Sunday, 27 December 2009

What You Give, You Get Back

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Setelah pelbagai ujian dikenakan ke atas hamba-hambaNya, FUIYO Third Edition usai dijalankan dengan lancar. Meskipun diancam dengan risiko sehingga menyebabkan ia mungkin dibatalkan lantaran salji tebal di Peak District yang membahayakan, namun Allah izinkan usaha gigih para penggerak diteruskan. Lokasi baru di salah sebuah World Heritage Site berjaya dicari dan pertukaran tempat diumumkan sehari sebelum program bermula (kami dimaklumkan jalan ke Peak District ditutup sepanjang 5 batu pada pagi 21 Disember 2009).

22 Disember 2009

61 orang peserta berkumpul di University of Manchester sebelum bertolak bersama-sama sebahagian ahli jawatankuasa(AJK) FUIYO Third Edition dalam dua bas yang ditempah khas untuk FUIYO. Dalam masa yang sama, AJK yang lain telah pun tiba di Ironbridge- Coalbrookdale, Telford dan menyiapkan tempat demi menyambut para peserta yang diraikan. Peserta muslimat seramai 70 orang bakal mendiami Istana Yha, manakala 31 peserta muslimin bakal menghuni Istana Takeshi (Ironbridge- Coalport).

Allah tarik perancangan kami untuk berprogram di Peak District sebab Dia mahu kurniakan istana yang lebih selesa untuk kami menunaikan tugas kami sebagai hamba.

Setibanya di sana, bacaan doa memulakan perjalanan 4 hari 3 malam peserta. Gabungan duo pengerusi majlis yang ceria menyebabkan para peserta tidak kering gusi dengan keletah mereka. Pengisian pertama dari Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman(UZAR) cukup membuka mata para peserta, apatah lagi dengan kebijaksanaan menyampaikan pengisian dengan hikmah, tema What You Give, You Get Back mula ditanamkan dalam diri peserta.

Bukan mahu membandingkan, tetapi ternyata UZAR berjaya membawakan perkongsian ‘Erti Hidup Pada Memberi’ Ustaz Hasrizal Abdul Jamil mengikut acuannya sendiri. Memberi itu dapat dilaksanakan dengan mudah jika hadir dengan kasih sayang. Seharusnya kita jadikan kasih kepada Allah dan Rasul sebagai yang utama, kemudian barulah kasih kepada manusia.

Katakanlah Muhammad,” Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (Surah al-Imran:31)

Dari an-Nu'man bin Basyir radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:"Perumpamaan kaum Mu'minin dalam hal saling sayang-menyayangi, saling kasih-mengasihi dan saling iba-mengibai itu adalah bagaikan sesusuk tubuh. Jikalau salah satu anggota dari tubuh itu ada yang merasa sakit, maka terasa seluruh tubuh kerana kesakitannya - dengan berjaga - tidak tidur - serta merasa panas." (Muttafaq 'alaih)

Hakikatnya, hanya satu cinta yang ada dalam hati. Cinta pada Allah menyebabkan kita kasih pada keluarga. Cinta padaNya tidak mengabaikan kita dari mencari keredhaanNya di dunia. Allah tidak menjadikan dua kecintaan dalam hati lelaki atau perempuan itu. Bak kata cerdik pandai, dunia adalah tempat kita berkreatif untuk akhirat. Isteri yang solehah, jiran yang baik, dan kenderaan yang selesa merupakan nikmat dunia yang seharusnya digunakan untuk mencapai tujuan kepada Allah.

Bila apa yang dipelajari dalam ceramah dipraktikkan dengan serta-merta.

Usai menjamah hidangan Nasi Ayam Pasti Terangkat, para peserta dibahagikan untuk aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK). Para fasilitator yang terdiri dari 6 muslimin dan 14 muslimat mengendalikan dua slot ta’aruf.

22 Disember 2009 ditutup dengan sorakan FUIYO dan nyanyian lagu tema Merah Saga, yang menaikkan semangat pembelaaan Palestin. Sepanjang waktu senggang antara ceramah, senandung FUIYO, iaitu lagu nasyid Hijrah nyanyian Muadz Dzulkifli berkumandang berulang kali agar pelajar berhasil menghafaz hadis 1 matan arbain yang bertemakan niat, berteraskan Law of Repetition.

23 Disember 2009

Coret pagi usai bacaan al-Mathurat dan solat subuh berjemaah diberikan oleh Akh Muhaimin Sulam. Sesi ceramah pula diserikan dengan kupasan demi kupasan yang diberikan oleh UZAR, yang pernah berguru dengan Dr Yusof al-Qaradhawi. Kali ini dengan tajuk, Kita Perlu Punyai Sesuatu untuk Memberi dan Cabaran serta Pengalaman beliau.

Sempat beliau berkongsi nas motivasi untuk mengekalkan momentum agar terus menyumbang dan menyumbang, tanpa kenal erti jemu. Antaranya, yang menjadi pegangan hidup beliau:

Nabi menyebut “Sesungguhnya Allah, malaikatNya, penduduk langit dan bumi sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di laut akan pasti mendoakan (kebaikan) buat orang yang mengajarkan manusia ilmu kebaikan (agama).” (Hadis riwayat at-Tarmidzi 5/50)

Latihan dalam kumpulan yang menarik, iaitu Labels dan Blame Game menyelangi ceramah-ceramah. Dalam aktiviti Labels, para peserta dilayan berdasarkan label yang ditampal di dahi mereka. Terkulat-kulat juga para peserta yang dilabelkan ‘Ignore me’ dan ‘Disagree with me’ bila pandangan mereka ditolak mentah-mentah, meskipun itu idea yang bernas!

