Thursday, 30 July 2009

Hanya Kau Yang Mampu

Untuk mereka yang akan menamatkan zaman bujang. Tidak terkecuali, yang sedang dalam usaha melengkapkan separuh dari agamanya.


Kerana Mas kahwinnya sebuah Komputer, tunai!

Setelah saya memutuskan menerima lamaran pemuda itu, saya berbincang dengan Kak Long mengenai persiapan yang harus dibuat. Kak Long ialahisteri kepada Abang Zul, abang sulung saya.

Antara perkara penting yang harus difikirkan ialah mengenai mas kahwin. Mas kahwin ialah hak wajib bagi bakal isteri yang ingin dinikahi. ) Mana-mana perempuan yang akan bernikah berhak menentukan mas kahwinnya sendiri.

“Dan berikanlah mas kahwin(mahar) kepada perempuan yang kamu nikahi sebagai pemberian yang penuh kerelaan (dilakukan dengan ikhlas). Kemudian, jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka terimalah dan nikmatilah pemberian itu dengan sengan hati.” (surah al-Nisa':4)


Saya bertanya Kak Long, "Kak Long dulu minta apa dari Abang Zul sebagai mas kahwin?"

Kak Long tidak terus menjawab sebaliknya memberitahu, "Kak Long dulu masa mahu kahwin, Kak Long fikir apakah perkara yang paling Kak Long inginkan waktu itu".

Ooo…macam itu ye… Saya mula berfikir-fikir apa yang paling saya inginkan waktu itu. Saya pernah dengar ada wanita yang meminta bakal suami membaca al-Fatihah, al-Quran dan sebagainya selain bentuk benda. Hakikatnya, Allah maha mengetahui fitrah kejadian wanita yang memang
sukakan benda-benda sebagai hadiah. Justeru itu, kaum wanita diberi hak menentukan mas kahwin sebagai tanda izin kepada kaum lelaki memiliki wanita tersebut secara sah. Bahkan wanita yang dikahwini berhak menegah suaminya daripada menyentuhnya sekiranya hutang mas kahwin belum
dilunasi.

Mas kahwin juga merupakan simbolik bahawa wanita punya harga diri yang perlu dihormati oleh lelaki. Lelaki dengan kudrat dan tanggungjawab memimpin yang dipikulnya perlu membuktikan kemampuannya untuk mencari nafkah bagi isteri dan anak-anak. Meskipun begitu, maksud harga diri di
sini bukanlah bererti wanita harus menilaikan dirinya dengan jumlah wang atau material. Jumlah itu tidak penting. Yang penting, harus ada hadiah bagi wanita yang bakal dinikahi untuk menjinakkan hatinya. Juga sebagai tanda memuliakan wanita yang akan menjadi suri hidupnya.

Mas Kahwin Anak Perempuan Tok Guru Nik Aziz

Saya teringat dalam satu kuliah Tok Guru Nik Aziz, beliau berkata,"Sesiapa yang mahukan anak perempuan saya, beri RM1000 jah (sahaja). Tapi kalu demo nok buwi anak perempuan demo, kira RM1000 jugalah (Kalau saudara mahu tawarkan anak perempuan saudara menjadi menantu saya harap
dapat letakkan hantaran RM1000 juga)".

Saya lupa tahun berapa kuliah Tok Guru di Dewan Zulkifli itu namun ia adalah sekitar tahun 1997 atau 1998.

Sebagai ulama dan pemimpin, Tok Guru berusaha menjadi tauladan kepada rakyat. Dalam kuliah Jumaatnya hari itu, Tok Guru mengajar bab nikah kahwin dan mahar. Tok Guru menggalakkan rakyatnya memudahkan urusan perkahwinan dengan meletakkan mas kahwin yang rendah. Realiti hantaran
dalam masyarakat waktu itu ialah sekitar RM3000 ke atas. Ia juga sebagai menyahut seruan Nabi s.a.w yang pernah berkata,

"Antara tanda barakah seorang gadis ialah yang cepat kahwinnya, murah maharnya dan cepat melahirkan anak."

Saya tergiur untuk menjadi salah seorang gadis yang diberkahi itu. Adat keluarga saya tidak akan menyebut berapa mahar yang dikehendaki. Terserah kepada pihak lelaki mahu beri berapa.

Di Kelantan, biasanya hantaran disebut semasa akad nikah termasuk jumlah mahar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Apabila disebut semasa akad, maka ia tidak menjadi hantaran lagi. Sebaliknya ia menjadi mahar yang wajib untuk isteri. Apabila menjadi mahar, maka ibubapa tidak
berhak menyentuh wang tersebut walau satu sen kecuali anaknya mahu menghadiahkan pula kepada kedua ibubapanya. Antara faktor jumlah hantaran disebut semasa akad ialah untuk keluar
dari perkara yang tidak disyariatkan.

Hantaran perkahwinan merupakan adat masyarakat dan tiada kena mengena dengan tuntutan syarak. Ibubapa pihak perempuan harus mengadakan kenduri walimah menurut keupayaan masing-masing. Pihak lelaki tidak harus dibebankan dengan perbelanjaan yang tidak wajib itu. Kecualilah pihak
lelaki kaya raya dan mahu membantu keluarga bakal isterinya bagi mengadakan kenduri, maka ia dianggap sedekah sahaja.

Apa yang saya mahu sebagai mahar?

Selepas Kak Long bercerita pengalamannya, saya mula berfikir, "Apa yang aku mahu saat ini ye…". Lama juga fikiran saya merayau mencari apa yang saya mahukan.

Hmm… waktu itu saya sudah punya rancangan untuk menulis. Sampai-sampai saya membeli buku-buku khusus untuk diterjemahkan sebaik pulang ke Malaysia. Iya…apa yang saya perlukan waktu itu ialah
sebuah komputer.

