunyi sepi tanpa manusia. Tingkap rumah kedai juga tertutup rapat. Jalan raya sememangnya disekat. Amat sukar melihat sebarang kenderaan ketika berhimpun itu. Memang rasa seolah-olah darurat.

Puas mencari kedai makan. Semua penuh dengan manusia yang kelaparan. Makanan habis. Mujur, beberapa gerai dibuka. Memang untung peniaga hari itu. Seorang peniaga kedai runcit yang kami kunjungi berkata, ”Semua barang jualan sudah banyak yang habis hari ini. Untung, untung.”

Di gerai makan itu, kami berkongsi meja dengan seorang pakcik. Beliau menunjukkan kelongsong peluru gas pemedih mata itu. Disuruhnya kami menghidu gas tumpat yang masih berbaki. Enggan bila memikirkan hingga kini, bau asap itu tidak boleh dilupakan. Kami ditanya beberapa kali, pelajar ke? Pakcik itu kata, tak perlu takut.. Jujur sahaja. Dan jujur juga kami menegaskan, kami bukan lagi pelajar.

Masjid India dipenuhi orang yang hadir menunaikan solat Asar. Waktu itu, kami bertukar cerita dengan sahabat yang turut menyertai Bersih. Kami diberitahu, kumpulan yang berkumpul awal pagi di Masjid Jamek telah diperiksa beg mereka. Jika berisi baju Bersih atau kuning, garam atau ubat gigi, barang itu akan dirampas, dan pemiliknya boleh terus ditangkap. Saat bercerita, sesekali FRU lalu di luar perkarangan masjid. Rasa marah masih bersisa terhadap kezaliman mereka. Namun bila difikirkan semula, mereka hanya bertindak mengikut arahan. Mengikut membabi buta.

Usai solat, kami melangkah mencari stesen komuter Kuala Lumpur semula. Jalan tempat kami berdemo pada awal saat perhimpunan itu disusuri. Dilihat, tiada kerosakan selain sampah yang biasa dilihat saban hari di bandar itu. Kiranya, seolah-olah tiada perhimpunan raksasa pun telah diadakan di situ. Mungkin kerana ada demonstrans yang sukarela memastikan keadaan bandaraya bersih seperti pada hari biasa.

Di stesen, demonstrans menanti komuter tiba. Sesekali, kedengaran laungan takbir dikumandangkan. Kelihatan sebuah keluarga dengan beberapa orang anak yang turut dibawa berdemo. SubhanaAllah, kami sendiri tidak sanggup membuat pengorbanan sebegitu.

Beberapa serangan gas pemedih mata dengan dua yang betul-betul tragik cukup membuatkan mata ini terasa bersinar-sinar. Kulit juga terasa licin. Saluran pernafasan pula terasa lapang. Memang ubat resdung dan jerawat. Cuma kepala sedikit pening. Moga tidak demam (dan alhamdulillah, tidak) meskipun telah lencun bermandi air hujan. Saat menanti komuter, baru terasa filamen kaki ini bagai nak tercabut. Mana taknya, satu bandaraya kami dah berjalan. Fuh, mantap! Terkilan kerana tidak dapat merasa air kimia itu. Memang kena ke demo lagi selepas ini.:)

Pulang ke rumah, cerita bohong seperti biasa, dihidangkan kepada rakyat yang naif. Kalau ikut TV3, asyik muka Patriot sahaja yang keluar. Tapi kami yang di sana, tak nampak sikit pun batang hidung mereka. Fikir semula, senang-senang je kita yang berjuang untuk keadilan mendapat pahala percuma. Patutlah rezeki murah je sentiasa. Ada masalah pun, tenang je. Rupanya sebab dapat pahala percuma bila kita dihujani fitnah dan kezaliman.




"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham

Ku Intai Cinta Dalam Rahsia

Aku tidak mampu menanggung segala bebanan yang bermain dalam fikiran tanpa meluahkannya. Sarat menyerabutkan benak.. Aku sedar cinta ini sudah tidak dapat dibendung lagi. Ia sudah berakar umbi dalam hati.. Adakala ia menghantui, menjadi setiap bayang yang menggelapkan langkahku sehari-hari. Adakala ia menjadi sumber inspirasi, meniupkan api semangat dalam diri.. Namun, masih lagi, bisikan syaitan durjana cuba membuatkan aku lari dari nawaitu sebenar erti cinta ini..

