Saturday, 28 February 2009

Pengakhiran dan Permulaan

Dinner A Taste Of Islam sebagai penutup Islam Awareness Week. Walaupun sepanjang minggu asyik balik lewat malam, penat yang dirasa berbaloi dengan ilmu yang dapat. Nasib baik tak dok dengan family, kalau tak, mesti kena leter dengan bonda..Ha3..

Tiada ceramah hari ini. Memandangkan hari ini sekadar eksperimen (waa!!minggu depan kena bedah cacing!!) , masa menunggu dinner digunakan untuk melepak di surau, port utama kami. Tak sangka banyak yang saya dapat hari ini. Sempat berborak dengan Niki, saudara seIslam yang baru (memeluk Islam minggu lepas). Dia akan menikah dengan tunangnya yang juga baru memeluk Islam 6 bulan lepas. SubhanaAllah..

Ingat lagi saat pertama saya berjumpa dengannya.. Sedikit pun tidak mengenali siapa orang yang membalas senyuman saya. Saya mengajak dia ke talk Idris Tawfiq. Sungguh saya tidak menyangka dia sudahkan pun menjadi seorang muslimat ketika itu. InsyaAllah, akan tiba detiknya dia akan bertudung yang akan meninggikan lagi martabatnya sebagai wanita Islam. Asas utama adalah aqidah.

Semalam, Sister Aleema mengajarnya solat. Hari ini, kami berada dalam saf solat yang sama. Sisters yang lain juga sudah memberikan bacaan dalam solat dan buku-buku yang berkaitan. Niki memberitahu, inilah minggu yang sangat indah dalam hidupnya. Tidak sedikitpun Islam itu susah baginya. Alhamdulillah..

Berusahalah, Niki! Chaiyok!! Kami sedia membantu kamu..

Sempat juga berkenalan dengan sahabat baru. Fawzia namanya. Dari Libya. Seorang lagi dari Perancis. Mersiah. Dan berteka teki dengan Mak Cik Khalil (saya tak tahu namanya..he3..). Suka-suka saya je nak bagi gelaran pada orang. Bukan apa, dia selalu berleter kat si anak kecil, Khalil. Tak sangka sungguh, Mak Cik Khalil dari Turki. Apa lagi, saya ambil peluang ini untuk sesi interview. He3..

Saya: Saya pernah menonton rancangan TV BBC berkenaan Turki. Rancangan itu jelas menunjukkan yang segelintir masyarakat Muslim di sana berburu khinzir (dan makan dengan roti), dan minum arak secara terbuka. Dan mereka tidak menganggap itu kesalahan dalam Islam. Betul ke?

Mak Cik Khalil: Sebenarnya di Turki ramai Yahudi (Jewish) yang bepura-pura menjadi Muslim. Mereka ikut solat bersama orang Muslim, dan bertudung. Sebenarnya Muslim di Turki masih betul-betul mempraktikkan ajaran Islam walaupun diancam dengan pengaruh sekularisme Kamal Attartuk.

Saya: Macam mana pula dengan pengharaman perempuan bertudung dari memasuki universiti dan bekerja di sektor awam? Masih lagi tidak berubah?

Mak Cik Khalil: Pengharaman itu masih lagi berlaku dari dulu sampai sekarang. Muslim di Turki telah berusaha menyampaikan pada kerajaan agar pengharaman ini diberhentikan tetapi terlalu ramai Yahudi (yang mengaku Islam) dan kebanyakan mereka berjawatan tinggi dalam kerajaan. Suara rakyat tidak memberi sebarang impak.

Saya: Saya sangat kagum pada struktur dan sejarah Masjid Aya Sophia. Betapa Sultan Muhammad al-Fateh, penakluk Konstantinopel(Turki) telah ‘mengIslamkan’ Gereja besar St Sophies menjadi sebuah masjid yang begitu indah.

Mak Cik Khalil: Betul.. Tapi seribu kali sayang, masjid itu kini hanya dapat menjadi muzium. Bukan lagi masjid. Kami tidak dibenarkan solat berjemaah di sana seperti pada 600 tahun yang lalu. Permohonan kami tidak diterima.