Saya beritahu Kak Long apa yang saya perlukan dan hasratkan saat itu. Saya tahu apa risikonya. Kami sama-sama tergelak ketika saya maklumkan hal tersebut. Cuba bayangkan dulang hantaran mahu di isi dengan 1 set komputer; monitor yang besar, CPU, papan keyboard, sepasang speaker dan printer.

Harga 1 set komputer pada masa itu lebih kurang RM3000- RM4000 jugalah termasuk printer. Saya cuba juga berimaginasi; bagaimanalah agaknya rombongan pihak lelaki akan membawa barangan tersebut.
Dan saya membayangkan lagi bagaimana lafaz akad nikah itu nanti akan berbunyi, "Aku terima nikahnya (nama saya) dengan mas kahwinnya satu set komputer tunai". Pelik bunyinya.

Bila mahu nisbahkan hasrat dan impian saya waktu itu, itulah jadinya. Tidak mengapalah, ikut yang biasa-biasa sahaja. Lagi pun harganya boleh tahan. Saya mahu jadi gadis yang diberkahi dan hanya inilah peluang yang saya ada bagi merealisasikannya.

Jika saya buka mata luas-luas dan pasang telinga lebar-lebar pada persekitaran masyarakat waktu itu, hati tergugah juga dengan kos sekitar RM4000-RM5000 dan ke atas. Tidak termasuk cincin dan barangan yang lain. Tambahan pula bakal suami saya berkerja sebagai doktor dan datang dari
keluarga yang agak senang. Itu harga di Kelantan. Kalau di luar Kelantan, mahu RM5000- RM7000.

Hati-iman dan nafsu mula bertempur. Oh…tidak… saya kepingin menjadi gadis yang disebutkan Nabi s.a.w. Peluang ini bukan datang 10 kali atau lebih seumur hidup. Hanya inilah satu-satunya peluang saya.
Apa nak jadi, jadilah. Peluang saya memang terbuka luas sebab ibubapa pun jenis yang mencontohi Tok Guru juga.

Bisikan syaitan datang juga menerjah sekali-sekala, "Nanti orang kata engkau ni murah sangat harganya. Itu sahaja nilai engkau. Orang lain semuanya dapat jumlah yang lebih tinggi".

Pedulikan semua itu. Nilai diri manusia ditentukan oleh agamanya. Bukan dengan jumlah wang ringgit. Pandai-pandai iblis ini mahu mengukur nilai diri menurut kacamatanya sendiri. Cukuplah ajaran Allah dan Rasulullah s.a.w sebagai panduan. Saya yakin bahawa Allah tidak akan persiakan
hidup saya apabila saya memilih jalan yang diredaiNya meskipun ia kelihatan janggal di mata manusia.

Sesetengah gadis terpaksa menurut kata ibubapa dan keluarga yang tidak faham. Selepas kahwin, mereka pulangkan sebahagian hantaran yang melampau itu. Apatah lagi jika suami memang tidak mampu mengadakannya. Moga rumahtangga mereka juga diberkati Allah. Sesetengahnya pula, sudah
beranak-pinak, hutang dengan bank untuk buat hantaran kahwin belum langsai juga. Kasihan… Ikut sahaja ajaran Islam, INDAH dan memudahkan.

Berapa Mahar Saya?

Tempoh saya menerima lamaran dan akad nikah dilangsungkan hanya dua bulan sahaja. Suatu hari, bakal suami menelefon saya, "Mas kahwin mahu berapa?"

"Terserah pada anta". Sebenarnya Ma saya yang ajar begitu. Jangan sebut berapa-berapa.

"Sebutlah…nanti bawa RMxxx …. kan tidak puas hati pula".

Jumlah yang bakal suami sebutkan itu sangat sedikit tapi saya lupa berapa. Hati tergugah lagi.Bagaimana hati saya tidak tergugah bila dibandingkan dengan kebiasaan jumlah hantaran waktu itu. Inilah naluri
wanita sebenarnya. Hadiah itu tetaplah dia mahu. Cuma naluri itu perlu dipupuk dengan iman dan taqwa, agar ia tidak melampaui batas.

Saya memang tidak memikirkan berapa yang saya mahu. Tiada apa-apa jumlah dalam kepala saya. Mahu komputer, terasa tidak lojik. Saya teringat semula jumlah yang Tok Guru pernah sebut untuk anak perempuannya, RM1000.

Saya pun berkata, "Tok Guru minta RM1000 untuk anaknya. RM1000 jugalah".

Pemuda itu terdiam sebentar. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya. Kemudian dia berkata, "RM1000?… Rasanya Tok Guru pun dah angkat sikit harganya sekarang. Tak mengapalah, ana beri RM2000". Tanpa banyak bicara, saya setuju sahaja.

Malam Akad Nikah dan Hari Perkahwinan

Saya menerima mahar sebanyak RM2000 dan sebentuk cincin selepas selesai majlis akad nikah. Semasa saya menyaksikan dari balik dinding rumah pemuda itu mahu akad nikah, saya teringat kembali hasrat saya ingin memiliki komputer. Saya tidak sedih cuma terasa lucu bila tidak dapat dibayangkan majlis akad nikah itu dipenuhi dengan kotak-kotak berisi barangan komputer.

Keesokkan harinya semasa majlis walimah, ibu mertua memakaikan gelang emas di pergelangan tangan saya. Itu hadiah dari mertua. Beberapa ratus yang dihadiahkan kaum keluarga suami semasa majlis mengenal saya serahkan kepada Ma untuk menampung belanja kenduri.

Minggu Bulan Madu- Baiknya Engkau ya Allah!

