"Am nak sentuh Ros..", pilu si suami menuturkan kata. Melihat sekujur jasad di hadapannya. Insan yang dinikahi dulunya, insan yang telah melahirkan 2 zuriat untuknya. Kini insan itu hanya sekujur jasad, tidak bernyawa.
Suasana hiba menyelubungi ruang itu. Semua di situ mengalirkan air mata. Awalnya, seluruh keluarga tidak tahu bagaimana mahu menyampaikan berita sedih itu kepadanya. Namun, akhirnya dia tahu daripada mulut doktor yang merawat.
Isterinya telah tiada. Meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan maut yang mereka anak beranak terlibat. Kini beliau telah kehilangan isterinya. Anak-anaknya telah kehilangan ibu mereka.
Di ruang itu, dia menyampaikan hasrat. Dia mahu menyentuh isterinya. Namun tubuhnya sendiri cedera parah. Tidak boleh bergerak. Patah anggota sana dan sini. Dan sekujur jasad di hadapannya itu telah terbaring kaku.
Lalu, jasad si isteri yang telah pergi diangkat dan dibaringkan di sebelahnya. Agar bisa si suami menyentuh insan yang dicintai buat kali yang terakhir. Di dunia ini..
Dan dengan susah payahnya, isteri itu dikucup dahinya. Dahi yang sama dikucup saat lafaz nikah selamat dimeterai.. Dan itulah kucupan terakhir..
***
Kami yang mendengar kisah ini, sebak. Air mata langsung tak mampu dibendung. Sebak mengenangkan betapa saat kehilangan, sekecil-kecil kenangan bersama insan tercinta, itulah jadi memori teragung..
Sentuhan itu.. Kita selalu lupa.. Kita selalu tidak menghargai..
Ya, ia hanya sekadar sentuhan. Namun itulah yang bakal dirindui.. Rindu yang takkan pernah padam dan terubati. Kerana insan itu telah pergi, menghadap Ilahi..
Saat kita bersama, sentuhan itu hanya dianggap biasa. Tak bawa apa-apa makna. Tapi percayalah, bila ia tiada, kita akan terasa.
Air mata mengalir bersama peringatan yang Allah mahu berikan.. Hargailah insan yang kita sayang. Walaupun ada kala kita membencinya, kita marahkannya, kita tetap tidak boleh menipu, kita tetap cintakannya.
Cintailah seperti mana itu adalah cinta terakhir. Sentuhilah seperti mana itu adalah sentuhan terakhir..
Moga Allah satukan mereka kembali di syurga. Moga Allah himpunkan kita bersama insan dikasihi di syurga.
No comments:
Post a Comment