Belenggu ini tentunya tidak dapat aku lafazkan pada si dia. Tentunya haram untuk aku melakukannya selagi mana kami masih dua individu berbeza. Pada siapa untuk ku luahkan kerana barangkali tiada siapa merasa apa yang ku rasa.. Cukuplah bisikan hati ini ku goreskan dalam diari ini, supaya dapat ku tatapi pada kemudian hari.. Andai Allah mengizinkannya, akan ku kongsi pada dunia agar mereka juga beroleh cahaya pedoman yang aku perolehi..

****
Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Aku masih jaga, menyiapkan bahan pembentangan untuk esok. Sekadar mencantikkan slide dan menyusun aturan nota. Lalu, sambil melakukan kerja itu, aku terlintas untuk mendengar nashid Rapuh, nyanyian Opick..

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dadaku harap hanya
DiriMu yang bertakhta

****
Kerap kali aku tanya, di mana cintaku pada Ilahi bila mana hatiku mencintai seorang manusia? Sudahkah aku lupa, cintaku itu matlamatnya ku letakkan untuk ke syurga. Bagaimana mungkin, haruman syurga itu akan mampu ku kecapi andai jalan cinta itu sendiri penuh noda dan prasangka.

Aku sudah tidak mampu menolak cinta itu. Saban hari, makin subur membaja dalam hati. Namun aku sedar, tanpa restu dan redha dariNya, takkan dapat ku raih cinta itu di dunia. Namun aku juga mudah alpa, lalai.. Terikut dengan hawa nafsu, terpana dengan sapaan syaitan agar meraikan cinta dalam hati ini mengikut kononnya fitrah manusia. Mahu terus mendekati, mahu terus menghubungi.

Di mana cinta pada Ilahi berbanding cintaku pada seorang manusia yang baru sahaja berputik? Sudahkah cinta manusiawi itu mengalihkan cintaku pada Ilahi? Adakah cinta manusiawi itu telah jadi yang utama, mengatasi segala?

Dinihari itu, aku terduduk, menginsafi diri.. Menangisi kelemahan diri.. Allah, ampunkan dosaku. Akan ku kuatkan diri mengukuhkan cintaku padaMu. Akan ku mujahadahkan jiwa agar cintaku padanya tidak memudarkan cintaku padaMu..

Biarkan apa yang ada dalam hati ini menjadi sumber pahalaku, untuk terus meminta kepadaMu. Agar menjadi pemacu agar wajah ini terus bersujud mengharapkan yang terbaik untuk kami berdua. Agar airmata ini akan terus mengalir membasahi wajah sang pencinta.

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham
25 April 2012

(Posted on 28 May 2015, 3 years after got married. Alhamdulillah. A sharing for us, especially myself to ponder.. The journey to nikah..)

Monday 23 April 2012

Pasca Kursus Perkahwinan Warwick 2012


Saya rasa, tidak perlulah saya mengulas keseluruhan pengisian kursus yang lebih menyerupai silibus Pendidikan Islam di sekolah. Apa yang boleh saya ceritakan di sini adalah nota utama yang lebih signifikan, bukan untuk mengisi ruang kosong di atas kepingan kertas peperiksaan, namun yang akan ditulis oleh kalam malaikat di kiri dan kanan. Diingatkan bahawa penulisan ini adalah adunan dari pengisian Ustaz Amar dan juga apa yang diproses di minda.

Penceramah, Ustaz Amar yang merupakan Education Attache (Agama) Education Malaysia memulakan pengisian dua hari ini dengan ingatan agar membetulkan niat agar tidak datang ke program ini semata-mata untuk mendapatkan sijil. Terkena pada batang hidung sendiri. Tambah-tambah lagi, sudah kerap kali mendengar pengisian baitul muslim yang selalunya bersifat teori.