Selepas seminggu berkahwin, saya mengikut suami ke daerah tempat dia bekerja. Kira-kira 4 jam perjalanan dari kampung kami. Suatu hari di bulan pertama bulan madu kami, suami saya memberitahu,
"Sebenarnya abang ingat nak bagi komputer sebagai mas kahwin tapi takkan nak usung komputer pula masa nak akad nikah".

La haula wala quwwata illa billahil `aliyyul al-`azhim.

Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah yang maha tinggi lagi maha agung.

Rupa-rupanya hasrat saya sama dengan impiannya sendiri. Saya juga beritahu dia hasrat sebenar saya tanpa niat mahu dia menunaikannya. Sekadar bercerita pengalaman saya sendiri. Selepas itu, dia terus bawa saya ke Jalan Imbi untuk memilih komputer. Memang dapat satu set lengkap. Terima kasih bang dan padaMu segala pujian atas segala kurniaanMu ya Allah.

Ya Allah…Engkaulah yang amat memahami hambaMu ini. Engkau mengetahui apa yang terdetik di hatiku dan memakbulkan impianku meskipun aku tidak pernah meminta kepadaMu… Ya Allah.

Ya Allah…Berkatilah rumahtangga kami hingga ke akhir hayat kami.

Ya Allah…lindungilah rumahtangga kami dari kemurkaanMu.

Amin, ya Rabbal Alamin.

http://keranacinta.wordpress.com

Sekadar melanjutkan tazkirah,

Nisa’ yang telah menetapkan maharnya sejak dari Tingkatan 5 lagi. Tiada harga tetapi sangat tak ternilai. Tanda tunduk pada sang umara’ yang akan memimpinnya membina Baitul Muslim yang diredhai Allah. Hanya dia yang mampu untuk memenuhi mahar dan syarat yang telah ditetapkan. Mampu memikul tanggungjawab seberat memimpin sebuah negara. Lucu bila difikirkan, tak tahu pun siapa yang mampu tu, tapi percaya, Dia telah tetapkan siapa. Rasa indah bila kita faham cinta apa yang Allah mahukan. Ya Habibi, ana tunggu enta!

Mahu baca sajak cinta dari seorang Ustaz?

Saturday, 25 July 2009

ESQ Training Bersama iLuvislam.com

Julung kali diadakan...Bakal mengejutkan anda semua...Peluang keemasan ini tidak boleh dilepaskan...Hanya sekali sahaja pada tahun 2009...iLuvislam.com mempersembahkan...ESQ Training bersama iLuvislam.com...Dengan harga termurah di pasaran...

Khas untuk mahasiswa yang menuntut di IPT di dalam dan luar negara...Serta mereka yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara..Tempat amat-amat terhad...Jom daftar sekarang juga!!!Info penting adalah seperti dalam poster di bawah:


10 Sebab mengapa anda perlu menyertai ESQ Training bersama iLuvislam.com?

1. Harga termurah di pasaran. Harga normal untuk mahasiswa adalah RM 550. Manakala untuk golongan bekerja adalah RM 1380.
2. Menampilkan individu-individu hebat yang telah berjaya untuk memberikan inspirasi kepada anda.
3. Anda boleh 're-charge' atau sertai ESQ Training(basics training) lain secara percuma di mana sahaja. Yuran kali ini adalah pelaburan seumur hidup anda!
4. ESQ Training merupakan sebuah training yang terbukti berkesan dalam membentuk individu dan organisasi yang mantap secara keseluruhan.
5. Mengumpulkan mahasiswa Malaysia yang menuntut di dalam dan luar negara.
6. Ia diadakan seminggu sebelum masuknya bulan Ramadhan.
7. Setiap peserta akan mendapat hadiah percuma yang menarik.
8. Diadakan dalam persekitaran universiti yang indah dan permai. Makanan disediakan 5 kali sehari!
9. Tempat program berhampiran pengangkutan awam (komuter).
10. Hanya sekali sahaja peluang sebegini untuk tahun ini!

* Jika bilangan yang mendaftar melebihi tempat yang disediakan, prioriti akan diberikan kepada pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara (sedang bercuti) dan pelajar di kolej persediaan untuk ke luar negara.

Klik Sini Untuk Mendaftar. Tempat Amat Terhad.

Friday, 24 July 2009

Monyetnya Cinta Kita

www.iLuvislam.com
Im Koyube

InsyaAllah, pada 8 Ogos 2009 (Sabtu), buat pertama kalinya, iLuvislam.com dengan kerjasama ESQ Leadership Center Sdn. Bhd. dan Majalah i (terbitan Karangkraf) akan bersama-sama menganjurkan sebuah forum menarik khas untuk remaja dan mahasiswa seluruh negara.


Forum yang bertajuk 'Monyetnya Cinta Kita' bakal menampilkan penceramah dan motivator hebat iaitu:


1. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Penulis 'bestseller book' bertajuk 'Aku Terima Nikahnya'. Nama beliau tidak asing lagi di kalangan masyarakat Malaysia khususnya mahasiswa dan ibu bapa. Selain mempunyai syarikat konsultansi sendiri, Ustaz Hasrizal merupakan:

  • Penulis blog saifulislam.com
  • Kolumnis di pelbagai majalah seperti Majalah i dan ANIS
  • Penceramah bebas yang pakar dalam topik percintaan serta kekeluargaan



2. Firdaus Djamaris

Beliau merupakan trainer ESQ Training Mahasiswa dan Remaja. Selain berpengalaman luas bersama remaja dan mahasiswa, beliau juga merupakan graduan Ekonomi dari salah sebuah universiti terkenal di Indonesia.
Lebih sinonim dengan panggilan Pak Firdaus, kini beliau merupakan penasihat untuk Ikatan Silaturrahmi Mahasiswa (ISIS); sebuah organisasi yang mengumpulkan golongan remaja dan mahasiswa yang telah menjadi alumni ESQ Training.

