Friday, 21 August 2009

Sampai Syurga

Tak sangka sungguh Allah akan perkenankan permintaan saya. Baru sahaja semalamnya, saya berhajat agar dapatlah saya bersama-sama dalam satu majlis ilmu, Allah sudah pun makbulkan keesokan harinya. Apatah lagi majlis ilmu yang dapat menerangkan perkara yang agak sukar saya berikan penerangan pada segelintir orang. Email datang dari Imran Koyube, Presiden IluvIslam yang menyatakan, akan diadakan Forum Monyetnya Cinta Kita di Bangi. SubhanaAllah. Maha Suci Engkau yang mendengar permintaan hambaNya.

Mulanya saya ingat saya tidak dapat mengikuti program itu lantaran perlu memenuhi tuntutan tugas yang diberi. Tapi bila tahu sahaja urusan dibatalkan atas sebab H1N1, saya la yang paling gembira rasanya. Alhamdulillah, tercapai satu impian. Namun, sampai di sana, saya tahu, satu lagi impian tidak tercapai. Tak pela, takde rezeki. Kecewa.. Sedar perancangan kita tidak sebaik perancangan Allah. Apa pun, saya tidak sabar untuk berkongsi apa yang saya dapat di sana.

Tema forum ini adalah berdasarkan Hadis 13 yang berkenaan dengan kewajipan mencintai sesama Muslim.

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik ra, pelayan Rasulullah saw, bahawa Rasulullah saw bersabda, “Seseorang di kalangan kalian tidak dikatakan beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai saudaranya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kata Ustaz Hasrizal, bila kita memberi perhatian dan kasih sayang pada seseorang anak, anak itu akan suka untuk ikut apa kata kita walaupun itu satu perintah. Macam seorang bapa yang baru pulang dari outstation selama 2 minggu, bila pulang ke rumah dan bertanya pada anaknya, “Apa khabar Wonderpet hari ini?” “Hari ini, Wonderpet tolong anak apa?” atau “Lampu pada dada Ultraman tu kelip-kelip lagi tak?”, sudah tentu anak itu akan rasa yang masa dua minggu yang hilang telah terganti dalam sekelip mata.

Apa tanda-tanda orang yang sedang dilamun cinta? Pertama, dia merasakan yang penantian itu satu penyeksaan. Kedua, semua permintaan orang yang dikasihi akan cuba dituruti. Lautan api sanggup ku renangi la katakan.. Bila ditanya pada sidang dewan, siapa yang tak pernah bercinta, tiada siapa pun yang mengangkat tangan. Jadi memang cinta itu fitrah.

Semua manusia perlu pada cinta. Memang ya zaman sudah moden, tetapi yang moden adalah persekitaran kita. Manusia masih konservatif dan fitrahnya masih tidak berubah. Umpama anak kecil yang menangis. Dia akan minta diisikan perutnya yang lapar, bukannya minta dibelikan kereta mainan.

Lihat semula pada hadis 13, ia menyentuh tentang kesempurnaan iman, perbuatan memberi dan memberi dengan kasih sayang. Maknanya di sini, iman kita akan bertambah apabila tingkat kasih sayang kita makin bertambah. Berkadar linear gitu. Kenapa ungkapan basmallah punya nama Ar-Rahman dan Ar-Rahim? Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ketahuilah, Allah mahu kita mengenaliNya dengan sifat penyayangNya.

Dalam suatu hadis, dikisahkan Jaafar bin Abu Talib syahid dalam Perang Muktah. Rasulullah lalu berpesan pada sahabat, “Tolong masakkan makanan untuk keluarga Jaafar kerana keluarganya sedang sibuk dengan banyak urusan (hal perkabungan dan dalam kesedihan).

Cuma kita lihat masyarakat zaman kini. Keluarga arwah la yang sibuk memasakkan makanan. Kenapa bukan kita yang tidak sesedih keluarga itu yang patut memberi dengan kasih sayang? Menghulurkan tangan bagi meringankan beban?

Ikatan kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (redha dan sabar) manakala tingkatan tertinggi ialah mendahulukan orang lain lebih dari diri sendiri. Sebagaimana kisah orang Ansar yang sanggup menceraikan isterinya semata-mata untuk dinikahkan dengan orang Muhajirin. SubhanaAllah.

Allah beri kita keinginan untuk bercinta supaya kita ada semangat untuk bekerja dan beribadah padaNya. Jangan kecilkan skop cinta hanya pada sang teruna dan si dara je ya. Bila kita cintakan Dia, kita sanggup berbuat apa sahaja demi agamaNya. Kenapa kita mahu bercinta, walaupun tahu ia menuntut pengorbanan dari segi kewangan dan masa? Kerana mencari sinar bahagia? Atau kerana inginkan perhatian?

