Sunday, 19 December 2010

Kembalinya Seorang Pejuang

"Great man, great daie, great Muslim...an extraordinary person. In spite of his failing health in recent times, his departure still comes with a tremendous sense of loss. Thank you for your life. It made SUCH a difference to us. Anakbentong will finally rest in peace inshaAllah in Bentong, Malaysia."


Innalillahi rajiun..
Saya tekedu. Anak Bentong. Saya sangat kenal dengan nama itu, tetapi sedikit pun tidak ingat siapa.

Laman facebook itu semakin saya bawa ke bawah..

Allah..  Terungkailah siapa sebenarnya Anak Bentong. Sedih kehilangan seorang pejuang. Berderai air mata membasahi pipi.. 

Namun, subhanaAllah, setiap status dan ucapan takziah para sahabat yang saya baca, hampir semuanya tidak menunjukkan nada meratapi pemergiannya. Benar, kesedihan menyelubungi setiap yang mengenali beliau, namun status-status itu semua umpama berkata, " Tugasnya sudah selesai. Kita yang masih hidup perlu berusaha! Kita perlu sambung perjuangan beliau! " 

Terngiang-ngiang di cuping telinga, kata-kata Saidina Abu Bakar kepada Saidina Umar ketika kewafatan baginda saw.

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Surah al-Imran:144)


Kembalinya Allahyarham bukan titik noktah, sebaliknya adalah permulaan. Permulaan untuk setiap jiwa yang beliau telah tiupkan semangat untuk menyambung tugasnya. Allah.. Beratnya tugas.. Jika beliau boleh, kenapa kami tidak?! Moga kami dimatikan di jalanMu, ya Allah.


A Tribute

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah kedalam syurga-Ku.” (Surah Al-Fajr: 27-30)

Telah kembalinya seorang pejuang Allah mengadap Hadrat ilahi dengan izin Nya, Akhi Mas Afzal Masaruddin. Setiap yang pernah mendengar namanya, yang pernah mendengar ceritanya, pasti merasakan, satu kehilangan.

Setelah mendengar perkhabaran kematian beliau, status-status facebook, mula berkabung mengingati beliau. Yang mengenalinya, mahupun bukan, semua merasakannya. Satu status seorang sahabat mengingatkan saya kepada artikel yang dibaca beberapa hari yang lalu. Statusnya berbunyi “walaupun aku tak pernah bersua denganmu… “

Membaca kisah seorang tokoh ulama besar, Syaikhul Islam Muhammad bin Aslam atau panggilannya Abu al-Hassan al-Tusi.

Diriwayatkan mengenai Abn Aslam ini, setiap hadis yang ia ketahui segera diamalkan meskipun hadis tersebut lemah sanadnya. Dia juga sangat kuat beribadah di tempat yang tersembunyi daripada pandangan manusia. Ia berkata, “ Seandainya aku boleh melakukan ibadah tanpa dilihat oleh kedua-dua malaikatku, nescaya aku akan melakukannya kerana takut dengan sifat riya’.” Setiap malam, ia selalu bermunajat sambil menangis hingga pagi. Lalu setiap kali hendak keluar rumah ia segera membasuh muka dan bercelak mata agar tidak ada yang mengetahui perbuatan tersebut. Demikian hubungan baik yang terbina antara Ibn Aslam dengan Tuhannya.

Semua penduduk Baghdad pad amasa itu sangat mencintai dan menghormati beliau. Abu Nuaim meriwayatkan bahawa pada hari kematiannya, ia terlihat ratusan ribu bahkan jutaan manusia datang untuk mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan.

Melihat hal itu, Imam Ahmad bin Nasr al-Khuzai berkata kepada ,murid-muridnya,
“ Wahai saudaraku sekalian, Tidakkah kamu melihat (Ibn Aslam ini) ketika ia memperbaiki hubungan dengan Allah, maka Allah memperbaiki berjuta-juta manusia melalui dirinya?”

Kisah ini sungguh memberi kesan di hati, apabila melihat Allahyarham Mas Afzal melalui konteks ini.  Saat beliau gigih berjuang menentang penyakitnya, namun haknya kepada Allah melalui jalan dakwah tidak pernah diabaikannya. Maka, Allah membaiki diri manusia-manusia lain melaluinya. Hinggakan yang tidak pernah bersua dan bertemu dengannya, mungkin hanya membaca tulisan-tulisan semangatnya di blognya, sudah cukup merasakan semangat seorang pejuang ini, yang tidak pernah berhenti berlari, walupun ujian berat mendepaninya.

Seorang ulama tabiin di Madinah yang bernama  Abu Hazim Salamah bin Dinar pernah berkata,
“ Tidaklah seseorang memperbaiki hubungannya dengan Allah s.w.t, melainkan Allah akan memperbaiki hubungannya dengan semua hamba-Nya. Dan tidaklah ia merosakkan hubungannya dengan Allah, melainkan Allah akan merosakkan hubungannya dengan semua hamba-Nya “

Saya telah mendengar kisahnya dari mulut dan perkhabaran rakan-rakan lain sebelumnya. Kemudian hanya berpeluang mengenalinya melalui blognya sahaja. Kemudian, pada cuti musim panas yang lalu, kami tekad untuk membawa beliau menjadi penceramah program DIA ATAPHIJAU untuk berkongsi pengalaman hidupnya.