24 Disember 2009

Ceramah diteruskan, kali ini oleh Ustaz Maszlee Malik, penulis buku Fikah Luar Negara. Tajuk ‘Islam: Kiri atau Kanan’ mendedahkan para peserta akan ideologi yang kini sedang menular dalam kalangan penduduk dunia: Christian Right, liberalisme, humanisme, positivisme dan pelbagai lagi istilah baru diperkenalkan kepada para peserta.

Kebangkitan bakat terpendam para peserta makin terserlah pada hari ketiga bila mana setiap dari mereka diminta memberikan pendapat atau nasihat atas setiap permasalahan peserta lain. Nyata, ramai yang diam-diam berisi. Punya bakat sebagai seorang pakar motivasi mahupun konsultan.

Bakat mereka diserlahkan lagi melalui pertandingan Chef FUIYO: Karipap King dan Princess Donut. Para peserta muslimin diminta menyediakan karipap (inti disediakan oleh Geng Dapur) manakala muslimat diuji keupayaan mereka menyediakan donut. Kreativiti dan kemahiran peserta, terutama muslimin untuk mengelim karipap teruji. Pelbagai bentuk donut dan karipap dihasilkan, termasuklah karipap berbentuk hati.

Kuiz yang dijalankan selepas itu menjanjikan hadiah lumayan sperti Buku Tafsir Ibnu Kathir bernilai lebih GBP100, peti sejuk mini, dan ketuhar. 20 soalan yang menguji pengetahuan peserta diajukan, antaranya berkenaan sirah an-nabawiyah dan kejayaan Malaysia merangkul pingat ketika Sukan SEA baru-baru ini.

Ceramah ‘Aku Tidak Patriotik?’ oleh akh Muhammad Fawwaz Aminuddin, graduan cemerlang dari University of Manchester dan kini bekerja di salah satu firma servis professional terbesar di UK nyata membuka mata peserta betapa besarnya peranan mahasiswa. Pelbagai usaha yang pernah dijalankan oleh pergerakan mahasiswa suatu ketika dahulu membuktikan betapa belia muda kita adalah mata dan telinga negara dalam membela nasib rakyat.

25 Disember 2009

Coret pagi diberikan oleh tetamu khas, Dr Mas Afzal. Tips-tips berguna untuk menjadi pelajar cemerlang dikongsi bersama. Apatah lagi, buat pelajar yang aktif menyumbang kepada masyarakat dan agama, tentunya sentiasa bertarung dengan masa. Nasihatnya, pastikan anda faham apa yang dipelajari pada waktu itu juga. Jangan bertangguh untuk mencari pensyarah atau rujukan sebelum ilmu yang baru dipelajari itu hilang tanpa anda lebih dahulu memahaminya.

Ceramah terakhir disampaikan oleh Akh Fawwaz berkenaan 10 Pembentukan Individu Muslim. 10 muwasafat tarbiyah yakni ciri-ciri yang perlu ada untuk membentuk peribadi seorang Muslim yang utuh dihuraikan: aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, akhlak yang mantap, luas pengetahuan, sihat tubuh badan, mampu berdikari, melawan nafsu, sangat menjaga masa, tersusun urusannya dan bermanfaat pada orang lain.

Majlis penyampaian hadiah menyusul. Pemenang kuiz, serta peserta terpilih dinobatkan sebagai penerima 6 anugerah FUIYO. Tidak kurang juga kumpulan terbaik yang menjadi Karipap King dan Princess Donut.

Pujian demi pujian diterima, baik terhadap ceramah yang menyalakan obor semangat mereka, aktiviti menarik mahupun menu. Sememangnya menu FUIYO dinantikan setiap peserta. Apatah lagi, reputasi menu FUIYO 2008 yang ‘menjilat jari’ tersebar ke pelusuk UK dan Ireland. Alhamdulillah, para peserta pulang dengan senyuman puas dan perut kenyang apabila disajikan hidangan hebat seperti Ayam Lemon FUIYO Terbabow, Tomyam Mantop Montoya, dan Telur 'Itik Main Snow'. Istimewanya, para peserta turut disajikan dengan hidangan Cendol Sutera Klasik yang masyhur.

Di dapur, ada lebih kurang 4 peti sebegini yang penuh dengan bahan mentah. Tugas Geng Dapur: memasak dengan penuh kasih sayang.

FUIYO Third Edition melabuhkan tirai tatkala tayar bas bergolek meninggalkan perkarangan Istana Yha. Meninggalkan seribu satu kenangan kepada para peserta dan AJK. Kepuasan jelas terpancar, tanda objektif program ini tercapai untuk membina karektor yang utuh yang mampu menyumbang kepada individu, masyarakat dan bangsa. Peserta kini sedar di bahu mereka tergalas amanah besar. Diharapkan mereka terus menjunjung amanah itu sehingga nafas terakhir dihembus. InsyaAllah.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada Penaja FUIYO Third Edition iaitu Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia, Karangkraf dan Malaysian Muslim Community London atas segala sumbangan dan sokongan yang diberikan. Tidak lupa juga kepada AJK dan fasilitator yang menjayakan program ini. Tanpa sumbangan anda dan izin Allah, program ini pasti tidak mampu diteruskan.