Melihat pada skrin di hadapan, telah nyata ada 11 unit pembentangan dalam modul bersepadu ustaz. Unit pertama berkenaan aqidah, diikuti ibadah dan akhlak . Kami diingatkan bahawa asas segala ibadah adalah bermula dengan aqidah yang jelas. Termasuklah pernikahan. Hatta, bila menilai soalan-soalan yang dikemukakan peserta sepanjang kursus, saya melihatkan permasalahan itu sebenarnya dapat diatasi dengan mencegahnya. Mendapatkan pasangan yang punya iman dan taqwa di dada.

Tiada isu bagaimana kalau suami itu menceraikan kita dengan talak sebanyak bintang di langit, bagaimana kalau isteri itu dan ini.. Seorang muslim mungkin akan melakukan kesalahan sebegini, tetapi seorang mukmin akan fikir dahulu dosa dan pahala. Pada seorang mukmin, pernikahan itu bukan sekadar satu ikatan jiwa atau simpulan hati, tapi juga tanggungjawab yang diletakkan kepada pasangan tersebut untuk mendaulatkan Islam dalam keluarga, masyarakat dan negara. Pasangan mukmin juga akan sedar bahawa andai lidah mereka tergigit, sumber rujukan mereka adalah Al-Quran dan as-sunnah.

Pasangan mukmin akan sedar bahawa aqidah yang kukuh adalah benteng andai masalah datang menyerang. Usia rumahtangga yang dibina bukanlah tanda kematangan dan keutuhan mahligai itu dalam menghadapi ancaman gelora yang menerpa, kerana ada yang telah retak walaupun belasan tahun bersama.

Islam telah menggariskan 6 hukum dalam ibadah yakni wajib, harus, sunat, makruh, haram dan fardhu. Beza antara wajib dan fardhu amat ketara dalam haji. Haji adalah ibadah fardhu. Di dalamnya ada ibadah wajib dan sunat. Semua perkara muamalat asas hukumnya adalah harus, namun hukum ini boleh berubah mengikut keadaan. Begitu juga nikah. Untuk tahu bilakah masanya kita sesuai untuk bernikah, kajilah kembali hukum bila mana nikah itu adalah wajib, harus, sunat, makruh mahupun haram untuk kita.

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

“Dan bergaullah kalian (para suami) dengan mereka (para isteri) secara patut.” (Surah An-Nisa`: 19)
”Sebaik-baik perempuan atau isteri ialah bila engkau menatap kepadanya, menggembirakan hati engkau. Dan bila engkau menyuruh dia mengikut perintah engkau dan bila engkau bersumpah atasnya, dia berbuat baik terhadap engkau. Dan bila engkau tiada di rumah, dia menjaga dirinya dan harta engkau.” (Hadis riwayat al-Nasai)

Sudah diketahui bahawa kewajipan isteri adalah mentaati suami. Hal ini kerana, sewaktu akad nikah, telah berpindahlah tanggungjawab bapa isteri itu untuk dipersoalkan oleh Allah andai isteri itu melakukan sebarang dosa. Apabila telah bernikah, suamilah yang menanggungnya. Maka isteri wajiblah taat pada suami selagi mana ia tidak bercanggah pada syarak.



Melangkah ke Unit Perkahwinan, kami ditekankan tentang matlamat sebenar perkahwinan yakni  السكينة (ketenangan), المودة (kasih sayang) dan الرحمة (belas kasihan). Dan matlamat inilah yang selalunya terselindung di balik tanggungjawab menjaga anak-anak hingga terlupa hubungan suami isteri yang semakin hambar.

Sebelum berkahwin, persediaan yang perlu ada tentunya ilmu fardhu ain dan kifayah, ekonomi dan juga kesediaan hidup bermasyarakat. Diingatkan bahawa ketidakstabilan ekonomi dalam keluarga antara penyumbang utama keruntuhan rumahtangga. 

Kalau di negara Arab, sebelum berkahwin, perlu ada kunci kereta dan rumah.

