Thursday 28 June 2012

Takdir yang Tertulis

Allahu rabbi. Kurang dari tiga minggu, aku akan bertemu dengan dia. Tidak dapat ku bayangkan, bagaimanakah situasinya tika itu. Genap 4 tahun kami tidak pernah bersua muka, tidak bersuara.

4 tahun lepas, tiada ucapan perpisahan yang diucapkan. Tiada ucapan selamat maju jaya yang dilafazkan. Sekelip mata, hubungan persahabatan yang terjalin erat, kemudiannya yang mula memutikkan bunga-bunga cinta, terputus di tengah jalan. Seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku antara kami. Masing-masing membawa diri.

Kini, aku akan menemuinya semula. Namun bukan seorang sahabat, bukan seorang kekasih, bukan seorang yang asing. Dia yang akan berdiri di depanku itu nanti adalah insan yang Allah temukan untuk menjadi calon suamiku. Insan yang ku harapkan Allah akan terus melaksanakan tapisanNya hingga saat akad dilafazkan. Insan yang selepas itu, akan aku cintai hingga ke syurga.

Insan yang baru ku temui semula di Facebook Januari yang lepas. Namun mula berhubung sejak April yang lepas. Sekelip mata, tidak sampai sebulan, kami tersedar, kami mungkin adalah pasangan hidup yang dicari masing-masing selama ini.

Takdir apa yang Engkau telah suratkan untuk kami, ya Allah? Besarnya rahsiaMu hingga tidak pernah terlintas dalam fikiranku semua ini akan terjadi. Betapa kerdilnya aku.. Insan yang pernah bertakhta dalam hati ini akan aku temui semula, akan mengetuk semula pintu hati yang telah lama terkunci. Allahu rabbi.

Sesungguhnya hamba ini milikMu. Caturkanlah ketentuan yang terbaik untukku. Aku rela menjadi umpama layang-layang yang terbang mengikut arah angin takdirMu, asal jangan Engkau biarkan talinya terlucut dari genggaman perhatianMu.

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham

(published after got married 3 years later..)

Wednesday 27 June 2012

Untukmu ya Habibullah

Allah.. Berat dirasakan pencarianku dalam mencari seorang suami. Sudah dua kali usahaku berakhirnya dengan kekecewaan. Penatnya pencarian itu seperti penatnya Khairul Azzam dalam mencari calon isteri dalam Ketika Cinta Bertasbih.. Aku percaya, jodoh juga seperti rezeki. Sudah tertulis sejak di alam rahim, namun masih perlu diusahakan pencariannya.

"Kalaulah bukan kerana pernikahan itu adalah sunnahmu, untuk memantapkan kerja dakwahku, sudah pasti aku akan menyerah diri. Hamba ini sudah hampir berputus asa, ya Allah.."

Berat beban yang dirasakan. Aku amat berharap, akan dapat menemui seseorang yakni jodohku sebelum aku pulang ke Malaysia. Agar aku dapat mengurangkan sebarang risiko kefuturan. Aku tahu bagaimana dahsyat cinta mampu membawa aku. Aku beserta perjuanganku boleh musnah andai jatuh ke tangan insan yang salah.

Saban hari, sujudku diiringi air mata dan doa merintih belas kasihan darinya.
"Ya Allah, andai pernikahan itu adalah yang terbaik untuk aku, agamaku dan perjuanganku, Kau temukanlah aku dengan pendamping syurgaku kelak.. Bukan sekadar seorang suami di dunia, tetapi penemanku di syurga sana."

***
Kini, mungkin Allah telah temukan aku dengan pendamping syurga itu. Namun, segalanya masih belum pasti selagi mana akad belum dilafazkan. Aku hanya mampu berdoa moga Allah akan tetap melaksanakan tapisanNya.

"Macam mana kau boleh suka dia, Su?"

"Kte elak dari ada perasaan pada dia.. Kte dengan dia pun sebab kami kongsi matlamat perkahwinan yang sama. Kami nak perkahwinan yang hingga ke syurga."

Mujahadah sememangnya. Namun, alhamdulillah, Allah beri kekuatan untuk meletakkan cintaku padaNya, rasulNya, perjuanganNya lebih tinggi dari segalanya. Alhamdulillah aku masih belum larut dengan cinta kepada seorang ghuraba'.

