Monday 4 June 2012

Al-Quran: Nurun Syifa'

Alhamdulillah wa syukurillah. Usai khatam Al-Quran untuk kali kedua (mungkin) sejak Ramadhan yang lepas. Agak lambat. Meskipun baca 6 muka sehari, namun adakalanya rutin ini tertinggal kerana kesibukan dunia dan keuzuran. Allahu rabbi.

Selesai khatam satu Al-Quran bukan petanda tugas telah berakhir. Sebaliknya satu keazaman baru bermula. Moga dapatlah dikhatamkan Al-Quran ini sekali lagi pada penghujung Ramadhan depan. Yang bakal muncul dalam kurang dari dua bulan. Moga ini jadi satu persediaan untuk menghadapi Ramadhan. Tidak sehebat sahabat-sahabat baginda saw yang telah menyiapkan diri tiga bulan lebih awal untuk menyambut bulan mulia ini. Tidak segigih sahabat-sahabat baginda saw yang berjaya menghabiskan satu al-Quran dalam bulan itu..

30 juzuk untuk 30 hari. 1 hari 1 juzuk. 1 juzuk 20 muka. 4 muka dibaca setiap waktu solat. InsyaAllah pada bulan yang mulia, kita diberi kekuatan luar biasa. Ingat lagi saya, pada tahun lepas, berlumba dengan kakak teman sekerja, seorang qariah. Masing-masing cuba mendahului. 

"Akak baca sampai mana da?"soal saya.

InsyaAllah tahun ini berazam matlamat yang sama. Persediaan menghadapi Ramadhan.

Ketidakpastian
Mungkin ini Ramadhan terakhir dalam hidup.
Mungkin ini Ramadhan terakhir bergelar bujang.
Mungkin itu dan ini.

Terlalu banyak ketidakpastian. Saya akui, saya seorang yang tidak suka pada ketidakpastian. Saya seorang yang mahu melihat hala tuju hidupnya jelas dalam masa setahun akan datang. Agar mudah saya merancang dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Namun apa yang pasti hanya mati. Matlamat ke syurga itu juga pasti. Namun, cara ke arah kematian itu, cara ke arah syurga itu, kita tidak tahu. Bagaimana kerjaya kita, bagaimana hidup kita, apakah kejayaan dan kegagalan yang kita akan cipta, siapa jodoh kita, bagaimana keluarga kita. Persoalan yang tiada penghujung. Allah telah tetapkan, kita tidak pasti apa akan berlaku. Apa yang perlu difikirkan adalah persediaan.

Al-Quran Cahaya Penawar
Acapkali doa ini dibaca, akan bergetarlah jiwa menuruti setiap bait yang tersusun indah..

Dimulai dengan Nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam sebagai pujian daripada orang yang bersyukur dan kesudahan yang baik bagi orang bertaqwa. Solat dan salam ke atas Rasul kami, Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga dan sekalian para sahabatnya.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Rahmatilah aku dengan Al-Quran dan jadikanlah Al-Quran bagiku sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat. Ya Allah, Ya Tuhanku! Ingatkanlah aku apa yang aku terlupa daripada ayat-ayat Al-Quran. Ajarkanlah aku daripada Al-Quran apa yang belum aku ketahui. Berikanlah aku kemampuan membacanya sepanjang malam dan siang; dan jadikanlah Al-Quran itu hujah dan bagiku (untuk menyelamatkan daku di akhirat), wahai Tuhan Sekalian Alam.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Perbaikilah agamaku yang merupakan pengawal urusankanku. Perbaikilah duniaku yang merupakan tempat hidupku. Perbaikilah akhiratku yang merupakan tempat kembaliku; dan jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai istirahat bagiku daripada segala kejahatan.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amal pada penyudahannya dan sebaik-baik hariku hari bertemu dengan-Mu.

