"Bestnya Su, dapat masuk Seri Puteri.."
Orang nampak saya sangat beruntung dapat masuk sekolah elit. Sekolah anak-anak Dato, orang berada, berkereta mewah. Outingnya ke Alamanda, Putrajaya. Tapi orang tak tahu, saya dihantar ke sekolah hanya dengan motosikal dibonceng Abah. Ada kala, bila hujan, kami berhenti di tepi jalan. Mencari tempat berteduh. Menunggu hujan berhenti sebelum meneruskan perjalanan hampir dua jam. Ada masa juga, hujan lebat itu terus diredah, takut lambat nak masuk asrama.. Hujan membasahi muka, selaju air mata yang mengalir di pipi. "Sungguh ya Allah, andai aku lupa diri nanti, Kau sambarlah aku dengan petir.." Hati terus berbisik.. Mengingatkan diri..
Saat keluarga datang melawat di hujung minggu, acapkali Abah segan dengan kereta-kereta mewah yang diparkir. Lalu motor usang itu diletakkan di tempat tersorok di kawasan sekolah.
Kesusahan demi kesusahan itu membuatkan saya sedar, saya perlu ubah nasib keluarga. Cukup saya membesar dalam keluarga yang susah, namun saat saya dewasa keluarga ini mesti jadi senang. 9A1 dalam SPM, juga award achievers setiap kali peperiksaan jadi batu loncatan untuk saya sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
...
"Mesti seronok belajar kat UK kan.."
Orang nampak saya seronok belajar luar negara, merata berjalan negara-negara orang. Tapi orang tak nampak, elaun biasiswa diberi kerajaan, hampir setiap bulan saya bahagi dua. Dihantar ke Malaysia untuk kegunaan keluarga. Pekerjaan Abah sebagai buruh kontrak, Ma pula membuat kuih dan nasi lemak untuk dihantar ke kedai-kedai. Keluarga kami bukan senang.
Saya berjimat hingga banyaknya baju yang dibeli hanya berharga 20 pence dari Carboot. Sekitar seringgit sehelai.. Paling mahal baju dibeli hanya baju sejuk berketak-ketak berharga GBP20.
Sampaikan saya berniaga nasi kerabu dan nasi lemak di bumi Nottingham untuk cari duit sara hidup. Pernah, tahun keempat saya ke sana, saya kembali ke UK dengan dalam akaun hanya ada 20 pound. Waktu itu, hinggakan bila saya nampak 3 keping duit syiling 1 pound di atas jalan, saya kutip dan mahu ambil. Mujur, Allah beri peringatan segera, "itu bukan duit engkau, Su.." Lalu duit itu diletak semula.
Hidup berdikari sepenuhnya di luar negara ajar saya erti berjimat. Kurangkan belanja yang tak perlu. Apa yang penting, apa yang tak. Juga erti sebenar-benar rezeki. Apa ertinya rezeki yang berkat walaupun nilainya di mata manusia hanya sekelumit.
...
"Eh, macam mana Suhaila tu boleh beli rumah da?"
Orang ingat saya banyak duit. Umur 23 sudah beli rumah. Tapi orang tak tahu, rumah sewa yang diduduki keluarga saya dan di sekitarnya waktu itu bakal dirobohkan. Nak tak nak saya kena cari rumah berlindung untuk mereka. Duit simpanan juga duit dipinjam dari para sahabat, saya guna untuk kos awal membeli rumah. Lebih tragis, notis diarah berpindah itu diberi waktu saya bakal menduduki peperiksaan akhir ijazah kami. Sehari selepas kertas peperiksaan terakhir, saya tergesa-gesa pulang ke Malaysia. Mencari rumah untuk keluarga. Dan meninggalkan hari konvokesyen. Saat menatap gambar sahabat berjubah konvo dan memegang skrol ijazah, hati sayu.. Saya tiada di situ. Perit jerih saya menuntut ilmu tidak merasa dirai. Untuk pertama kali sewaktu ijazah, juga saat konvo kedua waktu sijil pasca ijazah.
Agaknya Allah mahu beri saya cabaran. "Kau akan merasa konvo juga nanti, Su, untuk PhD nanti." In shaa Allah, ilmu itu untuk dituntut sepanjang hayat. Impian bakal usaha untuk dilaksanakan.
...
"Wah, cepatnya Su kawen!"
Orang ingat urusan jodoh saya mudah. Dapat bernikah pada usia 24 seperti diimpikan. Tapi orang tak nampak, setiap malam selama setahun, sujud istikharah saya bergenang air mata. Meminta padaNya agar diberi jodoh untuk ke syurga. Sama-sama saling menguatkan. Kerana saya sangat takut, andai saya tidak berteman, saya kembali menjadi jahiliyah. Seperti sebelumnya. Kerana saya tidak kuat menghadapi persekitaran di tanah air.
Saat saya remaja, tiada siapa pernah menegur andai saya tinggalkan solat. Tiada siapa pernah larang saya tidak bertudung. Hingga saat pencarian jodoh, bilamana bertemu jalan buntu, timbul bisikan dalam hati, mungkinkah aku adalah Rabiatul Adawiyah.. Hidup sendiri tapi cinta pada Ilahi teguh menemani sepi.