Apakah pula faktor luaran yang menyebabkan seseorang itu ingin bercinta? Pertama, pengaruh media, novel dan msyarakat sekeliling. Kata beberapa ‘hantu novel’ yang ditemubual oleh Ustaz Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi, bila membaca novel, mereka dapat merasakan keindahan itu walaupun tidak mengecapinya sendiri. Hebat kuasa novel ini kan?

Firdaus Djamaris, salah seorang penceramah program ESQ membahagikan cinta kepada 3 bahagian. Cinta intelektual yang menilai secara fizikal, contoh: katanya, “ Awek tu cantik giler!” (mana entah akh Firdaus ni belajar perkataan sebegitu..ish.ish..huhu..) Kiranya di sini, rupa paras, harta dan wang ringgit. Masalah yang akan timbul kerana cinta sebegini ialah seseorang itu tidak akan pernah merasa puas lantaran keinginannya yang semakin sukar dipenuhi. Kesannya, seseorang itu sering merasa kecewa, iri hati, tidak ikhlas dan semangatnya mudah menurun.

Cinta kedua ialah cinta emosional di mana perasaan itu datang kerana mahukan populariti, penghargaan atau kuasa. Individu tersebut gila akan pujian dan ingin selalu menjadi perhatian. Selain itu, dia juga mudah kecewa jika tidak dihargai. Akibatnya, apabila tidak diawasi, kerjanya sambil lewa, malas apabila tidak diberi penghargaan dan pura-pura rajin.

Cinta ketiga dan yang suci ialah cinta spiritual yang menuntut pengorbanan dan amanah (tanggungjawab). Cinta ini akan membangunkan keyakinan, nilai dan makna spiritual.

Saidina Umar al-Khattab keluar pada suatu malam untuk menyelidik keadaan rakyatnya. Tiba-tiba dia terlihat di dalam sebuah rumah, seorang ibu sedang berpura-pura memasak untuk menyedapkan hati anaknya yang sedang kelaparan. Sedangkan dalam periuk itu, batu. Lantaran terlalu lama menunggu ‘masakan’ yang tidak siap, anak itu lalu tertidur. Umar merasa sedih melihat kesusahan rakyatnya. Lalu beliau pulang ke rumah dan mengambil sekantung besar gandum dan dipikul seorang diri dengan bersusah payah meredah malam sepi itu.

Namun, beliau terserempak dengan seorang pengawal. Kata pengawal, “ Wahai umara, tak sepatutnya engkau bawa kantung yang berat itu. Biarlah aku yang memikulnya.” Jawab Khalifah itu, “Kalau dibandingkan berat kantung ini, lebih berat lagi amanah yang akan dipersoalkan ke atasku di akhirat kelak.”

Salah satu faktor kejatuhan tamadun adalah kerana lemahnya semangat juang pemuda atas sebab kuatnya cinta monyet mereka. Kisah benar yang berlaku di Andalus sebelum kejatuhannya pada kurun ke 15. Nasrani menghantar mata-mata untuk menyelidik masyarakat Andalus. Suatu hari, ada seorang lelaki menangis di bawah pokok. Ditanya mata-mata itu, kenapa. Jawab pemuda itu, “ Biasanya satu panahku mengenai dua sasaran. Tetapi kali ini hanya kena pada satu sasaran.”

Mata-mata itu lalu pulang dan mengkhabarkan pada Panglima Nasrani yang Andalus masih terlalu kuat untuk diserang. Pada hari kemudiannya, mata-mata dihantar sekali lagi dengan tujuan yang sama. Dijumpai seorang lelaki yang menangis di bawah sepohon pokok. Ditanya mata-mata itu, kenapa. Jawab pemuda itu, “Aku menangis kerana ditinggalkan kekasih.” Mata-mata pulang membawa berita gembira kepada pemimpinnya. Andalus diserang Nasrani dan berjaya ditawan. Manusia itu tamadun. Sebagaimana manusia boleh jatuh kerana cinta, begitu juga tamandun.

