Wednesday 23 October 2013

XX x XY & xoxoxo

XX x XY
Terkenang luahan hati seorang remaja yang baru menginjak dewasa. Betapa dia cinta pada kekasih hatinya hingga sanggup buat perkara yang gila. Dan ini bukan kisah seorang yang saya pernah dengar. Ramai lagi penggila cinta yang ada di keliling kita dan dalam diri kita juga.

Saya seorang pensyarah Biologi. Pernah, saya mencari-cari apa sifat yang masih kekal di kolej ini sejak dari saya belajar di sini hingga saya mengajar di sini. Hm, ini semua untuk mengajar tajuk Population Genetics. Lantas, bila dianalisa, saya jumpa satu sifat. Jika populasi pelajar di kolej ini telah mencapai genetic equilibrium, satu sifat ini akan sama dominannya dari dulu sampai sekarang. Dan jika sifat keinginan untuk bercinta itu adalah dipengaruhi faktor genetik, inilah sifat yang terbaik boleh dijadikan contoh di dalam kelas. Dari dulu sampai sekarang, kekerapan ia berlaku masih stabil. Malah makin kerap. (Tapi ini hanya contoh main-main. Tiada kaitan dengan fakta dalam Campbell atau Solomon.)

Saya seorang felo. Sudah biasa dengar kisah sebegini dalam kalangan pelajar yang membara dendam berahi mereka. Kesannya, ada sahaja kes pelajar tertangkap saban tahun. Tidak disalahkan mereka seratus peratus. Memang fitrahnya, mereka sudah tiba masa untuk memikirkan soal pernikahan yang serius.

Namun, budaya kita, umur 18 tahun masih terlalu awal untuk bernikah. Perlu belajar, perlu bekerja, perlu beli rumah, perlu beli kereta, etc.

Makanya, anak muda remaja kita punya tanggapan, mereka masih belum bersedia untuk berkahwin, tapi sudah berkeinginan untuk punya pasangan. Berkongsi suka dan duka. Mengisi kekosongan jiwa dengan cara yang mudah. Bercinta tanpa bernikah.

Buat yang belum punya keinginan dan belum mampu, tahniah! Anda memang insan yang terpilih. Persiapkan dirimu, tiba masa, akan ada insan terbaik menjadi pendampingmu yang halal. Tidak perlu pun merasa manisnya cinta sebelum berkahwin. Cinta setelah bernikah itu lebih berjuta-juta kali nikmatnya.

Buat yang sudah ada pasangan dan mampu, tapi belum halal, halalkanlah segera. Jangan dihimpun dosa kerana kelak, andai anak-anakmu berbuat dosa yang sama, engkau tidak akan layak menegurnya, kerana mereka adalah bayangan dosamu yang lampau.

Buat yang sudah ada pasangan tapi tidak mahu menjadikannya pasangan hidup, fikirkanlah masa depanmu dan masa depan rumahtangga yang kau akan bina bila engkau telah bertemu pasangan hidupmu. Jangan sampai pasangan hidupmu merana tidak berdosa lantaran dosa yang kau perbuatkan di masa lampaumu.

Dosa yang lalu Allah akan ampunkan dan hijabkan andai kita bertaubat. Namun, akan tiba masa, kafarah dosa itu akan muncul menghantui dunia kita, agar kita terlepas azab seksa di neraka lantaran dosa itu. Kala itu, beranilah berdepan kesan dosa yang kita perbuatkan. Pandai buat, pandailah tanggung, orang kata.

Kalau mahu bahagia sementara, jalannya mudah. Tapi bahagia yang abadi perlu ditempuhi dengan jalan yang payah, dengan sabar menahan nafsu dan godaan dunia.


****
xoxoxo


6 Januari 2008, Langkawi.
A short conversion in the text messages. Well documented in my diary.

Nur Suhaila Zulkifli: "Kenapa kita susah nak borak, payah nak jumpa, tak macam orang len. Sebab kita ni JPP (wakil pelajar) ke?

Afiq Asnawi: "Kadang-kadang kita tak dapat apa yang kita nak. Sebab mungkin kita akan dapat lebih dari apa yang kita inginkan. Sabar jela.. In shaa Allah, banyak lagi masa untuk kita.. nak best sendiri-sendiri (berdua sahaja).."

