Friday, 7 September 2012

Engaged to..

Sudah acapkali sahabat-sahabat meluahkan rasa, membangkitkan masalah yang mereka hadapi dalam perhubungan. Tambah-tambah lagi sudah ramai yang memasuki alam pertunangan. Alhamdulillah, terikat sudah satu jambatan ke sebuah masjid yang bakal menyatukan dua hati. Namun, benarlah orang kata, "bertunang jangan lama-lama". Kawan-kawan juga selalu memberi amaran, "rasa jelah nanti cabaran bertunang." Kata-kata orang ini semua ada betulnya.

Islam sendiri ada menyatakan berkenaan ujian dalam pertunangan. Ustaz Dusuki Abdul Rani pernah berkongsi, "dalam percintaan, semuanya indah. Namun dalam pertunangan, ada cubaan. Cubaan itu adalah datang dari gangguan syaitan yang cuba membisikkan hasutan untuk memutuskan ikatan."

Bukankah bila bertunang, pasangan itu telah berjanji untuk berumahtangga. Dengan berlangsungnya pernikahan, akan menangislah syaitan kerana satu lorong maksiat anak Adam telah tertutup.



"Aku stres, orang cakap aku tak pandai jaga tunang.." kawan A meluahkan kekusutannya.
"Tunang aku ada orang lain.." kawan B membuka rahsia.
"Akak tiba-tiba rasa ragu-ragu dengan pilihan akak..", luahan seorang kakak. Balas saya sambil tersenyum, "waktu bulan puasa aritu, akak ada rasa ragu-ragu yang sama tak? Mungkin itu bisikan syaitan?"

Permasalahan-permasalahan ini bukan pertama kali berlaku. Hati ini hanya mampu berdoa, moga Allah permudahkan urusan mereka yang telah diikat untuk ke gerbang pernikahan dan dikurniakan Ilahi apa yang terbaik. Kerana kita tak tahu apa yang terbaik untuk kita.

Hanya Dia yang tahu. Jadi, tanyalah padaNya. Kalau kita telah beristikharah mohon ditunjukkan yang terbaik, kemudian Allah telah tunjukkan orangnya sama ada melalui gerak hati atau mimpi, dan tika itu, kita tidak merasakan sebarang keraguan, percayalah pada petunjuk itu. Itu adalah pilihanNya untuk kita. Meski dia bukan sempurna, tapi dialah yang terbaik untuk kita.



Ustaz Dusuki juga pernah berpesan kepada kami dalam suatu majlis ilmu, "kalau kamu telah istikharah dan lalu mendapat petunjuk, kamu tidak perlu lagi melakukan solat istikharah untuk meminta perkara yang sama. Kerana dikhuatiri syaitan akan membisikkan keraguan."

Percayalah pada doa anda dalam sujud padaNya. Percayalah, Allah mendengar dan akan mengabulkan setiap permintaan hambaNya jika itu yang terbaik untuknya. Soalnya, lambat atau cepat sahaja. Mungkin jika dilambatkan, itu lebih baik untuk kita. Mana tahu, orang yang dilewatkan ditunjukkan jodoh oleh Allah lebih dulu bernikah dari orang yang telah bertunang. Kita tak tahu.. Hanya Dia yang tahu.

Jadi, andai doa itu telah dikabulkan, wajarkah kita meragui semula apa yang kita minta? Bak kata seseorang, "itu kufur nikmat namanya." Andai kita meragui, adakah kerana kita tidak bersungguh meminta padaNya? Adakah kita sendiri bermain-main dan tidak pasti dengan apa yang kita minta?

Andai tunang itu adalah orang yang kita pilih selepas kita bertanya pada Tuhan yang jiwa kita berada di tanganNya, usahlah berpaling dan mempersoalkan semula pilihan hati. Tanyalah hati bersih anda, "adakah ini satu petunjuk atau satu hasutan dari syaitan durjana yang cuba meruntuhkan usaha kita menjunjung sunnah baginda?"

Jika jawapannya adalah yang kedua, maka berhentilah dari menjadi pemikir yang ekstrem, penyiasat yang curiga. InsyaAllah, Tuhan tunang anda itu sentiasa ada untuk menjaga dan memerhatikannya.