Muhasabah semula. Andai Rumaysa, ibu Anas bin Malik sanggup mengorbankan anaknya yang dicintai untuk diserahkan kepada Rasulullah saw, kenapa aku tidak mampu mengorbankan cintaku yang pernah membara padanya suatu ketika dulu dan kini baranya mula membakar dalam jiwa. Lantas, pada saat itu, aku muhasabah diri.

"Ini adalah perkara termahal padaku pada masa ini. Pencarian yang telah ku temui. Aku infakkan cintaku ini padamu ya Rasulullah.."

"Wahai Kekasih, aku mengimpikan untuk bertemumu. Aku berada di jalan ini kerana mengikuti jalanmu. Aku sedang melalui satu jalan ke gerbang pernikahan kerana ingin mengikut jejak sunnahmu.. Semua ini kerana cinta padamu.. Kuatkanlah hamba ini melawan segala bisikan syaitan dalam ikatan ini, ya Allah.."

27 Jun 2012

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

(Posted on 28 May 2015, 3 years after got married. Alhamdulillah.. Just to share the journey to the nikah.. For us to learn something on it)

Tuesday 12 June 2012

TanpaMu, Tiadalah Lagu Kita..

Ini rentetan kisah dua insan yang bercinta. Kisah benar yang bukan hanya terjadi kepada sepasang kekasih, namun banyak lagi yang mengalami kisah yang sama. Bila mana salah seorang insan itu diketuki hidayah pada pintu hatinya, dia tahu, cinta itu tidak akan membawanya ke syurga dengan terus-terusan begini. Lalu, ikatan janji yang dulunya bagai tersimpul mati dirungkaikan, meninggalkan si pencinta keliru. Apa silapnya dan kenapa dia ditinggalkan.

Yang beroleh sinar petunjuk, sukar menerangkan dan yang masih mencari-cari dalam gelita sukar memahami. Kerana pemikiran mereka berdua sudah berbeza. Hati mereka juga berbeza. Definisi cinta mereka juga berbeza.

Benar, ada yang masih meneruskan hubungan walaupun sedar. Namun kisah cinta ini berakhir kerana yang tersedar menyedari matlamat mereka tidak jelas. Tiada janji jelas cinta itu akan berakhir di jinjang perkahwinan. Tiada kepastian jelas mereka mampu menjaga hati dari mengikut gelora rindu yang menghempas jiwa. Lalu, cinta dua insan itu terlerai melalui warkah ini..

****
Waalaikumsalam..
Maafkan X.. Memang kputusan yang X wat ni keputusan yang sangat-sangat berat.. Untuk kita dan orang sekeliling kita..
Tapi X minta, Y paham..But before tu, X minta Y buka hati Y utk terima pendapat X dan fakta yang X jumpa dalam Al-quran and hadis.. Coz klu hati tak nak menerima, memang susah untuk accept benda ni.. Tujuan sebenar X minta putus.

Sebagaimana Allah larang-la takrabuz zina(al-isra':32), Allah larang kita mdekati zina.. Rasulullah bersabda, mata boleh berzina dengan melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan, kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat, hati pula boleh berzina dengan merindui, mengingati dan membayangi si dia.

Betul, kita nak lebih menjaga batas-batas lepas ni.. Tapi, sekecil-kecil zina, zina hati.. Sekecil-kecil tu pun ada dosa gak.. Yang memang sangat susah nak elak.. X akui.. Rindu tu da memang adat dalam couple.. Kalau betul-betul menjaga sekali pun, amat susah untuk sekat diri dari tak meluahkan apa yang ada dalam hati..

Memang betul, bila X amek tindakan putus, yang akan terasa, hati yang menanggung sakit, hati X sendiri.. Hati Y pun.. Tapi sape la kita untuk melebihkan hati and menentang apa yang da dilarang oleh Pencipta hati tu.. X da fikir masak-masak ni sume, Y.. Selepas solat hajat and bacaan yassin sume.. Bukan nak kata, ibadah secubit yang X wat, tapi nak tegaskan kat sini, X yakin dengan apa yang X wat adalah untuk kebaikan sume orang..

X percaya pada janji Allah.. 


"Jika seseorang hamba Allah menahan keinginannya dari sesuatu yang haram (kerana Allah) maka Allah akan memberikan sesuatu yang diingininya itu mengikut jalan yang halal"-hadis..

