Wednesday, 15 September 2010

Apa Yang Kau Cari?

Salah satu pengisian dari Ustaz Hasrizal sewaktu WOW 2010. Diabadikan dalam bentuk tulisan oleh seorang sahabat.

Kalaulah..
"Macam mana saya nak baik, kalau suami saya jenis manusia macam tu?", keluh seorang isteri.

"Saya faham Insya Allah, tentang apa yang ustaz cakap. Tapi isteri saya yang masalahnya. Ustaz tak ada buat kursus untuk isteri-isteri?", kata seorang suami.

"Apa yang ustaz cakap tu betul. Tapi kami orang bawah nak buat macam mana? Teori graviti bukankah atas ke bawah? Orang atas yang kena dengar benda-benda ni", keluh kerani-kerani dari sebuah bank.

"Saya rasa puas hati betul dengan huraian ustaz. Kami di bahagian pengurusan faham Insya Allah. Alangkah baiknya kalau orang bawah faham benda-benda ini. Sebab mereka yang nak buat kerja-kerja itu nanti", kata bos-bos yang berkursus.

Itulah nada-nada biasa yang saya dengar setiap kali mengendalikan kursus. Semua orang meletakkan syarat perubahan pada orang lain. Pada seseorang dan sesuatu yang dia tidak boleh ubah.

Walaupun suami ke atas isteri, bos ke atas pekerja, kita hanya mampu menarik kuda ke sungai, tetapi minum atau tidak, tiada siapa yang boleh memaksanya. Tetapi, itulah yang kita suka harapkan. Harapkan orang berubah supaya kita berubah.

Susahlah begini.

Ini falsafah bangau. Sentiasa menyalahkan pihak lain.

BANGAU OH BANGAU
Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul.
Ikan oh ikan kenapa tak mahu timbul?
Macam mana aku nak timbul, rumput panjang sangat.
Rumput oh rumput, kenapa panjang sangat?
Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku.
Kerbau oh kerbau, kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan, perut aku sakit.
Perut oh perut, kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah.
Nasi oh nasi, mengapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah, kayu api basah.
Kayu oh kayu mengapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah, hujan melimpah turun.
Hujan oh hujan, mengapa engkau turun?
Macam mana aku tak turun, katak panggil aku.
Katak oh katak kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil, ular nak makan aku.
Ular oh ular, kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan, MEMANG MAKANAN AKU.

Ya, mujurlah ular berhenti menyalahkan orang lain. Jika ular masih mencari alasan, mungkin nama anda pun akan ada dalam lagu ini. Pelbagai isu akan terlibat.

Globalisasi, dasar kerajaan, Orientalis, jiran, bapa mertua? Siapa lagi dalam senarai pihak yang ingin kita salahkan?

Lihat, apabila ular mula mengambil tanggungjawab terhadap AKU iaitu dirinya sendiri, selesai polemik dan masalah di hutan.

Ya, masalah boleh menampakkan penyelesaian apabila anda akan mula bercakap tentang AKU, iaitu diri anda, diri saya, diri masing-masing.

Erti Proaktif
Inilah namanya PRO AKTIF.

Proaktif bermaksud, mengambil kawalan dan tanggungjawab ke atas diri kita sendiri. Kita tidak meletakkan kualiti hidup kita atas sesuatu yang kita tidak boleh kawal.

"Ana tak boleh buat apa-apa, kalau jalan jem macam ini, memang ana jadi kaki mencarut punya", kata seorang pemandu di Kuala Lumpur. Susahlah begitu. Mungkin dia kena pindah ke Kampung Bongek, baru boleh berhenti mencarut.

"Kalau cuaca gloomy macam ini, saya memang depressed", kata seorang pelajar di Galway, Ireland.
Emm, dia sudah tersalah memilih tempat belajar. Sepatutnya dia memilih untuk belajar di Tha'if, Arab Saudi, atau di Burkina Faso. Barulah cuaca cerah sentiasa.

Kenyataan-kenyataan seperti ini, adalah seperti meletakkan remote controller kehidupan kita di pihak lain. Kita gembira atau sedih, kita bahagia atau derita, semua ditentukan oleh orang lain.

Cuaca yang akan menentukan mood kita.
Ibu bapa yang akan menentukan saya boleh jadi ibu atau bapa yang baik.
Bursa Saham sahaja yang boleh menentukan tahap senyum dan bahagia saya.

Oh, kehidupan seperti ini adalah kehidupan reaktif. Kita tiada upaya untuk memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Kita hanya mampu memberi reaksi.

Hidup begini, adalah hidup yang rumit lagi sulit. Masakan tidak, jika ujian kehidupan menentukan kebahagiaann diri, mampukah kita mencari sebuah kehidupan yang bebas dari ujian?

Berhentilah daripada mencari unsur luar, kerana semua itu ada dalam dirimu. Mahu bahagia atau derita, pilih sendiri. Mahu menafsirkan ujian sebagai kaffarah dari Allah, peluang untuk diperbaiki dan memperbaiki, atau mahu menafsirkannya sebagai bala bencana penyebab derita lagi sengsara, atau mahu menafsirkannya dengan gaya si luncai yang AKU TIDAK PEDULISMA, anda pilih sendiri.

Mulakanlah perubahan dengan mengubah diri sendiri. Warnakan alam dengan pandangan anda sendiri.

Mencari Atau Menjadi?
"Saya sedar saya tidaklah sehebat Fatimah, sebab itu saya perlukan suami yang soleh seperti Ali untuk membimbing saya", kata seorang mahasiswi.

"Ana memang tidak sebagus Ali, sebab itu ana kena pilih isteri yang sempurna macam Fatimah. Ana tak mampu nak memFatimahkan seorang yang tidak Fatimah!", tegas seorang mahasiswa.

Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya?
Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya?

Kita bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk dalam suasana usrah. Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah kita mengekalkan isteri kita para benchmark solehah seperti itu di sepanjang alam rumah tangga? Dia mungkin akan diubah oleh suasana kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga, dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia mungkin berubah kerana dia memang berubah.

Maka mampukah kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak buat, jadi atau tidak jadi?

Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah menjadi raksasa!

Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan.

Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.

Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah... kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan ‘itu' walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya.

Apa yang nak dibimbangkan, kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI.

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam. 


Nur Suhaila Zulkifli 
Nottingham.

No comments:

Followers