Melangkah seterusnya ke fasa pertunangan, yang merupakan perjanjian antara pasangan itu untuk berkahwin. Ketika itu, tanda diberi sebagai nilai harga pertunangan itu. Tidak semestinya cincin, kain batik berlabuci pun boleh juga ;p

Seterusnya, apabila dua insan itu disatukan dalam majlis akad nikah, walimatul urus atau kenduri kesyukuran diadakan bagi menghebahkan perkahwinan itu dan menimbulkan keberkatan dan ketaqwaan. Malahan ia adalah sunat muakkad.

”Mengadakan kenduri kahwin pada hari pertama perkahwinan adalah dituntut. Dan pada hari kedua adalah kebiasaan. Dan pada hari ketiga adalah bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Selepas pernikahan, pasangan perlu bersedia dengan kehidupan yang penuh kejutan. Hidup baru bersama suami yang baru sepenuhnya dikenali, dengan keluarga mertua hatta dengan anak-anak yang bakal lahir.

Muhasabah dan perbincangan adalah satu keperluan untuk menangani sebarang tekanan mahupun konlik yang dihadapi oleh pasangan dan rumahtangga. Oleh itu, kami telah diminta menjalani ujian personaliti ’Johari window’. Ujian ini untuk muhasabah dan menambah baik diri bagi menjadi individu yang boleh membawa hubungan yang bersifat terbuka dan lebih telus. Agar suami isteri itu menjadi seperti sahabat baik yang tidak silu berkongsi suka dan duka.

Menariknya kursus yang di Warwick ini berbanding dengan tempat lain adalah bengkel yang diuruskan oleh kakak-kakak dan abang-abang postgrad. Kami dibahagikan untuk membincangkan 3 isu. Isu pertama adalah ciri-ciri suami dan isteri pilihan. Mendengarkan pembentangan 6 ciri-ciri isteri pilihan dan 17 (tidak termasuk ciri-ciri terselindung di balik koma dan ’dan’) ciri-ciri suami pilihan, dapat disimpulkan bahawa semua mengimpikan pasangan berakhlak mulia. 

Terlupa nak ambil gambar ciri-ciri isteri yang tidak diingini. Antaranya, shopaholic. Susah tu akh kalau nak jumpa yang tak suka shopping;p

Tiada khilaf apakah yang dimaksudkan dengan akhlak mulia. Semua mengimpikan yang baik. Dan Allah telah beritahu yang baik itu adalah untuk orang yang baik. Bukan sekadar beritahu, tapi agar kita berusaha ke arah itu. Antaranya melalui peningkatan ilmu secara berguru (secara berdepan lebih keberkatannya) dan juga penghayatan kehidupan berjemaah. Ustaz berkongsi tips, kita akan dapat mengenali akhlak sebenar seseorang itu andainya kita telah kenal lama orang itu, atau boleh juga kita menggunakan orang tengah yang rapat dengan orang itu.

Isu lain yang dibincangkan adalah cadangan aktiviti yang boleh dibuat untuk meluangkan masa berkualiti dengan keluarga atau pasangan dan kesan akibat bercerita masalah rumahtangga pada orang luar. Menarik bila satu kumpulan menyentuh berkenaan bahana Facebook yang merupakan media yang berpotensi menjadi bahaya sekiranya disalahguna untuk mengadu masalah rumahtangga. Setiap perkara dalam rumahtangga yang diceritakan di alam maya boleh mencetuskan fitnah malahan persepsi kepada umum dan mampu menjejaskan imej kita di khalayak, hingga hilang kepercayaan pasangan mahupun masyarakat ke atas kita.

Kursus ini ditutup dengan peringatan bahawa kita perlu mengubah paradigma melihat pernikahan sebagai kemuncak percintaan, sebaliknya puncak kita adalah apabila kita dapat pastikan bahawa ahli keluarga kita (pasangan dan anak-anak) akan ke syurga.

Usai menamatkan dua hari berkursus pra-perkahwinan, saya merasakan kepentingan yang sama perlu diterapkan kepada muslimin dan muslimat untuk terus menimba ilmu menerusi kursus pasca perkahwinan pula. Pengalaman mengikuti kursus pasca perkahwinan dua tahun lepas sangat membuka mata, bahawa perkahwinan itu bukanlah indah dan tenang yang seperti yang kita sangka. Masakan baginda saw boleh meletakkan perkahwinan itu sebagai separuh pelengkap kepada agama andai ia mudah sahaja dilalui.