Y ingat X tak percayakan Y kan? Sedangkan, tak terlintas pun kat hati X yang Y permainkan X.. X ingat lagi bila Y minta ngan X dulu, bila X tanya, "napa pilih X?", Y cakap, "sebab Y rasa X yang terbaik".. Tak semudah tu untuk lupa, Y.. Unless, X ditakdirkan satu hari nanti, hilang ingatan.. Tapi moga dijauhkan Tuhan..

Masa X terima Y dulu pun sebab da set, nak Y jadi husband (walaupun sampai sekarang, X lum dapat gambaran Y as bapa kepada anak-anak X, secara jujurnya.. Maybe sebab X belum bersedia ke arah tu kot.. Benda camtu pun bukannya boleh dipaksa.. Ia akan muncul sendiri.. Tapi tak tau bila..)..

X harap jodoh kita panjang.. X harap Allah meredhai hubungan ni.. Kita nak redha Allah, tapi based on apa yang kita wat, layak ke kita? Walaupun niat kita memang nak ke arah ikatan yang suci and halal, tapi kalau sepanjang proses ada benda haram, umpama bangunan yang indah tapi diperbuat dari bahan yang rapuh.. Later on, bangunan tu akan runtuh gak.. Cuba nilai balik.. X rasa, Y boleh fikir sendiri pasal ni.. Y seorang yang bermotivasi tinggi, X akui.. Muhasabah diri balik..

X da tutup pintu hati X.. Temboknya tebal and semakin menebal.. Bukan didorong oleh sesiapa.. Tapi datang dari dalam diri.. X percaya, apa yang X wat ni betul.. And famili X akan sokong tindakan X. X minta maaf if Y tak boleh terima pasal ni.. Tapi tak de apa yang akan berubah.. Y pernah tau apa yang ada di sebalik pintu tu sebelum ia da tertutup.. Separuh kuncinya kini ada pada X, separuh lagi pada parents X. X takkan buka selagi belum tiba saat yang sesuai and sebelum diketuk oleh seseorang yang X tunggu sejak X kat alam rahim lagi.. And X juga tak tau bila parents X akan buka pintu tu atau memang diorang tunggu X yang buka sendiri.. X tak pasti...

Cuma satu X minta, sape pun yang Y pilih untuk jadi isteri Y, pilih la dia kerana Y nak dia jadi ibu pada anak-anak Y.. Bukan as isteri Y, coz kita lebih tau apa yang terbaik untuk orang len (anak-anak) dari apa yang terbaik untuk diri sendiri..

X harap, penjelasan ni cukup untuk Y.. Cukuplah ia sekadar terhenti di sini.. X harap, Y dapat layan X tak lebih dari cara Y layan kawan-kawan Y.. Tiada ucapan romantis.. Actions speaks louder than words.

Maaf kalau sepanjang X jadi 'hak' Y, X wat salah pape.. Halalkan makan minum X.. Y da tak berhutang pape ngan X..

X belajar banyak benda dari Y.. Thanx.. X rasa keindahan cinta.. Tapi sekarang, X lebih merasai keindahan cinta yang sepenuhnya tawakal pada Ilahi.. Sebagaimana yang X pernah cakap before this, X akan layan Y macam X layan sahabat-sahabat X.. Apa yang ada dalam hati, cukuplah X sorang yang tau..

Buang yang keruh, ambil yang jernih.. Apa yang berlaku, jadikan sempadan agar kita tak mengulangi kesilapan yang sama di masa depan.. X harap, Y dapat jaga rahsia kita sampai bila-bila.. X tak sure if Y da wat lum, tapi tolong delete sume sms dan mesej kita.. X minta sangat-sangat..And maaf, seperti yang X cakap before this, X tarik balik sume janji X pada Y..

Maaf kalau ada ayat X yang menyinggung hati Y..

Tiada istilah terlambat bagi seorang hamba untuk memohon keampunnNya kecuali tatkala nyawa di leher..

Salam ukhuwah,
X

***
Itu kisah benar. Ini pula kisah drama yang hampir serupa. Nyata, ia bukan satu perkara yang pertama kali berlaku dalam dunia..


Meski kisah di atas adalah kisah benar, tujuan utama perkongsian ini agar dapat dicedok kekuatan dan pengajaran yang terselindung. Bukan mahu membuka aib sesiapa. Peristiwa sebegini tidak akan pernah berhenti berlaku di sekeliling kita, selagi masih ada dua insan yang bercinta sebelum nikah. Isunya untuk membenarkan peristiwa ini berlaku, hanyalah pada kekuatan iman kita.