3. Ustaz Ahmad Zahir Zahiruddin
Ustaz Zahir merupakan salah seorang penasihat iLuvislam.com. Beliau
mula dikenali ramai dengan sebuah artikel yang diterbitkan di iLuvislam.com yang bertajuk 'Jodoh.'Selain itu beliau kerap memberikan ceramah di IPTA dan acapkali menyentuh permasalah remaja dalam bab cinta.Beliau pernah 'putus cinta' semasa zaman bujangnya dan pengalaman berharga itu dirasakan amat penting untuk dikongsi bersama anda semua sebagai teladan dan sempadan.

Detail Program
Tarikh : 8 Ogos 2009 (Sabtu)
Masa : 10 pagi-1 petang
Pendaftaran : 9.30 pagi
Tempat : INPENS, Bangi
Yuran : RM 3 (Makanan, Hadiah & Pengangkutan dari komuter Kajang disediakan)
Pengangkutan ke INSPENS
Jika anda menggunakan pengangkutan awam, 'shuttle bus' akan disediakan dari komuter Kajang.
Jika anda menaiki kenderaan sendiri, sila klik sini untuk peta.
Daftar Sekarang
Tempat yang 'available' untuk program ini amat-amat terhad. Siapa cepat dia dapat. Jadi, apa tunggu lagi. Daftarlah sekarang!

Hebahkan kepada Rakan-Rakan

Jika anda ingin hebahkan program ini kepada rakan-rakan:

1. Boleh sebarkan poster program. Klik sini.
2. Klik button seperti di bawah dan pilih 'option' email. Kemudian emailkan kepada rakan-rakan anda.
3. Hebahkan melalui mulut anda. ^_^

Wednesday, 22 July 2009

Ekspo Perubatan Islam Malaysia (EPISMA 2009)

Ekspo Perubatan Islam Malaysia (EPISMA 2009)

31 Julai -2 Ogos 2009

Padang Tasik Varsiti, Universiti Malaya

Pengisian:
1- Simposium Fiqh Perubatan

2- Forum ‘Anda Sihat Dengan Islam’

3- Kempen Palestin 'Air Mata Gaza'
4- Sukan Ibnu Sina
5- Pertandingan Suara Ibnu Sina

6- Kuiz Kesihatan

7- Pemeriksaan Pergigian dan Perubatan

8- Kempen Derma Darah
9- Pameran dan Jualan (bekam lintah, fish spa, blind massage, eksperimen hadis dll)
Semua dijemput hadir...

Info, sila klik
http://www.episma09.psipum.org

Sunday, 5 July 2009

Sepohon Kayu Daunnya Rimbun

Pabila mendapat tahu, Ustaz Hasrizal (www.saifulislam.com) akan memberikan ceramah pada Hari Orientasi Kolej Mara Seremban (KMS), saya tahu saya tak patut sedikit pun melepaskan peluang turun padang membantu proses pendaftaran adik-adik.

Tak sangka juga ada lebih kurang 4 orang adik Sekolah Seri Puteri yang mendapat peluang untuk menuntut di luar negara. Semoga berjaya merealisasikan impian mereka. Namun, seperti biasa, KMS lebih gemar menghantar pelajar mereka ke Australia, New Zealand atau Republik Czech. Berita baiknya, yang cemerlang mungkin akan mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.

Tak kering gusi saya mendengar ceramah Ustaz Hasrizal. Sekarang, saya jelas, kenapa saya sangat mengkagumi beliau. Kerana pengalaman hidup yang ditempuhnya. Itulah yang memberinya ilmu untuk dikongsi. Itu yang menarik tentang Ustaz Hasrizal. Sebagaimana beliau telah menceritakan kisah hidupnya sendiri dalam buku Aku Terima Nikahnya dan dalam drama Cinta Sempurna di Astro Oasis.

Siapa kata orang bermotivasi tidak punya kefahaman agama yang kuat? Bagi saya, tidak sepatutnya kita pisahkan Islam dengan motivasi atau ilmu haraki yakni ilmu yang kita pelajari di institusi pengajian. Kedua-duanya adalah sebahagian dari Islam. Secara peribadi, saya lebih melihat Ustaz Hasrizal sebagai pakar motivasi yang mantap berbanding sebagai seorang lepasan bidang Syariah di University Mu’tah, Jordan.

Tertarik dengan cerita Ustaz Hasrizal tentang ubat mengantuk adalah tidur, terutama semasa mengikuti ceramah. Kisah benar yang berlaku di Amerika Syarikat. Seorang lelaki Eropah yang mengalami masalah insomnia (kesukaran tidur) melewati sebuah masjid. Beliau pelik bin ajaib melihatkan sekumpulan orang di bahagian luar masjid yang tertidur dalam keadaan bersila (sangat lena walaupun tidak selesa). Kerana perasaan ingin tahu, beliau mendekati orang –orang tersebut. Tak lama setelah itu, beliau pun turut lena dek kerana ceramah yang sangat ‘membuai mimpi’. Lama kelamaan, masalah insomnianya pulih. Beliau menjumpai ‘keindahan Islam’ itu yang mendorong beliau memeluk Islam. Itu kisah benar..

Nasihat beliau, di mana pun kita berada, biarlah kita menjadi people of positive integrity dan punya high quadrant Par Excellence. Maksudnya, kita berakhlak mulia dan bekerja dengan cemerlang. Jika seseorang itu cemerlang gerak kerjanya, tetapi buruk akhlaknya, orang itu akan menipu. Manakala jika seseorang itu baik tetapi tidak proaktif, dia akan cenderung menjadi mangsa penipu.