Ya Allah, ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu kehidupan yang tenang, kematian dalam kebenaran dan tempat kembali yang tidak terhina lagi buruk keadaannya.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu sebaik-baik permohonan, sebaik-baik doa, sebaik-baik kejayaan, sebaik-baik ilmu, sebaik-baik amal, sebaik-baik ganjaran, sebaik-baik kehidupan, sebaik-baik kematian. Tetapkanlah (kakiku di atas sirat-Mu) serta beratkanlah timbanganku. Perkuatkanlah imanku dan tingkatkanlah darjatku serta terimalah solatku. Ampunkanlah kesalahan-kesalahan dan aku memohon kepada-Mu tempat tertinggi dari syurga-Mu.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu apa-apa yang mewajibkan rahmat-Mu, juga apa-apa yang memastikan keampunan-Mu, keselamatan daripada segala dosa, keuntungan daripada segala kebaikan, kemenangan dengan syurga dan pelepasan daripada api neraka.

Ya Allah, Ya Tuhan kami! Perbaikilah akibat dari setiap urusan kami, hindarkanlah kami daripada kehinaan dunia dan azab akhirat.

Ya Allah, Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kami rasa takut kepada-Mu, agar dengannya dapat menghalang kami dari melakukan maksiat, kurniakanlah kami ketaatan kepada-Mu, agar dengannya akan mendekatkan kami dengan syurga-Mu, kurniakanlah kami keyakinan yang dapat meringankan musibah dunia yang menimpa kami, berikanlah kami nikmat pendengaran, penglihatan dan kekuatan, selama Engkau masih berikan kehidupan buat kami, dan jadikanlah semua itu warisan kami, balaslah orang yang berbuat zalim terhadap kami, bantulah kami dalam menghadapi musuh-musuh kami, janganlah Engkau timpakan musibah dalam agama kami, janganlah Engkau jadikan dunia ini tujuan utama kami, jangan pula Engkau menilai pengetahuan kami serta janganlah Engkau jadikan orang yang tidak mempunyai rasa belas kasihan kepada kami menjadi pemimpin kami.

Ya Allah, Ya Tuhan kami! Jangan Engkau biarkan kami melakukan sebarang dosa melainkan Engkau mengampunkannya, jangan biarkan kami dalam kebuntuan melainkan Engkau melapangkannya, jangan biarkan kami mempunyai hutang piutang melainkan Engkau (berikan jalan untuk) menyelesaikannya dan jangan ada sebarang hajat dunia mahupun akhirat melainkan Engkau menyempurnakannya, wahai Tuhan Yang Maha Penyayang antara yang penyayang.

Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada azab neraka.

Selawat Allah dan salam yang tidak terhingga ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya serta para sahabat yang terpilih.

****
Al-Quran itu penawar. Buat hati yang lara, buat hati yang gundah gulana, buat hati yang sakit diancam petaka dunia.

Al-Quran itu mukjizat. Pelik bukan, meski engkau telah membacanya berkali-kali, masih ada ayatnya yang sepertinya baru kau temui pertama kali. Ajaib bukan, bila mana engkau membaca ertinya, terasa petir menyambar sanubarimu, dirasa seolah-olah kalimah itu dicipta untukmu. Dirasa seolah Sang Pencipta sedang berbicara denganmu. Aneh bukan, cukup sekadar sebaris ayat, sepotong dalil, membuatkan air matamu mengalir.

Namun ini semua bukan pelik, bukan ajaib, bukan aneh. Paling tidak bukan buat pertama kalinya. Sedangkan Saidina Umar ra, seorang yang al-Quran ada di jiwanya, ada di lisannya, ada di akhlaknya, lupa satu ayat Allah saat kewafatan baginda. Inikan pula kita..

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلاَّ رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? (Surah al-Imran 144)

Namun, insan yang membacanya adalah manusia. Adakalanya bacaan sekadar alunan menghabiskan muka. Adakalanya erti dibaca sekadar mahu mengikuti rutin. Adakalanya apa yang dibaca dan apa yang dialunkan tidak singgah ke dalam hati. Adakalanya ia diselang seli dengan rasa mengantuk yang amat. Adakalanya bacaan itu menjadi mukadimah untuk rasa lena. Ah, godaan syaitan..

كَلَّا إِنَّهُ تَذْكِرَةٌ. فَمَن شَاء ذَكَرَهُ. وَمَا يَذْكُرُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ هُوَ أَهْلُ التَّقْوَى وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ
Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya); Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya. Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dia lah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat). (Surah al-Mudassir: 54-56)

Ya Allah, jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai istirahat bagiku daripada segala kejahatan. Amin ya rabbal alamin.

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 

Nur Suhaila Zulkifli 
Nottingham.

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...