2013
I'm blessed He has destined us the best path. I'm glad, we were not given any chance to have the pre-marriage relationship, although both of us shared the same feelings that time. I'm feel honoured, I am now, the best person He chose to accompany you, for the rest of my life..

Uhibbuka fillah, abadan abada, daiman daima, ya habibi..

"Verily solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."

Nur Suhaila Zulkifli
Masjid Tanah.

Sunday 10 February 2013

Purnama Yang Merindu

Bukanlah Cinta Biasa 
Cinta itu fitrah. Cinta pada sang Pencipta yang sentiasa mengurniakan rahmat dan belas kasihNya pada kita, cinta pada Nabi Muhammad saw yang mencintai kita lebih dari dirinya sendiri, cinta pada ibu bapa dan ahli keluarga yang sentiasa bersama tika susah dan senang, cinta pada sahabat yang tidak henti-henti mendoakan yang terbaik untuk kita, cinta pada alam yang sentiasa bertasbih padaNya. Ya, semua itu adalah cinta. Cinta yang suci. Dan setiap kecintaan itu menambahkan pahala. Cinta yang Allah campakkan dalam hati setiap hambaNya.

”Allah membahagikan kasih sayang dari sisinya kepada 100 bahagian. Allah menyimpan 99 bahagian, dan 1 bahagian sahaja yang diturunkan ke bumi- yang membuahkan rasa kasih dan sayang antara makhlukNya. Sehingga seekor unta pun bergerak dengan berhati-hati supaya tidak terpijak anaknya yang baru dilahirkan.” (Hadis riwayat al-Bukhari) 

Namun, manusia yang mengotori sucinya cinta. Cinta pada manusia hanya pada sepasang kekasih, hingga buang keluarga dan kawan. Cinta yang dinodai hingga ada anak kecil yang dibuang bagai boneka tidak bernyawa. Cinta yang membuatkan si teruna dan dara mabuk dalam rasa hati hingga lupa tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi. Habis kotor cinta yang asalnya suci yang Allah campakkan dalam hati..

”Cinta itu adalah perasaan suci, tenang dan mengasyikkan. Sekiranya manusia jatuh cinta, mereka memiliki rasa rindu dan sentiasa mengingati orang yang dicintai.” – Ibnu Qayyim al-Jauziyah 

Mencintai itu tidak salah. Malah diharuskan untuk menikahi seseorang yang boleh membuatkan kita jatuh cinta padanya. Kerana itu, ketika sesi taaruf, kedua-dua lelaki dan wanita itu diharuskan melihat wajah dan pergelangan tangannya agar dapat dipastikan, insan yang bakal dinikahi itu akan mampu dicintai. Saat ikatan telah bertaut, debar mula terasa. Itu juga tidak salah. Malah debar dan saat mengingati itulah yang akan mempercepatkan proses pernikahan. Biasa berlaku, tempoh pertunangan dipendekkan kerana pasangan itu sudah merasa tiba masanya mereka perlu dinikahkan. Andai tidak, khuatir diri terjebak dengan dosa, zina hati terutamanya.

Cinta yang diikat atas dasar duniawi hanya akan kekal di dunia. Namun cinta yang diikat untuk ukhrawi, akan kekal di dunia dan akhirat selagi mana Allah mengkehendakinya. Carilah erti Islam, cintailah Allah dan Rasulullah saw lebih dahulu sebelum membuka hati kepada cinta untuk bernikah. Beza, kerana cinta itu akan dipandu mengikut syariat. Andai cinta itu mula leka, Allah akan sentiasa beri peringatan. Kerana kita lebih dahulu mencintai Allah dan RasulNya sebelum cinta kepada seorang yang ajnabi (asing) itu. Dan Allah akan sentiasa tidak lepas memerhatikan hamba yang mengingatiNya.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَنُ وُدّاً
”Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih dan sayang.” (Surah Maryam:96) 

”Aku mencintainya kerana Allah.” Dusta andai syariat Allah dilanggar. Tipu andai diri hingga leka, lupa dunia akhirat dek cinta. Bohong andai nama si pencinta disebut lebih dari zikirnya pada Allah dan selawatnya pada Rasulullah saw.

”Begitu luar biasa bentuk cinta hakiki yang berlandaskan kasih Ilahi, ibarat pohon dalam hati, akarnya adalah kepatuhan kepada Allah, dahannya adalah makrifatullah (mengenali Allah), rantingnya takut pada kemurkaan Allah, daunnya malu kepada Allah, buahnya adalah istiqamah, air dan bajanya adalah zikrullah.” –Ummu Anas dalam bukunya Istikharah Cinta.

