Usai menunaikan solat sunat terawih berjemaah di surau kampung sebelah kelmarin, saya bergegas pulang. Alhamdulillah, setakat ini tiada halangan untuk saya ke sana. Biarpun perlu berjalan selama 10 minit (bagi orang yang berjalan laju). Kadang kala, lebih senang berjalan daripada menjadi pembonceng motosikal yang ditunggang adik. Malam di bulan Ramadhan nyata lebih indah. Apatah lagi, tika ini pantulan matahari pada sang bulan mneghasilkan bentuk sabit yang begitu sempurna. SubhanaAllah..
“Assalamualaikum,” sapa saya apabila memasuki rumah. Pantas mata tertangkap pada program Halaqah yang sedang disiarkan di televisyen. Jam sudah tepat pukul 10. Aduh, saya terlepas ilmu yang disampaikan setengah jam yang pertama. Althafunnisa’ (komputer riba) yang menanti saya menarikan jari untuk menyambung kerja yang masih belum siap, saya biarkan.
Buku nota dicapai dan sedikit pun kepala tidak dapat diangkat untuk melihat muka penceramah. Lantaran kerana terlalu banyak input yang disampaikan dan saya sibuk menulis agar tidak terlepas satu pun input itu.
“Tadi ustaz tu cakap 100 ke 1000 ek? “ tanya saya pada adik lelaki yang bongsu, Yee.
“100. Ko tak pernah dengar ke hadis ni Long?” Yee bertanya.
Saya tergumam. “Boleh tahan juga adik aku ni.. Alhamdulillah.” Betullah kata bijak pandai, makin kita belajar, makin banyak yang kita sedar yang kita tidak tahu. Dan setiap orang punya pengetahuan. Itu sebabnya seeloknya sesi tazkirah, semua orang memberi peringatan. Kerana ada pengetahuan yang orang lain ada, kita tiada.
Jangan Berulang
Dan sungguh, Aku Maha Pengampun bagi yang bertaubat, beriman dan berbuat kebajikan, kemudian tetap dalam petunjuk. (Surah Taha:82)
Tajuk halaqah yang disampaikan, menyentuh soal taubat. Ditekankan oleh penceramah, Allah tidak akan menerima taubat orang yang kerap melakukan dosa. Iaitu hanya apabila nazak, baru mahu bertaubat. Sesungguhnya, dia akan mati dalam keadaan kuffar.
Diceritakan kisah tauladan yang pernah berlaku, kisah seorang pemuda yang telah membunuh 99 orang. Dia bertanya pada seorang rahib yang ditemuinya, adakah dia akan diampuni Allah? Rahib itu menjawab, “Allah tidak akan mahu pandang wajahmu langsung.” Pemuda itu marah lalu dibunuhnya rahib itu. Maka, genaplah 100 orang yang dibunuhnya.
Kemudian, pemuda itu bertemu dengan seorang ulama’. Dia bertanya soalan yang sama pada ulama’ itu. Ulama itu lalu menjawab, “Allah akan ampunkan dosamu. Bertaubatlah. Sesudah itu, aku cadangkan engkau keluarlah dari kampung ini ( dan mulakan hidup baru)..”
Pemuda itu lalu bertaubat dan mengikut cadangan ulama’ itu tadi. Namun sewaktu sedang dalam ‘penghijrahannya’ keluar dari kampung itu, Allah mentakdirkan pemuda itu mati. Dua malaikat datang kepada jasad pemuda itu.
Malaikat Rahmat menyatakan, pemuda itu akan masuk ke syurga kerana dia telah bertaubat. Sebaliknya Malaikat Azab tidak bersetuju kerana lelaki itu memang telah bertaubat, tetapi dia masih belum melakukan apa-apa ibadah khusus sedikit pun. Masih belum berpuasa, mahupun solat..
Lalu Allah menurunkan seorang lagi malaikat untuk menyelesaikan permasalahan ini. Malaikat itu mencadangkan agar diperiksa dada lelaki itu. (Afwan, tak ingat, dada atau jantung). Adakah ia menghadap kampungnya yang asal atau kampung baru yang ditujuinya. Nyata setelah diperiksa, lelaki itu benar- benar bertaubat nasuha dan tidak mahu kembali pada kehidupan masa lalunya yang jahiliyyah.
