Bersungguh saya mahu ke Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko- SPIN) 09 anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS). Entah kenapa ada suatu kuasa aneh yang menarik saya untuk memenuhi jemputan itu meskipun tahu akan bersendirian dan tak kenal sesiapa pun. Di Shah Alam pula tu.. Semangat mahu jadi warga pendidik kot..
Segera saya menghubungi kak Munawirah. Saya tak tahu pun beliau merupakan Pengarah Ko-SPIN. Sangat sibuk tapi masih mampu melayan mesej saya yang bertanya soalan yang orang lain pun boleh jawab. Sejak itu, saya berazam mahu menjadi seorang yang mesra pelanggan. Berusaha menjawab setiap pertanyaan meskipun ia remeh bagi saya.
Tak sangka, sehari di sana, banyak yang saya dapat. Bertemu kembali dengan dua orang sahabat di Kolej Matrikulasi Melaka, yakni mantan presiden Pembimbing Rakan Dinamik (PRD), akhi Izzul dan penggerak Nadi Tarbiyah Pelajar (NTP) merangkap AJK Ko-Spin, ukhti Atikah Anuar. Berkenalan dengan orang penting UTM, KUIS, UMS, dan tak terkecuali UKM. Ko-SPIN 09 dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Hampir 300 orang (saya anggarkan) barisan kepimpinan universiti, kolej dan institut perguruan hadir memenuhi auditorium itu.
Berbalik pada Ko-Spin 09, saya rasa objektifnya tercapai. Kertas kerja dan ucapan kesemua pembentang berjaya membuka mata kami untuk menilai kembali keberkesanan sistem Pendidikan Islam yang diamalkan dalam Malaysia. Pendidikan Islam kita di sekolah sekarang hanya sebagai suatu subjek, bukan suatu sistem. Sistem yang menjadi kayu ukur corak pembelajaran dan pentadbiran sesebuah institusi pendidikan itu sendiri. Menjadi deen, cara hidup para pelajar. Ini tidak, Pendidikan Islam itu cukup sekadar di dalam kelas, diajar oleh insan bergelar ustaz atau ustazah dan yang penting buku teks perlu dikhatamkan kalau mahu A dalam PMR dan A1 dalam SPM. Sindrom A la katakan..
Dr Yusof Al-Qaradhawi berkata, “Pendidikan bagi keseluruhan hidup adalah akal, rohani dan jasmani.”
Berikut merupakan apa kata para pembentang dalam ucapan mereka dan kertas kerja yang dibentangkan. Hayatilah. Penat tau saya hadamkan 6 kertas kerja yang tebal-tebal belaka untuk kongsi dengan anda.
Kata Dato’ Dr Siddiq Fadzil, mantan Presiden ABIM, sebagai pembentang Krisis Pendidikan Masa Kini, dulu siswa siswi rasa izzah (mulia) belajar di mana-mana universiti. Apatah lagi jika belajar di Universiti Malaya atau Universiti Kebangsaan Malaysia. Lantaran Naib Canselornya adalah Prof. Ungku Aziz dan Prof. Naquib al-Attas. Dua nama masyhur. Kini, cuba tanya siswa kita. Kenal tak siapa pentadbir universiti mereka..
Warga IPT kini sudah semakin tidak mampu menegakkan kebenaran dan kedaulatan ilmu, terbelenggu dalam fenomena ‘the captive mind’ yang diserlahkan oleh Prof. Syed Hussein Alatas. Segalanya telah diputuskan dan diatur berasaskan kepentingan politik penguasa dan perkiraan untung rugi sektor korporat perdana.
Ternyata setelah 30 tahun berlalu, kita masih perlu memperjuangkan pendidikan liberatif-transformatif, pendidikan yang membebaskan anak bangsa dari belenggu ‘minda tawanan’. Pembelengguan minda yang disebut oleh Fahmiy Huwaydiy sebagai al-irhab al-fikriy atau terorisme pemikiran. Pendidikan liberatif adalah pendidikan yang membebaskan kita dari belenggu dan Islam itu adalah satu proses pembebasan.
Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan jiwa mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah), meskipun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Surah al-Jumuah:2)
Sajak Anak Muda Serba Sebelah- Taufiq Ismail
Si Toni dicabut kupingnya satu yang kanan,
Maka suara masuk kuping kiri tembus ke otak,
Dikirim baik dan jatuh di kuping kiri lagi.