Cintaku Selepas Allah, Rasul dan JihadNya 



قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah:24) 

Mudah dilafaz, sukar dilaksanakan. Satu tuntutan yang memerlukan pengorbanan, hati dan perasaan. Kerelaan untuk ditinggalkan, kerelaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan, kerelaan untuk berkongsi masa dengan tuntutan agama.

”Kebanyakan pasangan yang telah diikat melalui baitul muslim rata-rata hebat perancangan kekeluargaan mereka. Namun, tiada sedikit pun perancangan untuk mengintima’kan keluarga yang bakal terbina untuk perjuangan Islam.”
Benar. Itu yang jadi kisah, dua individu hebat yang berkahwin, larut dalam percintaan mereka sehingga lupa perjuangan Islam yang perlu didokong. Futur, dalam bahasa mudahnya. Umpama air terjun yang rancak mengalir, tiba-tiba terhenti di suatu penghujung (fatara). Air itu menjadi statik.

“Air yang tidak mengalir (statik), akan merosakkan air tersebut. Pemuda yang banyak masa kosong (tidak dinamik), akan dibunuh oleh masa kosong itu” (pepatah Arab)

Si isteri yang dulunya tidak kisah ke sana sini membawa misi usrah, sukar melepaskan suami dari pergi menjalankan kewajipan sebagai seorang pejuang. Si suami yang hebat berceramah sana sini, kini sukar memberi kebenaran isterinya bergerak ke tempat usrah atas sebab mahu isterinya terus berada di rumah. Menanti di saat kepulangannya. Melayaninya di saat dia memerlukan.

Benar, si suami adalah penjaga sebuah rumahtangga. Benar, melayani suami itu hak yang wajib dipenuhi si isteri.. Namun, si suami dan isteri itu adalah hak Allah. Dua orang hamba yang telah ditetapkan tugasnya sebagai khalifah. 

Setiap manusia akan ada masa bersemangat dan akan ada masa lemah (futur). Sesiapa yang futur hendaklah dia kembali kepada sunnahku. Sesiapa yang mencari selain itu, dia akan binasa.” (hadis)

Mencintai bukanlah perlu memiliki. Mahu pasangan sentiasa berdampingan dengan kita setiap saat bukanlah satu cara mencintai. Tidak membenarkan si suami berpoligami juga meskipun kita tidak mampu menjalankan tugas seorang isteri dengan baik juga bukanlah satu cara mencintai. Hakikat pahit yang perlu ditelan andai saya sendiri menghadapinya. Tapi inilah hakikat yang sebenarnya perlu dihadam oleh akal yang waras.

Sampai bila pun, insan yang kita kasihi hak Allah. Bila-bila masa Allah boleh tarik dia dari kita. Bila-bila masa Allah boleh mengalihkan hatinya dari mencintai kita. Bukanlah yang memegang hati manusia itu, Allah? Kita mampu berusaha, tapi sampai takat mana.. Pucuk pangkal, kena berdoa juga pada Allah agar ditetapkan hati kita dalam mencintai. Mana mungkin doa itu bisa dimakbulkan andai kita mengundang murkaNya?

”Sekiranya Allah mencintai seorang hamba, Jibrail berseru (kepada penghuni langit), ”Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, lalu cintailah beliau.” Justeru, seluruh penghuni langit (malaikat) mencintainya. Kemudian, dijadikan orang yang menyambut cintanya di bumi.” (Hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah) 

Kalau bukan mereka berdua yang faham yang menggerakkan Islam, siapa lagi. Kalau bukan mereka yang melahirkan zuriat bakal pejuang, siapa lagi.. Nabi saw berbangga kerana umatnya ramai. Namun biarlah zuriat berkualiti itu yang meramaikan umat baginda saw.

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُواْ مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافاً
”Dan hendaklah kamu berasa bimbang sekiranya kamu meninggalkan zuriat yang lemah.” (Surah an-Nisa':9)

”Ah, mudahnya dia bercakap. Belum bernikah pun sudah bercakap soal futur atau tak.”

