Sunday, 27 December 2009

What You Give, You Get Back

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Setelah pelbagai ujian dikenakan ke atas hamba-hambaNya, FUIYO Third Edition usai dijalankan dengan lancar. Meskipun diancam dengan risiko sehingga menyebabkan ia mungkin dibatalkan lantaran salji tebal di Peak District yang membahayakan, namun Allah izinkan usaha gigih para penggerak diteruskan. Lokasi baru di salah sebuah World Heritage Site berjaya dicari dan pertukaran tempat diumumkan sehari sebelum program bermula (kami dimaklumkan jalan ke Peak District ditutup sepanjang 5 batu pada pagi 21 Disember 2009).

22 Disember 2009

61 orang peserta berkumpul di University of Manchester sebelum bertolak bersama-sama sebahagian ahli jawatankuasa(AJK) FUIYO Third Edition dalam dua bas yang ditempah khas untuk FUIYO. Dalam masa yang sama, AJK yang lain telah pun tiba di Ironbridge- Coalbrookdale, Telford dan menyiapkan tempat demi menyambut para peserta yang diraikan. Peserta muslimat seramai 70 orang bakal mendiami Istana Yha, manakala 31 peserta muslimin bakal menghuni Istana Takeshi (Ironbridge- Coalport).

Allah tarik perancangan kami untuk berprogram di Peak District sebab Dia mahu kurniakan istana yang lebih selesa untuk kami menunaikan tugas kami sebagai hamba.

Setibanya di sana, bacaan doa memulakan perjalanan 4 hari 3 malam peserta. Gabungan duo pengerusi majlis yang ceria menyebabkan para peserta tidak kering gusi dengan keletah mereka. Pengisian pertama dari Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman(UZAR) cukup membuka mata para peserta, apatah lagi dengan kebijaksanaan menyampaikan pengisian dengan hikmah, tema What You Give, You Get Back mula ditanamkan dalam diri peserta.

Bukan mahu membandingkan, tetapi ternyata UZAR berjaya membawakan perkongsian ‘Erti Hidup Pada Memberi’ Ustaz Hasrizal Abdul Jamil mengikut acuannya sendiri. Memberi itu dapat dilaksanakan dengan mudah jika hadir dengan kasih sayang. Seharusnya kita jadikan kasih kepada Allah dan Rasul sebagai yang utama, kemudian barulah kasih kepada manusia.

Katakanlah Muhammad,” Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (Surah al-Imran:31)

Dari an-Nu'man bin Basyir radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:"Perumpamaan kaum Mu'minin dalam hal saling sayang-menyayangi, saling kasih-mengasihi dan saling iba-mengibai itu adalah bagaikan sesusuk tubuh. Jikalau salah satu anggota dari tubuh itu ada yang merasa sakit, maka terasa seluruh tubuh kerana kesakitannya - dengan berjaga - tidak tidur - serta merasa panas." (Muttafaq 'alaih)

Hakikatnya, hanya satu cinta yang ada dalam hati. Cinta pada Allah menyebabkan kita kasih pada keluarga. Cinta padaNya tidak mengabaikan kita dari mencari keredhaanNya di dunia. Allah tidak menjadikan dua kecintaan dalam hati lelaki atau perempuan itu. Bak kata cerdik pandai, dunia adalah tempat kita berkreatif untuk akhirat. Isteri yang solehah, jiran yang baik, dan kenderaan yang selesa merupakan nikmat dunia yang seharusnya digunakan untuk mencapai tujuan kepada Allah.

Bila apa yang dipelajari dalam ceramah dipraktikkan dengan serta-merta.

Usai menjamah hidangan Nasi Ayam Pasti Terangkat, para peserta dibahagikan untuk aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK). Para fasilitator yang terdiri dari 6 muslimin dan 14 muslimat mengendalikan dua slot ta’aruf.

22 Disember 2009 ditutup dengan sorakan FUIYO dan nyanyian lagu tema Merah Saga, yang menaikkan semangat pembelaaan Palestin. Sepanjang waktu senggang antara ceramah, senandung FUIYO, iaitu lagu nasyid Hijrah nyanyian Muadz Dzulkifli berkumandang berulang kali agar pelajar berhasil menghafaz hadis 1 matan arbain yang bertemakan niat, berteraskan Law of Repetition.