Si Toni dipotong tangannya satu yang kanan,
Maka dia belajar menulis dengan tangan kiri.
Si Toni diambil satu matanya yang kanan,
Maka air matanya titis ke sebelah kiri.
Si Toni dipetik jantungnya lewat rongga kanan,
Tapi gagal kerana jantung itu mengelak ke kiri.
Si Toni dipotong ginjalnya satu yang kanan,
Tak gagal kerana sesuai secara faali.
Si Toni diambil kakinya satu yang kanan,
Maka dia main bola cuma dengan kaki kiri.
Lama-lama si Toni jadi kidal,
Kupingnya yang bisa dengar kuping kiri,
Tangannya yang main gitar tangan kiri,
Air matanya menitis di mata kiri,
Ginjalnya menyaring di sebelah kiri,
Dia tendang bola dengan kaki kiri.
Lama-lama si Toni ingin kerja,
Cita-citanya lumayan sederhana,
Dia mahu jadi sopir saja,
Tapi tak ada lowongan baginya,
Karena kenderaan setir kanan semua.
Hai tunggu dulu, Toni ini anak sayakah?
Atau anak saudarakah?
Atau barangkali kemenakan kita?
Keadaan ini memang aneh,
Sore ini jam empat tepat,
Dengarlah dia sedang mengocok gitarnya,
Dengan cara anak muda bergaya kidal,
Dan itu bukan suara gerimis, bukan
Itu air matanya,
Memukul-mukul lantai beranda.
Pendidikan menjadi suatu sistem yang mendera dan membebankan kerana it is more testing than educating. Keadaan inilah yang menimbulkan pertanyaan, “Are we preparing them for success or overloading them with stress?” Persaingan mencapai gred tertinggi telah menumbuhkan budaya menipu dan meniru yang kini menjadi gejala global. “From Beijing to Boston, student cheating is reaching new levels.” [1] Bak kata Dato’ Dr Siddiq Fadzil, dari Beijing untuk sampai ke Boston, sudah tentu virus ini singgah dulu di Malaysia.
Pembentang kedua, Prof Dr Irwan Prayitno pula membentangkan Pendidikan Islam dalam Sistem Pendidikan Nasional. Beliau berkongsi situasi di Indonesia yang lebih mengaplikasikan Pendidikan Islam sebagai suatu sistem. Afwan(maaf) kerna agak sulit bagi saya mengerti setiap bait katanya dalam kertas kerja. Bahasa Indonesia, sih.. Huhu.
Alberst Einstein pernah mengungkapkan, “Science without religion is blind, religion without science is lame.” Menurut Tholkhah, pendidikan Islam sudah seharusnya mampu menjadi lembaga pendidikan yang melakukan transfer ilmu agama (tafaqquh fi al-din) dan nilai Islam. Di samping itu juga, ia sebagai lembaga keagamaan yang melakukan kontrol sosial dan pusat perkembangan komuniti.
Bagi mencapai hasrat ini, tiga hal harus diperhatikan. Pertama, sinergi (kerjasama) antara sekolah,masyarakat dan keluarga.
Hisyam bin Abdul Malik, salah seorang pemimpin Islam tersohor, mewasiatkan kepada Sulaiman al-Kalb, guru anaknya, “Sesungguhnya anakku ini adalah cahaya mataku. Saya mempercayaimu untuk mengajarnya. Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah dan tunaikanlah amanah. Pertama, saya mewasiatkan kepadamu agar engkau mengajarkan kepadanya Al-Quran, kemudian hafalkan kepadanya Al-Quran..”
Kedua, kurikulum yang terstruktur dan terprogram dalam semua tahap pendidikan.
Khalifah Umar al-Khattab dalam wasiat yang dikirimkan kepada gabenor-gabenornya menuliskan, “ Sesudah itu, ajarkanlah kepada anak-anakmu berenang dan menunggang kuda, dan ceritakan kepada mereka adab sopan-santun dan syair-syair yang baik.”
Target ketiga, pendidikan Islam haruslah berorientasi pada pembentukan tsaqafah dan keperibadian Islam, juga penguasaan terhadap ilmu pengetahuan. Dengar macam susah? Bak kata Ketua Fraksi Partai Keadilan Sejahtera (PKS) ini, sudah saatnya, kalangan pendidikan Islam tidak perlu merasa minder, kerdil, kolot atau terkebelakang. Berani kepada orang yang berani, jangan takut pada orang penakut.