Istiqamah itu tidak akan diketahui sampai kita mati. Andai kita masih dalam perjuangan Islam saat jasad bercerai dengan nyawa, istiqamahlah kita. Apa yang tertulis di sini adalah peringatan untuk diri sendiri terutamanya. Yang belum bernikah tapi sudah ada bibit-bibit sukar melepaskan. Muhasabah diri. Cintailah dia selepas cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah saw dan cinta pada perjuangan Islam. Jangan terlalu sayang hingga membinasakan insan yang tersayang.

"Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian, menjaga adab rumahtangganya, dia akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya. Dia juga akan menjadi ketua 70 000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggu kedatangan suaminya yang datang dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut." 

Soal jodoh dan rezeki. Sampai bila pun akan jadi rahsia Allah. Walaupun sudah tertulis sejak roh ditiupkan dalam jasad kita. Bukan kita yang cari jodoh dan rezeki. Jodoh dan rezekilah yang cari kita. Andai kita kata kita yang cari rezeki, bagaimana mungkin orang yang tidak mampu bekerja, masih punya makanan untuk menyambung hidupnya? Jika kita kata, kita yang cari jodoh, bagaimana mungkin orang yang tidak sempurna jasadnya masih bertemu jodoh? Yang penting, adalah usaha dan doa.

Barangkali Allah akan singkap tabir rahsia jodoh dan rezeki itu. Agar ada secebis takdir yang telah ditetapkanNya itu dapat dilihat dan dirasai oleh hambaNya. Barangkali apa yang tersingkap bukanlah rahsia sebenar. Hanyalah persinggahan. Namun, perjalanan yang telah tertulis yang mesti dilalui setiap manusia itu adalah yang terbaik. Jodoh dan rezeki yang ada pada saat ini haruslah dijaga sebaik mungkin. Kerana ia akan kekal menjadi satu destinasi terakhir melainkan ada persinggahan lain yang muncul. Semuanya hanya Allah yang tahu.

Sepurnama Lagi 


Makin menghampiri detik. Apa yang dalam hati masing-masing masih menjadi rahsia. Tapi adakala lidah tidak perlu berbicara. Cukup masing-masing menyakini dan berusaha supaya satu ikatan yang halal terjalin. In shaa Allah. 

Sampai detik itu, cinta itu akan dibangunkan untuk menjunjung panji Islam dan mencapai keredhaan Allah. Kerana sejak dari awal lagi, ikatan dibuat, matlamatnya hanya satu. Mahu bawa cinta itu ke syurga Allah. Moga ditetapkan nawaitu itu hingga ke akhirnya, amiin.. Kerana purnama ini telah mula merindu..

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 

Nur Suhaila Zulkifli 
Port Dickson.

Tuesday 29 January 2013

Aku Wanita..

Perempuan, makhluk Allah yang diciptakan kompleks. Dari sudut pemikirannya, sifatnya dan jasadnya. Namun semua itu ada hikmah. Kompleks pemikirannya agar dapat melengkapi pemikiran lelaki yang terlalu 'ringkas' adakalanya.

One of my favourites in understanding how women and men think. Another must-digest besides Men from Mars, Women from Venus for those who are dealing with the opposite gender. It's hilarious, isn't it? LOL!

Kompleks sifatnya agar ia mewarnai kehidupannya, menambahkan seri pada orang-orang di sekelilingnya, juga menimbulkan ombak-ombak ujian pada mereka. Tiada ujian, maknanya kita mati ;p Haks..

Hidup ada pasang surutnya, seperti turun naiknya bacaan HCG ini. Kalau tiada duka dan suka, kita mati.. Titttt....

Kompleksnya jasad dan kitar yang berlaku dalam tubuhnya pula membuka ruang kepada si suami untuk menjadi lebih pandai dari si isteri. Memberi peluang kepada suami untuk mendidik isteri. Tinggi mana pun ilmu si isteri, dia tetap tulang rusuk yang bengkok.Ada yang kurang, tidak dari sudut kefahaman agamanya, mungkin kurang pada amalannya, mungkin juga kurang pada rasionalnya.

Fiqh Wanita
"Perempuan ni nampak je pandai, tapi sebenarnya mereka tak delah tahu sangat. Lelaki kena gak tahu pasal hal diorang," kata-kata seorang sahabat, seorang ustaz dan suami kepada seorang ustazah. Saya setuju. Sangat setuju.