What You Give, You Get Back!


p/s: Pedulikan kalau post sangat 'skema' sebab tak tahu artikel bagaimana yang Karangkraf mahu muatkan dalam Majalah ILuvIslam..
Lagu Tema FUIYO Third Edition: Merah Saga

Saturday, 26 December 2009

Kuliah Online Ta'arif Islam 2

Salam. Lagi peluang untuk anda teroka ilmu Allah..

Yang tidak berpeluang mendengar..
Sesungguhnya ibadahku, solatku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah.

Wednesday, 9 December 2009

Livin' La Vida Loca: Road to Andalusia


Anda akan ke Spain winter ini? Atau anda berkeinginan untuk ke Spain nanti? Atau anda sekadar ingin berjalan-jalan di Eropah?

Tanya diri anda 3 perkara:

1. Kenapa melancong? 2. Kenapa Spain? 3. Buat apa di Spain?

InsyaAllah iluvwarwick dengan kerjasama kampungnotts akan mengadakan sebuah Online Talk berkenaan Andalus pada:

Khamis 10 Disember 2009 10.00 pm Paltalk Moderator: akmalbaik

Penceramah jemputan ialah saudara Cha yang didatangkan khas daripada Nottingham.

Kita akan menggunakan medium Paltalk, jadi anda dikehendaki untuk download softwarePaltalk scene dahulu dan buat login ID yang baru. Kemudian add ‘akmalbaik’ di Paltalk, dan message beliau untuk dijemput ke dalam chat room. (Moderator tidak akan tahu anda telah add beliau, jadi anda perlu message untuk jemputan)

Kalau anda nak tahu siapa Isabella dan Ferdinand, serta apa signifikannya Spain pada tahun 1250 sehingga 1497 dalam tamadun dunia, jom ajak kawan-kawan ramai-ramai untuk join.

Mari kita hidupkan sejarah silam!

Friday, 4 December 2009

Bakal Diadakan

1) Kuliah Online Muslimat Berjaulah Tanpa Mahram
Jika perlukan bantuan, ym saya: su_aqua89


2) A Road to Mecca- Kuala Lumpur
For more info visit: http://www.ibtbooks .com/think/




Monday, 30 November 2009

Fewwit : Mencari Cinta Sempurna

www.iLuvislam.com
Team Event iLuvislam.com Malaysia
iLuvislam.com dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.(KKSB) akan mengadakan sebuah program berkala yang dinamakan Fun & Exciting Weekend With iLuvislam Team (FEWWIT).

Sempena cuti persekolahan, cuti semester IPTA dan pelancaran rasmi akhbar majalah mingguan iLuvislam terbitan KKSB, kami akan mengadakan sebuah forum menarik bertajuk "Mencari Cinta Sempurna".


FEWWIT kali ini turut melibatkan Institut Penilaian Negara (INSPEN) sebagai rakan kerjasama.

Forum ini bakal menampilkan 3 orang panelis yang hebat lagi berpengalaman dan seorang moderator forum yang berdedikasi. Mereka adalah :

Panelis:


1. Datin Zaleha Omar
  • 30 tahun berpengalaman dalam bidang latihan(training), Pembangunan Sumber Manusia dan Pembangunan Organisasi Korporat.
  • Perunding imej di 3 sekolah perunding imej antarabangsa termasuk Robert Pante' Productivity (Amerika Syarikat) dan Asia Pacific Productivity Organisation (Tokyo, Jepun).
  • Pernah menjadi Ketua Unit Pengurusan dan Keusahawanan RISDA dan memegang beberapa jawatan atasan di Perbadanan Negeri Johor
  • Menyertai pelbagai seminar yang dikendalikan oleh personaliti-personaliti terkenal dunia dalam bidang pengurusan seperti Zig Ziglar, Anthony Robbins, Bob Proctor, Tom Hopkins, John Kalench dan sebagainya
  • Menjadi perunding(konsultan) di beberapa subsidari seperti Pembangunan Industri, Johor Land Berhad, KPJ Sdn. Bhd., Suhaimi Salleh Associates. Sdn. Bhd. dan lain-lain.
  • Telah melatih ribuan orang dalam pelbagai bidang seperti Pengurusan Strategik, Pengurusan Am, Kepimpinan, Komunikasi, Pengurusan Stres dan Kesihatan, Imej Saya dan Imej Organisasi, Pengurusan Fesyen, Perhubungan Pemasaran, Imej dan Personaliti, motivasi dan sebagainya.
  • Ketua Biro Perhubungan Awam & Publisiti, Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan & Profesyen Malaysia
  • Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari University of Ohio, Amerika Syarikat

