Sunday, 17 April 2016

Usah Bertangguh

Bila menerima satu lagi berita kematian seorang yang menggerakkan dakwah dan tarbiyah, cukup menjentik hati dan jiwa, betapa mati itu dekat. Dan saat itu akan tiba tanpa menunggu kita sedia berdakwah dan mentarbiyah.

Allahyarhamah bukan pertama yang memberi tarbiyah kepada saya waktu kematiannya.
1) Akh Mas Afzal. Graduan dari  Sheffield. Meninggal dunia akibat kanser tak lama selepas mendapat ijazah perubatan. Fasilitator yang menjadi role model buat saya yang baru menjejakkan diri ke UK. Sangat dikenali di seluruh UK Eire dengan kepimpinan dan sumbangan beliau untuk Islam. Masih mampu memberi ceramah walaupun doktor telah memaklumkan beliau sudah tenat, tiada harapan untuk diubati lagi.

2) Saudara Arif. Graduan seuniversiti, dari Nottinggam. Meninggal dunia akibat kemalangan maut, ketika pulang selepas majlis akad nikahnya sendiri. Berita itu diterima kami tanpa terduga. Seorang penggerak usrah. Low-profile namun hebat memberi.

3) Hajar. Junior saya di Kolej Matrikulasi Melaka. Terlibat dengan kemalangan selepas menziarahi adik-adik di KMM. Sewaktu di KMM, menjadi penggerak program tarbiah di sini. Waktu jenazah diuruskan, bila kain penutup mukanya dibuka, jelas terserlah wajah damai yang tersenyum tenang. Allahurabbi, mengalir laju air mata kami waktu kami melihatnya.

4) Kak Nida Fatin. Graduan dari Leicester. Meninggal dunia akibat kemalangan semalam.  Antara kakak yang menjaga kami dengan penuh kasih sayang saat kami baru tiba di suatu negara yang asing. Gigih membawa kami ke program-program tarbiah dan tidak jemu-jemu berusrah dengan kami. Jarak bukan penghalang. Nottingham-Leicester-Birmingham, itu biasa.

Benarlah, jangan sekali-kali bertangguh untuk berjuang untuk Islam. Kalau nak menunggu sampai habis belajar baru kita nak terlibat dengan program, takut kita tak sempat. Kalau nak menunggu sampai sudah lapang dari komimen kerjaya dan keluarga, takut kita sudah terlewat. Kalau nak menunggu hingga hidup kita telah sempurna harta, takut hal dunia yang dikejar itu tak dapat.

Takut nyawa yang dipinjam ditarik Allah bila-bila masa. Secara perlahan-lahan melalui penyakit contohnya mahupun secara mendadak melalui kemalangan mahupun dalam tidur.

Berjuang untuk Islam bukan sebab nak kejar jawatan, nak dikenali kerana ada adik-adik usrah. Malah perjuangan itu bukan dibentang dengan karpet merah. Hingga ada masa, kita terduduk dan menangis, betapa penatnya jasad ini menanggung beban dakwahNya. Betapa terseksanya jiwa saat dikritik oleh kawan mahupun lawan. Dan saya percaya keempat-empat mereka ini melaluinya. Dan kini mereka telah tenang di sana.

Berjuang semata-mata mencari redha Allah. Supaya nanti bila ditanya apa yang dihabiskan saat hidup kita untuk Islam, setiap anggota yang pernah bekerja di jalan Allah mampu menjawab di hadapan Tuhan kelak. Mati itu pasti dan kita tidak tahu bila kita akan mati. Usah bertangguh.

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...