Bila bercakap soal haid, istihadhah, nifas dan sewaktu dengannya, walaupun wanita selalu mengalaminya, masih akan ada persoalan yang timbul. Timbul kerana 'kes istimewa' contohnya. Jadual kitar haid tidak mengikut seperti biasa. Lalu si wanita itu panik. Kadang-kala, kalau yang lambat kedatangan haid, boleh pula cemas, "Eh, aku mengandung ke apa?!" Risau tidak bertempat sedangkan dia masih dara..

Itu perlunya si suami belajar juga berkenaan fiqh wanita ini. Wajib si suami menjawab andai si isteri bertanya soal ini. Jika suami tidak mampu, maka perlu dihantar isteri untuk menuntut ilmu tersebut. Indahnya menjadi wanita dalam Islam, akan ada pelindung dan penyelamat kita sepanjang masa. Juga bahayanya wanita kerana dia boleh mengheret lelaki-lelaki di sekelilingnya ke neraka. Jadi, wahai wanita, janganlah susahkan ayah anda, adik dan abang lelaki anda, suami anda dan heret mereka ke neraka. Kita pun perlulah mantapkan diri dengan ilmu..

Dalam mendalami perihal fiqh wanita, ia seperti memperhalusi fiqh-fiqh ibadah yang lain. Banyak pandangan dan banyak pentafsiran ulama'. Usahkan pandangan berbeza antara 4 mazhab utama, malah ada  ulama' yang turut menilai dengan kritikalnya (baca: bukan kritik) pandangan satu sama lain. Itulah orang yang tinggi ilmunya. Perbezaan pendapat dirai. Tidak taksub dengan pandangan sendiri.

Soal fiqh ini perlukan kefahaman. Usul fiqh perlu didalami terlebih dahulu sebelum mahu bertaqlid (mengikut sepenuhnya) atau berijtihad (memilih pendapat mana yang mahu diikuti setelah dikaji).  Bak kata Dr Asri, tegas dalam aqidah dan terbuka dalam ibadah.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: Apabila seorang hakim itu menghukum lalu dia berijtihad kemudian menepati kebenaran, baginya dua pahala. Dan apabila dia menghukum lalu dia berijtihad kemudian menyalahi kebenaran, baginya satu pahala. (Sahih al-Bukhari)

Namun, apa yang saya lihat, di Malaysia, ramai yang taksub pada mazhab Imam Shafie. Bukan taksub, tapi tidak berdiplomasi dalam mengamalkan pandangannya. Lantas, menimbulkan fitnah ke atas mazhab itu sendiri. "Wanita ke masjid tak boleh." Ok, boleh terima.. "Tapi ke majlis kenduri, jalan-jalan, boleh." Erk?!

Kehidupan saya 4 tahun di luar negara menuntut saya untuk sering berijtihad. Kaji dahulu sesuatu perkara itu, sebelum memilih pandangan mana yang mahu diikuti. Contohnya, berkenaan jamak solat Isyak dan Maghrib ketika musim panas. Nak pilih cara solat bagaimana? Tunggu sehingga betul-betul masuk waktu Isyak pukul 12 tengah malam (yes, I'm serious!), atau terus solat Maghrib dan Isyak secara berturutan atau tunggu dulu selama beberapa ketika sebelum meneruskan dengan solat Isyak? Dah pilih nak ikut cara yang mana, tidak bolehlah pula paksa kawan kita ikut cara kita. Inilah dia warna warni dalam ibadah. Cantiknya Islam. Tidak memberatkan tapi jangan sampai terlalu dipermudahkan.

Bulan Mengambang


Sudah beratus kali datang haid, tapi masih lagi perlu bertanya pada orang. Betul tak?;p Kerana Allah itu tidak malu pada kebenaran, maka saya datangkan hasil pembacaan saya dengan secebis kefahaman yang saya ada..

‘Aisyah berkata: “Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar, malu tidak menghalang mereka dari mempelajari agama.” (Hadis riwayat Muslim)

1) Haid atau istihadhah?
Kaedahnya mudah. Satu pegangan yang diguna pakai oleh agamawan.

متى رأت الدم فهي حائض ومتى طهرت منه فهي طاهر سواء زادت عن عادتها أم نقصت وسواء تقدمت أو تأخرت

“Apabila kelihatan darah, ia dikira haid. Apabila bersih daripada darah, ia dikira suci samaada lebih dari tempoh kebiasaan atau kurang, samaada terawal atau terlewat.”