Untuk bekerja dengan cemerlang, kita perlu ada matlamat. Sebagaimana kisah 3 orang pekerja yang sedang memplaster simen. Pekerja pertama tidak gembira sewaktu bekerja kerana dia tidak suka akan kerjanya yakni terseksa dan terpaksa. Pekerja kedua pula gembira kerana dia membayangkan yang dia sedang menandatangani cek gaji yang akan didapatinya. Dia bekerja kerana ada matlamat.

Pekerja ketiga pula menampal plaster dengan riang hati walaupun di bawah panas terik. Pabila ditanya kenapa dia sangat gembira, jawabnya, dia membayangkan bagaimana sebuah keluarga akan meluangkan masa berkualiti di ruang itu. Dia dapat merasakan seakan dia turut berkongsi ‘saham’ kebahagiaan itu.Dia lebih baik daripada dua pekerja sebelumnya kerana dia bekerja dengan matlamat dan punya keinginan yang kuat untuk memberi.

Bukankah tangan yang memberi lebih baik daripada menerima? Jika seorang bapa berjaya membelikan anak patung yang diminta oleh sang anak, siapakah yang lebih merasa bahagia? Si bapa yang melihat wajah riang anaknya bermain dengan anak patung atau si anak yang sibuk bermain itu? Tentu si bapa kerana dia memberi dengan penuh kasih saying. Itulah sepatutnya ditekankan apabila kita memasuki alam pekerjaan kelak. Jika semata-mata bekerja mahu mengumpulkan kekayaan, anda akan rasa bosan tak lama setelah itu. Namun, bekerjalah dengan niat memberi.

Saya muhasabah diri semula. Betul, betul, betul! Kalau saya mengajar selama 8 tahun kerana mahu memenuhi kontrak biasiswa saya, sudah pasti saya tidak akan mampu bertahan. Mengira hari bilakah 8 tahun itu akan berakhir.. Namun, jika saya bekerja kerana mahu mendidik anak bangsa, profesion sebagai seorang guru tentu akan menjadi sebahagian dari diri saya. Meskipun saya tidak lagi bekerja. Moga tugas memberi saya tidak terhenti di situ.

Harus diingat, kita bekerja di dunia adalah untuk kehidupan di akhirat. Mana mungkin, akhirat kelak kita akan bahagia jika di dunia kita tidak tenteram. Baiti jannati- rumahku syurgaku.

Firman Allah: Dunia itu ladang akhirat.

Soalan bonus: Perlukah kita pada akhirat? Apa hukuman yang anda rasa setimpal pada pembunuh bersiri yang telah meragut nyawa 100 orang? Salah satu cadangan hukuman dari adik-adik KMS ialah dengan menghempap kepala penjenayah dengan tong gas. Namun, adakah dengan cara itu cukup adil? Sepatutnya penjenayah itu merasa betapa seksanya mati sebanyak 100 kali juga. Namun, sayang, tiada kematian berulang di dunia.

Di akhirat, ada balasan itu di neraka. Oleh itu, kesimpulannya, dunia tidak dapat memberi keadilan seperti yang kita harapkan. Balasan yang adil untuk setiap perbuatan kita di dunia akan diterima di akhirat. Peri pentingnya beriman kepada hari kiamat.

Bagaimana manusia boleh cemerlang? Kerana adanya ilmu, kemahiran dan maklumat. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga faktor ini tidak akan bermanfaat jika tiada faktor keempat, yakni sikap yang baik. Jika kita telah berusaha tatapi kejayaan bukan di tangan kita, kita tidak gagal. Mungkin kita akan berjaya dalam bidang lain atau perkara lain. Orang yang gagal adalah orang yang tidak berusaha.

Tiba sesi soalan cepu emas pula.. What’s your purpose of life? Tujuan hidup.. Analogi yang diberikan Ustaz Hasrizal: Jika sebatang pen yang sepatutnya digunakan untuk ‘menandatangani cek’, disalah gunakan untuk diketuk ke dinding sebagai paku, apa akan jadi pada pen itu? Sudah tentu patah kan.. Maksudnya di sini, tujuan pen itu diciptakan atas satu matlamat. Untuk menulis.

Bagaimana kita mahu tahu apakah tujuan sesuatu alat elektronik itu diciptakan? Tentulah tanya pada penciptanya.. Bagaimana pencipta itu mahu memberitahu semua orang tujuan barangan elektronik itu diciptakan? Melalui user manual la..

Jadi bagaimana kita mahu tahu apa tujuan kita diciptakan? Tanya Allah. Macam mana Allah berbicara pada kita? Al-Quran..

Jika tujuan kita hidup untuk mengejar populariti, nyata kita seperti merak. Harganya hanya pada kecantikan ekor yang bisa rosak dan pudar pada bila-bila masa. Jika kerana mahu kuasa, kita seperti Firaun. Menipu diri sendiri. Jika kerana rukun hidup seperti makan, minum dan keperluan hidup yang lain, kita hanya mengejar kenikmatan dunia sahaja.

Firman Allah: Mereka seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat dari itu.

Jadi, tujuan hidup kita?

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu. (surah Az-Zariyat:56)

Semua orang mahu mati dalam keadaan yang baik. Mengimpikan jika kita mati dalam keadaan sujud kepadaNya, atau ketika bulan Ramadhan atau ketika menunaikan haji. Sebenarnya, cara mati itu bukan perkara utama. Cara kita hidup, itu yang perlu dititik beratkan. Ada hambaNya yang menderita sewaktu sakaratulmaut supaya dikurangkan beban seksaan di kubur.