(Ok, kembali kepada Bahasa Malaysia^_^) Menurut Prof Dr Sidek Baba, pembentang kertas kerja Pendidikan Berintegratif Asas Pendidikan Islami,pendidikan ialah proses mengadabkan insan. Asas ilmu yang diperlukan oleh manusia ialah dua, iaitu ilmu mengurus diri(ilmu fardhu ain) dan ilmu mengurus sistem(ilmu fardhu kifayah).
Rasulullah saw mengungkapkan bahawa generasi yang terbina pada zamannya adalah generasi terbaik merujuk kepada kualiti pengurusan diri berasaskan aqidah yang mantap, akhlak yang tinggi dan jihad yang hebat.
Kata tokoh dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini lagi, dari berfikir menjadikan manusia tahu, kemudian berpengetahuan. Seterusnya berilmu. Dan dari ilmu membolehkan manusia memiliki hikmah yang membawa suluh dalam kehidupan.
Kenapa dulu Islam merupakan gedung ilmu dunia? Sehinggakan ilmuan Eropah datang ke Cordova dan Andalusia di Sepanyol. Pertama, ulama dan umara (pemimpin) bersinergi atau bertoleransi. Kedua, sifat semua ilmu yang berintegrasi (bersepadu). Sampaikan seseorang ilmuan itu mampu menguasai pelbagai jenis ilmu.
Ibn Sina menghafaz Al-Quran ketika berusia 7 tahun. Beliau kemudiannya menguasai ilmu falsafah untuk mengetahui hikmah di sebalik sesuatu atau kejadian. Kekuatan kajian itu membolehkan beliau mengkaji ilmu matematik dan sains sehingga unggul dalam bidang perubatan.
Tradisi Islam menganjurkan lita’arafu iaitu tradisi kesalingan yang sentiasa terbuka untuk mempelajari dan memperkongsi nilai dan perkara baik yang ada pada budaya dan tamadun orang lain.
Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal (lita’arafu). (Surah al-Hujurat :13)
Teknologi hanya boleh menjadi alat untuk membantu guru, bukan mengambil alih tugas guru sehingga menyebabkan merosotnya sentuhan keinsanan (human touch).
Marilah kita contohi Abu Yusof. Sedang di ambang sakaratulmaut, tatkala terpandang wajah anak muridnya, beliau terus bangkit untuk berdiskusi tentang haji- mana yang lebih utama, pergi haji dengan berjalan kaki atau berkenderaan. Muridnya tika itu tidak mahu berdiskusi lantaran gurunya sedang sakit tenat.
Ujar Abu Yusof, “ Wahai anakku, jika masih tersisa satu saat dalam hidupku, aku akan rela gunakan 1 saat itu untuk membantu umat Islam di sekelilingku.”
Prof Madya Dr Abdul Halim Tamuri dari Universiti Kebangsaan Malaysia menekankan tentang Sistem Pendidikan Islam di Sekolah: Satu Penilaian. Pembentang keempat ini menyatakan Pendidikan Islam diajarkan di Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Kebangsaan sebagai satu pelajaran. Manakala, alhamdulillah diaplikasikan sebagai satu sistem di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Terjadinya dualisme di sini, iaitu tiada integrasi pengetahuan.
Almarhum Prof Dr Syed Ali Ashraf menjelaskan bahawa pendidikan mestilah diasaskan pada konsep tauhid yang menjadi teras kehidupan setiap orang Islam yang tidak memisahkan antara agama dan kehidupan seharian dan melaksanakan tugasnya sebagai khalifatullah. [2]
Jika kita melihat kepada Falsafah Pendidikan Islam di Malaysia, akidah dan kepatuhan kepada Allah swt adalah asas penggubalannya. Malah, Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri memfokuskan pembangunan insan yang baik dan seimbang yang mempunyai kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Kertas kerja kelima iaitu Kes Juvana: Trend, Faktor dan Penyelesaian memang lain dari yang lain. Tuan Ghazali Daud merupakan DSP Urus Setia, Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Bukit Aman.