23 Disember 2009

Coret pagi usai bacaan al-Mathurat dan solat subuh berjemaah diberikan oleh Akh Muhaimin Sulam. Sesi ceramah pula diserikan dengan kupasan demi kupasan yang diberikan oleh UZAR, yang pernah berguru dengan Dr Yusof al-Qaradhawi. Kali ini dengan tajuk, Kita Perlu Punyai Sesuatu untuk Memberi dan Cabaran serta Pengalaman beliau.

Sempat beliau berkongsi nas motivasi untuk mengekalkan momentum agar terus menyumbang dan menyumbang, tanpa kenal erti jemu. Antaranya, yang menjadi pegangan hidup beliau:

Nabi menyebut “Sesungguhnya Allah, malaikatNya, penduduk langit dan bumi sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di laut akan pasti mendoakan (kebaikan) buat orang yang mengajarkan manusia ilmu kebaikan (agama).” (Hadis riwayat at-Tarmidzi 5/50)

Latihan dalam kumpulan yang menarik, iaitu Labels dan Blame Game menyelangi ceramah-ceramah. Dalam aktiviti Labels, para peserta dilayan berdasarkan label yang ditampal di dahi mereka. Terkulat-kulat juga para peserta yang dilabelkan ‘Ignore me’ dan ‘Disagree with me’ bila pandangan mereka ditolak mentah-mentah, meskipun itu idea yang bernas!

24 Disember 2009

Ceramah diteruskan, kali ini oleh Ustaz Maszlee Malik, penulis buku Fikah Luar Negara. Tajuk ‘Islam: Kiri atau Kanan’ mendedahkan para peserta akan ideologi yang kini sedang menular dalam kalangan penduduk dunia: Christian Right, liberalisme, humanisme, positivisme dan pelbagai lagi istilah baru diperkenalkan kepada para peserta.

Kebangkitan bakat terpendam para peserta makin terserlah pada hari ketiga bila mana setiap dari mereka diminta memberikan pendapat atau nasihat atas setiap permasalahan peserta lain. Nyata, ramai yang diam-diam berisi. Punya bakat sebagai seorang pakar motivasi mahupun konsultan.

Bakat mereka diserlahkan lagi melalui pertandingan Chef FUIYO: Karipap King dan Princess Donut. Para peserta muslimin diminta menyediakan karipap (inti disediakan oleh Geng Dapur) manakala muslimat diuji keupayaan mereka menyediakan donut. Kreativiti dan kemahiran peserta, terutama muslimin untuk mengelim karipap teruji. Pelbagai bentuk donut dan karipap dihasilkan, termasuklah karipap berbentuk hati.

Kuiz yang dijalankan selepas itu menjanjikan hadiah lumayan sperti Buku Tafsir Ibnu Kathir bernilai lebih GBP100, peti sejuk mini, dan ketuhar. 20 soalan yang menguji pengetahuan peserta diajukan, antaranya berkenaan sirah an-nabawiyah dan kejayaan Malaysia merangkul pingat ketika Sukan SEA baru-baru ini.

Ceramah ‘Aku Tidak Patriotik?’ oleh akh Muhammad Fawwaz Aminuddin, graduan cemerlang dari University of Manchester dan kini bekerja di salah satu firma servis professional terbesar di UK nyata membuka mata peserta betapa besarnya peranan mahasiswa. Pelbagai usaha yang pernah dijalankan oleh pergerakan mahasiswa suatu ketika dahulu membuktikan betapa belia muda kita adalah mata dan telinga negara dalam membela nasib rakyat.

25 Disember 2009

Coret pagi diberikan oleh tetamu khas, Dr Mas Afzal. Tips-tips berguna untuk menjadi pelajar cemerlang dikongsi bersama. Apatah lagi, buat pelajar yang aktif menyumbang kepada masyarakat dan agama, tentunya sentiasa bertarung dengan masa. Nasihatnya, pastikan anda faham apa yang dipelajari pada waktu itu juga. Jangan bertangguh untuk mencari pensyarah atau rujukan sebelum ilmu yang baru dipelajari itu hilang tanpa anda lebih dahulu memahaminya.