Sayang seribu kali sayang. Moga Allah kurniakan kesempatan pada saya untuk menjejakkan kaki dan bersujud pada Maha Pencipta di Masjid Aya Sophia.

Islam Awareness Week untuk tahun ini sudah berakhir. Mugkin da tak dapat jumpa Pak Cik Comel lagi yang sangat bersemangat menghadiri ceramah walaupun dia bukan Muslim dan sudah terlalu tua. Namun, bagi saya, ia adalah permulaan saya untuk menjadi sebenar-benar Muslim. Muslim yang boleh menyumbang pada agama,keluarga dan negara. (patriotik sungguh!! ^_^)

Wednesday, 25 February 2009

Erti Kalimah Syahadah

Rasanya ceramah ini yang paling ditunggu-tunggu. Mana taknya, penceramahnya bekas paderi di UK. Idris Tawfiq yang kini menjadi guru di Mesir. Jauh terbangnya demi menyampaikan keindahan Islam.

Ceramah pertamanya berkenaan kesan solat dan wuduk (ablution) pada diri yang mengundang tanda tanya seorang pendengar. Dia mempersoalkan, mana mungkin dengan membasuh muka dan tangan, dosa (dosa kecil) yang dilakukan akan dihapuskan begitu sahaja. Dengan raut wajah yang tenang, analogi gereja, biara (cloister) dan paderi diberikan Brother Idris. Sebelum memasuki gereja, paderi itu perlu melalui biara. Begitulah dengan wuduk. Sebelum melakukan solat,wuduk menjadi perantaraan(perhentian) yang wajib untuk menenangkan(membersihkan) diri.

Kelakar juga la hati melihatkan raut wajah orang putih yang bertanya tadi. Berkerut dia untuk cuba memahamkan. Bagi saya, kedamaian yang dicapai ketika wuduk sukar digambarkan dengan kata-kata. Orang itu perlu melakukannya sendiri.

Menceritakan pengalaman Br Idris mengembara mencari Islam, betapa beliau tidak tenang dalam diri walaupun menjadi paderi yang disayangi masyarakat di sekelilingnya. Beliau diberi penghormatan dalam upacara pembaptisan dan pengkebumian. Tetapi, dirasakannya semacam suatu kekosongan sehingga membuatkannya ‘down’.

Dia bukan seorang yang kaya. Jadi, Mesir dipilih sebagai destinasi menenangkan diri. Hanya £115 untuk full package (tiket kapal terbang, penginapan dan makanan). Memang sangat murah! Nak pi Mesir!!!!

Allah itu Maha Kuasa. Kedatangannya ke Mesir telah membuka matanya tentang Islam dan Muslim sebenar. Selama ini, dia belum pernah berjumpa dengan Muslim. Apa yang diketahuinya, Muslim adalah orang-orang yang akan menyembunyikan tangan daripada bersalam dengan orang dari agama lain, mencetuskan pergaduhan dan peperangan.

Namun, apabila di Mesir, beliau mengkagumi kepercayaan dan pegangan Muslim. Betapa orang-orang yang sedang duduk di gerai meninggalkan beg dan makanan mereka, betapa peniaga gerai itu meninggalkan kaunter dan wang yang tersimpan di dalamnya demi menyahut panggilan solat Jumaat. Betapa seorang budak lelaki pengilat kasut memberi ucapan sejahtera Assalamualaikum kepada beliau setiap kali beliau melintasinya..

Keindahan iman apakah yang mereka anuti sehingga mereka mempunyai keperibadian yang begitu indah.

Sekembalinya ke UK, beliau ditugaskan mengajar di sebuah sekolah tentang agama-agama dunia termasuk Islam dan Kristian. Kata beliau, itulah sekolah yang punya pelajar ternakal. Suatu hari dalam Ramadhan, sekumpulan pelajar Muslim memohon kebenarannya untuk menggunakan kelas beliau untuk solat. Memandangkan hanya kelas itu yang mempunyai karpet (sebagai sejadah) dan sinki untuk mengambil wuduk.