Sungguh beliau seorang yang cekal. Tabahnya seorang daei turun ke medan jihad ini walau tubuh mengheret ke bumi. Kesanggupan beliau datang ke program, yang bukan sedikit meragut tenaganya, tidak sedikit pun membuatkan senyumnya kurang, malah semakin manis ketika menyapa dan semangatnya tidak sedikit pun luntur tatkala berkongsi pengalaman dan ilmunya. 


Sungguh, dia seorang pejuang yang dikagumi. Masakan tidak yang mengenalinya mengatakan beliau seorang yang tidak pernah berhenti berlari. Sentiasa berlari kearah Tuhannya dengan penuh semangat dan kecintaan.

Allah lebih menyayangi hamba-Nya. Kembalinya Seorang Pejuang kehadrat Ilahi, meninggalkan kesan motivasi dan semangat yang cukup mendalam dalam diri-diri manusia yang pernah disentuh olehnya, secara bersemuka, mahupun secara tulisan. Kisah perjuangannya menjadi inspirasi. Kisah ketabahannya menjadi saksi bahawa dia pejuang sejati.

Jangan biarkan perkabungan hari ini mati bersama waktu yang berlalu. Jadikan hari ini sebagai saksi yang menjadi sumber inspirasi kepada diri kita semua untuk mencontohi si pejuang yang sejati. Mencontohi keperibadiannya, mencontohi kerendahan hatinya, mencontohi ketabahan nya di medan perjuangan ini.

Tangisan kesedihan kita menangisi kepulangannya akan berhenti jika tidak esok, lusa. Namun, jangan biarkan butir tangis beliau di medan ini kering dari menjadi saksi membakar semangat inspirasi dalam diri kita, untuk meneruskan perjuangan yang telah beliau tinggalkan kepada kita.

Dan jangan  biarkan medan jihad dan dakwah ini kering dan gersang dengan pemergiannya. Biarlah kita, yang hari ini menangisi pemergiannya, membasahkan medan jihad ini dengan peluh, airmata dan darah kita sebagai ganti kepada yang telah pergi, agar kesinambungan dakwah ini berterusan membawa kita bersamanya, didalam hati dan doa.

Untuk kita yang masih tinggal dimedan ini, berjanjilah untuk terus berbakti tanpa berhenti. Berjanjilah atas kesaksian ini bahawa kita akan terus melangkah dengan izin Allah yang Maha Kuasa. Berjanjilah, berjanjilah, berjanjilah dengan diri dan Allah yang menjadi saksi.

Sengaja saya memilih tajuk Kembalinya Seorang Pejuang, bukannya Pulangnya Seorang Pejuang, pulang bererti meningalkan, namun, kembali bermaksud, ia datang bersama kita. 


Pemergiannya akan mengembalikan semangat yang tidak pernah pudar dalam diri kita. Di saat diri kita rebah dan lemah, ketabahan beliau, semangat beliau akan KEMBALI kepada kita, kembali mengingatkan kita akan kisahnya yang cekal, dan mendorong motivasi kita untuk bangkit semula.

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah kedalam syurga-Ku.” (Surah Al-Fajr: 27-30)

Semoga Allah mencucuri rahmat keatas ruhnya dan menempatkan beliau bersama hamba-hambanya yang soleh.

Al-Fatihah
* Seluruh crew AtapHijau mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Mas Afzal Masaruddin *


" Kehadiranku tidak dirasai, pemergianku tidak ditangisi"


Kata-kata Allahyarham yang terkesan di hati. Benar kami menangisi pemergiannya, namun kami tidak meratapinya. Menangis kerana rasa sedih tiada lagi peluang bertemu di dunia. Namun, kami gembira dia telah menemui TuhanNya.



Dari Umar Ibnu al Khattab ra bahawa beliau pergi ke masjid Rasulullah pada suatu hari. Beliau mendapati Mu’az bin Jabal duduk di sisi kubur Rasulullah saw dalam keadaan menangis. Umar bertanya : “Apakah yang membuatkan kamu menangis?” 

Mu’az menjawab : “Aku menangis kerana telah mendengar Rasulullah saw bersabda : ‘Sesungguhnya riya’ yang sedikit adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah, sesungguhnya dia telah berperang dengan Allah. Allah mengasihi orang-orang yang baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang, orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka, mereka tidak dipanggil dan dikenali. Hati-hati adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah berdebu yang gelap.”



Catatan UHAJ


Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.


Antara jiwa yang telah diperbaiki melalui dakwahnya dan izin Allah,
Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

2 comments:

Jamilah Mohd Norddin said...

Assalamualaikum,

Benar sekali. Selesai sudah kerja beliau..

Kita yang hidup inilah perlu meneruskan perjuangan!

su_zul said...

Waalaikumsalam wbt ya ukhti:)

Jazakillahu khair kerana sudi ziarah.

Ya, benar. Kitalah mata rantai dakwah yang perlu dicantumkan pada utas itu.

Kitalah penyambut panji Islam.

Takbir!

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...