Oleh itu, wajarlah diingatkan pada diri sendiri dan sahabat-sahabat bahawa yang kita telah perhalusi selama dua hari ini hanyalah teori. Praktikalnya bakal dihadapi oleh kita satu hari nanti insyaAllah, tapi alangkah baiknya andai kita bersedia dengan mengutip pengalaman mereka yang telah melaluinya.


"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 


Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham

Friday 13 April 2012

Ketika Cinta Bertakbir

Sepatutnya masa ini digunakan untuk membaca artikel untuk esei yang perlu disiapkan. Namun kaca laptop yang ditatap seolah-olah ditembusi dengan apa yang sedang bermain dalam minda. Ah, selagi monolog ini tidak diluahkan di sini, selagi itulah ia akan terus menghantui.. Bukan sekadar monolog, ia adalah penyucian jiwa.. Lalu, jari ditarikan di sini..

***

Entah mengapa, tatkala zikir ini dialunkan, perkara pertama yang ditanya pada diri, "kenapa engkau mencari kasih selain kasih Ilahi? Tidak cukupkah segala kasih sayang yang ada di sisimu tika ini? Kasih sayang dari ibu bapamu, keluargamu, teman-temanmu, dan yang lebih penting dari Tuhanmu? Telah banyak yang Dia kurniakan, tapi berapa banyak yang engkau bersyukur?" Allah..

فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? (Surah ar-Rahman:13)

Air mata menitis sewaktu mengikuti alunan zikir di subuh hari itu.. Tidak lama selepas itu, barulah ku tahu, makna zikir itu.. "Cukuplah bagiku oh Tuhanku.." SubhanaAllah.. Aku terus terlupa, inilah nashid yang pernah disampaikan oleh anak-anak muridku..

Cukuplah bagiku, oh Tuhanku
Yang ku sembah, ya Allah
Cintakan bunga, bunga kan layu
Cintakan manusia, manusia kan mati
Cintakan nabi, cinta sejati
Cintakan Allah, kekal abadi


Kasih Yang Dicari
Seringkali diingatkan pada diri, pernikahan itu bukan kerana khuatir diri menjadi anak dara tua, bukan untuk bersaing dengan teman-teman yang selang tiga bulan akan menyampaikan khabar gumbira bakal berumahtangga, bukan untuk memuaskan hati ibu bapa mahu melihat puterinya terjaga, bukan untuk mengisi kekosongan di jiwa.

Acapkali diingatkan agar ditetapkan niat, diri ini mencari seorang pendamping syurga, bukan sekadar seorang suami. Seorang yang akan sama-sama berjuang di jalanNya. Sama-sama meneguhkan, sama-sama menyokong, sama-sama membetulkan, sama-sama membentuk bakal khalifah dan pejuang agama Allah. Semuanya untuk mencapai redha Allah.

Diri ini bukan sekadar mahu menjadi seorang isteri, namun bidadari tercantik untuk sang suami di syurga. Menjadi seperti Siti Khadijah yang meneguhkan, seperti Ummu Sulaim yang membimbing kepada Allah.. Oleh itu, niatnya sentiasa perlu diperbaharui. Hati perlu sentiasa dijaga. Syurga tidak akan dapat dikecapi andai diri bersalut noda.


قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah: 24)

Ah, it's easily said, but to turn it into reality, muhajadah is highly needed for both parties. Nonetheless, at least, we have the aims, the end in mind.

Diri ini hanya mampu mengharapkan yang terbaik dari Tuhannya. Laksanakanlah tapisanMu, jangan lepaskan pandanganMu ke atasku.. Jangan biarkan aku menentukan nasib hidupku sendiri.. Temukanlah ku dengan hambaMu yang akan mencintaiku selepas cintanya pada Allah, Rasul dan jihad di jalanNya. Istisyarah dan istikharah sebagai usaha, menjadi pendamping kepada doa..