Usaha bukan setakat doa. Tanya sahaja, siapa wakil urus yang saya tidak pernah bersuara. Borang baitul muslim mana saya tidak pernah isi. Setiap sisi pencarian itu mengajar saya, Allah akan makbulkan hasrat hambaNya yang benar-benar meminta dan berusaha. Paling tidak, pasti Dia akan beri yang terbaik dari sisiNya untuk si hamba yang berdoa.
Sejak dari berusia 21, saya punya hasrat mahu berkahwin pada usia 24. Dan jujur, saya membayangkan saya akan berkahwin pada usia 24. Baju dan bakul tidur bakal anak telah dibeli pada usia 23. Juga kursus kahwin telah dihadiri. Sedangkan bayang calon pun belum ada. Orang tanya, sudah ada ke? Hanya senyuman mampu diukir, sedangkan dalam hati, "hai jodohhhhh, di manakah engkauuu".. Dan alhamdulillah the law of attraction and visualization worked very well for me. 3 bulan sebelum balik Malaysia for good, bayang batang hidung si jodoh sudah nampak..
...
"Su boleh datang program ni?"
Orang lihat saya aktif dengan kerja aktivis dan kebajikan. Namun, hakikatnya, saya aktif kerana saya tidak mahu kembali ke masa lalu. Sungguh besar erti hijrah ini buat seorang pendosa. Saya aktif sedangkan sebenar jihad saya adalah ke atas keluarga sendiri. Saya masih belum berjaya membawa mereka ke jalan Islam yang sebenar. Sungguh saya tidak kuat. Menjadi anak sulung sedangkan dia adalah seorang perempuan itu sendiri bukan mudah.
Saya hanya mampu berbuat sebanyak mungkin kebaikan agar Allah membuka pintu hidayah dan hijrah untuk ahli keluarga sendiri. Acapkali, saat konflik cuba mentarbiyahkan keluarga tidak berhasil, solat diselangi air mata. "Ya Allah, kurniakanlah kekuatan untukku menghadapi semua ini." Kita tidak boleh memilih siapa ibu bapa kita. Pasti ada sebab kenapa Allah pilih saya lahir dalam keluarga ini.
Justeru, saya nekad menanam hasrat untuk menghantar ibu bapa menunaikan haji dalam masa 3 tahun lagi. Juga umrah pada penghujung tahun ini in shaa Allah. Moga itu jadi asbab untuk mereka tambah memperbaiki diri. Duit boleh dicari. Masa bila berlalu, tak boleh diulang kembali. Demi masa, saya tak mahu mereka kerugian..
...
Dan kini, orang nampak saya berjaya dalam bidang-bidang yang saya ceburi. Menjadi pensyarah. Juga ada dua bisnes yang makin berkembang: bisnes unit trust yang makin bertambah klien dan ejen dan bisnes keluarga, restoran dinamakan Kafe Ma Tok. Di sebaliknya orang tidak tahu, betapa hari-hari saya berperang dengan masa. Penatnya Tuhan sahaja yang tahu. Hari bekerja, keluar rumah sebelum matahari terbit. Sampai rumah, bila matahari terbenam. Hujung minggu masa banyak dihabiskan dengan menolong di kedai. Syukur bisnes Public Mutual amat mudah. Tak makan banyak masa kalau pandai merancang.
Kenapa bersusah tahap begini? Kalau semua ini tak dibuat, keluarga saya akan tetap di takuk lama. Setiap bulan, helaian kertas bil diterima dengan kegusaran, saling bertarik tali, siapa yang akan bayar. Sampai bila saya dapat memberi umpan.. Sudah tiba masa, pancing diberi agar mereka berusaha sama.
...
Susah sekarang, senang kemudian. Ini adalah sifir yang sama dilakukan oleh mana-mana orang telah berjaya. Mereka buat apa yang orang lain tak buat. Cuma kena tebal telinga dan belajar jadi pekak. Tulikan telinga dari bisikan negatif yang bisa menjatuhkan.
Orang nampak sisi kita yang berjaya. Tapi percayalah, setiap orang itu pasti ada sisi yang dia pernah rasa lemah hingga terduduk. Bezanya, dia akan bangkit kembali. Meneruskan perjuangan..
Dia cipta kita ada sebab. Supaya kita menjadi manusia bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain. Semua ujian ini dicampakkan pada kita juga ada sebab. Supaya kita cepat dewasa. Penat itu biasa. Kerana sebenar-benar erti rehat hanya bila mati.
Masanya akan tiba. Segala kesusahan ini akan berakhir tidak lama lagi. Dua anak ini tidak perlu lagi membesar dalam kesibukan dan kepayahan ibu bapa mereka untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Ada banyak lagi kejayaan akan dikecapi kerana Allah itu Tuhan Pemakbul Doa. Yang penting, doa, usaha, tawakal.
Moga Allah hidupkan kita sebagai manusia berjaya di dunia dan matikan kita sebagai bakal penghuni syurga.
Nur Suhaila Zulkifli
Faqir ilallah
No comments:
Post a Comment