Kaedah ini menyatakan tak kiralah haid itu datang dalam tempoh yang lebih lama atau lebih cepat atau kitarnya datang lebih awal atau terlewat dari biasanya, ia tetap haid sekiranya ada sifat haidnya. Benar. Saya sebagai seorang ahli biologi sedar, betapa kestabilan emosi sangat berpengaruh dalam menentukan pasang surut hormon wanita itu. Dan kitar haid adalah berkait rapat dengan rembesan hormon.. Emosi tidak stabil mudah sahaja menjejaskan kitar haid.

"Pada asalnya setiap darah yang mengalir keluar dari rahim adalah darah haid sehinggalah ada bukti yang menunjukkan ia adalah darah istihadah. Apa-apa darah yang keluar ialah darah haid jika tidak diketahui bahawa ia adalah darah istihadah atau luka."- Syeikhul Islam Ibn Taimiyah dalam al-Risalah fi al-Asma’ allati ‘Alaq al-Syar‘i al-Ahkam biha, ms. 36 & 38.

2) 15 hari haid, 15 hari suci
Diriwayatkan Imam Ahmad juga berpendapat: "Tiada had dalam sekurang-kurang suci. Selama mana tidak keluar darah, maka itulah tempohnya."

Ibn Taimiyah pula memberi pandangan: "Dari apa yang dikenali sebagai haid, Allah telah kaitkan dengannya beberapa hukum dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Allah tidak menentukan baginya tempoh masa minima dan tempoh masa maksima. Allah juga tidak menentukan tempoh masa suci antara dua haid. Sedangkan perkara-perkara ini adalah umum terhadap umat dan mereka berhajat untuk mengetahuinya.

Dari sudut bahasa, ia (al-Qur’an dan al-Sunnah) tidak membezakan antara satu tempoh dengan satu tempoh yang lain. Maka sesiapa yang menentukan satu tempoh tertentu maka sesungguhnya dia menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah," ujarnya dalam al-Risalah fi al-Asma’ allati ‘Alaq al-Syar‘i al-Ahkam biha, ms 35.

Kaedah lain menyatakan:

إذا انقطع الدم يوما وليلة فأكثر بين أيام الحيض فهذا طهر, وإن انقطع أقل من يوم وليلة فالدم في حكم الحيض

Maksudnya: “Apabila darah berhenti sehari semalam atau lebih diantara hari-hari haid, ia dikira suci. Jika berhenti kurang dari sehari semalam, maka darah yang keluar dikira darah haid.”

2) Sifat haidnya:
Menurut ulamak; warna-warna darah haid ada lima, iaitu (hadir mengikut urutan); hitam, merah, asyqar (warna antara merah dan kuning), kuning, keruh.

Kaedah ketiga:

الصفرة والكدرة إذا كانت في أثناء زمن الحيض أو متصلة به قبل الطهر تكون حيضا

“Kekuningan dan kekeruhan jika datang ketika masa haid atau bersambungan dengan masa haid sebelum suci ia dikira sebagai haid.”


Disclaimer:
Saya bukan ustazah meskipun mengajar di sekolah tahfiz. Belum lagi punya ijazah dalam Pengajian Agama, meskipun pernah menuntut secara terus dengan ramai ilmuwan Islam terkemuka tanahair. Namun saya tahu, syurga bukan tempat untuk ustaz ustazah semata. Ilmu agama perlu dituntut sehingga mata terpejam.

Sumber:
1) Fekah Taharah Wanita: recommended reading
2) Masa Haid dan Tempohnya: suka cara Kapten Hafiz Firdaus mengkaji ilmu tersebut. Very insightful.
3) Haid 15 Hari, Adakah Suci Juga 15 Hari?
4) Darah Haid

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."

Nur Suhaila Zulkifli
Port Dickson.

Friday 18 January 2013

Merdeka Rakyat: Dasar Pandang ke Mesir


Satu demi satu kemenangan dikecapi oleh gerakan yang berusaha menegakkan kalimah la ila ha illa Allah di atas muka bumi. Arab Spring tidak terhenti dengan kemenangan Dr Mursi. Malah kemenangan itu menjadi bara yang membakar negara-negara lain. Lubnan mengikut jejak langkah Mesir meski kebangkitan dilaksanakan secara aman. Malaysia? Gelombang kebangkitan rakyat semakin kuat dirasai..