Bicara Anak Dara
"Kak, nanti kahwin, jemput!"
"Pastikan akak buat majlis waktu kami di Malaysia. Kalau tak, kami merajuk dengan akak!"
"InsyaAllah, nanti akak bagi kad waktu SMILE 2013 k;p (Doa, amiinn). Kad da ada, nama je belum ada lagi ;p"

Itu seloroh kami. Bukan sekadar jenaka, tapi penuh makna. Diharapkan ia menjadi satu doa yang dititipkan dari teman-teman.

Andai Aku Perlu..
Andai aku perlu menjadi seperti Siti Khadijah binti Khuwailid, berani dan matang menyampaikan hasrat hatinya pada Rasulullah saw, aku rela. Dengan harapan, sunnahnya akan terjadi ke atas diriku: meski beliau tiada, cintanya Rasulullah ke atasnya tidak berbelah bahagi.

Andai aku perlu menjadi seperti Aisyah binti Abu Bakar, disatukan dengan Rasulullah saw atas kehendak orang yang lebih tua, aku rela. Dengan harapan, sunnahnya akan terjadi ke atas diriku: beliau menjadi kesayangan baginda saw berbanding insan-insan lain sezamannya.

Andai aku perlu menjadi seperti Fatimah binti Muhamad, wanita bertuah yang berjaya memiliki insan yang dicintainya sejak sekian lama, aku rela. Dengan harapan, sunnahnya akan terjadi ke atas diriku: cinta mereka diratib atas untaian tasbih menegakkan kalimah Allah di dunia.

Andai aku perlu menjadi seperti Rabiatul Adawiyah, hingga ke akhir hayatnya, beliau sendiri, hanya Allah di sisi, aku rela. Dengan harapan, sunnahnya akan terjadi ke atas diriku: cintanya yang satu itu mendekatkannya kepada TuhanNya, lebih daripada bila berdua.


Ya Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui takdir yang telah Kau suratkan ke atas kami, Tuhan yang Maha Bijaksana membaca isi hati, bimbinglah kami. Jadikan semua ini sebagai wasilah untuk kami bertemuMu di alam abadi..

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

Wednesday 4 April 2012

Pasca SMILE 2012

Alhamdulillah wa syukurillah.. Tiada puji melainkan kepada Allah, Tuhan yang tidak henti-henti mengurniakan rahmat ke atas hambaNya meski kami tidak bersungguh meminta kepadaNya.

Pertama kali bekerja sama menghasilkan video. Sedangkan kami berdua jauh terpisah oleh jarak.

Debar di hati telah pun berakhir tatkala semua penceramah selamat pulang ke teratak masing-masing. Debar itu dirasakan seolah-olah hamba ini tidak pernah mengendalikan sebarang program besar, sedangkan dulu dia adalah salah seorang pengurus untuk Nottingham Malaysian Games. Mungkin kerana kali ini, penceramah-penceramah yang dijemput bukan orang sebarangan.

Alhamdulillah, lega bila melihat semua mereka di atas tersenyum tanda puas sewaktu mahu pulang dari SMILE 2012.

Sebelum ini, hanya sekadar menelefon dan berutus email, namun hanya di SMILE 2012, saya berkesempatan bersua muka dengan insan-insan hebat tersebut. Bukan senang menjadi Pengarah Modul. Jujur saya kata, saya lebih suka menguruskan kerja teknikal berbanding berurusan dengan orang. Walaupun tugas berurusan dengan penceramah saya telah serahkan kepada AJK Penceramah, namun masih lagi, sebarang urusan berkaitan pertukaran tentatif, saya masih perlu merujuk kepada penceramah yang ada.

****
Tarbiyah Mengendalikan Program

Sudah diketahui, sekiranya kita menjadi ahli jawatankuasa program, usah mimpi untuk duduk senang di dewan. Usah perduli andai kita tidak mampu menikmati setiap pengisian yang tersaji. Usah harap dapat menyantapi makanan yang tersedia untuk kita pada waktunya.

Itu perkara biasa. Hinggakan puas dipaksa oleh isteri-isteri para penceramah untuk makan, namun masakan boleh, andai banyak lagi urusan belum selesai. Akhirnya, roti Subway yang dibeli semalamnya dikongsi dengan Setiausaha Unit Modul lalu menjadi pembekal tenaga sepanjang hari.

