Saturday, 2 July 2016

Warga Emas, Usia Emas?

Menunggu suami yang membeli sesuatu di kedai runcit yang masih dibuka. Jam melewati pukul 10 malam. Seraya mata tertancap pada satu gerai mudah alih di hadapan kedai itu. Menjual popia basah dan ada juga popia goreng. Kelihatan seorang anak muda sedang mengemas gerai itu.

Kemudian, mata beralih pada seorang nenek tua. Sudah bongkok badannya. Dengan melangkah perlahan, dia melintasi kedai itu. Persoalan menerpa dalam minda, apa nenek itu buat di situ pada waktu sebegini.

Mata kembali leka melihat gadis berbangsa Cina itu cekap mengemas gerainya. Tak lama nenek tua itu datang menghampiri anak muda itu. Cucunya, saya kira. Mengambil beberapa bekas untuk dicuci di paip air di tepi kedai itu. Sambil terbongkok-bongkok, nenek itu meneruskan kerja.

Dan nenek tua itu bukan satu-satunya warga emas yang masih membanting tulang untuk menampung kehidupan sehari-hari.

***
"Why we see these days, old people still need to work to support their lives? Shouldn't they have enough savings from their job before they get old?"

Terngiang-ngiang kata tenaga pengajar kami waktu kami mengikuti training class untuk unit trust. Betul, warga emas ini bukannya menganggur waktu mereka muda. Mereka bekerja. Dan bila menjengah usia tua, dengan saki baki tulang 4 kerat yang makin uzur, mereka masih juga bekerja. Tidak dapat menikmati financial freedom..

Sedangkan sepatutnya usia emas itu digunakan untuk berehat dan mengejar sebanyak mungkin amal ibadat. Menikmati masa berbaki dengan keluarga tersayang.

Teringat perkongsian Pakdi (Suzardi Maulan) dalam program kami bertahun-tahun lepas. Ibrah dari surah Yusuf.

"Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). “Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”. (Surah Yusuf: 47-49)

Surah ini bukan sahaja memberi biodata lengkap sirah hidup seorang nabi. Tetapi memberi panduan terbaik bagaimana manusia perlu menguruskan duit mereka hingga boleh mengeluarkan zakat, sesuai dengan tuntutanNya. 

Langkah-langkahnya ialah:
1) menanam bersungguh-sungguh:bekerja sehabis baik dan beroleh pendapatan yang halal.
2) apa yang dituai biarkan pada tangkai melainkan sedikit untuk dimakan : sebahagian besar pendapatan disimpan atau digunakan untuk membeli aset. Hanya sebagian kecil dihabiskan untuk perbelanjaan.
3) akan datang kemarau yang akan menghabiskan makanan kita: akan tiba waktu susah yang kita terpaksa menggunakan apa yang kita simpan.
4) melainkan sedikit untuk dijadikan benih: melainkan baki dalam simpanan kita itu yang biarpun sedikit tetapi membolehkan kita menjana pendapatan lebih besar bila zaman susah itu berakhir.
5) akan datang tahun yang turunnya rahmat dan padanya dapat memerah hasil: dari simpanan berbaki sedikit yang kita jadikan benih, akhirnya bercambah membuahkan hasil yang dapat kita nikmati.

Ringkasnya, ayat-ayat ini menyeru agar kita SIMPAN dan LABUR.

***
Apa yang saya dan sahabat-sahabat perhatikan, biasanya orang susah ini masih hidup susah kerana mereka tidak ketemu cara untuk keluar dari kesusahan. Kerana itu, tidak sepanjang masa, wang tunai adalah sedeqah terbaik untuk mereka. Idea dan cadangan untuk membaiki taraf hidup itu yang lebih utama.

Paling ketara, ramainya tidak langsung menyimpan. Saya merujuk pada golongan miskin yang pendapatan seisi rumah kurang RM3000. Ya, memang banyak masanya susah, tapi pasti akan ada masa senang, yang Allah lapangkan rezeki pada tika itu. Itu janji Allah. Dalam kesusahan pasti ada kemudahan. Dan ketika ada kemudahan itulah, menyimpanlah.

Tapi apa yang berlaku, golongan susah ini mahupun tidak bergelar orang susah sekalipun sebaliknya menghabiskan duit lebihan rezeki diperolehi saban hari mahupun sumbangan orang ramai untuk belanja hangus. Tiada baki untuk menyimpan. Apatah lagi, untuk dilaburkan untuk aset yang bakal menjadi milik kita (rumah, tanah, emas) mahupun wasilah (jalan) untuk kita menjana pendapatan lebih besar iaitu modal.

Mungkin alasan tidak menyimpan itu kerana tidak nampak faedahnya menyimpan. Tetapi percayalah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. RM10 yang pada hari ini nilai yang kecil, jika disimpan di bawah bantal setiap bulan dalam masa 3 tahun, sudah RM360. Jika disimpan dalam bank setidak-tidaknya sudah RM360.18. Jika disimpan dalam dana unit amanah, paling koman, sudah RM371. Kalau menyimpan RM100 setiap bulan, apatah lagi.

Saya sendiri bukan datang dari keluarga senang. Jadi, saya juga pernah merasa keadaannya bila terpaksa berjimat cermat hingga adakala perlu mengikat perut. Saya pernah melalui era berkayuh basikal keliling kampung untuk menghantar kuih-muih air tangan Ma ke kedai dan gerai. Ada kala, di pertengahan jalan, bekas-bekas kuih yang bertindan-tindan itu terjatuh dari basikal ke tanah. Habis rosak sebahagian kuih. Pulang ke rumah dengan hati yang sebal, dimarahi pula Abah kerana cuai. Namun, hasil upah 20 sen diberi Ma saban hari itulah yang dipinjam Abah bila kesuntukan wang untuk belanja dapur. Ya, 20 sen yang saya tabungkan setiap hari yang saya rasa, hasil terkumpul mencecah RM50. Dan ketika itu, saya baru bersekolah rendah.

Itu sebabnya, bila menziarahi golongan asnaf ini, hati meronta mahu berbual panjang kepada mereka. Mahu memberi semangat kepada anak-anak mereka agar berusaha mengubah nasib keluarga dengan kesungguhan dalam menuntut ilmu. Jika anak seorang buruh kontrak ini boleh, masakan mereka tidak boleh. Hanya kerana mereka tidak ketemu cara.

Tidak susah sebenarnya menyimpan. Yang penting, mulakan. Tak kisahlah nak simpan dalam bentuk apa. Duitkah, emaskah. Yang penting, mula sahaja. Jangan malu nak bertanya. Jangan ego untuk mengambil inspirasi dari orang lain. Allah maha adil. Dia lebihkan kita untuk suatu bahagian tapi akan ada bahagian yang kita kurang. Yang perlu kita tampung dengan berkongsi dengan orang lain.

Jangan sampai bila kita sudah jadi warga emas, baru kita tersedar. Biarlah waktu itu adalah usia emas kita. Menikmati kewangan yang merdeka. Tidak bergantung pada orang lain. Untuk itu, perlu bermula saat ini.

Sekadar berkongsi,
Si anak pembuat kuih dan pekerja kontrak

#celikharta
#hartaduniasahamakhirat
#sayaperundingunitamanahberlesen

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...