Wednesday, 30 August 2017

Amal yang Kekal Berpanjangan

Alhamdulillah pada 26 Ogos 2017 lalu, beberapa wakil dari Amalnita berkesempatan menziarahi 5 adik beradik yatim piatu di Batu Kikir.

Mereka kehilangan ibu bapa mereka dalam sekelip mata apabila kedua-duanya terlibat dengan kemalangan. Tidak semena-mena, motosikal yang ditunggangi mereka dilanggar oleh tayar lori pasir yang tercabut pada 10 Ogos lalu. Berita berkenaan ini telah disiar di dada akhbar dan mendapat liputan luas.

Syukur alhamdulillah, saudara mara dan jiran tetangga sangat mengambil berat akan kebajikan anak-anak ini. Kunjungan orang ramai yang menghulurkan bantuan juga tidak putus-putus datang ke rumah. Malah isteri Menteri Besar N. Sembilan sendiri telah menziarahi mereka.

Masha Allah, pasti ibu bapa ini ada amal istimewa sewaktu hidup. Hingga kini, walaupun telah 2 minggu berlalu, bacaan yasin dan tahlil tidak pernah putus. Segala urusan tuntutan wang bantuan masyarakat dan sebagainya juga telah ada yang menguruskan. Segalanya mudah.

Anak-anak ini meski hidup dalam rumah yang kecil, namun ibu bapa mereka tidak meninggalkan mereka dengan sedikitpun hutang. Dari kecil anak-anak ini telah diajar untuk hidup dengan apa yang ada. Dididik sempurna dengan ilmu agama hingga anak-anak yang lebih tua sedar tanggungjawab yang perlu digalas mereka kini.

Sungguh ada banyak ibrah tersembunyi dari pemergian mereka. Insan biasa, namun perginya luar biasa. Dan perginya mereka secara tiba-tiba mengundang kerinduan yang amat dalam pada anak-anak ini.

Semasa ziarah tersebut, selain memberi kata-kata semangat dan mendengar luahan kerinduan anak-anak ini, sumbangan kewangan turut disampaikan.

Sumbangan dari Amalnita dan juga dari Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) telah disampaikan oleh Setiausaha Amalnita N. Sembilan, Pn Nur Suhaila kepada anak sulung keluarga ini, adik Shamila. Adik Shamila merupakan bekas pelajar KMM. Lalu kutipan sumbangan di peringkat kolej telah digerakkan oleh Pn Nur Suhaila yang juga merupakan salah seorang pensyarah KMM.

Moga sedikit sebanyak sumbangan ini mampu meringankan beban yang dipikul. Berat mata kami yang memandang, berat lagi bahu mereka yang memikul. Moga Allah kuatkan mereka 5 beradik untuk mengharungi ujian yang bakal mendatang.

Jazakumullahu khairan kathira dan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang. Hanya Allah yang mampu membalas keprihatinan tuan/puan.

Apa yang kita beri, itu yang jadi milik kita.

27 Ogos 2017

Batu Kikir

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...