Dan perempuan-perempuan di kota berkata, “ Isteri Al-Aziz menggoda dan merayu pelayannya untuk menundukkan dirinya, pelayannya benar-benar membuatnya mabuk cinta, Kami pasti memandang dia dalam kesesatan yang nyata.” (surah Yusuf:30)

Dalam ayat ini menceritakan tentang isteri Gabenor Mesir ketika itu yang menggilai Nabi Yusuf. Dalam erti kata lain, sudah dibius cinta. Analoginya, seorang yang sakit (kurang perhatian) mahu mencari ubat. Tetapi tersalah terima rawatan dan dibius dengan dadah. Sehingga menjadi lali (tidak mampu berfikir dengan baik dan berada dalam kesesatan). Mabuk cinta dalam ayat inilah yang merujuk pada cinta monyet yang mampu melemahkan akal.

Kita sebagai seorang Muslim memang akan menolak teori evolusi Darwinisme. Tetapi percayalah, memang wujud teori evolusi cinta di mana manusia bertukar menjadi monyet. Allah melarang Bani Israel menangkap ikan pada hari Sabtu supaya dapat beribadah padaNya. Namun, Bani Israel mentafsirkan perintah Allah ini dengan akal dan kerana cinta intelektual itu, mereka telah meletakkan sangkar pada hari Jumaat. Jadi ikan-ikan itu tersangkut pada hari Sabtu. Mereka berkata, “Bukan kami yang menangkap ikan pada hari Sabtu, tetapi ikan itu sendiri yang tersangkut pada sangkar.” Akibat cuba ‘menipu’ Allah, mereka ditukarkan menjadi kera.

Dan tanyakanlah pada Bani Israel tentang negeri yang terletak di dekat laut ketika melanggar aturan pada hari Sabat, iaitu ketika datang kepada mereka ikan-ikan yang berada di sekitar mereka terapung-apung di permukaan air, padahal pada hari-hari yang bukan Sabat, ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka fasik.

Dan ingatlah ketika suatu umat di antara mereka berkata, “Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?” Mereka menjawab, “Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada TuhanMu dan agar mereka bertaqwa.”

Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang orang berbuat jahat dan Kami timpakan pada orang-orang yang zalim seksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik.

Maka setelah mereka bersikap sombong terhadap segala apa yang dilarang, Kami katakan kepada mereka, “Jadilah kamu kera yang hina.” (Surah Al-A’raf:163-166)

Isu cinta yang terlarang ini bukan hanya merujuk pada isu couple, tetapi juga pada hubungan adik angkat, abang angkat, ayah saudara angkat, dan pakwe angkat (ada ke?). Tak kurang juga dengan istilah teman tapi mesra. Semua ini seolah-olah untuk accomodate cinta itu. Mencari helah. Sedangkan semua tahu, tiada matlamat yang menghalalkan cara.

Dan janganlah kamu mendekati zina. Zina itu sungguh suatu perbuatan keji(fahisyah) dan suatu jalan yang buruk. (Surah al-Isra’:32)

Mahu bercinta? Ya? Ok, fikirkan semula. Adakah anda mahu berkahwin dalam masa terdekat ini? Sudah kembali pada Allah, berdoa padaNya agar diberi petunjuk? Sudah cukupkah persediaan? Jika sudah, sudah sampaikan hasrat pada kedua orang tua anda? Belum? Hm.. Jadi, adakah sesuai untuk memberi dan menerima cinta itu dalam masa sekarang?

Situasi masyarakat pada hari ini amat membimbangkan. Macam suatu fenomena yang wajib untuk setiap orang itu punya pengalaman bercinta (bercouple). Sampaikan ada seorang pemuda ini dituduh gay kerana dia tidak punya teman wanita.

Apa punca masalah cinta monyet ini? Salah satu puncanya, memang lantaran institusi kekeluargaan yang kurang memberi perhatian pada anak-anak sehingga anak itu mencari perhatian untuk mengisi kekosongan dalam jiwa mereka. Jadi, cinta yang hadir dalam dirinya itu sebenarnya perhatian, bukan cinta. Ada banyak lagi punca lain. Moga kita tidak menjadi seperti Bangau oh Bangau yang sibuk menyalahkan orang.

Teman-teman karib(orang yang berkasih) pada hari itu(hari qiamat) saling bermusuhan satu sama lain, melainkan mereka yang bertaqwa. (surah az-Zukhruf:67)

Kenapa pasangan kekasih boleh menjadi musuh di Padang Mahsyar? Lantaran tekanan dan tanggungjawab yang dihadapi. Itulah sebabnya, fikiran perlu diterapkan dengan ‘begin with the end in mind’. Biarlah bercinta itu sehingga ke syurga.

