Tuesday, 22 February 2011

From Nile To The Sea; Egyptian Will Be Free!

Aduhai Mesir : Gajah Depan Mata

Kebangkitan kuasa rakyat yang inginkan perubahan sering mendapat perhatian masyarakat. Akhirnya, rakyat kembali menunjukkan kuasa mereka yang selayaknya. Setelah berdekad lama kuasa rakyat ditindas namun kini ia kembali marak membakar api perjuangan mendapatkan sebuah keadilan.

Mata yang melihat dapat menyaksikan api amarah menjulang kelangit. Hati yang menilai dapat merasakan semangat yang berkobar. Akal yang berfikir dapat mencerna kebobrokan kepimpinan yang culas dan zalim.

Kisah kebangkitan rakyat terlipat kemas dalam lipatan sejarah, hanya perlu diselak lembaran itu dan dinilai. Namun, tidak perlu kau pandang jauh-jauh, hanya perlu kau intai dekat-dekat. Lihatlah kisah kebangkitan rakyat ditanah air mu sendiri terlebih dahulu. Fahamilah perjuangan ditanah air mu sendiri. Hayatilah erti perjuangan islam di hadapanmu sendiri. Sorotilah kisah perjuangan membebaskan tanah air dari cengkaman sekularisme,sebuah kezaliman dalam bentuk yang tidak nyata, tapi cakarannya cukup kuat untuk menghakis iman dan islam.

Kita yang sebelum ini tidak endah akan kebangkitan kuasa rakyat kini mula mencelik mata melihat kuasa rakyat yang dahagakan nilai keadilan dalam pemerintahan. Jika sebelum ini berita-berita demonstrasi di Malaysia yang mana rakyat marhean bangun menuntut sebuah keadilan, tidak pun terpandang dek mata, kini berita Mesir menjadi bahan bual mu, menjadi bahan bacaan mu, menjadi bahan dakwah mu, menjadi bahan sebaran di ruangan maya mu.

Benarlah peribahasa melayu, ‘ Gajah depan mata kita tidak nampak, kuman seberang laut kita agungkan’. Bukanlah tujuan untuk mengecilkan perjuangan rakyat Mesir ibarat kuman yang kecil, jauh sekali dari menghinanya, namun ingin menunjukkan realiti betapa sesuatu yang telah nyata didepan kita, dipilih untuk dipandang hanya oleh ekor mata. Itu pun kalau ingin kau ambil cakna untuk pandang. Perkara hakikat yang berlaku ditanah air sendiri tidak pula kau ambik kisah, tidak pula kau jadi bahan baca, tidak pula kau jadikan bahan sebaran dakwah. Mengapa tatkala rakyat menangis meronta ditanah airmu sendiri setelah sekian lama, kau pejamkan mata, tetapi raungan rakyat Mesir mencelikkan mata mu?

Maka untuk apa kau puja perjuangan di Mesir dan perjuangan Ikhwan jika hakikatnya kau tidak memperjuangkannya dimedan tanah air mu sendiri untuk mendapatkan pemerintahan itu. Untuk apa pula kau ambil semangat kebangkitan rakyat Mesir jika bukan untuk menentang kezaliman di tanah air mu sendiri? Maka, untuk apa pula kau sebarkan dan war-warkan perjuangan kebangkitan rakyat Mesir tetapi engkau diamkan dan pendamkan perjuangan rakyat mu sendiri? Untuk apakah?Untuk apakah?

Adakah kau mahu gajah didepanmu itu menghentam mu jatuh ketanah baru kau mahu tersedar? Mahukah kezaliman itu sudah tidak terbendung mahu mula kau bangkit memperjuangkan sebuah pemerintahan yang adil berteraskan islam? Mahu kau tunggu rakyat mu terhina kelembah neraka dunia mahu kau mula ambil langkah memperjuangkannya?


p/s: Tunisia sudah bebas, Mesir sudah merdeka, kini Libya sedang berdepan keadaan yang sangat getir. Sehinggakan sahabat-sahabat Libya yang belajar di sini, jadi sangat runsing memikirkan keadaan negara mereka. Moga Allah menguatkan golongan yang berjuang menentang kezaliman di Libya dan Malaysia.


Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam. 

Nur Suhaila Zulkifli 
Nottingham.

No comments:

Followers