2. Fadzli Yusuf
  • Principal Trainer di Global Genius Consultant Sdn Bhd (Untuk latihan korporat & profesional), dan RK Training & Management (Untuk Latihan Pelajar, Belia dan Remaja).
  • Certified NLP Profesional Trainer National Federation of NLP (NFNLP) yang berpusat di Florida, Amerika Syarikat.
  • NLP Coach dan NLP Master Practitioner (NFNLP, Florida)
  • Certified Profesional Trainer oleh Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB/HRDF) di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia.
  • Mempunyai pengalaman sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya dan pensyarah IPTA.
  • Setiausaha Agung Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia / Trainer & Motivator Islam Nasional (TAMRIN) yang pertama (2009-2011).
  • Penulis lebih 10 buah buku termasuk buku bestseller 55 Petua Orang Berjaya.
  • Kini, lebih 100,000 naskhah bukunya telah terjual di pasaran.
  • Buku Kuasa Hijrah, Kuasa Untuk Berubah terpilih sebagai Buku Pilihan Pembaca Popular Berita Harian 2008 (Kategori Non-fiksyen).
  • Buku Mengurus Kerja dan Waktu, menjadi rujukan rasmi dalam silibus ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
  • Ijazah Sarjana muda dari Universiti Islam Antarabangsa dan kemudiannya menyambung di peringkat sarjana (master) di universiti yang sama. Sekarang, beliau dalam proses menyambung pengajiannya ke peringkat PhD.

3. Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre

  • Ketua Moderator Agama iLuvislam.com.
  • Kini merupakan Setiausaha Sekretariat Himpunan Ulama' Rantau Asia (SHURA).
  • Berpengalaman selama lebih kurang 5 tahun sebagai 'murabbi' bagi pelajar-pelajar Malaysia di Mesir, United Kingdom dan Ireland.
  • Bekas pimpinan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
  • Lulusan Masters Perbandingan Mazhab dari Open Universty Mesir dan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir.

Moderator Forum :

Nuur Zaffan Khalid
  • Editor iLuvislam.com
  • Aktif sebagai fasilitator dalam program-program kemasyarakatan di United Kingdom
  • Menjadi motivator dalam program-program motivasi di sekolah-sekolah Malaysia
  • Lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina, University of Nottingham, United Kingdom

Penampilan Istimewa


Di akhir forum akan diadakan persembahan nasyid oleh penasyid solo yang terkenal, saudara Muadz.


Info Lanjut Berkenaan Forum

  • Tarikh : 19 Disember 2009
  • Masa : 10 pagi - 1 petang
  • Tempat : INSPEN, Bangi
  • Yuran : RM 10 (peserta akan mendapat cenderamata istimewa FEWWIT, makanan, majalah, akhbar dan pengangkutan 'shuttle bus' dari stesyen komuter Serdang ke INSPEn dan dari INSPEN ke stesyen komuter Serdang)

Mengapa Perlu Membayar Yuran RM 10?

Bagi pengetahuan semua, RM 10 itu akan digunakan sepenuhnya untuk menampung kos program. Andai ada lebihan, pihak iLuvislam.com akan simpan wang tersebut untuk dimanfaatkan bagi program-program akan datang.


Daftar Sekarang! Tempat Terhad!

Tempat yang 'available' untuk program ini amat-amat terhad. Siapa cepat dia dapat. Jadi, apa tunggu lagi. Daftarlah sekarang!

Pendaftaran hendaklah dilakukan secara online dengan mengisi borang yang disediakan
setelah anda membuat pembayaran.

Pembayaran hendaklah dibuat kepada akaun Maybank :

Nama : Muhammad Ruzaini Ibrahim
Nombor Akaun Al-Wadi'ah : 162 384 809 453
E-mail : admin@iluvislam.com

Pembayaran boleh dilakukan samada melalui maybank2u.com, mesin deposit Maybank atau kaunter cawangan Maybank berhampiran. Anda dikehendaki menyimpan bukti pembayaran dan mengingati tarikh serta masa pembayaran dibuat.

Setelah pembayaran dibuat, anda dikehendaki mengisi borang pendaftaran di bawah:

Klik sini untuk borang pendaftaran Fewwit : Mencari Cinta Sempurna


Program Optional - Majlis Bual Santai

Selepas berlangsungnya forum di atas, akan diadakan sebuah program santai yang diberi nama Majlis Bual Santai, bermula 2.15 petang sehingga 3.45 petang.

Majlis santai ini bertujuan merapatkan silaturrahim di kalangan hadirin yang hadir dan krew-krew iLuvislam.com serta warga kerja akhbar majalah mingguan iLuvislam. Selain itu, akan diadakan perkongsian idea bersama hadirin yang hadir.

Namun program ini hanya sesuai untuk mereka yang berkenderaan sendiri kerana 'shuttle bus' dari INSPEN ke stesyen komuter Serdang akan beroperasi setelah tamatnya forum.

p/s: Lucu bila terkenangkan soalan bonus dari kakak angkat saya. "Su selalu pergi program keagamaan, takkan la tak terjumpa cowok yang berkenan di hati kot.. Nak akak carikan?"

Ingat lagi Sampai Syurga yang saya ceritakan tentang saranan (lebih tepat gesaan) Ustaz Hasrizal agar gunakan orang tengah? Orang ramai yang pelik, bagaimana mahu menamatkan zaman bujang jika kita tidak bercinta. Apatah lagi, jika seseorang itu sudah banyak ilmunya untuk dirikan sebuah keluarga Muslim, mampu menghidupkan Baiti Jannati, tetapi masih belum berpunya.

