Tuesday, 27 July 2010

Nak Salam, Boleh?

Merasakan ada eloknya jika saya menjelaskan lebih lanjut berkenaan isu di bawah. Bukan kerana merasakan diri sudah tinggi ilmu untuk menjelaskan berkenaan tentang hukum, namun ada secebis ilmu tentang fiqh ini yang ingin saya kongsikan.


Hukum Berjabat Tangan Dengan Wanita Ajnabi


Keputusan:


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6 - 8 September 2007 telah membincangkan Hukum Berjabat Tangan Dengan Wanita Ajnabi. Muzakarah telah memutuskan bahawa pada prinsipnya hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi adalah haram. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu yang sukar dielakkan, ianya dibolehkan tetapi dalam keadaan terkawal supaya tidak dijadikan budaya dalam masyarakat Islam.


Pada prinsipnya hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi adalah haram. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu yang sukar dielakkan, ianya dibolehkan tetapi dalam keadaan terkawal supaya tidak dijadikan budaya dalam masyarakat Islam.



Berdasarkan apa yang diberitahu oleh UZAR sewaktu PUISI 08..

Berjabat tangan, memang haram dengan yang bukan mahram (perlu berhati-hati penggunaan mahram dan muhrim). Ajnabi dalam bahasa Hindi maksudnya orang asing, yakni yang bukan mahram. :P


Ada rukhsah(keringanan) dari hasil ijtihad tu.. Yakni, hasil perdebatan yang telah mereka putuskan. Tapi jangan sampai kita mempermudahkan.


Keadaan tertentu yang sukar dielakkan- cth, jika mahu mendapatkan cap jari etc.. Situasi yang membolehkan contohnya doktor yang perlu merawat pesakit. Suka untuk saya ambil isu yang lebih besar, bersentuhan dengan lelaki ajnabi.


Tentunya kita akan dapat kenal pasti keadaan bagaimana yang menyebabkan kita sukar mengelakkan diri dari bersentuhan dengan mereka. Contohnya, jika sehingga menimbulkan fitnah pada diri kita, contohnya tak bersalam dengan saudara mara (biras dan ipar duai). Tapi hal ini, berbeza ikut individu. Jika kita tidak akan menghadapi masalah jika tidak bersalam, mengapa perlu bersalam.


Situasi yang tak dapat dielakkan


Mungkin kalau dalam situasi saya, tiba-tiba kawan lelaki orang putih, hulurkan tangan nak bersalam. Kalau ikutkan memang perlu dielak.. Kalau boleh elak, kita elak. Dengan terangkan pada mereka, yang muslimah tak boleh bersalam dengan yang ajnabi.


Pernah saya berjumpa dengan seorang lelaki British yang datang ke gerai pameran Isoc (Islamic Society) dan bertanya pada saya tentang Islam. Lama juga diskusi kami. Dalam 30min gitu.. Tak lama selepas itu, dia mahu mengundurkan diri dan menghulurkan tangan tanda salam perkenalan. Saya menolak dan memberitahu tak boleh bersalam dengannya. Sebab Islam tak benarkan. Saya cuma sempat terangkan sedikit memandangkan dia pun kelihatan tergesa-gesa mahu pergi.


Dua tiga minggu selepas itu, kami bertemu lagi.. Pertemuan yang diatur, lantaran kesungguhannya mahu tahu tentang Islam. Bukan berdua, tapi bertiga. Dan saya sudah mengagak, salah satu soalannya, kenapa saya tak bersalam dengan dia dulu. Saya beritahu, kalau dia boleh bersalaman dengan saya, maksudnya dia boleh sentuh saya dan mestilah tak wujud batas untuk sentuh kan..


Macam aurat juga.. Muslimat perlu tutup aurat. Bukan sekadar rambut, bukan sekadar kaki. Kalau sekadar tutup rambut, leher boleh dibuka. Dan sampai paras mana, dada akan ditutup? Memandangkan atas dada(bawah leher) akan terdedah sama. Itu sebabnya Islam letakkan garis panduan yang senang dan jelas. Boleh buka wajah dan telapak tangan sahaja..


Itu bila kita berdepan dengan golongan bukan muslim, yang tak faham apa yang boleh dan tidak boleh dalam Islam. Hikmahnya, kita boleh perkenalkan tentang Islam pada mereka. Bantu mereka daripada berprasangka buruk pada ajaran Islam. Jadi, sewajibnya isu "tak tahu tak boleh sentuh", tak wujud dalam kalangan yang Muslim.


