Saya rasa, tidak perlulah saya
mengulas keseluruhan pengisian kursus yang lebih menyerupai silibus Pendidikan
Islam di sekolah. Apa yang boleh saya ceritakan di sini adalah nota utama yang
lebih signifikan, bukan untuk mengisi ruang kosong di atas kepingan kertas
peperiksaan, namun yang akan ditulis oleh kalam malaikat di kiri dan kanan. Diingatkan bahawa penulisan ini adalah adunan
dari pengisian Ustaz Amar dan juga apa yang diproses di minda.
Penceramah,
Ustaz Amar yang merupakan Education Attache (Agama) Education Malaysia
memulakan pengisian dua hari ini dengan ingatan agar membetulkan niat agar
tidak datang ke program ini semata-mata untuk mendapatkan sijil. Terkena pada batang hidung sendiri. Tambah-tambah lagi, sudah kerap kali mendengar
pengisian baitul muslim yang selalunya bersifat teori.
Melihat pada
skrin di hadapan, telah nyata ada 11 unit pembentangan dalam modul bersepadu
ustaz. Unit pertama berkenaan aqidah, diikuti ibadah dan akhlak . Kami diingatkan bahawa asas segala ibadah adalah bermula dengan
aqidah yang jelas. Termasuklah pernikahan. Hatta, bila menilai soalan-soalan
yang dikemukakan peserta sepanjang kursus, saya melihatkan permasalahan itu
sebenarnya dapat diatasi dengan mencegahnya. Mendapatkan pasangan yang punya
iman dan taqwa di dada.
Tiada isu bagaimana kalau suami itu
menceraikan kita dengan talak sebanyak bintang di langit, bagaimana kalau
isteri itu dan ini.. Seorang muslim mungkin akan melakukan kesalahan sebegini,
tetapi seorang mukmin akan fikir dahulu dosa dan pahala. Pada seorang mukmin,
pernikahan itu bukan sekadar satu ikatan jiwa atau simpulan hati, tapi juga
tanggungjawab yang diletakkan kepada pasangan tersebut untuk mendaulatkan Islam
dalam keluarga, masyarakat dan negara. Pasangan mukmin juga akan sedar bahawa andai lidah mereka
tergigit, sumber rujukan mereka adalah Al-Quran dan as-sunnah.
Pasangan mukmin
akan sedar bahawa aqidah yang kukuh adalah benteng andai masalah datang
menyerang. Usia rumahtangga yang dibina bukanlah tanda kematangan dan keutuhan
mahligai itu dalam menghadapi ancaman gelora yang menerpa, kerana ada yang
telah retak walaupun belasan tahun bersama.
Islam telah
menggariskan 6 hukum dalam ibadah yakni wajib, harus, sunat, makruh, haram dan
fardhu. Beza antara wajib dan fardhu amat ketara dalam haji. Haji adalah ibadah
fardhu. Di dalamnya ada ibadah wajib dan sunat. Semua perkara muamalat asas
hukumnya adalah harus, namun hukum ini boleh berubah mengikut keadaan. Begitu
juga nikah. Untuk tahu bilakah masanya kita sesuai untuk bernikah, kajilah
kembali hukum bila mana nikah itu adalah wajib, harus, sunat, makruh mahupun
haram untuk kita.
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“Dan bergaullah kalian (para suami) dengan mereka (para isteri) secara patut.” (Surah An-Nisa`: 19)
”Sebaik-baik
perempuan atau isteri ialah bila engkau menatap kepadanya, menggembirakan hati
engkau. Dan bila engkau menyuruh dia mengikut perintah engkau dan bila engkau
bersumpah atasnya, dia berbuat baik terhadap engkau. Dan bila engkau tiada di
rumah, dia menjaga dirinya dan harta engkau.” (Hadis riwayat al-Nasai)
Sudah diketahui
bahawa kewajipan isteri adalah mentaati suami. Hal ini kerana, sewaktu akad
nikah, telah berpindahlah tanggungjawab bapa isteri itu untuk dipersoalkan oleh
Allah andai isteri itu melakukan sebarang dosa. Apabila telah bernikah,
suamilah yang menanggungnya. Maka isteri wajiblah taat pada suami selagi mana
ia tidak bercanggah pada syarak.
Melangkah ke
Unit Perkahwinan, kami ditekankan tentang matlamat sebenar perkahwinan yakni السكينة (ketenangan), المودة (kasih sayang) dan الرحمة (belas kasihan). Dan
matlamat inilah yang selalunya terselindung di balik tanggungjawab menjaga
anak-anak hingga terlupa hubungan suami isteri yang semakin hambar.
Sebelum
berkahwin, persediaan yang perlu ada tentunya ilmu fardhu ain dan kifayah,
ekonomi dan juga kesediaan hidup bermasyarakat. Diingatkan bahawa
ketidakstabilan ekonomi dalam keluarga antara penyumbang utama keruntuhan
rumahtangga.
