Sunday 10 February 2013

Purnama Yang Merindu

Bukanlah Cinta Biasa 
Cinta itu fitrah. Cinta pada sang Pencipta yang sentiasa mengurniakan rahmat dan belas kasihNya pada kita, cinta pada Nabi Muhammad saw yang mencintai kita lebih dari dirinya sendiri, cinta pada ibu bapa dan ahli keluarga yang sentiasa bersama tika susah dan senang, cinta pada sahabat yang tidak henti-henti mendoakan yang terbaik untuk kita, cinta pada alam yang sentiasa bertasbih padaNya. Ya, semua itu adalah cinta. Cinta yang suci. Dan setiap kecintaan itu menambahkan pahala. Cinta yang Allah campakkan dalam hati setiap hambaNya.

”Allah membahagikan kasih sayang dari sisinya kepada 100 bahagian. Allah menyimpan 99 bahagian, dan 1 bahagian sahaja yang diturunkan ke bumi- yang membuahkan rasa kasih dan sayang antara makhlukNya. Sehingga seekor unta pun bergerak dengan berhati-hati supaya tidak terpijak anaknya yang baru dilahirkan.” (Hadis riwayat al-Bukhari) 

Namun, manusia yang mengotori sucinya cinta. Cinta pada manusia hanya pada sepasang kekasih, hingga buang keluarga dan kawan. Cinta yang dinodai hingga ada anak kecil yang dibuang bagai boneka tidak bernyawa. Cinta yang membuatkan si teruna dan dara mabuk dalam rasa hati hingga lupa tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi. Habis kotor cinta yang asalnya suci yang Allah campakkan dalam hati..

”Cinta itu adalah perasaan suci, tenang dan mengasyikkan. Sekiranya manusia jatuh cinta, mereka memiliki rasa rindu dan sentiasa mengingati orang yang dicintai.” – Ibnu Qayyim al-Jauziyah 

Mencintai itu tidak salah. Malah diharuskan untuk menikahi seseorang yang boleh membuatkan kita jatuh cinta padanya. Kerana itu, ketika sesi taaruf, kedua-dua lelaki dan wanita itu diharuskan melihat wajah dan pergelangan tangannya agar dapat dipastikan, insan yang bakal dinikahi itu akan mampu dicintai. Saat ikatan telah bertaut, debar mula terasa. Itu juga tidak salah. Malah debar dan saat mengingati itulah yang akan mempercepatkan proses pernikahan. Biasa berlaku, tempoh pertunangan dipendekkan kerana pasangan itu sudah merasa tiba masanya mereka perlu dinikahkan. Andai tidak, khuatir diri terjebak dengan dosa, zina hati terutamanya.

Cinta yang diikat atas dasar duniawi hanya akan kekal di dunia. Namun cinta yang diikat untuk ukhrawi, akan kekal di dunia dan akhirat selagi mana Allah mengkehendakinya. Carilah erti Islam, cintailah Allah dan Rasulullah saw lebih dahulu sebelum membuka hati kepada cinta untuk bernikah. Beza, kerana cinta itu akan dipandu mengikut syariat. Andai cinta itu mula leka, Allah akan sentiasa beri peringatan. Kerana kita lebih dahulu mencintai Allah dan RasulNya sebelum cinta kepada seorang yang ajnabi (asing) itu. Dan Allah akan sentiasa tidak lepas memerhatikan hamba yang mengingatiNya.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَنُ وُدّاً
”Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih dan sayang.” (Surah Maryam:96) 

”Aku mencintainya kerana Allah.” Dusta andai syariat Allah dilanggar. Tipu andai diri hingga leka, lupa dunia akhirat dek cinta. Bohong andai nama si pencinta disebut lebih dari zikirnya pada Allah dan selawatnya pada Rasulullah saw.

”Begitu luar biasa bentuk cinta hakiki yang berlandaskan kasih Ilahi, ibarat pohon dalam hati, akarnya adalah kepatuhan kepada Allah, dahannya adalah makrifatullah (mengenali Allah), rantingnya takut pada kemurkaan Allah, daunnya malu kepada Allah, buahnya adalah istiqamah, air dan bajanya adalah zikrullah.” –Ummu Anas dalam bukunya Istikharah Cinta.

Cintaku Selepas Allah, Rasul dan JihadNya 



قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah:24) 

Mudah dilafaz, sukar dilaksanakan. Satu tuntutan yang memerlukan pengorbanan, hati dan perasaan. Kerelaan untuk ditinggalkan, kerelaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan, kerelaan untuk berkongsi masa dengan tuntutan agama.

”Kebanyakan pasangan yang telah diikat melalui baitul muslim rata-rata hebat perancangan kekeluargaan mereka. Namun, tiada sedikit pun perancangan untuk mengintima’kan keluarga yang bakal terbina untuk perjuangan Islam.”
Benar. Itu yang jadi kisah, dua individu hebat yang berkahwin, larut dalam percintaan mereka sehingga lupa perjuangan Islam yang perlu didokong. Futur, dalam bahasa mudahnya. Umpama air terjun yang rancak mengalir, tiba-tiba terhenti di suatu penghujung (fatara). Air itu menjadi statik.