Pesan Ustaz Hasrizal, agama diamalkan tanpa ilmu akan menjadi adat, yang mana akan disalahtafsirkan sebagai sebahagian dari agama itu, walaupun sebenarnya tiada kaitan pun. Orang Melayu di Malaysia bertuah kerana lahir dengan menganuti agama fikrahnya. Orang Melayu adalah orang Islam. Islam warisan. Namun, kita tidak akan mampu bertahan dengan Islam warisan, sebaliknya dengan Islam pilihan. Mencari dan terus mencari cinta Ilahi. Pernah terfikir, jika anda bukan Islam sejak lahir, adakah anda akan mencari Islam?

Sumber: nota

P/s: Ada sesiapa ingat ayat-ayat Allah di atas dari surah mana?

Thursday, 2 July 2009

Fanatik Duniaku

Artikel ini bagi mengotakan janji saya pada kakak-kakak yang tidak dapat mengikuti sepenuhnya ceramah Perbandingan Mazhab oleh Ustaz Kadir al-Joofry dari Mesir.

Bagaimana boleh lahirnya Mazhab?

Abu Musa al-Ansaari dan Muaz bin Jabal dihantar ke Yaman sebagai utusan. Untuk menyesuaikan hukum dengan situasi hidup di Yaman, Muaz bin Jabal akan meneliti al-Quran dan al-Hadith sebelum mengeluarkan hukum.

Harus diingatkan, bukan semua sahabat Rasulullah yang boleh keluarkan hukum. Ada yang menjadi peniaga dan jarang bersama Rasulullah. Antara mujtahid (orang yang mengeluarkan hukum) di zaman baginda ialah: pemimpin Khulafa’ ar-Rasyidin, Saidatina Aisyah ra, Salman al-Farisi, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Thabit dan Abdullah bin Mas’ud.

Ingat lagi kisah seorang pemuda yang membaca al-Quran di hadapan orang kafir Quraisy lalu dipukul dengan teruknya? Itulah Abdullah bin Mas’ud. Selepas kewafatan Rasulullah, beliau ke Kufah(Iraq) dan berijtihad( mengeluarkan hukum). Namun, tiadalah mazhab Abdullah bin Mas’ud, ya!

Mazhab itu sendiri berasal dari perkataan zahaba yang bermaksud, tempat berpergian atau sekolah pemikiran. Seperti yang berlaku di Mesir, masyarakat di sana mengikut terus apa yang dibawakan oleh sahabat baginda, Abdullah bin Amru.

Kembali pada cerita Abdullah bin Mas’ud. Beliau mempunyai anak murid yang merupakan golongan tabi’in. Golongan tabi’in ialah golongan yang belajar terus dari para sahabat. Antara yang terkenal ialah Imam Malik (Madinah-92 H) dan Imam Abu Hanifah (Iraq).

The Prophet salallahu 'alaihi wa sallam said: "No individual threads a path in which he seeks knowledge, except that Allah facilitates for him a path to Paradise, due to it."
(Related by Imaam An-Nasaa'ee in his Kitaabul 'Ilm )

Imam Hanafi memberikan pendapat berdasarkan situasi. Imam Malik sendiri banyak menghuraikan hadis dan berijtihad. Beliau mengeluarkan fatwa di Madinah berdasarkan latar belakang penduduk di sana yang mewarisi keberadaan Rasulullah saw. [1] Beliau sendiri punya anak murid. Antaranya Imam Syafei.

Imam Syafei (150 H) dilahirkan di Palestin. Namun, kemudian berhijrah ke Mekah, kemudian ke Madinah lalu berguru dengan Imam Malik. Setelah itu, beliau ke Yaman dan Iraq. Di sana, beliau berbincang dengan anak murid Imam Abu Hanifah. Setelah itu, beliau berulang alik ke Mesir dan Iraq. Akhirnya, menghembuskan nafas terakhir di Mesir.

Oleh kerana itu, kita selalu mendengar, hukum yang dikeluarkan Imam Syafeilah yang paling ‘ketat’. Lantaran beliau telah mengkaji dan membandingkan dengan mazhab lain.

Imam Syafei sendiri punya anak murid di Iraq dan Mesir. Anak-anak murid beliau sangat mengenali Imam Syafei sehinggakan mereka mengetahui akan hukum yang bakal dikeluarkan beliau dalam situasi tertentu. Justeru itu, walaupun ada hukum itu bukan dikeluarkan oleh Imam Syafei, namun hukum itu tetap dikira berada dalam Mazhab Syafei.

Antara anak murid Imam Syafei ialah Imam Ahmad bin Hanbal (juga punya anak murid.)

Di Malaysia, kita berpegang pada Mazhab Syafei. Di Pakistan, Mazhab Hanafi. Afrika pula, Mazhab Maliki mendominasi manakala di Syria, Mazhab Syafei dan Hanafi. Di Iran? Percaya atau tidak, mereka adalah pengikut Syiah. Namun, harus diingatkan bukan tugas kita untuk menjatuhkan seseorang itu kafir. Itu semua urusan Allah. Kita bukan sesiapa mahu menilai amal seseorang.

Di negara Eropah, kemasukan orang Islam dari pelbagai negara menyebabkan negara Eropah itu punya banyak mazhab. Kesan baiknya, masyarakat Islam itu lebih berlapang dada. Mereka bersedia untuk solat bersama Muslim dari Mazhab lain meskipun orang tersebut tidak membaca doa qunut dalam solat. Lantaran terdedah dengan pelbagai pandangan, mereka sedar, yang mereka tidak seharusnya fanatik dengan pegangan mereka.

Imam Ahmad, ketika beliau diminta memberikan komentar dalam hal terdapat pendapat yang membolehkan solat sunat selepas Asar. Lalu ia memberikan responnya :-

لا نفعله ولا نعيب من فعله

Ertinya : Kami tidak melakukannya dan kami tidak menyalahkan mereka yang ingin melakukannya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 ; Naqal dari As-Sahwah Al-Islamiyyah, Al-Qaradawi, hlm 347 ) [2]

Soal hukum hakam ini, kita perlu berguru. Memahami hadis, tidak bermakna kita boleh mengeluarkan hukum sendiri. Bagi golongan yang berijtihad, jika betul, mereka beroleh dua pahala, jika salah, beroleh satu pahala. Itu bagi orang yang mengeluarkan hukum-para imam dan ulama’.