Ceramah terakhir disampaikan oleh Akh Fawwaz berkenaan 10 Pembentukan Individu Muslim. 10 muwasafat tarbiyah yakni ciri-ciri yang perlu ada untuk membentuk peribadi seorang Muslim yang utuh dihuraikan: aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, akhlak yang mantap, luas pengetahuan, sihat tubuh badan, mampu berdikari, melawan nafsu, sangat menjaga masa, tersusun urusannya dan bermanfaat pada orang lain.

Majlis penyampaian hadiah menyusul. Pemenang kuiz, serta peserta terpilih dinobatkan sebagai penerima 6 anugerah FUIYO. Tidak kurang juga kumpulan terbaik yang menjadi Karipap King dan Princess Donut.

Pujian demi pujian diterima, baik terhadap ceramah yang menyalakan obor semangat mereka, aktiviti menarik mahupun menu. Sememangnya menu FUIYO dinantikan setiap peserta. Apatah lagi, reputasi menu FUIYO 2008 yang ‘menjilat jari’ tersebar ke pelusuk UK dan Ireland. Alhamdulillah, para peserta pulang dengan senyuman puas dan perut kenyang apabila disajikan hidangan hebat seperti Ayam Lemon FUIYO Terbabow, Tomyam Mantop Montoya, dan Telur 'Itik Main Snow'. Istimewanya, para peserta turut disajikan dengan hidangan Cendol Sutera Klasik yang masyhur.

Di dapur, ada lebih kurang 4 peti sebegini yang penuh dengan bahan mentah. Tugas Geng Dapur: memasak dengan penuh kasih sayang.

FUIYO Third Edition melabuhkan tirai tatkala tayar bas bergolek meninggalkan perkarangan Istana Yha. Meninggalkan seribu satu kenangan kepada para peserta dan AJK. Kepuasan jelas terpancar, tanda objektif program ini tercapai untuk membina karektor yang utuh yang mampu menyumbang kepada individu, masyarakat dan bangsa. Peserta kini sedar di bahu mereka tergalas amanah besar. Diharapkan mereka terus menjunjung amanah itu sehingga nafas terakhir dihembus. InsyaAllah.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada Penaja FUIYO Third Edition iaitu Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia, Karangkraf dan Malaysian Muslim Community London atas segala sumbangan dan sokongan yang diberikan. Tidak lupa juga kepada AJK dan fasilitator yang menjayakan program ini. Tanpa sumbangan anda dan izin Allah, program ini pasti tidak mampu diteruskan.


What You Give, You Get Back!


p/s: Pedulikan kalau post sangat 'skema' sebab tak tahu artikel bagaimana yang Karangkraf mahu muatkan dalam Majalah ILuvIslam..
Lagu Tema FUIYO Third Edition: Merah Saga

video

5 comments:

zaffankhalid said...

syabas Cik Secretary

Terima kasih kerana menulis =)

Mohd Shahnom Ismail said...

Salam wbt

Tahniah kepada antum yang telah berjaya menjadikan Fuiyo 3d Edition sebagai satu realiti.

Kagum dengan senarai penaja, tahniah untuk unit penajaan.

Senarai penceramah/pentazkirah yang bukan calang-calang. Tahniah sekali diucapkan.

Geng kerja dapur, you all nadi dalam program sebegini.
Orang kata kalau pengisian bagus camner pun,tp kalau makanan kurang sedap maka seluruh program akan jadi 'kureng'.

Banyak lagi mahu dikomen sebagai 'outsider'.
Sebagai penutup, tahniah diucapkan kepada penulis artikel dan empunya blog.
Teruskan menulis.
Pena yang menulis perkara kebaikan lebih tajam daripada mata pedang.

Jzk

Nur Suhaila Zulkifli said...

salam.
kepada kak zaffan: jzkk pada akak juga dan semua atas doa agar FUIYO berjalan lancar.

kepada akh shahnom:
jzkk..sama2 kita sebarkan ilmu Allah.insyaAllah.moga terus istiqamah. aminn..

joegrimjow said...

bab MC tu suka baca
;-)

dah siap report
jgn lupe post kat yg
-ke da post?-

Nur Suhaila Zulkifli said...

salam.
kepada akh joe.
orang da post la! amboi, itu la..dok sibuk promote blog sendiri. report yang da dipost lama pun tak perasan..ha3..

yang dalam blog ni, report untuk karangkraf. ish3..

selalu tak tertake note.fikir apakah? ha..jeng3x..

Followers