Thursday, 28 June 2012

Takdir yang Tertulis

Allahu rabbi. Kurang dari tiga minggu, aku akan bertemu dengan dia. Tidak dapat ku bayangkan, bagaimanakah situasinya tika itu. Genap 4 tahun kami tidak pernah bersua muka, tidak bersuara.

4 tahun lepas, tiada ucapan perpisahan yang diucapkan. Tiada ucapan selamat maju jaya yang dilafazkan. Sekelip mata, hubungan persahabatan yang terjalin erat, kemudiannya yang mula memutikkan bunga-bunga cinta, terputus di tengah jalan. Seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku antara kami. Masing-masing membawa diri.

Kini, aku akan menemuinya semula. Namun bukan seorang sahabat, bukan seorang kekasih, bukan seorang yang asing. Dia yang akan berdiri di depanku itu nanti adalah insan yang Allah temukan untuk menjadi calon suamiku. Insan yang ku harapkan Allah akan terus melaksanakan tapisanNya hingga saat akad dilafazkan. Insan yang selepas itu, akan aku cintai hingga ke syurga.

Insan yang baru ku temui semula di Facebook Januari yang lepas. Namun mula berhubung sejak April yang lepas. Sekelip mata, tidak sampai sebulan, kami tersedar, kami mungkin adalah pasangan hidup yang dicari masing-masing selama ini.

Takdir apa yang Engkau telah suratkan untuk kami, ya Allah? Besarnya rahsiaMu hingga tidak pernah terlintas dalam fikiranku semua ini akan terjadi. Betapa kerdilnya aku.. Insan yang pernah bertakhta dalam hati ini akan aku temui semula, akan mengetuk semula pintu hati yang telah lama terkunci. Allahu rabbi.

Sesungguhnya hamba ini milikMu. Caturkanlah ketentuan yang terbaik untukku. Aku rela menjadi umpama layang-layang yang terbang mengikut arah angin takdirMu, asal jangan Engkau biarkan talinya terlucut dari genggaman perhatianMu.

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists." 

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham

(published after got married 3 years later..)

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...