Jawab saya, carilah Islam, pasti anda akan ketemu cinta yang dicari. Semakin kita cinta pada Allah dan rasulNya, makin kita hargai betapa sucinya cinta. Semakin dalam cinta yang kita akan beri pada yang berhak.

Untuk yang sedang berusaha melengkapkan separuh dari agamanya, tetapi mahu pencarian 'Adam' atau 'Hawa' yang ditakdirkan untuknya diiberkati, gunakanlah orang tengah. Keluarga, sahabat mahupun orang yang boleh kita percayai. Baitul Muslim contohnya. Wa Allah hu alam.

Tak boleh bercerita banyak-banyak topik hangat seperti ini. Adik-adik Nott suka perhatikan hal-hal camni. Riuh Kampung Notts Darul Nuur nanti. ^_^

Wednesday, 25 November 2009

Eidul Adha-Sedikit Pencerahan

* Sila baca beberapa perkara yang saya ingin perbetulkan. Mengenai hukum solat Eidul Adha (wajib atau sunat muakkad) dan hukum solat Jumaat pada hari raya (wajib atau tidak). Jazakumullah hu khair pada sahabat yang memberi pencerahan.

1) Sumber: Artikel dari blog http://abidfana.com/

Adakah Ijma’ Ulamak Solat Eid Itu Wajib?

Hari ini saya diajukan beberapa soalan mengenai hukum solat Eidul Fitri dan Eidul Adha. Ianya timbul kerana ramai yang memahami setelah mendengar satu pengisian bahawa hukumnya adalah wajib sampai ke peringkat fardhu ain. Maka timbul tanggapan yang ijma’ ulamak menyatakannya wajib, dan perlu memperbetulkan persepsi rakyat Malaysia yang menyatakan solat itu ialah sunat sahaja. Mereka memahami yang adalah kesalahan besar bagi Muslim yang menyatakan hukum solat Eid itu ialah sunat sahaja. Ada antara mereka merujuk kepada satu website berbahasa Melayu yang saya dapati melakukan kesilapan dalam menterjemahkan hadith berkaitan, serta dakwaan yang diragui terhadap Imam Shafi’e dalam hal ini.

Perlu diperjelaskan bahawa perkara ini termasuk di dalam khilaf. Secara ringkasnya, khilaf mengenai hukum solat sunat raya ini ialah seperti di bawah:

1. Mazhab Hanafi menyatakan yang hukumnya ialah wajib aini. Ini berdasarkan sepotong hadith sahih riwayat al-Bukhari:

عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُخْرِجَهُنَّ فِي الْفِطْرِ وَالأَضْحَى الْعَوَاتِقَ وَالْحُيَّضَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ ، فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَعْتَزِلْنَ الصَّلاةَ وَيَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ الْمُسْلِمِينَ . قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِحْدَانَا لا يَكُونُ لَهَا جِلْبَابٌ . قَالَ : لِتُلْبِسْهَا أُخْتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا

Ummi Atiyyah berkata: Rasulullah memerintahkan kami membawa keluar wanita merdeka (ada pendapat menyatakan gadis yang telah atau menghampiri baligh), yang haid dan gadis-gadis pingitan pada Eidul Fitri dan Adha. Adapun wanita haid, mereka tidak perlu solat tetapi sekadar menyaksikan kebaikan dan dakwah muslimin. Aku berkata: Wahai Rasulullah, salah seorang dari kami tidak mempunyai jilbab? Baginda berkata: (suruh) agar saudaranya meminjamkan jilbabnya!

Selain itu, mereka juga berhujjah dengan ayat al-Quran daripada surah al-Kauthar ayat 2:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maka tunaikanlah solat dan juga ibadah qurban.

Menurut metodologi Mazhab Hanafi, ayat ini mewajibkan solat Eid dan juga berkorban. Akan tetapi sebahagian ulamak mazhab ini hanya memadai dengan hadith dan sunnah Rasulullah yang tidak pernah meninggalkan solat Eid sebagai hujjah kewajibannya. Adapun solat di dalam ayat di atas, ianya bersifat solat yang umum meliputi wajib dan juga yang sunat, seperti dalam ayat 162 daripada surah al-An’am. Al-Tobari dan Ibn Kathir turut menyatakan yang solat dalam ayat di atas ialah solat umum meliputi yang wajib dan sunat.

Hujjah lain ialah nabi tidak pernah menunaikan solat selain fardhu secara berjemaah melainkan tarawih, kusuf, khusuf dan Eid, akan tetapi syariat memberikan penjelasan bahawa tarawih, khusuf dan kusuf hanyalah sunat sahaja. Justeru, mereka berhujjah dengan ini untuk menyatakan kewajiban solat Eid.

Antara ulamak lain yang berpegang kepada pendapat ini ialah Sheikh al-Albani, Ibn Taimiyah, Syeikh Uthaimin dan Syeikh Ben Baz.

Perlu diperjelaskan mazhab Hanafi mempunyai methodologi usul fiqh yang berbeza berbanding mazhab lain. Ada perbezaan antara wajib dan fardhu di dalam mazhab ini.