Kalau di negara Arab, sebelum berkahwin, perlu ada kunci kereta dan rumah.
Melangkah seterusnya ke fasa pertunangan, yang merupakan perjanjian
antara pasangan itu untuk berkahwin. Ketika itu, tanda diberi sebagai nilai
harga pertunangan itu. Tidak semestinya cincin, kain batik berlabuci pun boleh
juga ;p
Seterusnya,
apabila dua insan itu disatukan dalam majlis akad nikah, walimatul urus atau
kenduri kesyukuran diadakan bagi menghebahkan perkahwinan itu dan menimbulkan
keberkatan dan ketaqwaan. Malahan ia adalah sunat muakkad.
”Mengadakan
kenduri kahwin pada hari pertama perkahwinan adalah dituntut. Dan pada hari
kedua adalah kebiasaan. Dan pada hari ketiga adalah bermegah-megah dan
menunjuk-nunjuk.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Selepas
pernikahan, pasangan perlu bersedia dengan kehidupan yang penuh kejutan. Hidup
baru bersama suami yang baru sepenuhnya dikenali, dengan keluarga mertua hatta
dengan anak-anak yang bakal lahir.
Muhasabah dan
perbincangan adalah satu keperluan untuk menangani sebarang tekanan mahupun
konlik yang dihadapi oleh pasangan dan rumahtangga. Oleh itu, kami telah
diminta menjalani ujian personaliti ’Johari window’. Ujian ini untuk muhasabah
dan menambah baik diri bagi menjadi individu yang boleh membawa hubungan yang bersifat
terbuka dan lebih telus. Agar suami isteri itu menjadi seperti sahabat baik
yang tidak silu berkongsi suka dan duka.
Menariknya kursus
yang di Warwick ini berbanding dengan tempat lain adalah bengkel yang diuruskan
oleh kakak-kakak dan abang-abang postgrad. Kami dibahagikan untuk membincangkan
3 isu. Isu pertama adalah ciri-ciri suami dan isteri pilihan. Mendengarkan
pembentangan 6 ciri-ciri isteri pilihan dan 17 (tidak termasuk ciri-ciri
terselindung di balik koma dan ’dan’) ciri-ciri suami pilihan, dapat
disimpulkan bahawa semua mengimpikan pasangan berakhlak mulia.
Terlupa nak ambil gambar ciri-ciri isteri yang tidak diingini. Antaranya, shopaholic. Susah tu akh kalau nak jumpa yang tak suka shopping;p
Tiada khilaf
apakah yang dimaksudkan dengan akhlak mulia. Semua mengimpikan yang baik. Dan
Allah telah beritahu yang baik itu adalah untuk orang yang baik. Bukan sekadar
beritahu, tapi agar kita berusaha ke arah itu. Antaranya melalui peningkatan
ilmu secara berguru (secara berdepan lebih keberkatannya) dan juga penghayatan
kehidupan berjemaah. Ustaz berkongsi tips, kita akan dapat mengenali akhlak
sebenar seseorang itu andainya kita telah kenal lama orang itu, atau boleh juga
kita menggunakan orang tengah yang rapat dengan orang itu.
Isu lain yang
dibincangkan adalah cadangan aktiviti yang boleh dibuat untuk meluangkan masa
berkualiti dengan keluarga atau pasangan dan kesan akibat bercerita masalah
rumahtangga pada orang luar. Menarik bila satu kumpulan menyentuh berkenaan
bahana Facebook yang merupakan media yang berpotensi menjadi bahaya sekiranya
disalahguna untuk mengadu masalah rumahtangga. Setiap perkara dalam rumahtangga
yang diceritakan di alam maya boleh mencetuskan fitnah malahan persepsi kepada
umum dan mampu menjejaskan imej kita di khalayak, hingga hilang kepercayaan
pasangan mahupun masyarakat ke atas kita.
Kursus ini
ditutup dengan peringatan bahawa kita perlu mengubah paradigma melihat pernikahan
sebagai kemuncak percintaan, sebaliknya puncak kita adalah apabila kita dapat
pastikan bahawa ahli keluarga kita (pasangan dan anak-anak) akan ke syurga.
Usai menamatkan
dua hari berkursus pra-perkahwinan, saya merasakan kepentingan yang sama perlu
diterapkan kepada muslimin dan muslimat untuk terus menimba ilmu menerusi
kursus pasca perkahwinan pula. Pengalaman mengikuti kursus pasca perkahwinan dua
tahun lepas sangat membuka mata, bahawa perkahwinan itu bukanlah indah dan
tenang yang seperti yang kita sangka. Masakan baginda saw boleh meletakkan
perkahwinan itu sebagai separuh pelengkap kepada agama andai ia mudah sahaja
dilalui.
"Verily, my solah, my sacrifice, my living, and my dying are for Allah, the Lord of all that exists."
Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham
No comments:
Post a Comment