Sunday, 30 January 2011

Rindu Abah..

Tak tahu kenapa. Tiba-tiba teringat pada babak Angah yang menelefon ayahnya untuk meminta maaf dalam Syurgamu Ramadhan. Saat itu, dia mendengar setiap detik kemalangan yang menimpa kedua ibu bapanya. Si anak itu adalah insan terakhir yang bercakap dengan bapanya yang pernah disakitinya. Dia tahu dia telah menjadi si yatim piatu.


Allah. Sampai bila, kita akan lebih menghargai ibu bapa kita yang masih ada.

Lantas telefon dicapai. Tawakal, sedangkan jam sudah tunjuk pukul 4.40 petang. 12.40 tengah malam di Malaysia. Tahu, abah mungkin sedang bekerja sekarang di Butterworth. Tapi rasa rindu tetap juga mahu dilepaskan padanya. Harapan hati, biarlah waktu ini dia sedang dalam masa rehat.

"Hello." Alhamdulillah, ya Allah.. Nada suara yang sebak cuba sedaya upaya disembunyikan.

Cakap tak lama pun. Hanya bertanya khabar itu dan ini. Waktu rehatnya pun bakal berakhir sekejap lagi. Minum pagi, katanya.

"Tak de apa-apa la eh kat sana? " tanyanya, memastikan puteri sulungnya dalam keadaan baik di sini.

"Orang ok je kat sini, Abah.. Cukup makan sume," cuba hidupkan suasana. Sedangkan, saat talian diletakkan , Tuhan sahaja yang tahu..

Untuk seorang ibu dan bapa, anak mereka akan tetap bayi kecil mereka. Walaupun anak itu sudah menjadi dewasa, sudah menjadi ibu atau bapa kepada cucu mereka. Tapi anak itu akan tetap bayi di mata mereka.

"Awak, mana ada hubungan anak dengan mak ayah yang tak tergugat. Mungkin pergaduhan itu ada, tapi ia sekadar salah faham. Percayalah, terasa hati mana pun ibu bapa kita pada kita, kita tetap anak mereka. Tak kisahlah kita tak ngam dengan ayah kita atau tak.. Kita tetap anaknya. " nasihat saya pada seorang adik di hadapan saya.

Dalam masa yang sama, cuba sembunyikan sebak di hati. Kerana kata-kata yang dilafazkan itu, ditujukan pada diri sendiri juga. Muhasabah untuk diri, yang sentiasa berdegil dan keras kepala pada kedua ibu bapanya.

Ma pernah bagitahu, saya memang macam Abah. Keras kepala dan ada angin sendiri. Itu sebabnya kadang-kadang akan timbul percakaran antara kami berdua. Tambah buruk, ego saya lebih tinggi dari Abah. Ya Allah.. berdosanya saya.

Waktu itu hujan. Agak lebat. Motor Suzuki Abah yang sama tua dengan saya itu, kami bonceng. Hujan diredah juga, memandangkan saya perlu dihantar pulang ke asrama sebelum 4 petang. Baju hujan yang dipakai cukup sekadar menahan air dari membasahi pakaian kami, tapi tidak mampu mengurangkan kepayahan Abah membawa motor dalam keadaan seperti itu.

Hujan tidak henti turun sepanjang perjalanan. Ada hikmah juga hujan turun ketika itu. Setidaknya, Abah tidak akan nampak air mata yang mengalir. "Ya Allah, andai aku jadi anak yang derhaka, Kau sambarlah aku dengan petir."

Rindu ini datang bertamu. Tapi insan ini masih juga selalu menyakiti insan yang dirinduinya. Ya Allah, bantulah aku mengubah diriku.

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

No comments:

Followers