Kata ulama, “Hadis itu boleh menyesatkan kecuali bagi orang yang faqih.”

Oleh kerana itu, sewajarnya kita bertaklik, yakni mengikut mazhab-mazhab yang telah wujud. Para imam tersebut telah mengkaji sedalam-dalamnya dan berdebat sesama mereka sebelum mengeluarkan hukum. Jika kita bertaklik pada ulama yang bermujtahid, itu sudah sah. Hal ini penting, agar kita lebih fokus pada perkara lain yang kita lebih ‘faqih’, yakni perkara yang kita lebih mahir, seperti teknologi, ilmu sains, kedoktoran dan sebagainya demi kemajuan Islam.

Hukum itu berbeza dengan perbezaan masa dan zaman perubahan. Bukan semua fatwa sesuai untuk semua orang. [1] Jika digabungkan semua amalan dalam keempat-empat mazhab, tidak akan ada seorang pun ulama’ yang akan kata amalan itu boleh dilakukan.

Para ulama silam pernah menyebut :

من لم يطلع على اختلاف العلماء لم يشم رائحة الفقه

Ertinya : Sesiapa yang tidak mengetahui perbezaan fatwa para ulama, maka mereka ini belum lagi mencium bauan ilmu Fiqh (apatah lagi Fiqh itu sendiri).

Bagi pengikut mazhab Imam Syafei, kaum wanita diwajibkan memakai niqab (purdah). Tetapi, kenapa di Malaysia tidak? Sewaktu kedatangan Islam ke Tanah Melayu, pendakwah Islam dari Yaman adalah dari golongan yang mengikuti Mazhab Syafei. Terdapat dua pendapat tentang niqab dalam mazhab Syafei. Pendapat yang kuat menyatakan wajib berniqab. Pendapat yang lemah pula menyatakan niqab itu sunat.

Memandangkan para pendakwah itu tidak mahu penduduk Tanah Melayu itu punya gambaran pertama yang Islam itu susah hanya kerana diwajibkan niqab, maka mereka membawakan pendapat kedua. Tambahan pula, tika itu, orang Melayu kita masih lagi terdedah auratnya sana-sini. Secara logiknya, pasti ulama’ hari ini akan melakukan hal yang sama. Masakan orang yang berkemban pada asalnya, diminta memakai niqab serta-merta. Imam Syafei sendiri pun seorang yang dinamik apabila beliau mengubah fatwa dan hukum asal dari Baghdad.

Maknanya di sini, jika anda rasa anda ini benar-benar berada dalam Mazhab Syafei, fikir-fikirkan semula.

Sumber:

[1] Ustaz Mohd Erfino Johari, Education Attache, Malaysian Student Department (MSD)

[2] Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

Sumber lain: Ustaz Kadir al-Joofry, moderator Agama, I Luv Islam.

Balik Kampung!

Seminggu berada di Malaysia, terasa banyak sangat perubahan yang berlaku di tanah air sepanjang ketiadaan saya. Pejam celik sudah 10 bulan saya merantau di negeri orang. Benarlah kata kakak di Nottingham, kita akan sedar yang cara kita berfikir telah berlainan dari sebelumnya. Yang lebih penting, berlainan dari orang lain di sekeliling kita tika ini. Saya kadang kala risau, mampukah sahabat-sahabat lama saya menerima diri saya yang baru.

Setelah 6 hari di rumah (lepas la kot tempoh kuarantin, mana la tahu, nanti tak pasal-pasal saya jadi sumber H1N1..), akhirnya kaki ini melangkah 3 jam jauh dari rumah. Tidak sedikit pun niat mahu membandingkan kehidupan di UK dan Malaysia, namun biarlah kita ambil yang baik sebagai panduan dan yang buruk sebagai sempadan.

Sepanjang perjalanan ke perhentian bas, sempat berbual seketika dengan seorang mak cik. Ditanya saya mahu ke mana. Jawab saya ke Kuala Lumpur, mahu berjumpa kawan. Mak cik itu tersenyum. Saya hairan seketika. Ya Allah, lupa sudah! Bukankah orang kita banyak istilah yang berkias. Mak cik, saya memang mahu bertemu kawan perempuan.. Rintih saya sendiri..

Ketika di dalam komuter bersendirian, hati mula gelisah. Entah kenapa, saya kurang terasa selamat di tanah air sendiri. Sedangkan di UK, saya pernah pulang dari London ke Nottingham seorang diri. Mujurlah, saya membawa tafsir Al-Quran bersama. Masa diperuntukkan untuk meneliti ayat-ayatNya. Lelaki yang di sebelah saya yang pada mulanya menyanyi mahu mengusik, terus membisu tiba-tiba. Alhamdulillah..

Memandangkan perjalanan ke Mid Valley melalui UKM dan UPM, sempat juga berbalas senyuman dengan sekumpulan kakak-kakak bertudung labuh. Teringat saya kata-kata Ustaz Zaharuddin, stoking yang dipakai biarlah cukup syaratnya. Tidak menyerupai warna kulit kita. Elakkan pakai warna kulit. Selorohnya, yang berbelang-belang atau yang hitam itu paling selamat.

Alhamdulillah aurat kita semua telah ditutup tetapi belum cukup sempurna. Pandangan mata lelaki. Jika mereka tidak dapat melihat mana-mana bahagian yang terdedah auratnya, maka warna yang kaum Hawa pakai cukup untuk mengghairahkannya. Kenapa wanita yang memakai pakaian yang warnanya menyerlah atau berkelipan lebih menarik perhatian? Pelik tapi kajian ada membuktikan.