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 

Nur Suhaila Zulkifli 
Nottingham.

Monday 4 June 2012

Al-Quran: Nurun Syifa'

Alhamdulillah wa syukurillah. Usai khatam Al-Quran untuk kali kedua (mungkin) sejak Ramadhan yang lepas. Agak lambat. Meskipun baca 6 muka sehari, namun adakalanya rutin ini tertinggal kerana kesibukan dunia dan keuzuran. Allahu rabbi.

Selesai khatam satu Al-Quran bukan petanda tugas telah berakhir. Sebaliknya satu keazaman baru bermula. Moga dapatlah dikhatamkan Al-Quran ini sekali lagi pada penghujung Ramadhan depan. Yang bakal muncul dalam kurang dari dua bulan. Moga ini jadi satu persediaan untuk menghadapi Ramadhan. Tidak sehebat sahabat-sahabat baginda saw yang telah menyiapkan diri tiga bulan lebih awal untuk menyambut bulan mulia ini. Tidak segigih sahabat-sahabat baginda saw yang berjaya menghabiskan satu al-Quran dalam bulan itu..

30 juzuk untuk 30 hari. 1 hari 1 juzuk. 1 juzuk 20 muka. 4 muka dibaca setiap waktu solat. InsyaAllah pada bulan yang mulia, kita diberi kekuatan luar biasa. Ingat lagi saya, pada tahun lepas, berlumba dengan kakak teman sekerja, seorang qariah. Masing-masing cuba mendahului. 

"Akak baca sampai mana da?"soal saya.

InsyaAllah tahun ini berazam matlamat yang sama. Persediaan menghadapi Ramadhan.

Ketidakpastian
Mungkin ini Ramadhan terakhir dalam hidup.
Mungkin ini Ramadhan terakhir bergelar bujang.
Mungkin itu dan ini.

Terlalu banyak ketidakpastian. Saya akui, saya seorang yang tidak suka pada ketidakpastian. Saya seorang yang mahu melihat hala tuju hidupnya jelas dalam masa setahun akan datang. Agar mudah saya merancang dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Namun apa yang pasti hanya mati. Matlamat ke syurga itu juga pasti. Namun, cara ke arah kematian itu, cara ke arah syurga itu, kita tidak tahu. Bagaimana kerjaya kita, bagaimana hidup kita, apakah kejayaan dan kegagalan yang kita akan cipta, siapa jodoh kita, bagaimana keluarga kita. Persoalan yang tiada penghujung. Allah telah tetapkan, kita tidak pasti apa akan berlaku. Apa yang perlu difikirkan adalah persediaan.

Al-Quran Cahaya Penawar
Acapkali doa ini dibaca, akan bergetarlah jiwa menuruti setiap bait yang tersusun indah..

Dimulai dengan Nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam sebagai pujian daripada orang yang bersyukur dan kesudahan yang baik bagi orang bertaqwa. Solat dan salam ke atas Rasul kami, Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga dan sekalian para sahabatnya.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Rahmatilah aku dengan Al-Quran dan jadikanlah Al-Quran bagiku sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat. Ya Allah, Ya Tuhanku! Ingatkanlah aku apa yang aku terlupa daripada ayat-ayat Al-Quran. Ajarkanlah aku daripada Al-Quran apa yang belum aku ketahui. Berikanlah aku kemampuan membacanya sepanjang malam dan siang; dan jadikanlah Al-Quran itu hujah dan bagiku (untuk menyelamatkan daku di akhirat), wahai Tuhan Sekalian Alam.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Perbaikilah agamaku yang merupakan pengawal urusankanku. Perbaikilah duniaku yang merupakan tempat hidupku. Perbaikilah akhiratku yang merupakan tempat kembaliku; dan jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai istirahat bagiku daripada segala kejahatan.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amal pada penyudahannya dan sebaik-baik hariku hari bertemu dengan-Mu.

