Thursday, 2 July 2009

Balik Kampung!

Seminggu berada di Malaysia, terasa banyak sangat perubahan yang berlaku di tanah air sepanjang ketiadaan saya. Pejam celik sudah 10 bulan saya merantau di negeri orang. Benarlah kata kakak di Nottingham, kita akan sedar yang cara kita berfikir telah berlainan dari sebelumnya. Yang lebih penting, berlainan dari orang lain di sekeliling kita tika ini. Saya kadang kala risau, mampukah sahabat-sahabat lama saya menerima diri saya yang baru.

Setelah 6 hari di rumah (lepas la kot tempoh kuarantin, mana la tahu, nanti tak pasal-pasal saya jadi sumber H1N1..), akhirnya kaki ini melangkah 3 jam jauh dari rumah. Tidak sedikit pun niat mahu membandingkan kehidupan di UK dan Malaysia, namun biarlah kita ambil yang baik sebagai panduan dan yang buruk sebagai sempadan.

Sepanjang perjalanan ke perhentian bas, sempat berbual seketika dengan seorang mak cik. Ditanya saya mahu ke mana. Jawab saya ke Kuala Lumpur, mahu berjumpa kawan. Mak cik itu tersenyum. Saya hairan seketika. Ya Allah, lupa sudah! Bukankah orang kita banyak istilah yang berkias. Mak cik, saya memang mahu bertemu kawan perempuan.. Rintih saya sendiri..

Ketika di dalam komuter bersendirian, hati mula gelisah. Entah kenapa, saya kurang terasa selamat di tanah air sendiri. Sedangkan di UK, saya pernah pulang dari London ke Nottingham seorang diri. Mujurlah, saya membawa tafsir Al-Quran bersama. Masa diperuntukkan untuk meneliti ayat-ayatNya. Lelaki yang di sebelah saya yang pada mulanya menyanyi mahu mengusik, terus membisu tiba-tiba. Alhamdulillah..

Memandangkan perjalanan ke Mid Valley melalui UKM dan UPM, sempat juga berbalas senyuman dengan sekumpulan kakak-kakak bertudung labuh. Teringat saya kata-kata Ustaz Zaharuddin, stoking yang dipakai biarlah cukup syaratnya. Tidak menyerupai warna kulit kita. Elakkan pakai warna kulit. Selorohnya, yang berbelang-belang atau yang hitam itu paling selamat.

Alhamdulillah aurat kita semua telah ditutup tetapi belum cukup sempurna. Pandangan mata lelaki. Jika mereka tidak dapat melihat mana-mana bahagian yang terdedah auratnya, maka warna yang kaum Hawa pakai cukup untuk mengghairahkannya. Kenapa wanita yang memakai pakaian yang warnanya menyerlah atau berkelipan lebih menarik perhatian? Pelik tapi kajian ada membuktikan.

Niat mahu bermain bowling terpaksa ditangguhkan. Salah seorang sahabat saya mahu mencari seluar jeans untuk dibeli, agar dia tidak perlu lagi ‘mencuri’ seluar adiknya. Kalau dulu, hobi saya window shopping. Sekarang, entahla.. Da hilang minat meninjau pakaian menarik di pasaran. Fesyen di Malaysia sudah ada perubahan. Ada kemajuan. Tetapi saya lebih selesa dengan fesyen sebelumnya. Lebih longgar. Ingin saya selitkan cebisan artikel yang saya jumpa di website orang putih. Kata-kata dari orang bukan Muslim yang nampak hikmah hukum yang Allah tetapkan pada hambaNya.

“About a 100 years ago, woman's ankles were considered 'sexual', so they were hidden from view, and men anxiously wanted to see a bare ankle. Isn't that funny? Just think if in today's world all women suddenly covered their noses with some kind of piece of fabric, just leaving the bottom open for breathing. Then soon everybody would be curious about noses and would want to see a bare nose. And, believe it or not, eventually some men would desperately want to 'peek in' because they would normally never be allowed to see a woman's nose, whereas all women would at least see their own. It could turn into an 'obsession' even.

But we know there's nothing about noses that would make them especially interesting body parts for men and boys to look at. Some noses are big, some are small, some are more curved this way or the other way, but they all are just plain ol' noses, we've all seen plenty of them and we don't think anything special about seeing a nose.