2. Mazhab Maliki dan Shafie menyatakan hukum solat Eid ialah sunat muakkad. Mereka berhujjah dengan sepotong hadith sohih seperti berikut:

قول الرسول صلى الله عليه وسلم في الحديث الصحيح للأعرابي – وكان قد ذكر له الرسول صلى الله عليه وسلم الصلوات الخمس – فقال له: هل عليَّ غيرهنَّ؟ قال: لا، إلا أن تطوع. متفق عليه

Kata-kata Rasulullah SAW kepada seorang Arab Kampung yang mana telah diperjelaskan kepadanya mengenai kewajiban solat fardhu yang lima. Arab kampung itu bertanya kepada Rasul, “Adakah ada (solat lain) yang wajib bagiku?” Rasulullah menjawab, “Tidak, melainkan yang sunat sahaja.” – Muttafaqun alaih.

Di dalam metodologi mazhab Shafi’e, memang perkataan suruhan di dalam nass (seperti hujjah mazhab Hanafi) membawa hukum wajib melainkan ada petunjuk yang menyatakan ianya sunat atau harus. Hadith di atas ini membawa pengecualian terhadap kewajiban solat Eid seperti yang tertulis secara tekstual di dalam nass. Maka hukum solat Eid adalah sunat muakkad sahaja.

Dalam satu website, dikatakan yang Imam al-Shafi’e menyatakan hukumnya adalah wajib. Saya cuba mencari, akan tetapi oleh kerana capaian saya kepada kitab mazhab Shafi’e agak terhad, saya masih belum menemuinya. Perlu diperjelaskan yang kita perlu membezakan antara pandangan Imam al-Shafie dan juga pandangan Mazhab al-Shafi’e. Ada pandangan Imam al-Shafie sebagai individu beliau, berbeza dengan pandangan institusi Mazhab al-Shafi’iyyah seperti dalam bab menghadiahkan pahala kepada si mati, di mana Imam al-Shafi’e menyatakannya tidak sampai, sedangkan beberapa ulamak dalam institusi Mazhab al-Shafi’e menyatakan yang ianya sampai atas keharusan bertawassul dengan amal soleh. Dalam konteks hukum solat Eid ini, yang saya jumpa dalam kitab mazhab Shafi’e ialah sekadar kenyataan bahawa mereka khilaf hukumnya sama ada fardhu kifayah atau sunnat muakkad, seperti yang tertulis di dalam kitab al-Majmu’ Imam al-Nawawi:

واختلفوا في العيد هل هو فرض كفاية أم سنة

Dan mereka (ulamak mazhab Shafi’e) berbeza pandangan adakah solat Eid itu fardhu kifayah atau sunnah.

3. Mazhab Hanbali pula menyatakan yang hukumnya adalah fardhu kifayah. Hujjah mereka ialah sama seperti hujjah ulamak Hanafi, akan tetapi metodologi pendalilan mereka menjadikan hukum solat Eid itu sekadar fardhu kifayah sahaja.

KESIMPULAN

1. Hukum solat sunat Eid adakah khilaf antara ulamak. Ianya bukan perkara ijma’. Justeru, adab perbahasan dan sikap kita terhadap hukum solat sunat Eid ini perlulah menjurus kepada perkara khilaf.

2. Bagi yang memilih pandangan mazhab Hanafi dan lain-lain yang menyatakan hukumnya wajib aini, maka anda juga perlu beradab dengan berpegang kepada hukum amalan lain yang ada kaitan dengan solat Eid. Ini termasuklah hukum berkorban, di mana mazhab Hanafi menyatakan kewajibannya bagi yang mampu. Maksud mampu itu ialah anda mempunyai simpanan untuk menyara hidup sehingga ke hari tasyriq. Janganlah bersemangat menyatakan kewajiban solat Eid, akan tetapi meninggalkan pula kewajiban ibadah korban.

Allahua’lam.

Hukum Solat Jumaat Sekiranya Raya Jatuh Pada Hari Jumaat

Terdapat beberapa hadith marfu’ dan juga athar mauquf mengenai isu ini. Antaranya seperti berikut:

حديث زيد بن أرقم رضي الله عنه أن معاوية بن أبي سفيان رضي الله عنه سأله: هل شهدت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم عيدين اجتمعا في يوم واحد؟ قال: نعم، قال: كيف صنع؟ قال: صلى العيد ثم رخص في الجمعة، فقال: (من شاء أن يصلي فليصل). رواه أحمد وأبو داود والنسائي وابن ماجه والدارمي والحاكم في “المستدرك” وقال: هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه، وله شاهد على شرط مسلم. ووافقه الذهبي، وقال النووي في “المجموع”: إسناده جيد

Hadith Zaid bin Arqam RA sesungguhnya Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA bertanya kepadanya: “Adakah anda pernah menyaksikan bersama Rasulullah dua Eid dalam satu hari (Jumaat dan Eidul Fitri/Adha)?”. Jawabnya, “Ya.” Soal beliau lagi, “Apa yang Rasulullah lakukan?” “Baginda solat Eid dan mengambil rukhsah tidak menunaikan solat Jumaat, lalu berkata barang siapa yang ingin solat, maka solatlah.” – Hadith riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Nasai’e. Dikategorikan sahih mengikut syarat Imam Muslim, sementara di dalam al-Majmu’, Imam al-Nawawi menyatakan hadith ini mempunyai sanad jayyid.