Niat mahu bermain bowling terpaksa ditangguhkan. Salah seorang sahabat saya mahu mencari seluar jeans untuk dibeli, agar dia tidak perlu lagi ‘mencuri’ seluar adiknya. Kalau dulu, hobi saya window shopping. Sekarang, entahla.. Da hilang minat meninjau pakaian menarik di pasaran. Fesyen di Malaysia sudah ada perubahan. Ada kemajuan. Tetapi saya lebih selesa dengan fesyen sebelumnya. Lebih longgar. Ingin saya selitkan cebisan artikel yang saya jumpa di website orang putih. Kata-kata dari orang bukan Muslim yang nampak hikmah hukum yang Allah tetapkan pada hambaNya.

“About a 100 years ago, woman's ankles were considered 'sexual', so they were hidden from view, and men anxiously wanted to see a bare ankle. Isn't that funny? Just think if in today's world all women suddenly covered their noses with some kind of piece of fabric, just leaving the bottom open for breathing. Then soon everybody would be curious about noses and would want to see a bare nose. And, believe it or not, eventually some men would desperately want to 'peek in' because they would normally never be allowed to see a woman's nose, whereas all women would at least see their own. It could turn into an 'obsession' even.

But we know there's nothing about noses that would make them especially interesting body parts for men and boys to look at. Some noses are big, some are small, some are more curved this way or the other way, but they all are just plain ol' noses, we've all seen plenty of them and we don't think anything special about seeing a nose.

Maybe you think my illustration is silly. But it's not that far-fetched. It is happening EVEN NOW. In muslim countries women are required to cover their whole face with a vail, except for eyes. A woman's face (including the nose) is a taboo. Men can't see it, and are then extremely curious. Whatever you make to be a taboo, then becomes a source of curiosity and obsession.”

Teringat saya pada cerita Ayat-Ayat Cinta. Terpukau Fahri tatkala Aisyah membuka niqabnya.

Nabi s.a.w bersabda : Aku meninjau dalam syurga dan melihat kebanyakan ahlinya adalah orang-orang yang faqir. Aku meninjau ke dalam neraka dan melihat kebanyakan ahlinya adalah wanita. (HR Bukhari dan Muslim)

Tatkala kaki melewati restoran KFC dan McD, seperti diduga. Penuh. Ai, mana perginya boikot? Sewaktu menonton iklan di kaca televisyen juga, paling memeranjatkan saya ialah iklan Coca Cola. Ish..ish..ish.. Hari itu kamain lagi sehingga keluar dalam akhbar antarabangsa, Malaysian can live without Coca Cola. Sepatutnya kita perlu lebih jujur: Orang Malaysia boleh hidup tanpa Coca Cola tetapi pastinya, hidup lebih bermakna dengan Coca Cola!

Benarlah kata Sister Fullah, mengapa musuh Islam pandang kita sebelah mata. Penentangan kita pada perkara taghut dan maksiat hanya bersifat sementara. Manusia itu mudah lupa.

Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (surah Al-Baqarah,ayat 216)

Dah agak! Bermula pukul 5 petang ke atas, pastinya saya perlu menghadapi kesesakan dalam komuter. Pelik juga kenapa orang lebih suka merempuh masuk daripada membiarkan penumpang di dalam komuter keluar terlebih dahulu. Salah satu adab penting di UK, membiarkan penumpang keluar terlebih dahulu sebelum kita masuk. Antara lainnya pula, membukakan pintu untuk orang di belakang kita.

Akhirnya setelah hampir 45 minit berdiri, saya beroleh tempat duduk. Namun, tak sampai 5 minit, mata tertangkap pada seorang pak cik tua yang berdiri di pintu. Hati serba salah, macam mana saya mahu memberikan tempat duduk ini padanya. Ya Allah, beratnya hati mahu melakukan kebajikan. Masih berkira-kira. Lantas, saya tekad bangun.

“Pak cik, duduk la di sini.” Semua orang di sekeliling saya memandang. Pelik mungkin kerana jarang melihatkan suasana begini.

“Tak pe nak. Duduk la.” Saya hanya mampu tersenyum.

“Kak, dudukla.. Kesian anak akak tu. Nanti dia jatuh pula..” Saya menegur kakak di hadapan saya apabila anaknya sejak dari tadi memeluk tiang. Kepenatan barangkali.

Pak cik itu, hingga ke sudah tidak juga duduk. Segan saya padanya. Saya masih muda. Kenapa tidak mahu gagahkan diri berdiri..

Komuter mula kosong. Ada tempat duduk di sebelah lelaki Melayu. Hampir sebaya, saya kira. Saya masih lagi berdiri. Walaupun kaki sudah sangat letih. Tak mahu la saya duduk di sebelahnya. Akhirnya saya beroleh tempat duduk di sebelah lelaki India. Bertentangan dengan lelaki tadi. Lelaki tadi hanya mampu memandang. Pelik barangkali..

Tiba-tiba, hati lucu teringatkan komen muslimin di perantauan. Mereka mempersoalkan kenapa muslimat lebih rela duduk di sebelah non Muslim lelaki ataupun memang lebih rela berdiri dari duduk di sebelah mereka. Double standard, kata mereka. Huhu.. Saya akui itu.. Memang sepatutnya kita melayan semua lelaki dengan layanan yang sama rata. Dosa mendedahkan aurat pada lelaki yang Muslim dengan yang bukan Muslim, sama sahaja. Tapi, entahla.. Dengan yang muslim, saya sendiri, lebih menjaga. Ish, perlu ubah ni!

Followers