"Alamak, you tersentuh tangan saya la.. Kena ambil wudhuk semula.." keluh saya.. A, sahabat lelaki yang berbangsa Cina tersentuh hujung jari waktu membantu mengemaskan tempat jualan beg tempat saya bekerja.. Kalau ikutkan, wudhuk itu sebolehnya mahu dijaga agar boleh terus menunaikan solat Zohor, walaupun bukan pada waktu rehat.


"Eh kenapa meh? Tak boleh aa?" soal A.


"Memang la tak boleh sentuh lelaki perempuan dalam Islam. Kalau you ada air sembahyang, untuk sembahyang, akan batal.. Maksudnya you kena ambil air sembahyang yang baru.." terang akak sambil menjawab soalan ringkasnya dengan frasa air sembahyang dan batal yang mungkin agak asing baginya.


"Oo.. sorry..sorry.." A meminta maaf. Kami sebaya dan sama-sama bekerja sambilan di pasaraya itu sementara menanti keputusan SPM.


"Tak apa.. Ok je untuk ambil air sembahyang yang baru, cuma leceh sikit, sebab kena pergi tandas. Nanti supervisor bising, saya asyik hilang dari stall je.. You faham kan.."


Menjadi promoter barangan promosi di pasaraya lebih meletihkan kerana kita perlu menyusun barang-barang sewaktu pasaraya dibuka awal pagi dan menyimpannya sewaktu pasaraya mahu ditutup. Apatah lagi jika beg tangan dan dompet kulit yang mudah dicuri. Sahabat-sahabatlah yang menolong. Dan sudah pasti, dalam bekerja menyusun dan menyimpan, ada ketika, berlaga tangan. Tambah lagi, waktu itu, Islam belum meresap penuh dalam hati.


"Eh, saya tersentuh tangan you. Kenapa you tak cakap pape pun?" tegur A sewaktu kami membentangkan plastik penutup tempat jualan saya. Jam sudah menunjukkan pukul 9.45 malam. Pengunjung pasaraya juga sudah mula beransur pulang.


"Oo..sebab saya tak de wudhuk. Lagipun, kan kita sudah mahu pulang? Memang la tak boleh sentuh, tapi tersentuh. Saya pun tak perasan tadi." Saya senyum dan bangga kerana dia sudah mempraktikkan apa yang perlu dipelajari dalam kehidupan.


Dalam keadaan terkawal


Tidak boleh jika kita bersalam jika dalam hati, ada penyakit hati iaitu zina hati. Mahu menyentuh tangan orang yang kita punya keinginan. Itu memang haram.


Beza bukan, bersalaman dengan kekasih hati dan bersalam dengan wakil rakyat? :)

Bila kita bersalam atau menyentuh orang yang kita ada keinginan padanya, semacam ada aliran elektrik kan? Allah sudah cipta lelaki perempuan itu umpama magnet. Yang berbeza kutub itulah, yang saling menarik satu sama lain.


Amal Dinilai Atas Diri Kita


Saya nak tekankan kat sini, apa pun ijtihad yang dikeluarkan, kita akan dinilai dan dihukum berdasarkan amalan kita. Jangan ikut orang, mereka bersalam dengan ajnabi, kita pun bersalam juga. Usahakan agar perkara itu dapat dielakkan. Ingat, buku amalan kita, masing-masing yang punya.


Ulama yang berijtihad, iaitu mujtahid, mereka beroleh dua kebaikan jika ijtihad mereka betul di sisi Allah. Dan jika ijtihad itu tidak betul, mereka beroleh satu kebaikan.. Dan kita, orang yang bertaklid, jangan sekadar mengikut tanpa mengetahui punca. :)


WaAllahu 'alam.


Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli
Port Dickson.

Wednesday, 7 July 2010

Hangat-Hangat Tahi Ayam?

Artikel dari Ustaz Pahrol yang dipanjangkan oleh seorang sahabat.

***
Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.

"Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional."

Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.

"Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang."

Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.

"Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk."

Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, "saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi."

"Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni."

"Kenapa Pak Cik?"
"Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni."
"Pak Cik hisap rokok apa?" saya mula teruja untuk berbual.
"Masih Winston. Dah sebati sejak dulu."
"Winston from America?" bisik saya perlahan.
Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.

"Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?" kilasnya mengalih arah perbualan.

"Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu," tegas saya.
"Apa dia?"
"Solat Subuh berjemaah."

"Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat." Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.
"Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati."
"Kita mesti sanggup memikul senjata."

"Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh."
"Saya tak faham."
"Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka."
"Apa yang menyakitkan mereka?"

"Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri."

"Jadi?"

"Sebaik-baik `demonstrasi' ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain."

Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak Cuik tersebut dengan senyuman.

"Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?"

"Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!"

"Awak sindir saya?"
"Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak."
"Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!"
Lagi-lagi ke situ fikirnya.

"Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka."
"Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?"

"Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?"
"Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam."
"Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam."
"Contoh?"

"Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis."

Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, "mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?"
"Ketiga-tiga isme itu sama."
"Sama?"
"Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!"

"Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?"
Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
"Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan `genuine'."
"Misalnya?"

"Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran."
"Lagi?"
"Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam erti kata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!"
"Lagi?"

"Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh `berdemonstrasi hari-hari' terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood."
"Idola Amerika?"
"Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah."

Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.
"Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?" kata saya seakan-akan merayu.
"Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin."

"Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci."

"Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari."

"Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? "

"Eh, kami yang demonstrasi semua solat…"

"Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?"

Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?

Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!

Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:

"Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka."

Dan alangkah baiknya jika jeritan Allah hu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus `mengecilkan' pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?

Renung dan insafi diri kita sejauh mana kita mengambil berat akan kepedulian kita terhadap saudara kita yang terus-menerus dihimpit oleh zionis laknatullah.

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli
Port Dickson.

Tuesday, 6 July 2010

DIA : A Flashback

3 hari 2 malam berkampung di Sungai Congkak, Hulu Langat cukup menginsafkan diri, betapa mewahnya program yang pernah saya ikuti sebelum ini. Risau pada mulanya memikirkan komen para peserta dalam borang muhasabah berkenaan tempat penginapan. Namun, hasil perbualan dengan para sahabat yang baru dikenali, mereka sudah biasa berprogram di tempat sebegini. MasyaAllah.. Nyata, ini menguatkan lagi kekaguman saya pada para daei dan aktivis tanah air yang berdepan cabaran ketidakselesaan dan masalah kewangan.

“Pernah akak ke program di negeri yang lain dengan hanya bekal saku berjumlah RM3.00. Risau juga kerana tangki minyak motor tu perlu diisi sebab berjalan jauh. Namun, akak tawakal. SubhanaAllah, pergi dan balik, sikit pun RM3.00 tak digunakan. Malah, tangki minyak sikit pun tak luak.. " cerita seorang aktivis GAMIS yang saya temui beberapa kali tahun lepas.

Rise of The Fallen

Apa yang saya boleh konklusikan tentang DIA (Dakwah Is Amazing) adalah DIA membawa misi mahu membina kembali semangat pemuda untuk bangkit mempertahankan Islam. Benar, itu penyakit umat Islam sekarang. Bijaknya musuh Islam, mereka menyerang ‘jantung’ umat Islam ini agar hanyut dengan hedonisme (hiburan) dan gejala sosial yang melampau. Hingga golongan pemuda ini lupa dengan peranan mereka menegakkan kembali Islam, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Sultan Muhamad Al-Fateh, Tariq bin Ziyad, Salahuddin al-Ayubi dan ramai lagi pemuda pejuang agama Allah yang tidak gentar menjulang panji Islam.

Kini pemuda kita lesu. Air mata mengalir bukan kerana sedih tidak bisa berbuat apa-apa bila tubuh kecil bayi di Palestin ditebuk dengan peluru. Namun, air mata pemuda kini menitis kerana ditinggalkan kekasih, kerana peserta realiti TV kegemaran disingkirkan, kerana keinginan memiliki harta dunia tidak dipenuhi. Jiwa membara pemuda kita kini dipenuhi perkara yang membakar jasadnya. Yang memenuhi populasi umat Islam kini, bukanlah pemuda harapan bangsa, tonggak tiang agama, namun hanya debu. Yang mencemarkan alam di tempat ia singgah.

25 Jun 2010
Taaruf dan Anjakan Paradigma


DIA dimulakan dengan LDK (latihan dalam kumpulan) taaruf dan permainan Mafia. Kumpulan saya, the No. 1 rata-ratanya terdiri daripada pelajar UIA dari Gombak dan Kuantan, kecuali Fatin dari Galway. Hebat promosi Kelab Ma’ruf ni. Mujur diterangkan awal-awal, umur saya 21 tahun, lantaran mereka ingatkan mahu panggil saya ‘Kak’.. ‘Muka matang,’ kata mereka.

