Friday, 14 May 2010

Monolog Hati


Bila imtihan mula menghampiri, spiritual, emosional dan fizikal kebanyakan orang mudah terganggu. Mungkin lantaran terlalu memikirkan?


Menghadap tasik di Lake Side, University Park.. Emosi yang tidak stabil ini cuba ditenangkan. Tasbih dicapai. Memandang alam yang luas mata memandang. Membuatkan saya terfikir, kenapa Dia terlalu pengasih pada hamba ini? Tak layak pun saya berada di sini, merasai nikmat alam sedangkan ada orang lain yang lebih layak menuntut di sini.


Jejaknya kaki saya ke United Kingdom, bukan semata-mata memberi kemasyhuran pada nama, belajar di luar negara, tapi di sini saya ketemu Islam. Islam yang membuatkan saya rasa saya cukup dengan kasih sayangNya. Yang membuatkan saya tinggalkan sesuatu yang pernah saya sayang, sebab mahu kasih sayangNya.


Ya Allah, layakkah aku berada di sini? Layakkah aku?

Pandangan yang telah pun berkaca dihalakan jauh ke depan.. Melihat keriuhan itik menjunamkan diri ke dalam tasik buatan di hadapan Trent Building itu. Damainya mereka. Riang gembira tanpa perlu memikirkan tekanan menghadapi imtihan, tekanan dengan manusia-manusia sekeliling, tekanan dengan pelbagai masalah dunia lain yang hanya akan hilang bila nyawa berpisah dari badan..

Tapi kita, manusia diciptakan sebagai khalifah.. Memikul tanggungjawab besar untuk mentadbir alam dan makhluk lain yang tidak punya akal dan nafsu. Takkan kita mahu menyerah kalah dan berundur diri dari menghadapi segala macam tekanan yang sebenarnya akan mematangkan kita?

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Lama berfikir.. "Aku harus kuat! Perlu teruskan! Aku perlu terus berada di sini, agar aku dapat mantapkan diri. Agar mampu istiqamah bila aku pulang kelak. Ya Allah, kuatkan hamba ini.." Allah percaya pada kita waktu Dia pilih ruh-ruh ini ke dunia. Kenapa kita sendiri tidak percaya pada diri?

Oh, tenangnya menelaah bila berdekatan dengan hamba-hambaNya yang sentiasa berzikir padaNya.
تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالأَرْضُ
وَمَن فِيهِنَّ وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلاَّ يُسَبِّحُ بِحَمْدَهِ
وَلَـكِن لاَّ تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ
إِنَّهُ كَانَ حَلِيماً غَفُوراً
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Surah al-Israa:44)

Sedang muhasabah diri, saya 'disapa' oleh seekor makhluk kecil. Seekor tupai UK yang montel, mahukan makanan. Sebak mula hilang melayan karenah si tupai yang enggan makan bersuap. Malu tapi mahu. "Thanks, Allah for sending me this little creature to cheer me up.."




p/s: Jangan risau, saya tidak apa-apa. Apa yang tertulis di atas, hanyalah monolog hati yang jarang-jarang mengadu pada Dia..

Jazakumullahu khairan katheera atas keprihatian antum.:)

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku,dan matiku hanya semata-mata bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Nur Suhaila Zulkifli
Nottingham.

2 comments:

waney YR said...

rindu notts..
;(

su_zul said...

Salam waney :)

Rindu Nott je? Orangnya?
:P

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...