Saturday, 14 March 2009

Islam Di Mana Jua

Umpama menjadi seorang penceramah masyhur (aminn..), saya ingin menjawab persoalan seorang hamba Allah mengenai keadaan Muslim di luar negara, lebih tepat lagi di Nottingham. Selama hampir 7 bulan saya merantau, (yeah, tak lama lagi nak balik Malaysia) dan sepanjang pemantauan dan pemerhatian saya, umat Islam di bumi UK ini masih ramai yang mengamalkan cara hidup Islam. Kebanyakannya bukanlah orang Barat, tetapi yang berasal dari Pakistan, Afghanistan, Kashmir dan beberapa negara yang bergolak suatu ketika dahulu yang memaksa orang tua mereka merantau ke UK dan negara Eropah.

Alhamdulillah, masih ramai dalam kalangan mereka yang dididik dan diasuh dengan sebaik-baik ajaran Islam meskipun dibesarkan dalam suasana yang bisa mencarik iman yang senipis epidermis bawang. Tasbih, tahmid, ucapan salam dan pelbagai lagi kalimah suci sentiasa meniti di bibir mereka. Walaupun berlainan budaya, hati mudah dekat dengan mereka, khususnya Sisters dalam Islamic Society. Ada juga orang bukan Muslim pada asalnya, di sini yang memeluk Islam (embraced Islam). Islam adalah agama fitrah setiap makhlukNya. Jadi saya kira, perkataan ‘revert’ atau ‘convert’ kurang sesuai untuk mengalu-alukan kehadiran saudara baru itu.

Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. (Surah al-Hujurat:10)

Namun, perkataan-perkataan itu bukan isu pokok. Kebebasan untuk bersuara dan bertindak di sini memang diaplikasikan sepenuhnya. Orang Islam boleh menghadiri ceramah tentang agama lain. Pelik? Bukan boleh rosak ke aqidah kalau datang ceramah orang Kristian@ masuk gereja? Berdasarkan pengalaman saya sendiri, mengetahui sedikit sebanyak tentang agama lain, membuatkan diri saya lebih dekat pada Maha Pencipta. Ketara, tiada agama lain selain Islam. Tiada Tuhan lain yang berhak disembah selain Allah, dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Kebebasan ini tidak ada di Malaysia. Sebab itu, isu pengharaman penggunaan nama Allah dianggap boleh mengancam aqidah umat Islam di Malaysia. Mengapa? Serapuh itukah iman umat Islam kita di Malaysia?

Jika di Malaysia, kita hanya nampak keperibadian seorang Muslim yang ada pada seorang Melayu, kebanyakannya. Adakalanya amalan Muslim itu sendiri bercampur-aduk dengan budaya Melayu. Tatkala saya bergaul dengan orang-orang Muslim lain di sini, saya sedar akan kepelbagaian fiqh dalam ibadah terutamanya. Contohnya, Mazhab Hanafi yang tidak boleh berimamkan wanita, walaupun makmumnya adalah wanita.

Para ulama silam pernah menyebut :

من لم يطلع على اختلاف العلماء لم يشم رائحة الفقه

Ertinya : Sesiapa yang tidak mengetahui perbezaan fatwa para ulama, maka mereka ini belum lagi mencium bauan ilmu Fiqh (apatah lagi Fiqh itu sendiri)

Sewaktu hendak berangkat ke sini, hati sangat gusar jika pegangan aqidah menjadi longgar lantaran aktiviti keagamaan yang disangka amat kurang di sini. Namun, saya 110% silap. Jika ada usaha, InsyaAllah pintu rahmat Allah akan kita jumpa. Sekarang, kami punya usrah, halaqah dan pelbagai ceramah agama, yang dianjurkan untuk orang Muslim secara umum dan orang Muslim Malaysia secara khusus.

Cuti Easter akan datang ini, sudah ada jemputan yang mengundang untuk menyertai aktiviti ala-ala Khemah Ibadah. Antara yang menarik, Khemah Ibadah yang menekankan profesion kedoktoran. Di Ireland, West Yorkshire mahupun di Republik Czech. Cuma antara mahu atau tidak sahaja. Saya teringat kata-kata sahabat saya : Time you have here are more than enough to just sit and study. Betul juga.. Maximise what you may gain here, for the sake of Allah.    

King of Kerry di Killarney, Ireland. Sewaktu mengikuti Perhimpunan Ukhuwah Insaniyah Seluruh Ireland(PUISI) 2008.

Harus diingat, seseorang Muslim itu sentiasa menjadi cermin pada Islam di mana sahaja dia berada. Kalau di Malaysia, tunjukkan keindahan Islam itu pada penganut Hindu, Buddha dan agama lain. Sama ada kita sedar atau tidak, mereka sentiasa memerhatikan kita. Mungkin ketidaksedaran itu berpunca dari bilangan mereka yang lebih kecil dari kita, tapi itu bukan alasan untuk kita membuatkan mereka punya perspektif negatif pada Islam. 

p/s: Apa khabar agaknya cendol Sutera Klasik yang diniagakan di Sheffield hari ini? Moga para pengusaha cendol masih bertenaga..^_^

No comments:

Followers