Ustaz Hasrizal menceritakan tentang kisah cintanya. Sebaik sahaja beliau rasa yang dirinya sudah bersedia untuk berumah tangga, beliau menyampaikan hasratnya pada seniornya yang sangat mengenalinya. Lalu seniornya mencarikan muslimat yang dirasakan sesuai. Dua calon diberitakan pada Ustaz Hasrizal. Seorang calon itu terlalu banyak persamaannya. Sampaikan alamat rumah pun dekat-dekat. Rupanya itu sepupunya. Ustaz Hasrizal menolak. Lalu, katanya, “insyaAllah yang kedua ini pilihan saya.”

Calon muslimat itu juga bersetuju menerimanya sebagai calon suami. Namun yang menariknya, mereka tidak pernah berjumpa, berbicara apatah lagi melihat wajah bakal pasangan masing-masing. Semuanya dikendalikan oleh “orang tengah”. Sistem yang biasa dilaksanakan di luar negara dan ada juga di Malaysia.

Suatu hari, ustaz Hasrizal menyuarakan hasratnya untuk melihat wajah calon isterinya. Lalu diserahkan melalui orang tengah, gambar muslimat itu bersama 39 sahabatnya yang lain dalam satu foto. Lucunya, kata Ustaz Hasrizal, kepala mancis itu lebih besar dari muka muslimat itu. Yang dia tahu tika itu, calon isterinya ada dua mata, hidung dan mulut. Itu sahaja. Namun, dia redha.

Lalu, Ustaz Hasrizal menyuarakan hasratnya untuk bertunang terlebih dahulu. Lalu muslimat itu bersetuju. Maka, dengan itu, ‘orang tengah’ berundur diri dan meminta mereka menyelesaikan urusan itu dengan keluarga masing-masing. Lantas, Ustaz Hasrizal yang dari UK dan Kak Muna dari Ireland pulang ke Malaysia. Dalam pertemuan dua keluarga itu, bakal ibu mertua Ustaz hasrizal bertanya, “ Ni nak bertunang ni, tuannya da tengok belum?” Jawapan Ustaz Hasrizal nyata memeranjatkan semua orang, terutama abangnya yang terus terlopong.

Tika itulah, di rumah ibu bapa kak Muna, Ustaz Hasrizal melihat kak Muna. Dalam suasana yang halal. Hingga kini, katanya, bila dikenangkan kembali kenangan 11 tahun yang lepas, beliau tersenyum sendiri.

Jika kenangan itu mengundang kemurkaan Allah, sudah tentu ia tidak mudah dikenang. Apatah lagi, untuk diingati apabila menghadapi perselisihan faham yang menjadi asam garam dalam perkahwinan. Jangan ingat, semua masalah akan selesai apabila kita berkahwin. Akan timbul pula masalah yang baru.

Perkahwinan bukan penyelesaian untuk segalanya. Tambah-tambah lagi keran cinta yang memerangkap. Peri pentingnya menjadi matang dalam menguruskan rumahtangga.

Pezina lelaki tidak boleh menikah kecuali dengan pezina perempuan, atau perempuan musyrik, dan pezina perempuan tidak boleh menikah kecuali dengan pezina lelaki atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan bagi orang-orang mukmin. (Surah An-Nur:3)

Jangan pernah ingin bercinta jika cinta kita pada Allah, RasulNya dan keluarga belum cukup kukuh tersemai. Jika cinta pada Allah itu benar, ia akan menambahkan lagi cinta kita pada manusia. Jika cinta pada manusia itu benar, kita akan makin cintakan Allah.

Sedangkan Rasulullah sangat cinta pada umatnya. Sewaktu sedang nazak, baginda tidak menyebut pun nama isteri kesayangan baginda, tak sebut pun nama para sahabat, tetapi baginda sebut, “Ummati, ummati, ummati.” Umat baginda.

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cintaMu, cinta orang-orang yang mencintaiMu, dan amal yang dapat menghantarku pada cintaMu. Ya Allah, jadikan cintaMu lebih aku cintai dari diriku sendiri, keluargaku dan dari air yang dingin. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Jadi bagaimana mahu mencari cinta spiritual yang boleh bawa kita ke syurga? Ingatlah perigi tidak boleh mencari timba. Dan timba juga tidak akan jumpa perigi jika tiada orang yang membawanya. Gunakanlah orang tengah. Kita juga tidaklah nanti rasa malu jika permintaan kita itu ditolak.

“Sayangilah sesiapa sahaja yang ada di di Bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh apa sahaja di langit.” –hadis.

Sumber: nota selama 3 jam forum. Ketepatan : 80%. Pengisian: 60% daripada apa yang disampaikan.

p/s: Semua tajuk artikel dalam blog ini tiada kena mengena dengan sesiapa pun. Harap maklum.

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...