وفي صحيح البخاري رحمه الله تعالى وموطأ الإمام مالك رحمه الله تعالى عن أبي عبيد مولى ابن أزهر قال أبو عبيد: شهدت العيدين مع عثمان بن عفان، وكان ذلك يوم الجمعة، فصلى قبل الخطبة ثم خطب، فقال: يا أيها الناس إن هذا يوم قد اجتمع لكم فيه عيدان، فمن أحب أن ينتظر الجمعة من أهل العوالي فلينتظر، ومن أحب أن يرجع فقد أذنت له

Dalam sahih al-Bukhari dan Muwatta’ Imam Malik, daripada Abi Ubaid Maula bin Azhar, berkata Abu Ubaid, “Aku menyaksikan dua eid bersama Uthman bin Affan pada hari Jumaat, beliau solat (Eid) sebelum berkhutbah kemudian berkhutbah, katanya, “Wahai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah terhimpun dua eid, barang siapa yang ingin menunggu untuk solat Jumaat khususnya orang tempatan (ada yang menyatakan penduduk Timur Madinah) maka tunggulah sebentar, barang siapa yang ingin pulang maka aku benarkan.”

Terdapat khilaf ulamak di dalam isu ini, seperti berikut:

1. Mazhab Hanafi berpandangan yang umat Islam disunatkan solat Eid dan difardhukan solat Jumaat seperti biasa sekiranya raya jatuh pada hari Jumaat. Ini termaktub di dalam kitab al-Jami’ al-Saghir karangan Imam Muhammad, dengan hujjah antara lain ialah solat sunat tidak menggugurkan solat fardhu.

2. Mazhab Shafie berpandangan bagi penduduk kampung yang tidak cukup bilangan makmum solat Jumaat, maka solat sunat Eid adalah memadai bagi mereka, dan tidak perlulah keluar ke masjid di tempat lain untuk menunaikan solat Jumaat. Tunaikan solat zohor sahaja. Ini berdasarkan hadtih Uthman bin Affan seperti di atas. Pendapat ini termaktub di dalam kitab al-Majmum Imam al-Nawawi.

3. Mazhab Hanbali pula berpandangan solat Eid menyebabkan berlakunya rukhsah untuk tidak solat Jumaat, sebaliknya perlu solat Zohor sahaja. Ini termaktub di dalam kitab al-Mughni karangan Ibn Qudamah. Akan tetapi, Imam masjid perlu mendirikan solat Jumaat di masjid bagi membolehkan muslim yang memilih untuk solat Jumaat, melakukan ibadah tersebut.

KESIMPULAN

Berdasarkan hadith dan juga pandangan ulamak seperti di atas, saya lebih cenderung untuk menyatakan, Allahua’lam:

1. Adalah lebih selamat untuk menunaikan solat Jumaat, kerana keluar dari khilaf adalah lebih utama.

2. Akan tetapi sekiranya ada halangan, seperti lokasi masjid tempat himpunan Jumaat jauh, atau waktu siang yang pendek, maka memadailah solat Eid sahaja, dan dituruti dengan solat Zohor. Ini rukhsah yang dibenarkan.

3. Bagi yang tidak menunaikan solat sunat Eid, maka tiada baginya rukhsah untuk tidak menunaikan solat Jumaat.

4. Imam wajib mendirikan solat Jumaat bagi meraikan pandangan dan pilihan makmum lain.

5. Walaupun ramai ulamak moden seperti Syeikh Atiyyah Saqar dan Sayyid Sabiq mentarjihkan pandangan mazhab Hanbali dengan menyatakan tidak perlu untuk solat Jumaat, akan tetapi adalah kurang tepat jika dikatakan solat Eid itu menggugurkan hukum wajib solat Jumaat. Ianya hanyalah rukhsah yang dibenarkan atas sebab tertentu.

Allahua’lam.


2) Sumber: Artikel dari blog http://solat.wordpress.com/

Hukum Solat Hari Raya

Berkata Ibn Taimiyah rahimahullah: Solat Hari Raya hukumnya fardu ‘ain bagi setiap individu sebagaimana ucapan Abu Hanifah (Lihat: Hasyiyah Ibnu Abidin. 2/166) dan selain beliau. Ia juga pendapat Imam Syafie dan salah satu dari pendapat mazhab Ahmad. (Lihat: Majmu Fatawa. 23/161) Pendapat yang menyatakan fardu kifayah tidak berasas. (Lihat: Majmu Fatawa. 23/161)

Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak pernah meninggalkannya walaupun sekali. Baginda memerintahkan semua manusia mengerjakannya, sehingga para wanita yang merdeka, para gadis pingitan dan wanita haid dianjurkan ke musalla.
(Lihat: Al-Mau’idah al-Hasanah 42-43. Siddiq Hasan Khan Sailul Jarar. 1/315. Syaukani)