Pertunangan Dalam Islam
Alhamdulillah, pada hari ini, sudah ramai yang sedar, bercinta juga sebenarnya bertunang andai janji telah diikat antara kedua merpati dua sejoli itu untuk berkahwin. Majlis pertunangan adalah adat, bukan syariat, tapi diharuskan selagi tidak membazir. Kerana di dalamnya ada sunnah yang semakin dilupakan.. Selawat, zikir, khutbah dari si khatib (tunang lelaki), juga hadiah buat makhtubah (tunang perempuan.



Pertunangan itu sendiri adalah sunat. Andai pertunangan itu putus, itu bukanlah aib seperti yang biasa ditakuti masyarakat. Sebaliknya yang aib adalah perceraian kerana ia mengundang murka Allah meskipun halal di sisiNya.

Apabila telah dikhitbah (bertunang), tunjukkanlah tanda telah bertunang agar tidak berlaku peminangan di atas pinangan orang lain. Terpulanglah untuk menghebahkan atau tidak. Pada pandangan saya, itu bergantung pada situasi individu. Kalau orang itu sepopular Ustaz Don (waktu zaman bujangnya), memanglah perlu supaya anak gadis lain tidak menaruh harap. Pada saya, pertunangan dan pernikahan itu adalah berita gembira untuk bukan sahaja kepada pasangan, juga kepada sahabat-sahabat dan keluarga yang tidak putus- putus sentiasa mendoakan kebahagiaan kita.

Perbahasan lebih lanjut berkenaan hukum menghebahkan pertunangan boleh didapati di sini. Apa yang saya boleh simpulkan, hadis penuh yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami di bawah adalah dhaif. Sheikh Al-Albani telah menyebutkan sedemikian di dalam kitabnya.

أظهروا النكاح وأخفوا الخِطبة
Zahirkanlah pernikahan dan sembunyikanlah pertunangan.

Hadis hassan yang sebenar adalah:

"Iklankanlah pernikahan." (hadith riwayat Ahmad daripada Abdullah Ibn Zubair RA)

Sejujurnya, waktu Ustaz Dusuki memaklumkan hukum menghebahkan pertunangan ini, saya sendiri terkejut. Kerana apa yang dipegang, ia tidak boleh.. Rupanya kami tersilap pegang pandangan..

Fatwa daripada ahli majlsi fatwa Kuwait, Dr Ahmad Al-Hajji Al-Kurdi:
"Maka tidak ada halangan dalam mengisytiharkan pertunangan secara syarak, bahkan ianya adalah lebih utama(untuk diisytiharkan), kerana (hukum) asal bagi tiap-tiap sesuatu adalah harus, dan tidak datang nas yang menghalang (dari berbuat sedemikian)." Sumber

Fatwa di laman Islamqa yang diketuai Sheikh Muhammad Salih Al-Munajjid:
"Mengenai perbuatan sebahagian kaum Muslimin yang mengiklankan pertunangan serta menzahirkan kegembiraan(dengan mengadakan majlis),serta perbuatan memberi hadiah, adalah merupakan adat yang harus pada asalnya,dan tidak diharamkan ia, melainkan perbuatan-perbuatan yang diberi petunjuk oleh syarak akan keharamannya." Sumber

Semanis Strawberi
Suka diingatkan, dalam keseronokan mempelajari ilmu rumahtangga, ada tanggungjawab besar yang menanti waktu anda mula melangkah ke alam itu. Sejak dari alam pertunangan, beban itu akan mula dirasakan. Seperti manisnya strawberi, hendak dijumpa yang manis, akan jumpa yang masam lebih banyak.. Masakan pernikahan itu menjadi pelengkap agama kita selepas taqwa andai ia begitu mudah dilaksanakan.