“Air yang tidak mengalir (statik), akan merosakkan air tersebut. Pemuda yang banyak masa kosong (tidak dinamik), akan dibunuh oleh masa kosong itu” (pepatah Arab)

Si isteri yang dulunya tidak kisah ke sana sini membawa misi usrah, sukar melepaskan suami dari pergi menjalankan kewajipan sebagai seorang pejuang. Si suami yang hebat berceramah sana sini, kini sukar memberi kebenaran isterinya bergerak ke tempat usrah atas sebab mahu isterinya terus berada di rumah. Menanti di saat kepulangannya. Melayaninya di saat dia memerlukan.

Benar, si suami adalah penjaga sebuah rumahtangga. Benar, melayani suami itu hak yang wajib dipenuhi si isteri.. Namun, si suami dan isteri itu adalah hak Allah. Dua orang hamba yang telah ditetapkan tugasnya sebagai khalifah. 

Setiap manusia akan ada masa bersemangat dan akan ada masa lemah (futur). Sesiapa yang futur hendaklah dia kembali kepada sunnahku. Sesiapa yang mencari selain itu, dia akan binasa.” (hadis)

Mencintai bukanlah perlu memiliki. Mahu pasangan sentiasa berdampingan dengan kita setiap saat bukanlah satu cara mencintai. Tidak membenarkan si suami berpoligami juga meskipun kita tidak mampu menjalankan tugas seorang isteri dengan baik juga bukanlah satu cara mencintai. Hakikat pahit yang perlu ditelan andai saya sendiri menghadapinya. Tapi inilah hakikat yang sebenarnya perlu dihadam oleh akal yang waras.

Sampai bila pun, insan yang kita kasihi hak Allah. Bila-bila masa Allah boleh tarik dia dari kita. Bila-bila masa Allah boleh mengalihkan hatinya dari mencintai kita. Bukanlah yang memegang hati manusia itu, Allah? Kita mampu berusaha, tapi sampai takat mana.. Pucuk pangkal, kena berdoa juga pada Allah agar ditetapkan hati kita dalam mencintai. Mana mungkin doa itu bisa dimakbulkan andai kita mengundang murkaNya?

”Sekiranya Allah mencintai seorang hamba, Jibrail berseru (kepada penghuni langit), ”Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, lalu cintailah beliau.” Justeru, seluruh penghuni langit (malaikat) mencintainya. Kemudian, dijadikan orang yang menyambut cintanya di bumi.” (Hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah) 

Kalau bukan mereka berdua yang faham yang menggerakkan Islam, siapa lagi. Kalau bukan mereka yang melahirkan zuriat bakal pejuang, siapa lagi.. Nabi saw berbangga kerana umatnya ramai. Namun biarlah zuriat berkualiti itu yang meramaikan umat baginda saw.

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُواْ مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافاً
”Dan hendaklah kamu berasa bimbang sekiranya kamu meninggalkan zuriat yang lemah.” (Surah an-Nisa':9)

”Ah, mudahnya dia bercakap. Belum bernikah pun sudah bercakap soal futur atau tak.”

Istiqamah itu tidak akan diketahui sampai kita mati. Andai kita masih dalam perjuangan Islam saat jasad bercerai dengan nyawa, istiqamahlah kita. Apa yang tertulis di sini adalah peringatan untuk diri sendiri terutamanya. Yang belum bernikah tapi sudah ada bibit-bibit sukar melepaskan. Muhasabah diri. Cintailah dia selepas cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah saw dan cinta pada perjuangan Islam. Jangan terlalu sayang hingga membinasakan insan yang tersayang.

"Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian, menjaga adab rumahtangganya, dia akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya. Dia juga akan menjadi ketua 70 000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggu kedatangan suaminya yang datang dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut." 

Soal jodoh dan rezeki. Sampai bila pun akan jadi rahsia Allah. Walaupun sudah tertulis sejak roh ditiupkan dalam jasad kita. Bukan kita yang cari jodoh dan rezeki. Jodoh dan rezekilah yang cari kita. Andai kita kata kita yang cari rezeki, bagaimana mungkin orang yang tidak mampu bekerja, masih punya makanan untuk menyambung hidupnya? Jika kita kata, kita yang cari jodoh, bagaimana mungkin orang yang tidak sempurna jasadnya masih bertemu jodoh? Yang penting, adalah usaha dan doa.

Barangkali Allah akan singkap tabir rahsia jodoh dan rezeki itu. Agar ada secebis takdir yang telah ditetapkanNya itu dapat dilihat dan dirasai oleh hambaNya. Barangkali apa yang tersingkap bukanlah rahsia sebenar. Hanyalah persinggahan. Namun, perjalanan yang telah tertulis yang mesti dilalui setiap manusia itu adalah yang terbaik. Jodoh dan rezeki yang ada pada saat ini haruslah dijaga sebaik mungkin. Kerana ia akan kekal menjadi satu destinasi terakhir melainkan ada persinggahan lain yang muncul. Semuanya hanya Allah yang tahu.

Sepurnama Lagi 


Makin menghampiri detik. Apa yang dalam hati masing-masing masih menjadi rahsia. Tapi adakala lidah tidak perlu berbicara. Cukup masing-masing menyakini dan berusaha supaya satu ikatan yang halal terjalin. In shaa Allah. 

Sampai detik itu, cinta itu akan dibangunkan untuk menjunjung panji Islam dan mencapai keredhaan Allah. Kerana sejak dari awal lagi, ikatan dibuat, matlamatnya hanya satu. Mahu bawa cinta itu ke syurga Allah. Moga ditetapkan nawaitu itu hingga ke akhirnya, amiin.. Kerana purnama ini telah mula merindu..

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 

Nur Suhaila Zulkifli 
Port Dickson.

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...