Atas arahan Pengetua, beliau ditugaskan memerhatikan para pelajar itu kerana dikhuatiri mereka akan mencuri karpet itu (curiga sungguh Pengetua itu..). Saban hari Brother Idris yang ketika itu masih lagi seorang Roman Katholik, merasa pelik dengan pergerakan dalam solat. Lalu beliau membaca mengenai solat dalam Internet.Lantaran sering bersama pelajar-pelajar Muslim itu juga, hatinya tertarik untuk ikut sama berpuasa.

Suatu hari, beliau berjumpa dengan Yusuf Islam (Cat Steven).
Br Idris : Apakah yang dilakukan oleh seseorang Muslim?
Br Yusuf :Kami solat.
Br Idris :Saya mengetahui cara untuk solat.
Br Yusuf (terperanjat) :Kami puasa.
Br Idris :Saya juga pernah berpuasa.
Br Yusuf (makin terkejut) :-O :Kamu sudah menjadi Muslim. Siapa yang kamu cuba perbodohkan(who are you trying to fool)?


Saat muslim yang lain sedang mendirikan solat,Br Idris memikirkan hal ini. Lantas, keputusan diambil. Br Yusuf mengajarnya kalimah syahadah. Ketika Br Idris melafazkan kalimah syahadah itu di hadapan kami, beliau menangis. Namun,bak kata beliau:

“I’m not ashame at all to cry in front of you all. Nothing to be ashamed and to be hidden in Islam. Islam is beautiful, gentle and sweet. ”

Saat itu, saya muhasabah diri semula. Sejauh mana hati kita tersentuh dengan lafaz itu. Sejauh mana langkah kaki kita saban hari mengikut arah yang telah ditetapkanNya.

Wallah hu alam.

Sumber: nota

Tuesday, 24 February 2009

Antara Agama Dan Budaya

Hari kedua Islam Awareness Week.. Memandangkan hari ini cuma ada eksperimen mengira Esterichia Coli yang membiak dalam piring petri (mujur tak banyak sangat yang hidup,kalau tak puas den nak mengiro..he3), dapat juga saya hadir ke ceramah pada sesi tengahari.

Dengar tajuk pun memang panas. Me, Myself and Islam:Does Islam Oppress It's Women? Ramai juga orang bukan Muslim yang hadir. Mungkin kerana kebebasan bersuara dan beragama di sini. Tambah lagi, memang ceramah ini ditujukan khas untuk orang bukan Muslim bagi memperbetulkan salah faham mereka terhadap kedudukan wanita dalam Islam.

Seorang pendengar (orang bukan Muslim) mengakui kedudukan wanita sangat tinggi di sisi Islam. Tiada agama lain yang pernah menggambarkan betapa mulianya wanita dalam Islam. Ada agama yang langsung tidak menyebutkan sedikit pun tentang wanita. Dia kata.. Namun, baginya itu pada 1400 tahun yang lalu. Kini tidak lagi..

Tatkala penceramah, Rajnaara Akhtar, bertanya pada audiens adakah Islam menindas kaum wanita, seorang kaum Adam di dalam dewan kuliah itu menegaskan, lelaki itu yang menindas wanitanya. Adakalanya, budaya dan tingkah laku seseorang seringkali disalahtafsirkan sebagai amalan dalam Islam. Senang cerita, jika seorang Muslim membunuh, yang akan terpalit tompok hitam tentulah pada nama Islam itu.

3 topik yang menjadi perdebatan hangat. Hijab, pewarisan harta dan poligami. Memang wajar seseorang wanita itu menerima 1/3 dari tinggalan harta kerana dia tidak perlu menanggung mana-mana ahli keluarganya yang perempuan. Harta 1/3 itu 100% dia yang empunya. Tetapi lelaki tidak..

Bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua anak perempuan. (Surah An-nisa’:11)

Poligami (ehem.. tak mahu cerita panjang- takut kalau Allah uji saya berdasarkan apa yang saya cakap..) hanya dibenarkan jika seseorang lelaki itu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Sejarah poligami itu sendiri berlaku setelah perang Uhud tatkala ramai mujahidin yang terbunuh dan meninggalkan anak-anak dan isteri tanpa penjagaan. Berpoligami untuk menjaga kebajikan wanita, bukan untuk memnuhi tuntutan fizikal.

