Wednesday, 3 March 2010

Pheonix Bangkit!

Dari blog Kucing Belang.

Kita, Menjadi Kanak-kanak Terlalu Lama

Salam.

Lihat kepada sejarah, pada usia apakah tokoh-tokoh sanjungan kita berhenti menjadi kanak-kanak?

Anas bin Malik sudah meriwayatkan hadis seawal usia sepuluh tahun, mungkin lebih awal. Ali ibn Abi Talib memeluk Islam juga sekitar usia sejagung itu dan menggadai nyawa di katil Nabi sewaktu usianya sebaya anak-anak mentah hari ini di universiti. Ketika usianya pun sepuluh tahun, Usamah bin Zaid barangkali merajuk muncung-muncung kerana tidak dibenarkan memikul pedang ke medan Uhud. Namun cepat ditebus kehampaan itu dalam Perang Khandak lima tahun kemudian, dan waktu baru-baru mencecah usia dua puluh, anak muda ini sudah mengepalai angkatan perang ke negara Syam melanyak tentera Romawi.


Anak-anak muda yang diabadikan dalam surah al-Kahfi, berapa agaknya usia mereka?

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَهاً لَقَدْ قُلْنَا إِذاً شَطَطاً
Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran. - Al-Kahf, [18:13-14]

Imam as-Syahid Hassan al-Banna sudah berdemonstrasi menyuarakan penentangan terhadap pemerintahan British ketika berusia 13 tahun. Sembilan tahun kemudian, dalam usia 22 tahun, pertubuhan Ikhwanul Muslimin diasaskan. Dan selanjutnya adalah sejarah, bukan?

Saiyidatina Aisyah r.a., menurut banyak riwayat, menjadi isteri Nabi Muhammad S.A.W. ketika usianya masih begitu kecil. Tentunya dalam usia yang begitu muda juga, berterusan ke akhir hayatnya, bonda kita ini telah menyampaikan pula ilmu-ilmu yang dipelajari langsung daripada suaminya Junjungan yang Mulia kepada para sahabat dari jauh dan dekat.

Berapa pula usia Nabi Muhammad S.A.W. ketika menerima lamaran Saiyidatina Khadijah? (Yang tentu sahaja dalam keadaan sudah dewasa oleh pengalaman, matang bekerjaya, dengan akhlak dan wibawa yang diperakui rata-rata). 25 tahun. Barangkali sebaya usia kita yang masih terkial-kial selepas keluar universiti, terkebil-kebil berhadapan dengan dunia nyata yang rupa-rupanya tidak sama dengan apa yang dikhayal-khayalkan sewaktu di menara gading dahulu.

Kita, jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, menjadi kanak-kanak terlalu lama.

Seolah-olah hidup ini terlalu panjang untuk dihabiskan dalam alam bermain-main. Konon masih terlalu muda, belum dewasa.

Mungkin boleh dimaafkan jika sewaktu berusia 6-7 tahun kita masih sibuk bermain pondok-pondok di dalam semak atau menggetis keropok Golden Ring, bersenja dengan padang bola atau menonton kartun sebelum dikerah ibu pergi mandi. Solat ikut-ikutan sahaja, yang lelaki sesekali mengikut bapa ke masjid, mungkin diajar melaungkan bang sebelum berlari ke saf belakang.


Mungkin boleh dimaafkan, kalau ketika itu, kita masih belum mengenal Tuhan, belum peduli tentang dosa atau pahala.

Mungkin boleh dimaafkan jika sewaktu berusia sepuluh tahun kita masih leka dengan komik dan anak patung, atau ralit menonton rancangan nyanyian kanak-kanak bermekap tebal di TV9.

Mungkin boleh dimaafkan, kalau ketika itu, kita masih belum tahu apa itu Islam, apa itu iman, apatah lagi tentang dakwah, jihad, dan pengorbanan. Tentang perjuangan yang sudah menjadi zikir pada lidah dan anggota generasi terdahulu ketika meniti usia yang sama.