Tarbiyah kami, ahli jawatankuasa SMILE 2012 bukan di dalam dewan. Tarbiyah kami di luar dewan menyiapkan tempat untuk berprogram, di dapur menyiapkan sarapan sehingga subuh, di dalam kereta memandu penceramah ke sana ke mari, di stesen keretapi dibasahi embun bersama buku-buku program yang diangkut jauh dari Cardiff, di bilik nurseri menjaga bakal khalifah yang ibu bapanya begitu bersemangat mahu mencari ilmu..

Malah, kami yang di dalam dewan juga tidak beroleh tarbiyah yang sama seperti peserta. Jasad kami di kerusi empuk itu. Mata kami tertumpu pada sosok yang berceramah di hadapan. Namun jiwa kami pada telefon bimbit di tangan. Meneliti setiap detik yang ada. Menanti mesej mahupun panggilan dari lady boss berkenaan pertukaran tentatif mahupun makluman kecemasan. Jiwa kami terikat pada skrin komputer riba, menaip makluman terkini berkenaan SMILE 2012 untuk dikongsi dengan dunia. Jiwa kami tersimpul rapi pada kamera yang diusung ke hulu ke hilir untuk merakam setiap detik berharga agar ia tidak berlalu sepi.

Tarbiyah kami bukan sekadar pada 31 Mac 2012. Tarbiyah kami bermula sejak sebulan sebelumnya. Kami belajar menulis surat rasmi yang telah lama ditinggalkan sewaktu SPM, kami belajar membuat video meski sebelum ini kami tidak pernah mendengar berkenaan Sony Vegas Pro, kami belajar dari komen-komen sahabat yang membina, kami berlatih bernashid seminggu lamanya, kami tidak pernah lelah memberi inspirasi dan motivasi kepada teman sekerja, kami tidak henti menghujani wall sahabat-sahabat dengan promosi.

Kami sering digesa, didesak agar bekerja lebih pantas. Kami diletakkan harapan menggunung, program ini perlu mencapai standard yang lebih tinggi. Kami diingatkan, peserta perlu pulang dengan senyuman, meski tajuk yang dibentang bukannya ringan.

Tamat sahaja SMILE 2012, peserta berkata:
1) OSEM! Worth every second of my time :) Alhamdulillah ♥
2) Tahniah kepada semua krew iLuvIslam & SMILE, SMILE is definitely one the best program I've attended =))
3) SMILE mmg mantopp!;)
4) SMILE worth every penny!

Testimoni dari penceramah:
Dr Asri (dari DrMaza.com fb page): Thanks for SMILE/ I luv Islam in Warwick yesterday.. Thanks for your invitation..

Ust Jailani: Tahniah, Suhaila and the gang!

Prof Ahmat: Bagus bila kamu buat acara sebegitu untuk sedarkan pelajar kita berkenaan Islam.

Kami yang AJK tak tahu pun apa yang telah peserta terima di dalam dewan itu. Tak berkesempatan nak dengar keseluruhan pun pengisian. Yang kami tahu, peserta tak puas sebab sesi soal jawab tak panjang dan malah satu hari tak cukup. Alhamdulillah..


Insan-insan sebaya yang hebat.

Ujian Menuju RedhaNya

Teringat kata-kata seorang sahabat yang dipetiknya dari seorang ustaz.. "Jika mudah sahaja kita berbuat sesuatu perkara atau program agama itu, pasti ada sesuatu yang tidak kena pada kebajikan itu.."

Sepanjang proses mendapatkan penceramah, prosesnya tidak sesulit yang saya sangka. Hanya pos surat kemudian menunggu balasan mereka. Mudah, sedangkan penceramah-penceramah yang dijemput semuanya hebat-hebat. Tidak melalui PA segala. Terus berurusan dengan tuan punya badan.

Waktu itu, terfikir juga, "betulkah apa yang dibuat ini? Kenapa mudah sangat?" Sedangkan ini adalah salah satu marhalah perjuangan kami. Yang tentunya tidak dibentang dengan permaidani merah. Namun, hati bersyukur, mungkin ini petanda Allah permudahkan urusan kami.