Maybe you think my illustration is silly. But it's not that far-fetched. It is happening EVEN NOW. In muslim countries women are required to cover their whole face with a vail, except for eyes. A woman's face (including the nose) is a taboo. Men can't see it, and are then extremely curious. Whatever you make to be a taboo, then becomes a source of curiosity and obsession.”

Teringat saya pada cerita Ayat-Ayat Cinta. Terpukau Fahri tatkala Aisyah membuka niqabnya.

Nabi s.a.w bersabda : Aku meninjau dalam syurga dan melihat kebanyakan ahlinya adalah orang-orang yang faqir. Aku meninjau ke dalam neraka dan melihat kebanyakan ahlinya adalah wanita. (HR Bukhari dan Muslim)

Tatkala kaki melewati restoran KFC dan McD, seperti diduga. Penuh. Ai, mana perginya boikot? Sewaktu menonton iklan di kaca televisyen juga, paling memeranjatkan saya ialah iklan Coca Cola. Ish..ish..ish.. Hari itu kamain lagi sehingga keluar dalam akhbar antarabangsa, Malaysian can live without Coca Cola. Sepatutnya kita perlu lebih jujur: Orang Malaysia boleh hidup tanpa Coca Cola tetapi pastinya, hidup lebih bermakna dengan Coca Cola!

Benarlah kata Sister Fullah, mengapa musuh Islam pandang kita sebelah mata. Penentangan kita pada perkara taghut dan maksiat hanya bersifat sementara. Manusia itu mudah lupa.

Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (surah Al-Baqarah,ayat 216)

Dah agak! Bermula pukul 5 petang ke atas, pastinya saya perlu menghadapi kesesakan dalam komuter. Pelik juga kenapa orang lebih suka merempuh masuk daripada membiarkan penumpang di dalam komuter keluar terlebih dahulu. Salah satu adab penting di UK, membiarkan penumpang keluar terlebih dahulu sebelum kita masuk. Antara lainnya pula, membukakan pintu untuk orang di belakang kita.

Akhirnya setelah hampir 45 minit berdiri, saya beroleh tempat duduk. Namun, tak sampai 5 minit, mata tertangkap pada seorang pak cik tua yang berdiri di pintu. Hati serba salah, macam mana saya mahu memberikan tempat duduk ini padanya. Ya Allah, beratnya hati mahu melakukan kebajikan. Masih berkira-kira. Lantas, saya tekad bangun.

“Pak cik, duduk la di sini.” Semua orang di sekeliling saya memandang. Pelik mungkin kerana jarang melihatkan suasana begini.

“Tak pe nak. Duduk la.” Saya hanya mampu tersenyum.

“Kak, dudukla.. Kesian anak akak tu. Nanti dia jatuh pula..” Saya menegur kakak di hadapan saya apabila anaknya sejak dari tadi memeluk tiang. Kepenatan barangkali.

Pak cik itu, hingga ke sudah tidak juga duduk. Segan saya padanya. Saya masih muda. Kenapa tidak mahu gagahkan diri berdiri..

Komuter mula kosong. Ada tempat duduk di sebelah lelaki Melayu. Hampir sebaya, saya kira. Saya masih lagi berdiri. Walaupun kaki sudah sangat letih. Tak mahu la saya duduk di sebelahnya. Akhirnya saya beroleh tempat duduk di sebelah lelaki India. Bertentangan dengan lelaki tadi. Lelaki tadi hanya mampu memandang. Pelik barangkali..

Tiba-tiba, hati lucu teringatkan komen muslimin di perantauan. Mereka mempersoalkan kenapa muslimat lebih rela duduk di sebelah non Muslim lelaki ataupun memang lebih rela berdiri dari duduk di sebelah mereka. Double standard, kata mereka. Huhu.. Saya akui itu.. Memang sepatutnya kita melayan semua lelaki dengan layanan yang sama rata. Dosa mendedahkan aurat pada lelaki yang Muslim dengan yang bukan Muslim, sama sahaja. Tapi, entahla.. Dengan yang muslim, saya sendiri, lebih menjaga. Ish, perlu ubah ni!

No comments:

Followers