Wednesday, 27 June 2012

Untukmu ya Habibullah

Allah.. Berat dirasakan pencarianku dalam mencari seorang suami. Sudah dua kali usahaku berakhirnya dengan kekecewaan. Penatnya pencarian itu seperti penatnya Khairul Azzam dalam mencari calon isteri dalam Ketika Cinta Bertasbih.. Aku percaya, jodoh juga seperti rezeki. Sudah tertulis sejak di alam rahim, namun masih perlu diusahakan pencariannya.

"Kalaulah bukan kerana pernikahan itu adalah sunnahmu, untuk memantapkan kerja dakwahku, sudah pasti aku akan menyerah diri. Hamba ini sudah hampir berputus asa, ya Allah.."

Berat beban yang dirasakan. Aku amat berharap, akan dapat menemui seseorang yakni jodohku sebelum aku pulang ke Malaysia. Agar aku dapat mengurangkan sebarang risiko kefuturan. Aku tahu bagaimana dahsyat cinta mampu membawa aku. Aku beserta perjuanganku boleh musnah andai jatuh ke tangan insan yang salah.

Saban hari, sujudku diiringi air mata dan doa merintih belas kasihan darinya.
"Ya Allah, andai pernikahan itu adalah yang terbaik untuk aku, agamaku dan perjuanganku, Kau temukanlah aku dengan pendamping syurgaku kelak.. Bukan sekadar seorang suami di dunia, tetapi penemanku di syurga sana."

***
Kini, mungkin Allah telah temukan aku dengan pendamping syurga itu. Namun, segalanya masih belum pasti selagi mana akad belum dilafazkan. Aku hanya mampu berdoa moga Allah akan tetap melaksanakan tapisanNya.

"Macam mana kau boleh suka dia, Su?"

"Kte elak dari ada perasaan pada dia.. Kte dengan dia pun sebab kami kongsi matlamat perkahwinan yang sama. Kami nak perkahwinan yang hingga ke syurga."

Mujahadah sememangnya. Namun, alhamdulillah, Allah beri kekuatan untuk meletakkan cintaku padaNya, rasulNya, perjuanganNya lebih tinggi dari segalanya. Alhamdulillah aku masih belum larut dengan cinta kepada seorang ghuraba'.

Muhasabah semula. Andai Rumaysa, ibu Anas bin Malik sanggup mengorbankan anaknya yang dicintai untuk diserahkan kepada Rasulullah saw, kenapa aku tidak mampu mengorbankan cintaku yang pernah membara padanya suatu ketika dulu dan kini baranya mula membakar dalam jiwa. Lantas, pada saat itu, aku muhasabah diri.

"Ini adalah perkara termahal padaku pada masa ini. Pencarian yang telah ku temui. Aku infakkan cintaku ini padamu ya Rasulullah.."

"Wahai Kekasih, aku mengimpikan untuk bertemumu. Aku berada di jalan ini kerana mengikuti jalanmu. Aku sedang melalui satu jalan ke gerbang pernikahan kerana ingin mengikut jejak sunnahmu.. Semua ini kerana cinta padamu.. Kuatkanlah hamba ini melawan segala bisikan syaitan dalam ikatan ini, ya Allah.."

27 Jun 2012

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

(Posted on 28 May 2015, 3 years after got married. Alhamdulillah.. Just to share the journey to the nikah.. For us to learn something on it)

No comments:

Followers