Namun masihkah boleh dimaafkan, jika kita sekarang, yang berusia belasan tahun - awal belasan, pertengahan, dan penghujung belasan - menghabiskan waktu bercinta-cintaan, patah hati dan jatuh hati berkali-kali dalam masa kurang satu bulan, menggilai artis pujaan, meratap-ratap apabila calon bintang tersingkir daripada rancangan realiti TV kegemaran, memastikan diri
up-to-date dengan gaya paling terkini (tudung pelbagai fesyen, gaya rambut yang disembur dan dilumur gel, kemeja T dan jeans berjenama, mekap dan wangi-wangian yang sepadan), dan apabila ditanya tentang isu semasa, perihal agama, atau masalah dunia, mengangkat bahu tidak ambil tahu.

Sedangkan generasi terdahulu yang sebaya itu sudah berhenti menyangka hidup mereka terlalu panjang. Sudah sedar bahawa makna hayat adalah dengan berjuang. Sudah mengerti bahawa tanggungjawab terlalu banyak untuk ditanggung dan dipegang. Umur belasan tahun adalah umur baligh, bererti umur bilamana dosa dan pahala sudah dipikul sendiri.

Namun kita masih bermain-main - masih mahu menjadi kanak-kanak.

Setelah berusia dua puluhan pun - 20, 21, 22, 23... kita masih menjadi kanak-kanak. Kita terpesona benar dengan keindahan-keindahan dunia - harta, hiburan, lelaki dan perempuan - seperti kanak-kanak yang leka dengan permainannya. Lalu kita bermain, dan bermain, dan menyuakan pelbagai alasan apabila diajak untuk menjadi dewasa.

Ajakan itu datang daripada pelbagai punca. Teman-teman yang sudah meninggalkan alam kanak-kanak, guru-guru yang sudah lama menjadi dewasa, atau suara hati sendiri yang merasakan sudah terlalu jauh beza antara kematangan dan usia. Namun, kita masih berpura-pura tidak sedar, seperti kanak-kanak yang meminta tangguh apabila disuruh ibu untuk mandi setelah senja tiba.

Meminta tangguh, belum mau menjadi dewasa, belum mau sedar dan bekerja, kerana belum bersedia. Meminta tangguh daripada siapa sebenarnya? Malaikat Maut?

Benarlah kata Tuhan dalam al-QuranNya,

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرّاً ثُمَّ يَكُونُ حُطَاماً وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sendagurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu. Surah al-Hadid, [57:20]

Apabila dibanding-bandingkan dengan zaman datuk, nenek, dan moyang, tidak dapat tidak, saya terfikir bahawa budaya dan kebiasaan kita, semakin menjadi moden, semakin mengkanak-kanakkan manusia. Semakin moden satu bangsa, semakin lama waktu yang diperuntukkan untuk anak-anaknya menjadi dewasa. Anak-anaknya diizinkan menjadi kanak-kanak lebih lama. Adakah kerana terlalu banyak yang perlu dipelajari, maka tempoh 'matang' itu diperpanjang? Adakah kerana jangka hayat yang bertambah, maka lebih banyak usia boleh dihabiskan bersenang-senang?

Alasan 'belum habis pengajian' itu menjadi syarat pelepasan yang membebaskan setiap 'kanak-kanak' ini daripada sebarang tanggungjawab. Daripada sebarang tanggungjawab selain daripada 'menumpukan perhatian kepada pelajaran'. Tidak boleh melibatkan diri terlalu aktif dengan kegiatan-kegiatan persatuan, apatah lagi gerak kerja Islam, mohon dijauhkan kalau berani-berani menjinakkan diri dengan politik. Alasan 'belum habis pengajian' itu menjadi benteng sehingga 'kanak-kanak' ini bercinta-cintaan memendam rasa bertahun-tahun kerana tidak dibenarkan berkahwin. Lalu tidak sedikit yang menjadi mangsa, 'kanak-kanak' yang hilang kesucian, maruah dilepaskan, menjadi ayah dan ibu tanpa pentauliahan, tanpa ikatan.

Menjadi dewasa dan matang adalah kewajiban, adalah tuntutan, juga adalah fitrah yang tidak sepatutnya dihalang-halang.