Kisah kedua yang disampaikan penceramah. Kisah seorang wanita muda yang telah mengandungkan anak hasil perzinaan. Dia menyesal dan mengkhabarkan hal ini kepada Rasulullah saw. Baginda saw menyuruh wanita itu pulang dan datang kembali untuk menerima hukuman selepas dia selesai melahirkan anak.
Biarpun tahu akan menerima hukuman sebatan 100 kali, wanita itu datang menghadap Rasulullah saw kembali. Selesai hukuman, wanita itu rebah dan menghembuskan nafas yang terakhir. Rasulullah sendiri yang mengimamkan solat jenazahnya.
Hal ini ditentang Saidina Umar. Saidina Umar mempersoalkan kenapa baginda sanggup mengimamkan solat jenazah orng yang telah melakukan dosa besar itu? Baginda menjawab, “Wanita ini telah bertaubat dan taubatnya lebih baik dari 100 orang Madinah.”
Katakanlah, “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu beputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah az-Zumar:53)
Satu hadis meriwayatkan, “Barangsiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan perkara fasik dan mungkar, dia akan pulang dengan keadaan seperti mana dia dilahirkan.”
Bagaimana caranya untuk kita bertaubat? Pertama, melalui taubat nasuha yakni, taubat yang bersungguh-sungguh. Kedua, dengan melaksanakan dan memperbanyakkan ibadah khusus dan am kepadanya. Ketiga, berhenti dari terus melakukan dosa itu.
Keempat, dengan mencari nafkah. Kalau tak silap, hal ini diriwayatkan dari hadis. “Ada dosa yang akan terampun secara automatik dengan cara memberi nafkah.”
Benar, memang sebenarnya masih lagi ramai dalam kalangan kita yang mahu berhenti dari terus melakukan dosa, tetapi ada sahaja mulut-mulut jahat yang membantutkan niat itu.
“Hah? Bertaubat? Ala, kita kan masih muda. Enjoy la dulu.” Ada sebenarnya jin yang bertopengkan manusia. Sememangnya ada tiga golongan yang menarik kita ke arah dosa kembali: syaitan, jin dan manusia.
Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Yang mereka ikuti hanya persangkaan belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan. (Surah al-An’am:116)
Dikisahkan seorang pemuda yang sering dinasihati Rasulullah agar tidak melakukan maksiat. Setiap kali menerima tarbiyah(pengajaran) terus dari baginda, pemuda itu akan menganggukkan kepalanya.
Suatu malam, pemuda itu melewati sebuah rumah. Lantarn kelaparan, pemuda itu terdorong untuk menceroboh rumah itu untuk mencuri makanan lazat yang terhidang di atas meja di dapur. Namun, niat jahatnya dimatikan apabila dia teringat pesan baginda saw, “Siapa yang tinggalkan perkara haram yang dilarang Allah, dia akan berolehnya dengan cara yang halal.”
Pemuda itu beredar dan mahu keluar. Pantas, matanya ternampak barang kemas yang ada di ruang tamu. Niatnya mahu mencuri supaya dia tidak perlu menanggung kelaparan itu lagi. Namun, sekali lagi, di telinganya terngiang pesan Rasulullah saw, “Siapa yang tinggalkan perkara haram yang dilarang Allah, dia akan berolehnya dengan cara yang halal.” Sekali lagi, dia membatalkan niat jahatnya.
Langkahnya mahu keluar dari rumah itu terhenti apabila dia melewati sebuah bilik. Rupanya rumah itu dimiliki oleh seorang wanita. Tatkala terpandang wanita itu yang terdedah auratnya, dia mula berniat jahat pada wanita itu. Alhamdulillah, niatnya tidak disertai dengan perbuatan. Tika itu, dia teringat kembali pesanan yang sama. “Siapa yang tinggalkan perkara haram yang dilarang Allah, dia akan berolehnya dengan cara yang halal.”
“Ya Allah, moga benarlah apa yang Engkau janjikan ini,” doa pemuda itu. Pantas dia keluar dari rumah yang penuh dari ujian itu. Tibalah dia di masjid Nabi dan pemuda itu tidur dalam kelaparan.