Apatah lagi, pernikahan yang matlamatnya adalah ke syurga. Dari proses taaruf, pertunangan, walimatul urus, pengurusan rumahtangga hinggalah pentarbiyahan anak-anak, itu semua perlu berpandukan syariat Islam. Lebih berat bila pernikahan itu didirikan oleh para pejuang amal islami. Tentunya ada hasrat dari bakal ibu itu untuk mendidik anak-anaknya menjadi pejuang agama Allah, sehebat ibu-ibu di Palestin yang rela anak-anaknya gugur sebagai syuhada' menegakkan kebenaran. Juga pastinya jauh di sudut hatinya, bakal isteri itu mengimpikan dirinya dan suaminya dapat sama-sama meneguhkan satu sama lain agar terus menjadi jundullah, berjihad di jalan Allah hingga ke akhirnya.



Kalau ini yang diletakkan sebagai matlamat pernikahan itu, tentunya kita takkan mudah dihanyutkan dengan keinginan berkahwin awal. Persiapkan diri, wahai bakal suami untuk memimpin isterimu ke syurga, wahai bakal isteri untuk menjadi sebaik-baik simpanan suamimu, wahai bakal ibu dan bapa yang akan mendidik calon-calon pejuang Allah dan mencetak calon-calon tokoh Islam terkemuka, juga bakal anak dan ahli keluarga untuk mertua yang akan menyerikan rumahtangga dengan nur kebahagiaan.

Umar berangkat dan diikuti oleh Tsauban ra. Ia kemudian bertanya kepada Rasulullah saw, "Wahai Nabi Allah, sesungguhnya ayat ini (surah at-Taubah:34) sangat agung dan berat atas sahabat-sahabatmu."

Rasulullah saw bersabda, "Mahukah aku beritahukan kepada kamu tentang sebaik-baik simpanan seseorang? Iaitu wanita solehah yang bila suaminya memandangnya, menyenangkan suaminya. Bila suaminya memerintahkan kepadanya, ia mentaatinya. Dan bila suaminya tidak ada di tempatnya, ia memelihara kehormatannya." (Hadis riwayat Abu Daud)


وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلاَ يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ 
Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah at-Taubah:34)

Nyata, tidak sama kesediaan untuk berumahtangga dengan keinginan untuk berkahwin awal. Pagarilah keinginan dan perasaan yang beraja di jiwa dengan taqwa. Dan taqwa itu diperoleh menerusi ibadah. Sekiranya taqwa itu masih tidak mampu memelihara cinta, perbaikilah ibadah.


يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُواْ رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. (Surah al-Baqarah:21)

Akhir kalam, tidak sama hasrat untuk mengahwini dengan mencintai. Keduanya boleh hadir serentak atau sebaliknya. Juga berbeza mencintai dengan bercinta. Tidak salah mencintai sebelum berkahwin kerana cinta itu adalah fitrah yang Allah anugerahkan pada setiap individu. Namun berhati-hatilah untuk bercinta kerana dua insan bercinta mudah hanyut dengan dosa.

Berbeza juga mencintai dan menyayangi.. Tidak semestinya perlu mencintai untuk menyayangi orang-orang di sekeliling kita. Juga berbeda mencintai dan memiliki. Sedarlah, kita takkan dapat memiliki sepenuhnya orang yang kita cintai itu hingga ke akhirnya kerana dia adalah milik Allah..

p/s: Segala yang tertulis di atas digarap dari hasil pembelajaran, pembacaan dan secebis pengalaman yang Allah anugerahkan kepada saya. Perjalanan hidup saya masih jauh untuk dijadikan tauladan, namun moga ada cebisan pengalamana itu yang boleh kita jadikan renungan.

"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."

Nur Suhaila Zulkifli
Seremban.

8 comments:

smilingcat said...

;p ;p ;p great post la maksu! *thumbs up sambil kelipkelip mata*

su_zul said...

Assalam dijah!
You, naughty ex-housemate!! Ha3;p Patutla tetiba cite pasal video montaj. Cett;p

Anonymous said...

I have wanted to post something like this on my site and you have given me an idea. Cheers.

su_zul said...

Anonymous,
Thanks for the compliment!

Anonymous said...

Magnificent! (As usual. :-P )

su_zul said...

Dear my silent reader,
Thank you for the compliment:)

Anonymous said...

What if i created a blog with the same name as other blog accidentally? is that legal?

su_zul said...

Hi there! Hm, honestly I don't really mind about it. Since there will be only one Princess o Sheba owned by Nur Suhaila Zulkifli:)

Followers