“The most perfect believers are the best in conduct and the best of you are the best to their wives.” (Riwayat Tirmidhi)

Terpegun dengan semangat seorang pak cik tua (Pak Cik Comel) yang sudah bongkok badannya,namun masih mampu berdiri untuk bertanya soalan tentang talak 3 (berdasarkan pembacaannya dalam hadis@Al-Quran, tak ingat). Memandangkan dia bukan Muslim, sudah tentu cara untuk rujuk semula dalam kes talak 3 agak memeningkan kepala. Memang tabik spring pada para penanya soalan pada sesi akhir ceramah, walaupun mereka bukan Muslim, tetapi telah membaca hadis, dalil Allah dalam Al-Quran dan melalui kajian. Bagaimana dengan kita? Alangkah baiknya jika kita dapat mendalami agama mereka untuk memantapkan aqidah kita.

Sementara menunggu ceramah Live Healthy, Live Happy, Live Islam pada pukul 6, sempat juga saya melawat ke pameran Islam Awareness Week di Atrium, Portland. Alangkah banyaknya ilmu tentang Islam yang saya tidak tahu secara mendalam. Perang dalam Islam, keajaiban Al-Quran dan sains dalam Islam.

Setelah memberi makan itik-itik dengan roti dan epal yang sudah tidak segar (tapi takdela sampai da tumbuh fungi@kulat k..) di Lake Side, berjalan jauh juga la ke Queen’s Medical School(QMC) untuk ceramah itu.

Huh, penat juga la tangan ni menyalin dalail-dalil dan hadis-hadis yang berkaitan yang menyuruh kita menjaga kesihatan, makan makanan yang sihat, dan menjalani cara hidup sihat. Tertarik dengan sebuah hadis:

Rasulullah menziarahi seorang yang sakit. Baginda berkata, “Panggillah tabib untuk mengubatinya.” Salah seorang yang hadir sama merasa hairan. “Sedangkan engkau pun berkata begitu, ya Rasulullah?” (Hadis riwayat Bukhari)

Betapa konsep usaha sangat penting dalam Islam. Dr Aisha Janjua menegaskan, walaupun doktor yang merawat pesakit, tetapi yang berkuasa menyembuhkan hanyalah Allah.

Dari Abu Hurairah: Allah tidak mendatangkan suatu penyakit kecuali ada ubat telah diciptakanNya untuk penyakit itu. (Sahih Bukhari)

Sumber: nota dan persembahan Power Point penceramah

Friday, 20 February 2009

Aku Bukan Penulis

Sekadar menaipkan kata-kata dengan niat untuk berkongsi setiap pengalaman yang ditimba dan akan ditimba untuk para sahabat dan bakal sahabat.

Menyedari ilmu yang ada bukannya untuk manfaat diri semata-mata. Keindahan Islam yang terpancar bukan untuk dinikmati seorang diri. Namun untuk dikongsi umpama cahaya matahari yang tidak malap sedikit pun walaupun sinarannya tersebar ke serata alam.

Ingin berkongsi suka duka hidup di perantauan kerana semua kita adalah musafir. Masih dalam pelayaran sebelum ketemu perhentian abadi. Apa yang baik, jadikan tauladan. Dan yang buruk, jadikan sempadan.

Salam ukhuwah fillah.

Sang Pengembara

Assalamualaikum wbt dan salam perpaduan.

Anak sulung kepada ayah dan bonda. Punya 4 orang adik. Belajar ABC dan 123 dengan bonda, seterusnya mendapat pendidikan awal di Tadika Kemas Kg. Gelam.

Bersekolah di SK Kg. Gelam, Port Dickson ; SMK Dato Hj Abd Samad, Port Dickson ; dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya . Seterusnya ke Kolej Matrikulasi Melaka, Masjid Tanah. Kini merupakan pelajar Tahun Pertama Biology di University of Nottingham, Nottingham, di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Followers