Saturday, 20 January 2018

Yang Ketiga

"Mengidam ke?", tegur suami bila saya kata saya nak makan kerabu maggi.

"Tak de selera nak makan," saya jawab. Saya menyambung makan. Diam sejenak.
"Tapi memang period da lewat seminggu," kenyataan itu saya beritahu dengan nada pahit.
"Nur tak ready lagi nak pregnant semula," hakikat yang sebenar diluahkan. Wajah suami tak dipandang. Saya tak perduli apa reaksinya. Saya cuma perduli apa yang bakal dilalui nanti.
Ini perbualan beberapa minggu lepas.

***
Tiada langsung dalam perancangan saya untuk menambah anak tahun ini. Walaupun anak kedua, Umar sudah pun 2 tahun. Dan pastinya langkah merancang kehamilan juga diambil. Saya pensyarah Biologi. Mustahil saya tidak tahu apa cara merancang keluarga, bila waktu ovulasi dan subur. Semua da buat. Memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari dan diajari.

Tapi bila Dia nak bagi, Dia akan tetap bagi. Cegahlah macam mana pun, bila kataNya kun fayakun, kita tiada daya menolak. Buatlah langkah merancang bagaimana sekalipun, masih ada peratus kecil untuk mengandung. Bagaimana sains menyatakan ovulasi berlaku pada sekitar hari ke-14, dan ovum hanya hidup selama 24 jam, masih ada orang boleh mengandung walaupun persenyawaan berlaku pada hari ke 27. Di luar waktu subur. Sehari sebelum kitar haid seterusnya.

Dan ini benar-benar berlaku pada rakan sendiri. Membuatkan diri sedar anak ini satu rezeki yang Allah bagi. Ia bukan semata-mata kejadian mengikut alam. Tinggi mana pun ilmu kita, hanya Allah yang tahu apa yang ada di dalam rahim itu.

"Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung)." (Surah Luqman:34)

Walaupun kita tak minta dan (mungkin belum mahu). Ada orang yang nak anak, berpuluh-puluh cara diusahakan tapi Allah belum nak beri. Ada orang, rezeki anaknya sangat murah. Sampai dia sendiri malu orang kata 'terlebih subur'. Mulut orang takkan boleh tutup.

***
"Susahnya nak keluar. Kena ada pass, punch keluar masuk segala bagai.. Da la kena selalu gi check up.." keluh rakan-rakan sekerja yang mengandung.

"Kalau macam ni keadaan, memang saya tak nak ngandung," ujar saya terus terang.

"Jangan macam tu Su.. Jangan sampai tak bina keluarga sebab ni.." tegur akak-akak senior.

Saya bercakap bukan sekadar kata-kata berbaur emosi. Tapi saya tahu, saya akan sangat tertekan bila peraturan demi peraturan yang menyusahkan ini dilaksanakan. Alangkah indahnya kalau semua faham pesan Nabi kita saw, "mudahkan, jangan susahkan."

Saya mampu untuk bertahan dengan tekanan ini semua. Tapi saya tak tahu jika saya mampu bertahan atau tidak dalam keadaan berbadan dua. Hormon memainkan peranan sangat penting untuk kestabilan kandungan. Dan hormon-hormon itu banyaknya dikawal dari otak.

Dengan tekanan di tempat kerja yang makin membukit. Beban kerja yang dihimpunkan, polisi demi polisi yang makin ketat, KPI yang terlalu ideal. Dan tekanan kerja sebegini ada sahaja di mana-mana. Cuma mungkin rupanya sahaja berbeza. Really the boss are buying our lifes.

Dengan saya berulang alik 2 jam perjalanan yang penuh cabaran setiap hari. Keluar sebelum matahari terbit. Perjalanan yang sepatutnya hanya 50 minit jadi lebih sejam kerana melalui kawasan orang suka memandu 40km/jam secara berjemaah. Niatnya saya dan anak sulung yang berulang untuk memudahkan suami menguruskan anak kedua dan kedai makan yang baru dibuka. Tapi baliknya, saya penat dan emo sendiri.

Dengan tanggungjawab membantu ibu bapa beroleh pendapatan yang stabil. Tenaga untuk membantu mereka amat saya perlukan saat perniagaan yang dibina untuk mereka baru bertapak. Tapi saya pula kini cepat kepenatan. Bila mengadu pada sahabat, katanya "Allah nak bagi kau rehat.." Moga Allah redhakan saya dengan keadaan ini.

Dengan anak-anak yang terpaksa berbahagi masa untuk bersama ummi mereka. Ibu mana yang tak terasa hati, pergi kerja anak masih di tempat tidur. Balik kerja, anak hanya sejam dua dengan kita. Itu pun kalau saya masih ada tenaga nak melayan mereka. Kerapnya saya tertidur lebih dulu dari mereka. Hingga pelukan 5 saat mereka sewaktu melihat kelibat ummi mereka pulang dari kerja itulah sahaja masa paling berkualiti kami ada.

Itu kalau saya balik. Ada kala terpaksa bermalam di rumah kuarters kerana bertugas warden. Hanya anak patung mainan anak dipeluk menemani malam yang keseorangan.