Seminggu sebelum SMILE 2012, cabaran besar menyusul untuk membuktikan, inilah salah satu caranya kami boleh mendapat redhaNya.. Tersilap langkah dalam merangka aturcara program. Kesilapan yang pada saya kecil tapi besar pada orang lain. Membawa kepada konflik sangat meruncingkan.. Silap sendiri, terlupa berkenaan isu profesionalisme dan protokol. Sedangkan kita mengimpikan untuk menjadi teknokrat hizbullah. Sewajarnya ketrampilan dalan berorganisasi dan bekerja perlu ada. Allah mahu kita meminta padaNya. Alhamdulillah, dilembutkan hati semua orang. Dan akhirnya tibalah hari SMILE 2012.

Move A Step Forward

Perkara paling mendebarkan adalah berdepan dengan penceramah. Acap kali setiap kali pertukaran slot, masa telah terlajak. Alhamdulillah, Ustaz Jailani sendiri tidak kisah malah beliau sangat semangat mengalahkan peserta dengan mengikuti setiap sesi dalam SMILE 2012 sejak dari pagi.

"No worries, I really enjoy it.."

Saya sangat tertarik pendekatan Ustaz Khairuddin menghadapi suara vokal Dr Asri. Pendekatan yang hikmah dan sweet. Siapa tidak kenal Dr Asri dengan minda tajdidnya dan penuh provokasi, namun cara Ustaz Khairuddin mengatakan bahawa pandangan Dr Asri sangat dinantikan oleh pimpinan tertinggi PAS sangat melembutkan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Hingga sudah, saya masih lagi takut-takut untuk berbicara dengan Dr Asri. Mungkin kerana pernah ditegur olehnya sebelum ini. (Serius, seriau kalau tak kenal beliau). Namun, terasa sangat lega, bila mana beliau sendiri yang mengajak saya bergambar dengannya dan menjelaskan situasi yang telah berlaku.

"Pengarah, mari masuk bergambar." Saya pun terus mencelah dalam ramai-ramai yang cuba berfoto kenangan dengan Dr Asri. Satu-satunya gambar dengan penceramah secara dekat yang ada saya, memandangkan saya bukan kaki gambar (yelah tu..).

"Suhaila, you are so nice. I like you," testimoni Dr MAZA ke atas saya sepanjang bekerja dengannya. Hu3.. Glad to hear that. Tambah-tambah lagi, bila sebelum ini, diri dibayangi konflik dengannya.

Alhamdulillah, berpeluang menemani Prof Ahmat dan isterinya, Auntie Sya berjalan-jalan di sekitar bandar Nottingham. Masa beberapa jam itu diluangkan untuk menggarap seberapa banyak ilmu dan taujihat dari seorang yang sudah masak dengan kehidupan. Bila mana beliau mencetuskan pemikiran berkenaan permasalahan umat Islam pada hari ini yang mencalarkan nama baik Islam, wajah ini terus tertunduk. Sedih memikirkan bilakah masanya Islam akan bangkit jika keadaannya masih seperti ini.


The provocative Dr MAZA, the fatherly Prof Ahmat, the calm and steady Ust Khairuddin and the thoughtful Ust Jailani

Individu-individu hebat yang saya pernah bekerja sekali ini telah menyuntik inspirasi untuk saya terus melangkah satu tapak ke hadapan. Jadi manusia yang hebat! Di mata Allah terutamanya dan di mata manusia untuk peluang dakwahNya. Kerana manusia hebat itu yang akan layak ke syurgaNya.


Dewan yang mampu memuatkan 370 orang. Hampir penuh, masyaAllah. Program iluvislam UK & Eire yang berjaya mengundang paling ramai penyertaan setakat ini.

Alhamdulillah wa syukurillah. Besar nikmat yang Allah telah kurniakan ke atas kami.. Moga setiap yang hadir ke SMILE 2012 dipandu olehNya untuk menjadi pendokong dan penyokong gerakan Islam yang mendaulatkan kalimah La Ilah ila Allah di atas bumi Malaysia.




"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...