Permainan mafia bertujuan mahu mendedahkan kepada para peserta, tiga pilihan yang mereka ada di atas dunia. Menjadi polis, penjenayah atau orang awam. Polis jika kita mahu menjalankan amar makruf nahi mungkar dan menyelamatkan orang awam dari dibunuh penjenayah. Penjenayah jika kita mahu berbuat perkara yang dilarang Allah atau menjadi orang awam yang menyelamatkan diri masing-masing, namun lama-kelamaan bakal terbunuh juga andai penjenayah tidak dapat ditangkap.

Sedikit pun Allah tidak memberitahu apa yang berlaku ke atas golongan yang hanya memeluk tubuh, menjaga iman sendiri tanpa menyeru pada kebaikan dan mencegah orang lain dari kemungkaran.

Dan ingatlah ketika suatu umat di antara mereka berkata, “Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?” Mereka menjawab, “Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada TuhanMu dan agar mereka bertaqwa.”

Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang orang berbuat jahat dan Kami timpakan pada orang-orang yang zalim seksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik. (Surah Al-A’raf: 164-165)

Rise!

Slot ceramah dirasmikan oleh Imran Koyube dengan pengisian bercorak motivasi. Bekerja rapat dengan ESQ Training, nyata Im bijak menyentuh hati para pendengar dengan pelbagai nas Al-Quran, kata-kata cendekiawan, mahupun video menarik.

Cerita Im sewaktu beliau bertanya pada Ustaz Hasrizal, “Mengapa kebanyakan kita semangat buat kerja dakwah sewaktu di universiti, namun selepas tamat belajar,senyap?” UHAJ menjawab, “kerana mereka tidak passion (kesungguhan).”

Jika mahukan sesuatu, kita perlu bersungguh-sungguh melaksanakannya. Bermujahadah untuk mencapai misi menyampaikan keindahan Islam, dalam erti kata lain, berdakwah.
Kita diciptakan ke dunia atas dua tujuan, menjadi hamba padaNya dan menjadi khalifah di atas muka bumi. Setiap dari kita adalah pemimpin tanpa nama, tanpa jawatan. Paling tidak, memimpin diri sendiri. “Leadership develops daily, not in a day.”

Seorang pemimpin itu bukan bererti dia yang perlu melaksanakan semua kerja, sebaliknya perlu memberi kepercayaan pada orang lain untuk membantu pemimpin itu melaksanakan tugasnya. “Only secure leaders give power to others.”

Jadikan setiap kejayaan yang kita kecapi sebagai momentum untuk kita terus ke depan, mencipta kejayaan yang lebih besar. Seperti Pixar yang menghasilkan filem animasi Toys (apa ntah,lupa nama :P). ‘Ciptaan’ pertama itu memandu mereka menghasilkan pelbagai filem lain yang hebat-hebat.

Dalam memandu ke arah kejayaan, si pemandu perlukan ‘co-driver’ untuk memberi sokongan. Tiada manusia boleh berdepan cabaran sendirian tanpa rasa putus asa menariknya agar terus ke belakang. Percayalah pada impian yang kita mahu capai. Percayalah pada janji Rasulullah yang akan tertegak kembali sistem khilafah di atas manhaj kenabian.

Daripada an-Nu'man bin Basyir, beliau berkata, suatu hari kami duduk-duduk di masjid Rasulullah S.A.W. Basyir (bin Saad) adalah seorang yang tidak banyak bercakap. Lalu datang Abu Tsa'labah dan beliau berkata, wahai Basyir bin Saad, apakah kamu menghafal Hadith Rasulullah S.A.W tentang kepimpinan (al-Umara')? Lalu Hudzaifah berkata, aku menghafal khutbah Baginda S.A.W. Lantas Abu Tsa'labah al-Khashniyy duduk dan Huzaifah berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

"Kenabian akan berada bersamamu selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian akan tiba pula zaman Khalifah di atas Manhaj Kenabian selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian datang pula zaman raja yang menggigit (Malikun 'Aadhon) selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Selepas itu muncul pula zaman raja yang diktator (Malikun Jabriyyah) selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian akan hadir pula zaman Khilafah di atas manhaj Kenabian.." (HR.Ahmad dari Nu’man bin Basyir, Musnad Ahmad:IV/273, Al-Baihaqi, Misykatul Mashobih hal 461. Lafadz Ahmad).