Dalam pada memilih pemimpin yang perlu dicontohi atau diundi, saya rasa wajar kiranya kita melihat corak pentarbiyahan yang dilalui pemimpin itu. Hingga beliau menjadi insan hebat yang Allah pilih di atas muka bumi. Tidak adil melihat susuk tubuh Dr Mursi sebagai seorang presiden Mesir yang Islamik andai kita tidak melihat segala macam dugaan yang telah beliau lalui untuk sampai ke tahap itu. Dipenjarakan.. Sama seperti Nabi Yusuf as. Bukankah itu sunnah orang berjuang pun..

6 Bulan Yang Lalu

Ingat lagi saya, debar yang dirasakan menunggu keputusan pilihanraya Mesir 2012. Dan alhamdulillah, Allah perkenankan doa sekalian umat di seluruh dunia. Rasa sangat terharu, beban yang dialami rakyat Mesir kini telah diangkat sedikit oleh Allah. Paling tidak, pemimpin yang dipilih adalah seorang hafiz, baik akhlaknya dan mulia peribadinya. Malah, ucapan yang sama dibuat seperti mana Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu melafazkan baiah memegang kepimpinan itu.


Malah, peringatan dan amaran diberikan oleh ulama' bernama Dr.Syeikh Sofwat Hijazi Hafizohullah kepada Dr Mursi pada hari perlantikan beliau sebagai Presiden Mesir yang baru. Amaran yang diiringi dengan airmata kesyukuran.

"Saya ingin katakan kepada Dr.Muhammad Mursi, dengan kurniaan Allah maka Dia menganugerahkannya kepadamu, bukan kerana kepakaranmu, bukan kerana kedudukanmu, bukan kerana usahamu juga bukan kerana usaha mereka disekelilingmu. Ia adalah kurniaan Allah.

Maka hukumlah kami dengan kesaksamaan, dengan keadilan. Bertakwalah kepada Allah pada kami. Taatlah kepada Allah nescaya kami taatkanmu. Jika kamu derhaka kepada Allah, maka kami tidak akan mentaatimu.

Ambillah iktibar pengajaran dengan apa yang berlaku kepada orang sebelum kamu (Mubarak). Jadilah diri kamu orang yang mendekati Allah, nescaya Dia akan mendekatkanmu kepada rakyat. Rukuklah, sujudlah, nescaya Allah akan memberikan taufik, in shaa Allah."

Wartawan: Dr.Sofwat, adakah boleh dikira hari ini sebagai hari kegembiraan?
Dr.Sofwat: Ya, hari gembira. Bagaimana anda boleh terbayang, kita akan peroleh Presiden yang menghafal dan menanggung kitab Allah 'azza wajal. Sudah tentu, gembira. Gembira yang teramat.

"Ingin saya katakan kepada orang yang memusuhi kami, sesiapa yang menghina kami, mereka yang telah mencerca kami, bahawa kami maafkan kalian, kami maafkan kalian. Kami tidak mahu apa-apa dari kalian. Apa yang kami mahu ialah kalian balik kepada agama dan membina negara kita ini.Saya tidak membenci sesiapa, tidak memusuhi sesiapa. Saya telah maafkan kepada semua. Memaafkan semua insan."

Perkongsian dari seorang sahabat,
" Adapun ayat yang lebih kurang sama juga diungkapkan oleh Sheikh As-Shamsuddin kepada Sultan Muhammad Al-Fatih setelah baginda dengan gilang-gemilangnya berjaya menawan Kota Konstantinople:
“Walaupun hari ini engkau telah berjaya mencapai kejayaan yang paling besar, tetapi biarlah aku menjadi satu-satunya manusia yang terus mengingatkan engkau bahawa engkau adalah hamba kepada Allah SWT!”


****
Rakyat yang Rindukan pada Keadilan


Rakyat yang berhimpun memenuhi Tahrir Square bagi menunjukkan protes ke atas penafian kemenangan Dr Mursi terus bersujud syukur.

Hatta yang berada di jalanan, sedang memandu, tidak terlepas dari melahirkan kesyukuran yang sama. Allahu rabbi..

Seorang pegawai tertinggi Pengawal Republik memberikan tabik hormat kpd Presiden Dr.Muhammad Mursi yg keluar dari kediaman beliau menuju ke Masbero,bagi menyampaikan ucapan sulung selepas diisytiharkan menang.

