Wednesday, 28 May 2014

Dua Hati Menjadi Satu

Usai menjadi ahli panel untuk satu slot forum Baitul Muslim. Sebagai wakil ibu mengandung katanya. Muhasabah berkenaan penyampaian diri sendiri pada slot tersebut,, rasa kurang puas hati dengan persembahan sendiri. Mana taknya, persediaan kurang dibuat. Tambah-tambah lagi, sudah lama rasanya tidak bercakap di hadapan khalayak melainkan berkenaan tugas mengajar. Tahun ini, sudah tidak memegang mana-mana usrah. Rasa kosong juga sebab tiada lagi medan untuk berkongsi dan menambahkan ilmu. Sungguh, usrah itu ruang untuk merehatkan diri dari hal dunia.


Baitul Muslim
Keluarga muslim. Penyatuan dua jiwa yang sangat berbeza alam sebelum mereka disatukan. Namun, dengan hanya dalam satu akad, ikatan itu menghimpunkan mereka dalam satu alam yang baru, alam rumahtangga. Andai pernikahan itu sekadar dianggap indah sepanjang masa, berpimpin tangan dengan pasangan, ada insan untuk bermanja dan mengadu domba, itu bukanlah gambaran sebenar.

Jangan diukur bahagianya sesebuah rumahtangga itu dari romantiknya gambar mereka di laman sosial. Barangkali sudah beberapa kali salah seorang dari mereka berniat mahu memadamkan semua gambar kenangan itu tatkala rumahtangga mereka bergolak.

Jangan diukur bahagianya sesebuah rumahtangga itu dari kata-kata manis yang diucapkan kepada pasangan di khalayak umum. Barangkali sudah beberapa kali mereka tawar hati dengan pasangan tatkala badai datang menerpa.

Tak usahlah menilai kestabilan rumahtangga orang lain dari apa yang kita lihat dari zahir. Mungkin kita nampak kedua mereka tenang sahaja seolah-olah suatu pasangan yang saling menyempurnakan, tapi hakikatnya tidak. Mungkin kita lihat kedua mereka saling berselisihan pendapat seolah-olah suatu pasangan yang selalu bergolakan, tapi hakikatnya tidak.

Pernikahan itu adalah satu medan tarbiyah, ia adalah sebahagian daripada dakwah dan jihad. Nikah, it is an art of jihad. Sebagaimana jalan jihad bukan dibentangkan dengan karpet merah, begitulah dengan pernikahan, bukan sepanjang masa, ditabur dengan mawar merah.

Pucuk pangkalnya, bagaimana dua jiwa itu berdepan dengan duri-duri yang cuba menyakiti rumahtangga yang terbina. Dan beruntunglah bila mana dua jiwa itu ada ikatan hati yang membuatkan mereka selalunya sehaluan. Sekufu dan sefikrah.


Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda,

الأَرْوَاحُ جُنُوْدٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ وَمَا تَنَاكَرَا مِنْهَا اخْتَلَفَ
“Ruh-ruh itu seperti tentera yang berhimpun yang saling berhadapan. Apabila mereka saling mengenal (sifatnya, kecenderungannya dan sama-sama sifatnya) maka akan saling bersatu, dan apabila saling berbeza, maka akan tercerai-berai.” (Hadis riwayat Muslim)

Isteri Solehah
Rasulullah saw bersabda, "empat perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia iaitu perempuan (isteri) yang solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik dan kenderaan yang bagus." (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Menurut Ibnu Abbas, isteri solehah merujuk pada wanita yang berperilaku baik kepada suaminya dan mengerjakan perbuatan kebajikan.

Menurut Ustaz Azhar Idrus pula, mencari isteri solehah adalah umpama mencari seekor gagak putih di antara ribuan gagak-gagak hitam yang ada. Sukar dijumpai. Dan mungkin juga, sudah kepupusan pada masa kini. The extinct species.

Suami Baik

Dari Abu Hurairah ra, ia berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:

اكمل المؤمنين ايمانا احسنهم خلقا وخياركم خياركم لنسائهم
“Orang yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan orang terbaik di antara kalian adalah yang paling baik terhadap istrinya.” (HR. Ibnu Hibban, Ibnu Majah, al-Tirmidzi, dan Ahmad).



Dari Aswad r.a, katanya : Saya bertanya kepada Aisyah ra, apa yang dilakukan Nabi saw dalam rumahtangganya. Ia berkata, “Beliau (Nabi saw) selalu mengerjakan urusan rumahtangga. Kalau masuk waktu solat, beliau pergi bersolat.” (Hadis riwayat Bukhari, 1707)

Suami membantu kerja rumah isteri itu antara ciri-ciri suami yang baik pada isterinya. Namun, kerap kali didengar dalam kalangan isteri, "Penat macam mana pun, kena juga buat. Kalau bukan saya yang buat kerja rumah tu, siapa lagi nak buat." Atau, "Kita yang perempuan nilah yang dok serabut fikir setiap pagi, tentang nak siapkan anak, sediakan sarapan, hantar anak ke sekolah, buang sampah, bersiap ke tempat kerja.. Suami cuma ambil kunci dan pergi kerja." Mendengar keluhan mereka yang sudah mencecah dekad berumahtangga, rupanya tidak mudah mencari suami yang baik itu.

Isteri Solehah dan Suami Baik
Saya agak skeptikal dengan penekanan berat yang dilakukan oleh sesetengah penceramah berhubung tuntutan menjadi isteri solehah. Dengan keadaan, tiada sedikit pun penekanan dibuat untuk mendidik para suami supaya berusaha menjadi suami baik. Mahukan isteri yang solehah, suami perlu menjadi baik dahulu. Mahukan suami yang baik, isteri perlu berusaha menjadi sesolehah mungkin.

Yang penting pada seorang suami adalah perhatian daripada seorang isteri ketika dia berada di rumah. Kepenatannya di tempat kerja akan terubat apabila menerima layanan kelas pertama dari isteri di rumah. Kerana itulah, isteri itu dicipta untuknya agar dia merasa tenteram dan tenang. Isteri juga mengharapkan perkara yang sama, perhatian daripada suami. Antara pemberian wang hasil titik peluh suami dengan belaian suami, sebenarnya isteri lebih mendambakan belaian suami.

Pada zaman kini, banyaknya isteri terdiri daripada golongan yang bekerja. Sama-sama mencari nafkah untuk keluarga. Sama-sama keluar pagi, dan balik lewat petang. Sama-sama merasa penat dan tekanan di tempat kerja. Situasi isteri hari ini sudah hampir sama dengan si suami. 

Kalau suami tidak sama membantu membuat kerja rumah, walaupun sekadar meringankan tangan mengemas dapur ketika isteri memasak, contohnya, rasanya bolehkah wajah isteri yang kepenatan tadi tersenyum manis melayani makan si suami? Kalau si isteri itu tidak menyambut kepulangan suami dengan senyuman manis dan minuman petang, rasanya bolehkah si suami itu merajinkan diri membantu isteri membuat kerja rumah?

Kesilapan selalu dibuat, kita mempersoalkan apa yang orang buat untuk kita, namun tidak bertanya pada diri sendiri, apa yang kita telah buat untuk orang? What you give, you get back.

Muhasabah untuk mereka yang bakal berumahtangga, sedang berumahtangga dan paling penting, untuk diri sendiri terutamanya.

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."


Nur Suhaila Zulkifli
Masjid Tanah

No comments:

Followers