26 Jun 2010
Tahajud Cinta


Pagi saya dikejutkan dengan keriuhan adik-adik bersekolah rendah yang turut menjalani program motivasi di kem yang sama. Pukul berapalah agaknya mereka ini bangun. Sebab pukul 5 pagi, suara sudah hilang seraknya dan zikir sentiasa dialunkan sepanjang waktu. Sedangkan waktu kami lelapkan mata pukul 1 pagi, mereka masih lagi ada pengisian. MasyaAllah, kecil-kecil sudah mengenal tahajud.

Meskipun tidak seawal adik-adik kecil bangun, kami menikmati munajat cinta kami secara berjemaah. Tahajud, solat yang amat sukar digambarkan dengan kata-kata nikmatnya bila dilaksanakan. Rasa rindu pasti timbul andai tahajud ditinggalkan. Tahajud, lambang keutuhan pejuang agama Allah.

The Fallen

Telah saya ingatkan kepada ahli kumpulan saya, bakal pemberi ceramah selepas ini bukan calang-calang orang. Mas Afzal mengetengahkan sirah dan sejarah Islam. Sejarah yang pernah sahaja kita dengar suatu ketika dahulu. Namun, semua orang tahu, waktu itu kita belajar hanya untuk peperiksaan. Habis sahaja kertas Pendidikan Islam dipungut penjaga dewan, ilmu yang seharusnya menimbulkan rasa izzah (mulia) kita sebagai muslim berterbangan keluar dari minda.

Kata Imam Abu Al-Qasim Al-Junaid:“Sejarah merupakan salah satu tentera Allah yang akan menguatkan hati…”

Kisah Nabi Nuh, rasul pertama dan kegigihan baginda menyeru umatnya kembali kepada Islam yang benar selama 950 tahun, hinggalah kebangkitan gerakan Islam yang muncul selepas kejatuhan Turki Uthmaniyah. Segalanya diceritakan secara terperinci oleh Mas Afzal. Pengisian agak berat, namun lebih berat kewajiban yang tergalas di atas bahu kita sekarang, untuk mereka yang mengerti.

Eksplorasi Dakwah

“Ha? Biar betul, kena berdakwah pada orang yang datang berkelah?!” air muka peserta terus berubah bila mendengar mereka perlu mendekati pengunjung Sungai Congkak. Mulanya, mereka merasai sendiri apa itu baiah (perjanjian taat setia) dan betapa pentingnya baiah dipatuhi.

“ Anggaplah kita berkongsi pengetahuan kita tentang Islam. Kalau mindset kita masih kata itu sukar, kita jadikan ia slot memberi motivasi. Motivasi itu pun cabang Islam kan..” kata saya cuba menyakinkan mereka.

Baru 5 minit dilepaskan, kami para fasilitator terpana. Hampir setiap keluarga yang datang berkelah ada peserta DIA yang duduk bersama mereka. Rancak berbual. Siap ada yang dapat rasa jamuan percuma.

“Alhamdulillah, kita ingatkan susah mereka nak dekati orang yang datang berkelah, rupanya mereka dapat laksanakan tugas dengan mudah,” bisik kami sesama sendiri.

Selepas sejam berdakwah (atau didakwahkan oleh pengunjung yang lebih ‘arif’ :P), peserta kemudian melalui pengembaraan meredah hutan belantara dengan cabaran-cabaran menanti. Selepas melalui cabaran terakhir, para peserta kemudian mengambil wudhuk dengan sebotol air 500ml untuk setiap kumpulan. Kemudian, laungan azan dilaungkan di tengah hutan menandakan mereka akan solat Zohor di situ. MasyaAllah, tiada sedikit pun omelan saya dengar dari para peserta.

Sambil berjalan kembali ke kem, kayu kering dipungut untuk unggun api malam ini. Pulang ke kem, masing-masing keletihan. 1 jam setengah rehat. Namun, saya dengar, ada peserta tidak melepaskan peluang mandi sungai. Ish.. Ish.. Ish..

LDK The Fallen

Permainan lagi! Bukan sekadar bermain, namun ada pengajaran dan input yang besar harapan dapat diserap ke dalam minda peserta. Paling tidak, kita dapat tahu apa sikap yang tidak seharusnya ada dalam diri kita. Sikap yang hari-hari kita jumpa, namun sejauh mana kita perangi sikap seperti berprasangka buruk, marah dan ego.