Keesokan harinya, seorang wanita datang bertemu Rasulullah yang berada di masjid yang sama. Wanita itu mengadu yang rumahnya telah diceroboh, tetapi anehnya tiada barang yang hilang. Jadi, agar perkara ini tidak berulang kembali, dia meminta Rasulullah mencarikannya seorang pemuda untuk menjaga keselamatan rumah itu.
Baginda saw bertanya adakah wanita itu telah berkahwin. Jawab wanita itu, “Aku seorang janda, ya Rasulullah.” Lalu baginda saw memanggil pemuda itu dan bertanya adakah pemuda itu sudah berkahwin. Apabila pemuda itu memberi jawapan belum, baginda saw mencadangkan agar kedua wanita dan pemuda itu bernikah. Hal ini dipersetujui mereka. SubhanaAllah. Rupanya wanita itu adalah pemilik rumah yang dicerobohi pemuda itu semalam.
Benarlah, “Siapa yang tinggalkan perkara haram yang dilarang Allah, dia akan berolehnya dengan cara yang halal.”
Hadis meriwayatkan, “Setiap anak Adam pasti akan melakukan dosa. Tetapi sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat padaNya.”
Allah amat sayang pada orang-orang yang bertaubat dan membersihkan dirinya dari dosa dan kemungkaran. Kata bijak pandai, masa lalu tidak akan berlaku kembali, masa esok yang kita tak ketahui adakah kita akan berjumpa lagi. Masa hari inilah yang perlu kita gigit (jaga).
Setiap Yang Berlaku Pasti Punya Hikmah
Kepala ini dirasakan terlalu berat untuk diangkat dari sujud. Rasa seakan diri ini sangat berdosa dan hina. Bila mengenang kembali masa yang dibiarkan berlalu dengan sia-sia dan penuh dengan perkara yang Allah larang, hati ini sangat pedih.
Bukan pedih kerana ditolak, bukan pedih kerana dikecewakan oleh manusia sekeliling, tetapi sangat pedih bila mengenangkan setiap dosa yang dilakukan suatu masa dahulu hanya sia-sia. Percuma saya menjadi manusia jahiliyyah. Sedangkan fitrahnya, dari dulu lagi saya menyedari, apa yang dilakukan adalah salah. Tapi masih lagi buat kerana hati yang sepatutnya dijaga ini dibelenggu nafsu dan perasaan yang salah.
Kitab suci yang saya pegang basah. Kabur pandangan mata pada ayat-ayatNya. Cuba gagahkan diri baca setiap potong ayat. Tapi baru mahu mula, sudah terhenti. Tidak mampu fokus. Esak cuba sedaya upaya saya kurangkan, supaya tiada siapa tahu ada insan yang sedang menangis dalam rumah ini.
Ya Allah, ampunilah hambaMu ini. Ampunilah setiap dosa yang telah aku lakukan. Janganlah Kau timpakan dosaku ini ke atas masa depanku dan zuriatku, ya Allah. Sungguh ya Allah, andai aku mampu undur masa, tidak aku mahu sedikit pun tercampak lagi ke lembah itu. Ya Allah, luputkanlah fikiranku dari perkara yang membawa aku jauh dariMu. Kuatkanlah hati hambaMu ini. Tabahkanlah ia. Tuntunlah ia menuju redhaMu.
Moga ini airmata taubat saya. Saya tahu, Allah kasihkan saya. Kalau tak, masakan tatkala hati bertanya adakah dosa yang setinggi gunung ini Allah akan ampunkan, Dia takdirkan saya mendengar pujukanNya dalam Halaqah. Maha Suci Engkau ya Allah.. Subhana Allah, Alhamdulillah, La ila ha illa Allah, Allah hu akbar.
Hidup perlu diteruskan. Saya mahu menjadi Nur Suhaila Zulkifli yang sebenar. Mahu mulakan hidup yang baru. Moga ini satu penghijrahan hati. Biarlah orang kata saya berubah. Saya tahu dan percaya, Allah telah tetapkan yang terbaik untuk saya.
Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah.
Jazakumullah hu khairan kathira buat para sahabat yang sentiasa berada bersama saya di saat-saat sukar. Terima kasih juga atas doa kalian agar saya beroleh yang terbaik. Ukhuwah fillah.
No comments:
Post a Comment