Ya Allah, ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu kehidupan yang tenang, kematian dalam kebenaran dan tempat kembali yang tidak terhina lagi buruk keadaannya.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu sebaik-baik permohonan, sebaik-baik doa, sebaik-baik kejayaan, sebaik-baik ilmu, sebaik-baik amal, sebaik-baik ganjaran, sebaik-baik kehidupan, sebaik-baik kematian. Tetapkanlah (kakiku di atas sirat-Mu) serta beratkanlah timbanganku. Perkuatkanlah imanku dan tingkatkanlah darjatku serta terimalah solatku. Ampunkanlah kesalahan-kesalahan dan aku memohon kepada-Mu tempat tertinggi dari syurga-Mu.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu apa-apa yang mewajibkan rahmat-Mu, juga apa-apa yang memastikan keampunan-Mu, keselamatan daripada segala dosa, keuntungan daripada segala kebaikan, kemenangan dengan syurga dan pelepasan daripada api neraka.

Ya Allah, Ya Tuhan kami! Perbaikilah akibat dari setiap urusan kami, hindarkanlah kami daripada kehinaan dunia dan azab akhirat.

Ya Allah, Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kami rasa takut kepada-Mu, agar dengannya dapat menghalang kami dari melakukan maksiat, kurniakanlah kami ketaatan kepada-Mu, agar dengannya akan mendekatkan kami dengan syurga-Mu, kurniakanlah kami keyakinan yang dapat meringankan musibah dunia yang menimpa kami, berikanlah kami nikmat pendengaran, penglihatan dan kekuatan, selama Engkau masih berikan kehidupan buat kami, dan jadikanlah semua itu warisan kami, balaslah orang yang berbuat zalim terhadap kami, bantulah kami dalam menghadapi musuh-musuh kami, janganlah Engkau timpakan musibah dalam agama kami, janganlah Engkau jadikan dunia ini tujuan utama kami, jangan pula Engkau menilai pengetahuan kami serta janganlah Engkau jadikan orang yang tidak mempunyai rasa belas kasihan kepada kami menjadi pemimpin kami.

Ya Allah, Ya Tuhan kami! Jangan Engkau biarkan kami melakukan sebarang dosa melainkan Engkau mengampunkannya, jangan biarkan kami dalam kebuntuan melainkan Engkau melapangkannya, jangan biarkan kami mempunyai hutang piutang melainkan Engkau (berikan jalan untuk) menyelesaikannya dan jangan ada sebarang hajat dunia mahupun akhirat melainkan Engkau menyempurnakannya, wahai Tuhan Yang Maha Penyayang antara yang penyayang.

Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada azab neraka.

Selawat Allah dan salam yang tidak terhingga ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya serta para sahabat yang terpilih.

****
Al-Quran itu penawar. Buat hati yang lara, buat hati yang gundah gulana, buat hati yang sakit diancam petaka dunia.

Al-Quran itu mukjizat. Pelik bukan, meski engkau telah membacanya berkali-kali, masih ada ayatnya yang sepertinya baru kau temui pertama kali. Ajaib bukan, bila mana engkau membaca ertinya, terasa petir menyambar sanubarimu, dirasa seolah-olah kalimah itu dicipta untukmu. Dirasa seolah Sang Pencipta sedang berbicara denganmu. Aneh bukan, cukup sekadar sebaris ayat, sepotong dalil, membuatkan air matamu mengalir.

Namun ini semua bukan pelik, bukan ajaib, bukan aneh. Paling tidak bukan buat pertama kalinya. Sedangkan Saidina Umar ra, seorang yang al-Quran ada di jiwanya, ada di lisannya, ada di akhlaknya, lupa satu ayat Allah saat kewafatan baginda. Inikan pula kita..

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلاَّ رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? (Surah al-Imran 144)

Namun, insan yang membacanya adalah manusia. Adakalanya bacaan sekadar alunan menghabiskan muka. Adakalanya erti dibaca sekadar mahu mengikuti rutin. Adakalanya apa yang dibaca dan apa yang dialunkan tidak singgah ke dalam hati. Adakalanya ia diselang seli dengan rasa mengantuk yang amat. Adakalanya bacaan itu menjadi mukadimah untuk rasa lena. Ah, godaan syaitan..

كَلَّا إِنَّهُ تَذْكِرَةٌ. فَمَن شَاء ذَكَرَهُ. وَمَا يَذْكُرُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ هُوَ أَهْلُ التَّقْوَى وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ
Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya); Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya. Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dia lah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat). (Surah al-Mudassir: 54-56)

Ya Allah, jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai istirahat bagiku daripada segala kejahatan. Amin ya rabbal alamin.

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 

Nur Suhaila Zulkifli 
Nottingham.

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...