LDK Transformers

Kalau satu pancaindera ‘dihilangkan’, itu biasa. Namun, bagaimana jika anda hanya boleh memilih salah satu sahaja, mahu terus mendengar, atau bercakap, atau melihat atau mempunyai tangan ? Pilih satu dan pancaindera yang lain akan ‘dihilangkan’ sementara waktu. Kalau yang boleh bercakap, dia sebenarnya bisu, kudung dan pekak. Bukan kena duduk diam, sebaliknya mewakili kumpulan sebagai duta untuk bertukar maklumat rahsia.

Susah dan lucu. Macam-macam kerenah. Ada yang melakar kod dengan kaki, ada yang ‘mengukir’ badan kawan dengan kod. Kekurangan itu bukan penghalang untuk semua kumpulan beroleh jawapan. Bila kita memikirkan tentang kekurangan dan kecacatan yang kita ada, kita takkan ke mana. Apa yang perlu diambil manfaat adalah kelebihan yang kita ada. Apa pun, perancangan yang berstrategi itu perlu sebelum kita mengorak langkah.

Transformers

Mahu terus menjadi golongan yang jatuh atau bangkit menuntut pembelaan? Mahu bangkit tapi tidak tahu cara? Mahu bersama membina kembali khilafah Islamiyah? Bagaimana? Dengan memahami maratib amal dengan pembentukan individu muslim, namun dalam masa yang sama, berusaha ke arah pembentukan keluarga muslim, masyarakat muslim, negara Islam, kerajaan Islam, empayar Islam seterusnya ustazyatul alam.

Mas Afzal memanjangkan saranan Imam Hassan al-Banna untuk membentuk individu Muslim, iaitu melalui 10 muwafasat tarbiyah; aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, akhlak yang mapan,teratur dalam segala urusan, menjaga waktu, mampu berdikari, berpengetahuan luas, sihat tubuh badan, memberi manfaat pada orang lain dan mampu melawan hawa nafsu. Dalam masa yang sama, kukuhkan aqidah dan iman dengan mutaba’ah amal dengan menambahkan kualiti ibadah sunat dalam bentuk jadual yang teratur.

Camp Fire

Sesi berkongsi pengalaman sepanjang berdakwah pada pengunjung Sungai Congkak dan sedikit penceritaan cebisan pengalaman oleh orang ‘lama’.. Relaks dan memang sempoi. Tambah-tambah lagi ada orang yang rajin menyiram api yang membakar dengan minyak tanah. Aish..

27 Jun 2010
The Challenge


Cabaran adalah sunnatullah. Datangnya ujian adalah hikmah untuk membezakan orang yang benar dan orang yang berdusta. Juga sebagai satu bentuk pembersihan diri untuk seorang daie. Cabaran juga menjadi penapis agar hanya yang orang yang kukuh imannya terlibat dalam gerakan Islam.

‘Dan sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang berdusta.’ (Surah al-Ankabut: 3)

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Surah Al-Baqarah:155)

Cabaran ketakutan, kesempitan kewangan, masalah akademik, cabaran yang dihadapi dari keluarga mahupun pasangan hidup, persekitaran yang tidak sesuai, fitnah, ‘kelemasan’ dengan kerja dakwah, semua ini adalah cabaran biasa seorang daie. Dan ketahuilah bukan kita orang yang pertama melaluinya malah, ramai telah mengharunginya dengan jaya.

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya. (surah Al-Anfal, ayat 30)

Seperti yang disebut oleh Allahyarham Fathi Yakan, cabaran dalam dakwah datang dalam bentuk orang mukmin yang dengki padanya dan orang munafik yang menaburkan fitnah.

Bara yang Panas Membara

Pengisian DIA ditutup dengan kata motivasi dipetik dari ayat Al-Quran.

‘Sekiranya yang kamu serukan kepada mereka ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah, “ Jikalau kami sanggup, nescaya kami berangkat bersamamu.” Mereka membinasakan diri sendiri dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.’ (Surah at-taubah:42)

Mahukah kita terus menjadi ‘mereka’ seperti yang dimaksudkan dalam ayat di atas? Sentiasa mengira bila datangnya kejayaan sedangkan jalan ini amat jauh.. Mahukah bara dalam jiwa belia kita terus menyala, tanpa membakar segala jahiliyah? Mahukah panasnya bara itu hanya hangat seketika? Bangkitlah pemudaku!

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

Followers