*****

Di Malaysia, KL112 mencatatkan satu fenomena. Bersyukur kerajaan BN sangat berdiplomasi dalam menghadapi himpunan ini. Tiada FRU, tiada gas pemedih mata dan air kimia seperti mana-mana himpunan sebelum ini. 

Segala macam istilah matematik dan statistik dibentangkan Prof Dr Shahrir untuk 'mengira' bilangan yang hadir dengan setepat mungkin. Al-maklumlah, media dan PDRM tiada kepakaran itu.

Apa pun, bahang PRU13 makin terasa. Paling lewat, parlimen akan dibubarkan pada 28 April 2013. Politik gambar di sana-sini. Pantang lepa sehari, pasti ada benda yang terlepas pandang yang menjadi isu dibincangkan di facebook terutamanya.

Kelmarin, isu Amanat Hadi; semalam, listen, listen; hari ini, janji Tun Mahadir untuk pendidikan percuma; esok? The lists seem endless. Pucuk pangkal, bergantung pada rakyat untuk menilai secara kritikal. Jangan ikut emosi, nanti mati. Jangan ikut rasa, nanti binasa. Ikutlah iman, pasti aman.


Mesir dan Malaysia Kini
Sudah dijangkakan, kemenangan di Mesir bukanlah dibentangkan dengan karpet merah. Mantan pemerintah menjadi pembangkang yang sangat kuat. Pemberontakan demi pemberontakan dicetuskan dari dalam. Mudah sahaja nama kepimpinan Mesir kini diburukkan. Nila setitik rosak susu sebelanga. Sedangkan banyak lagi penambahbaikan dan tajdid (pembaharuan) yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Dr Mursi.

Perkara yang sama mungkin juga boleh menimpa Malaysia. Kebangkitan rakyat makin dirasai. Gelombang perubahan mungkin akan tiba di puncaknya menjelang PRU13. Namun sejauh mana kerajaan baru yang bakal memerintah bersedia memegang pucuk pimpinan? Bersedia menjadi kerajaan, bukan lagi pembangkang. Adakah sedia para teknokrat hizbullah untuk menjadi golongan professional yang bakal mengisi kemenangan Islam. Bersediakah kerajaan baru dalam menghadapi pembangkang baru yang kuat? Pastinya, apa sahaja dugaannya, iman yang teguh mampu menjadi benteng menghadapi semua ini..

Banyak perubahan sebenarnya jika bertukar pemerintah. Ekonomi akan direjuvinasikan (diremajakan). Rakyat merasa corak pemerintahan baru. Yang bakal menjadi pembangkang juga akan lebih matang dalam berpolitik. Kerajaan yang baru pula akan berusaha lebih keras agar terus kekal memerintah.

Kalau pemerintahan tidak bagus, tukarlah pemerintah baru 5 tahun selepas itu. 5 years period is not that long.. Somehow, we have been ruled by one party since 1959. Longer than any other countries except for the countries that involved in the Arab Spring.

Tapi apa pun, pentarbiyahan rakyat perlu dari bottom up dan up to bottom. Pentarbiyahan oleh pemerintah dan para daie. Tak semua perkara boleh dipulihkan dengan bertukar kerajaan. Jadikan situasi di Mesir sebagai muhasabah. Lamanya kerajaan lama memerintah boleh menjadi petanda mereka akan menjadi pembangkang baru yang jabariyah.

****
Disclaimer: Segala yang tercatat di sini adalah dari sisi pandang saya yang neutral melihat apa yang berlaku di sekeliling saya. Tidak wajar andai mengatakan saya pro-pembangkang hanya dari penulisan yang menegur kerajaan atau melebihkan pembangkang. Berani kerana benar, takut kerana salah.

Syeikh Dr Muhammad Ali as-Shabuni menyebut tuan-tuan, "Allah berfirman "Hendaklah kamu bersama golongan-golongan yang benar." Golongan-golongan yang benar ialah golongan yang mengesakan ALLAH s.w.t. Golongan-golongan yang benar adalah mereka yang menjadikan hukum-hakam Allah sebagai cara hidup mereka. Maka aku hari ini aku bersama golongan-golongan yang benar". kata-kata seorang ulama' ketika di Sambutan Ambang 2013.

Andai saya khuatir rezeki saya ditarik, Allah yang memberi rezeki. Kufur andai saya takutkan manusia, bukan Allah.



"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."

Nur Suhaila Zulkifli
Seremban

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...