Dengan semua ini, sebenarnya saya stres. Orang nampak saya ceria, gelak seperti biasa, tapi makin banyak masa saya bersendiri dengan monolog dalaman.

Saya khuatir saya tidak mampu mengandungkan dan membesarkan zuriat lain. Kesibukan dan kepenatan yang ada kini pun tak tertanggung. Menjaga anak-anak orang tapi anak-anak sendiri tertolak tepi.

***
Bila apa yang dirancang tidak yang Allah tentukan, jujur banyak masa bersendiri saya berendam air mata. Mencari hikmah dari segala sisi. Mampukah aku? Kenapa Kau beri juga pada waktu ini?

Waktu dalam kekusutan, maklumat berkenaan cara menggugurkan kandungan turut dicari. Agaknya beginilah situasi orang yang sanggup menggugurkan kandungan. Tekanan membuatkan mereka temui jalan buntu. Dan bisikan syaitan menghantui fikiran dan iman yang lesu.

Syukur saya masih punya iman senipis kulit bawang. Sebelumnya lagi, hati telah berbisik, "apa hak engkau nak tarik nyawa sesuatu hanya kerana engkau punya kuasa ke atasnya?"

Ya, ia masih sekadar ketulan yang belum ditiupkan roh. Tapi kelak ia akan jadi jasad bernyawa. Sedangkan 7 minggu pun sifatnya sudah punya rupa. Sudah jadi mudghah. Bukan lagi nutfah mahupun alaqah. Cepat sungguh proses pembentukan janin berlangsung.

Mungkin ada suatu hikmah Dia mahu tunjuk. Hanya mampu berdoa, sebagaimana yang pernah diminta waktu awal-awal mengandungkan Fateh dan Umar. "Ya Allah, jika zuriat ini bakal menjadi pejuang agamaMu, Kau kuatkanlah dia. Kukuhkanlah dia dalam rahimku meski pelbagai ujian dan tekanan harusku hadapi. Jika tidak, Kau tariklah kembali dia."

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah:216)

***
Di sebalik kesusahan pasti ada kemudahan. Saya bersyukur Fateh dijaga dengan baik oleh guru-guru PASTInya. Mungkin kerana mereka sendiri tahu penglibatan saya dalam organisasi haraki yang sama. Kita tolong agama Allah, Allah tolong kita.

Malah toilet training pun cikgu tolong. Fateh sudah 3 tahun setengah tapi masih berpampers. Dia ada masalah buang air besar yang kurang lawas. Jadi proses toilet trainingnya tidak selancar kanak-kanak lain.

Lebih disulitkan dengan kesibukan si ibu. Si bapa yang tidak bekerja tidak sekali-kali mampu menggantikan tugas seorang ibu. Adakala ia makin menambahkan sibuk si ibu. Sungguh ia satu cabaran untuk jadi relaks.

Dan saat post ini ditulis pun, si bapa masih tak tahu tentang status ini. Disangkanya saya demam. Sedangkan ini sudah kandungan ketiga. Sedangkan simptom tak selera makan, cepat penat dan sangat beremosi sangat ketara. Sama seperti dua pengalaman yang sebelumnya.

Well, that's why they are men. They are sometimes too slow to think and to act. Bersabar dengan 'kesabaran berfikir dan bertindak' lelaki itu sendiri adalah jihad bilamana seseorang perempuan itu berkahwin.

Mohon en suami buat vasectomy selepas ini. Adakala, lelaki pula yang perlu berkorban, rasa bagaimana sakitnya kena jahit hidup-hidup.

***
Perkongsian ini ditulis selepas dua minggu saya mendapat tahu saya sedang mengandung. Setelah saya bertenang dan muhasabah diri setiap hikmah Allah mahu beri. Dan artikel ini sendiri telah mengalami berbelas kali editing agar ia semata-mata satu perkongsian berkenaan sebuah perancangan Allah yang mengatasi perancangan hambaNya, meskipun hambaNya belum bersedia. Betapa sukarnya kita untuk menjadi sabar saat pertama dugaan tiba.

Ingat lagi kisah seorang wanita yang memarahi Rasullullah saat baginda menegur beliau yang sedang menangis di tepi sebuah kubur? Saat wanita itu tersedar, yang menegur itu adalah kekasih Allah yang mulia, Rasulullah berkata, ”Sesungguhnya namanya sabar adalah ketika di awal musibah.” (HR. Bukhari, no. 1283).

Dan saya masih jauh lagi dari sebenar-benar sabar itu. Apa pun, saya menerima anugerah Allah ini in shaa Allah. I know I have to keep strong and Allah gives this challenge to make me stronger.

P/s: Jika sahabat-sahabat ada tips cara nak uruskan sendiri anak-anak berderet, mohon kongsikan di sini.. I really need a motivation to think that this will be very easy indeed.

No comments:

Pelepasan Cukai 2018

Tahun 2018 bakal berakhir. Tinggal berapa hari sahaja lagi nak buat apa-apa bayaran yang boleh kurangkan cukai. Jadi di sini, saya nak kon...