Pertama-tama sekali dalam ucapannya, beliau menceritakan tentang kekesalan terhadap segelintir pegawai polis yang menyalahkan kuasa dengan terlibat dengan rasuah dan pelbagai kes jenayah lain. Sehinggakan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Oleh itu, beliau meminta, jika ada anggota polis yang kita lihat melakukan perkara mungkar, sila segera adukan.
Undang-undang yang diguna pakai terhadap juvana ialah Akta Kanak-Kanak 2001 yang berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2002 dan mentakrifkan kanak-kanak sebagai seorang yang berumur di bawah 18 tahun.
Semua tahu kes juvana semakin meningkat saban hari. Pelbagai pendekatan untuk membanteras jenayah juga telah dilaksanakan. Polis Diraja Malaysia sendiri percaya semua pendekatan ini tidak akan berjaya sekiranya faktor agama tidak diletak sebagai suatu prioriti dalam sistem pendidikan.
Tuan Ghazali Daud sendiri bersetuju jika kebenaran guru boleh merotan diberi semula untuk ‘menghalau syaitan’ dalam diri pelajar itu. Ambillah ibrah (pengajaran) kenapa Rasulullah saw menyuruh ibu bapa memukul anaknya yang tidak solat setelah mereka berusia 10 tahun.
Pembentang terakhir, Dr Tajul Ariffin Nordin pula menceritakan tentang Pengsekularan Sistem Pendidikan Islam dari sudut pengalamannya sendiri. Kata pensyarah UKM merangkap Jawatankuasa Bertindak yang menolak PPSMI ini, kemuncak pengsekularan semula pendidikan di Malaysia adalah dalam tahun 2003 bila mana PPSMI dilaksanakan secara tergopoh gapah tanpa mengambil kira pandangan dari Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam.
Implikasi jika pemikiran moden adalah bersifat sekular ialah, pertama, pelajar mendapat persepsi bahawa Islam itu adalah matapelajaran Pendidikan Islam. Kedua, mereka menanggapi Islam sebagai suatu Sains Agama. Maksudnya, mereka hanya akan menyakini Islam sekiranya ada unsur eksperimen dan empirikal. Islam ditanggapi sebagai ilmu akal dan perlu bermula dengan rasa ragu-ragu (hipotesis yang perlu dibuktikan kebenarannya).
Setelah keenam-enam kertas kerja dibentangkan, resolusi dicadangkan kak Munawirah dan dipersetujui oleh hampir 90% yang hadir. Sekretariat Bertindak Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara ditubuhkan agar segala yang diperkatakan sepanjang hari itu dapat dilaksanakan.
Antara fungsi Sekretariat ini ialah:
-mengkaji dan menyemak semula sistem pendidikan negara.
-permodulan semula agar guru dapat dibentuk sebagai pendidik dan pendakwah.
-bekerjasama dengan pihak kementerian secara langsung.
-berusaha agar dapat Pendidikan Islam diwajibkan dalam peperiksaan awam di semua peringkat pendidikan.
-mengintegrasikan Pendidikan Islam kepada pelajar bukan Islam.
-mengislamisasikan subjek-subjek lain selain Pendidikan Islam.
Kepada semua yang berminat (walaupun anda bukan bakal pendidik), sila mendaftar di aktivisislam@gmail.com. Untuk maklumat lanjut, rujuk http://kongrespendidikan.blogpsot.com.
Macam mustahil kan? Tapi percayalah, jika kita bergabung tenaga, walaupun tak besar dan tak kuat (macam Wonderpet), insyaAllah kita mampu menolong anak bangsa yang kesusahan. Kalau pemimpin zaman dulu mampu mengubah dan bersungguh minta kemerdekaan walaupun melangkaui batas norma, sudah tentu kita mampu juga!
Ps: Maaf, kali ini artikel terlebih panjang. Macam hasilkan kertas kerja ketujuh pula. Huhu.. Alhamdulillah janji pada kak Zafirah, Setiausaha GAMIS hampir diselesaikan. Kongresnya pada 11 Julai lepas, tetapi baru sekarang dapat berkongsi. Afwan..
Sumber:
[1]Sunday Mail, 19 Jun 2005: 63
[2] Syed Ali Ashraf, 1994:4. ‘Faith- Based Education: A Theoretical Shift from the Secular to the Transcendent.’
No comments:
Post a Comment