“Ummi Atiyah berkata: Rasulullah memerintahkan kami mengeluarkan para wanita merdeka, yang haid dan gadis-gadis pingitan pada Hari Raya Aidil Fitri dan Adha. (dilafaz lain) Keluar ke mussala (tanah lapang). Mereka menyaksikan kebaikan dan dakwah kaum muslimin. Aku berkata: Wahai Rasulullah, salah seorang dari kami tidak mempunyai jilbab? Baginda berkata: (suruh) agar saudaranya meminjamkan jilbabnya!
(H/R Bukhari 324, 351, 971, 974, 980, 981 dan 1652.
Muslim. 980. Ahmad. 5/84-85. An-Nasaii. 3/180. Ibnu Majah. 1307 dan at-Tarmizi 539)

Perintah dalam hadis ini menunjukkan perintah yang wajib, kerana diwajibkan ke musalla bermaksud diwajibkan bersolat Hari Raya. Maka dengan demikian solat Hari Raya hukumnya wajib ‘ain, atau yang lebih rajih hukumnya adalah wajib dan bukan sekadar sunnah.
(Lihat: Tamamul Minnah. Hlm. 344. Nasruddin al-Albani)

Solat Hari Raya Menggantikan Solat Jumaat

Dalil yang menunjukkan wajibnya ialah solat Hari Raya dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat apabila Hari Raya jatuh pada Jumaat.


Nabi sallallahu ‘alihi wa-sallam bersabda:

“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari Raya. Sesiapa telah (Bersolat Hari Raya), dia telah menyempurnakan dari solat Jumaat dan sesungguhnya kita telah dikumpulkan”.
(H/R Abu Daud 1073. Ibnu Majah 1311. Al-Hakim 1/228. Al-Baihaqi 3/318. Ibnul Abdil Barr (dalam At-Tauhid) 10/272. Al-Khatib (dalam Tarikh Bahgdad) 3/129. Ibnul Qaiyyim (dalam al-Wahiyat). 1/473. Al-Faryabi (dalam Ahkamul Iedain) 150. Ibnul Jarud (dalam Al-Muntaqa) 302.
Hadis sahih banyak syahidnya (lihat: Sawathi’ al-Qamarain fi Takhrij Ahadis Ahkamail Iedain), Musaid bin Sulaiman bin Rasyid. Hlm. 211)

Sesuatu yang tidak wajib tidak menggugurkan sesuatu yang wajib. Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berterusan mengerjakan solat Hari Raya secara berjamaah sejak disyariatkan sehinggalah wafat.
(Lihat: Nailul Autar 3/382-383)

Baginda menggandingkan perintahnya kepada manusia dengan terus menerus ini agar mereka keluar ke tanah lapang (musalla) untuk solat Hari Raya.
(Lihat: (1). Nailul Autar. 3/282-283. (2). Majmu fatawa. 24/212. dan 23/161. (3). Ar-Raudah an-Nadiyah 1/142. (4). Tamamul Minnah, hlm. 344)

Seterusnya, pandangan akan wajibnya solat Aidil Fitri ini diperkuatkan lagi dengan hakikat bahawa solat Aidil Fitri ini dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat jika keduanya terjadi pada hari yang sama (Hari raya jatuh pada hari Jumaat). Hanya sesuatu yang wajib dapat mengugurkan kewajipan yang lain.
– Inilah pendapat Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah di dalam Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, (edisi terjemahan oleh Afifuddin Said, Maktabah Salafy Press, Gajah Mada 2002) jilid 2, ms. 103.

Dalil yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat gugur sekiranya ianya serentak dengan hari Aidil Fitri adalah:

Dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: “Aku pernah menyaksikan Mu’awiyah bin Abi Sufyan yang sedang bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya: “Apakah engkau menyaksikan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menghadiri dua Hari Raya (hari `Ied dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari?” Dia menjawab: “Ya.” Mu’awiyah bertanya: “Lalu apa yang baginda kerjakan?” Dia menjawab: “Baginda mengerjakan solat Aidil Fitri, kemudian baginda memberikan keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda: “Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia solat.”
(Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Daud, Kitab al-Sholah, hadis no: 904)

Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu’ Fatawa (jilid 23, ms. 161) berkata:… oleh kerana itu, kami mentarjih (menguatkan) bahawa solat Aidil Fitri itu wajib bagi setiap individu muslim, sebagaimana pendapat Abu Hanifah dan lain-lainnya. Dan ini merupakan salah satu pendapat al-Syafi’i, dan ia merupakan salah satu dari dua pendapat di dalam mazhab Ahmad.

3) Konklusi:

Ikhtilaf (kepelbagaian) pendapat dalam kalangan ulama' ini perlu kita raikan. Bak kata bijak pandai, kalau kita masih tidak meraikan perbezaan fiqh ini, maknanya kita masih belum mampu untuk mencium bau fiqh itu sendiri. Berpeganglah pada apa yang anda rasa serasi, tetapi selidik dan kajilah dahulu. Jangan ikut sesiapa sebab kita akan dihitung berdasarkan amal kita sendiri. Wa Allah hu Alam.

Sesungguhnya ibadahku, solatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah.

Sentuhan Terakhir

"Am nak sentuh Ros..", pilu si suami menuturkan kata. Melihat sekujur jasad di hadapannya. Insan yang dinikahi dulunya, insan yang...