Saturday 27 February 2010

Mencintaimu


Dia Pernah Mencintaimu


“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.

“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.

Persoalan.

Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?

“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Aneh.

Mencintai insan yang belum ada.

Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.

Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.

Cinta luar biasa.

Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.


Senyuman Perpisahan

Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.

Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,

Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.

“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.

Wajah itu mengubat rindu mereka.

Tiga hari yang hilang warna dan sepi.

Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.

Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.

Sangka mereka itu senyum kesembuhan.

Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…

Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.

Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.

“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.

Tangan itu rebah terkulai.

Basah dalam bejana air.

Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.

Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.

Merindui saudara-saudaranya.

Kita.


Sebuah Pertanyaan Cinta

Justeru…

Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?

Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?

Hati kecil itu tidak mampu berbohong.

Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….

“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]


Surat Untukmu, Ya Rasulullah

Ya Rasulullah, aku tidak tahu bagaimana harusku ungkapkan apa yang ingin aku perkatakan. Kiranya, perkara pertama yang aku mahu engkau tahu, aku sangat ingin melihatmu di akhirat kelak dengan kau tersenyum padaku seperti mana senyummu pada sahabat beberapa jam sebelum kau menghela nafasmu yang terakhir.. Meski aku tak pasti sedikit pun, layak atau tidak aku mencium bau syurga Allah. Mampukah aku melalui siratul mustaqim menuju jannah sedangkan sudah 21 tahun hidup tanpa hari yang tanpa dosa. Atau adakah aku akan tersungkur jatuh ke lembah yang buruk itu?

Aku cuba sedaya upaya mahu menjadi saudaramu yang kau beritahu kepada para sahabat. Namun, adakah aku mampu? Apatah lagi, tatkala memikul risalah dakwahmu, amatlah sukar kaki ini menapak dengan kekuatan.. Aku sedar, apalah sangat mehnah (ujian) yang ku hadapi sampai aku mahu undur diri dari terus menyampaikan.. Apalah sangat tribulasi yang ku terima sampai aku mahu mengalah berdepan dengan segala cabaran?

Sedangkan engkau pernah dilukai sehingga darah membasahi sepatumu. Padahal aku, tiada sedikit pun jasad pinjaman ini dilukai sedemikian rupa. Aku cuba menjadi seteguhmu.. Ya Allah, kuatkanlah aku..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.


No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...