Tuesday, 8 March 2011

Suatu Jiwa

10 hari bermukim di Ireland, cukup membuatkan dunia di Nottingham kelihatan agak baru di mata. Entah kenapa, Allah timbulkan kerinduan untuk ke masjid. Tiba-tiba terdetik di hati, "Bukankah salah satu ciri-ciri pemuda yang beroleh naungan Allah adalah mereka yang hatinya terikat di masjid."

Berkata Abu Hurairah r.a : bahwa Nabi saw telah bersabda: "Ada tujuh kelompok yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya. Mereka adalah pemimpin yang adil, anak muda yang senantiasa beribadah kepada Allah Azza wa Jalla, seseorang yang hatinya senantiasa dipertautkan dengan mesjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, yakni keduanya berkumpul danberpisah kerana Allah, seorang laki-laki yang ketika dirayu oleh seorangwanita bangsawan lagi rupawan lalu ia menjawab: "Sungguh aku takut kepada Allah", seseorang yang mengeluarkan sedeqah lantas disembunyikannya sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yangdiperbuat tangan kanannya, dan seseorang yang berzikir kepada Allah di tempat yang sunyi kemudian ia mencucurkan air mata". (H.R.Bukhari dan Muslim)

Tambah-tambah lagi, tika itu, musim mengulangkaji dan peperiksaan bakal tiba dalam masa dua minggu. Doa perlu lebih panjang, ibadah perlu lebih berkualiti. (Sepatutnya, hari yang bukan dalam musim peperiksaan pun, masih perlu kekalkan kualiti ibadah yang sama.. Haisy..)

Bukanlah sesuatu yang disenangi sebenarnya apabila ruang tempat solat muslimin dan muslimat hanya dipisahkan oleh tabir. Khuatir juga jika keseorangan terutama pada waktu Maghrib dan Isyak. Namun, yang seronok tentang surau di hospital ini ialah akan sentiasa ada solat jemaah, tidak seperti di Portland, yang ada waktu tetap untuk jemaah. Dan selain waktu itu, jarang kedengaran suara imam disalurkan ke bilik solat muslimat di tingkat atas.

Sudah beberapa kali, muslimin di ruang solat QMC itu tidak menyedari ada muslimat di sebalik tabir. Ditutup lampu surau apabila mereka meninggalkan surau. Saya kegelapan. Mereka tak sedar langsung kewujudan saya! Nak kata, saya membatukan diri, tidak juga. Ada sahaja pergerakan yang paling kurang menghasilkan bunyi pergeseran pakaian. Bahkan, jika ada muslimin yang solat dan saya boleh dengar bacaan mereka, saya mengikuti sebagai makmum. Pelik..

***
Hari ini, saya digelapkan lagi. Entah kenapa, sayu tiba-tiba. Teringat waktu di PUISI, kami digelapkan dan ditutup mata, agar merasa sebenar-benar gelap di alam barzakh. Sekali lagi, rasa takut itu muncul. Di alam kubur, jasad ini bakal sendiri. Seperti ini. Dia hanya akan bersama dengan Tuhannya. Dan juga segala makhluk yang bakal menyeksa jasadnya.

Hayat jiwa ini mungkin tidak panjang. Mampukah ia terus berjuang sebagai tenteraNya? Segala masalah dunia: esei belum siap, analisis belum selesai, strategi belum kemas diatur, soal masa depan belum pasti di mana dan dengan siapa, segalanya diluputkan dari minda buat seketika. Larut dalam sujud yang panjang.

Namun, jiwa ini meyedari, waktu ini dia menangis. Tapi tidak sampai setengah hari, dia akan lupa. Allah.. Sampai bila, diri ini akan terus munafik.

***
Minggu lepas, usai solat jemaah, seorang muslimin telah mengucap syahadah. Pujian diberi oleh imam kepada AJK Discover Islam Week (DIW) atas usaha yang dilakukan. Allah.. Hanya Allah yang memegang hati manusia dan hanya Dia yang boleh menilai usaha hambaNya. Bukan pujian manusia yang dicari..

Saya ditepuk lembut oleh sahabat di saf kanan, sebagai ucapan tahniah. Waktu itu, air mata sudah pun tidak boleh dibendung. Kalaulah tangis ini boleh ditutup. Pilu mengenangkan, betapa sucinya satu jiwa yang melafazkan syahadah itu berbanding jiwa ini yang bergelumang dosa. Mengenangkan, mungkinkah akan ada peluang lagi untuk jiwa ini berkhidmat pada Tuhannya seperti hadiah DIW yang Allah kurniakan.

***
Apa yang saya tulis, hanyalah apa yang terbuku di hati. Berkongsi dalam diari ini, agar suatu hari, andai jiwa ini futur, dia ditakdirkan Allah untuk membaca semula lembaran hidupnya pada saat ini. Agar dia diingatkan semula, dia hanyalah hamba yang hina.

Usahlah timbul dari diri kalian, rasa kagum pada jiwa ini. Sebab anda tidak tahu bagaimana sebenarnya hati ini. Cukuplah ambil pengajaran agar anda tidak melakukan kesilapan yang telah jiwa ini lakukan.

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli
Queen's Medical Centre,
Nottingham.

No comments:

Followers