Sampai bila mahu menjadi kanak-kanak? Terkepung dalam dunia indah universiti, dunia riang-ria warna-warni di puncak menara gading, berlari-lari dalam taman bunga bersama
sweetheart, sehinggalah 'menerima segulung ijazah', selepas itu automatik akan menjadi dewasa? Bukankah menjadi dewasa itu memerlukan latihan, memerlukan bimbingan? Sempatkah kita belajar menjadi dewasa dalam kesibukan membina kehidupan selepas tamat pengajian, atau mungkinkah kita akan terus menjadi kanak-kanak juga hatta selepas meniti alam kerjaya, alam perkahwinan, dan melahirkan pula anak-anak yang tidak akan menjadi dewasa sampai bila-bila?

Saya bukanlah bermaksud menyeru sesiapa saja yang mahu melakukan apa-apa untuk bertindak sesuka hati, hanya kerana 'mahu menjadi dewasa'. Tidaklah, contohnya, menyeru sesiapa yang mahu berkahwin sebelum tamat pengajian, merempuh apa saja rintangan semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah.

Kalau kamu masih kanak-kanak, maka melakukan perbuatan orang dewasa tidak akan menjadikan kamu orang dewasa.

Kalau kamu - saya, kita - belum layak berkahwin, maka memaksa diri untuk mendirikan rumahtangga tidak akan tiba-tiba menjadikan kita matang dan bijaksana.

Soalnya di sini, mengapakah bangsa kita, zaman kita, generasi kita - mungkin generasi orang tua kita - mengizinkan, membiarkan, kita, menjadi kanak-kanak begitu lama?

Kesegaran dan kesuburan akal, semangat, dan iltizam menyebabkan usia anak-anak muda adalah usia terbaik untuk membentuk, menghasilkan, dan menggerakkan pejuang. Namun kita membiarkan usia muda itu habis dengan bermain-main dan bersukaria.

Tuntutan fitrah dan biologi mewaraskan anak-anak muda mendirikan rumahtangga dan membina keluarga pada usia awal - tidak terlalu awal, namun tidak pula melangkaui pertengahan dua puluhan. Namun kita membiarkan usia muda itu habis dengan bersenda gurau dan bergelak ketawa, bukannya mendidik dan membentuk mereka seawal mungkin untuk bersedia menjadi isteri dan suami, ibu dan bapa. Anak-anak muda ini diajar segala macam pengetahuan yang wajib dikhatamkan sebelum dibenarkan menjadi dewasa - segala macam pengetahuan, kecuali pengetahuan tentang menguruskan diri dan membina keluarga.

Menjadi kanak-kanak memang seronok. Kita dilepaskan daripada tanggungjawab. Hidup kita adalah bermain-main, berfantasi, sesekali beridealisme dan berdebat tentang itu dan ini. Teori dan kerja kanak-kanak tidak ubah seperti skrip permainan askar lawan penjahat atau 'rumah' untuk bermain pondok-pondok, yang dibina daripada ranting dan daun-daun kering. Sesekali watak Power Rangers,
Cinderella atau Prince Charming akan tambah menceriakan suasana, dan kita merasakan betapa menjadi kanak-kanak sungguh bahagia.

Masyarakat, sistem, malah keluarga kita sendiri memberikan bermacam-macam alasan untuk kita terus menjadi kanak-kanak dan lari daripada kewajiban, daripada kedewasaan, untuk kita mengelak daripada mempersiapkan diri menuju kedewasaan.

Kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh, insyaAllah akan meluncur laju ke syurga.

Bagaimana pula dengan 'kanak-kanak' tua yang usianya tamat, usianya renta, sebelum sempat menjadi dewasa, kerana terpesona dengan alasan yang dicipta oleh masyarakat, dicipta oleh sistem, dicipta oleh diri sendiri?

Terlalu panjangkah usia, sehingga mahu berlama-lama menjadi kanak-kanak yang ralit dengan permainan-permainan dunia?

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik. Surah Ali Imran, [3:14]

video

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

No comments:

Followers